
Kasih seorang ibu tiada penghujungnya. Penat bekerja seharian sekalipun, masih ada ruang dalam fikirannya untuk membahagiakan anak-anak. Biar tubuh terasa letih, senyuman anak menjadi pengubat segala kepenatan.
Namun, siapa sangka hasrat seorang ibu untuk menyediakan hidangan istimewa sempena sambutan hari lahir anaknya menjadi niat terakhir sebelum dijemput Ilahi.
Sepatutnya hari lahir menjadi momen indah yang diraikan bersama keluarga, namun kali ini sebuah keluarga terpaksa menerima kenyataan pahit apabila insan yang paling disayangi pergi buat selama-lamanya.
Tiada lagi sentuhan tangan ibu, tiada lagi suara yang memanggil mesra dan tiada lagi kesempatan untuk menikmati air tangan insan yang begitu besar kasih sayangnya.
Kasih Seorang Ibu, Hasrat Masak Untuk Hari Lahir Anak Tak Kesampaian

Seorang wanita, Noryshah Umar, 47, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, Kangar petang Isnin.
Allahyarhamah yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan menetap di Kampung Tebuk Tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lebih meruntun hati, Allahyarhamah difahamkan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan singgah membeli bahan masakan bagi menyediakan hidangan sempena sambutan hari lahir anaknya.
Begitulah besarnya kasih seorang ibu. Selesai mencari rezeki, masih memikirkan bagaimana mahu menggembirakan hati anak tersayang.
Namun, hidangan yang ingin disediakan itu akhirnya tidak kesampaian. Allah SWT terlebih dahulu menjemputnya pulang.
Artikel Trending: STR 2027: Bantuan Hingga RM150 Sebulan, Keluarga Anda Layak Terima Berapa? Ini Syarat & Tarikh Penting Permohonan
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Motosikal Terbabas Sebelum Merempuh Pokok
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZR dari arah Jalan Kampung Serdang menuju ke Kampung Tebuk Tengah.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kemalangan berlaku di jalan lurus satu lorong dua hala ketika keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering.
Jenazah Allahyarhamah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat pada jam 9 malam bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Hari Lahir Yang Bertukar Menjadi Duka

Sukarnya membayangkan perasaan seorang anak apabila kehilangan ibu ketika sepatutnya meraikan hari kelahiran bersama insan yang melahirkannya ke dunia.
Jika dahulu hari lahir diraikan dengan penuh kegembiraan, kehilangan ini pasti membawa makna yang berbeza buat keluarga berkenaan.
Bukan hadiah mahal yang menjadi kenangan paling berharga, tetapi kasih seorang ibu yang sanggup bersusah payah demi melihat anaknya bahagia.
Malah, niat Allahyarhamah menyediakan hidangan istimewa buat anaknya menjadi gambaran betapa tulusnya kasih seorang ibu, walaupun dalam kesibukan mencari rezeki.

Adakalanya, perkara yang kelihatan sederhana seperti menyediakan hidangan kegemaran anak membawa makna yang begitu besar. Di sebalik setiap hidangan itu, tersimpan perhatian, pengorbanan dan keinginan seorang ibu untuk melihat anak-anaknya bahagia.
Itulah nilai kasih seorang ibu yang tidak mampu ditukar ganti dengan apa jua kemewahan di dunia.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Ibu Pergi, Namun Kasihnya Tetap Hidup

Kisah ini juga menjadi peringatan buat kita semua agar menghargai ibu selagi masih diberikan kesempatan.
Jika masih ada ibu yang menelefon bertanyakan sudah makan atau belum, jawablah dengan penuh kasih sayang. Jika masih berpeluang menikmati masakannya, hargailah setiap suapan.
Peluklah ibu, ucapkan terima kasih dan beritahu betapa kita menyayanginya. Jangan tunggu sehingga yang tinggal hanyalah kenangan.
Luangkanlah masa bersama ibu walaupun sekadar duduk berbual atau bertanyakan khabarnya. Mungkin perkara kecil itu sudah cukup untuk membuatkan hatinya gembira.
Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu bukan sekadar kehilangan insan tersayang, tetapi juga kehilangan tempat bermanja, tempat mengadu dan insan yang tidak pernah jemu mendoakan kebahagiaan anak-anaknya.
Walaupun masa terus berlalu, kasih seorang ibu akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati setiap anak. Kenangan bersama ibu menjadi sesuatu yang amat berharga untuk dikenang sepanjang hayat.
Ibu mungkin telah pergi meninggalkan dunia, namun kasihnya akan terus hidup dalam hati anak-anak, hingga bertemu kembali di syurga, insya-Allah.


Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Noryshah Umar. Semoga anak-anak dan keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan ini.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkan Allahyarhamah dalam kalangan insan yang beriman.
Al-Fatihah.
Sumber/ Foto : Sinar Harian & Media sosial

sekarang!
