Kehilangan anak pertama memang sesuatu yang sukar diucapkan. Lagi-lagi anak tidak dapat merasai susu ibu sepenuhnya.
Namun kisah dari Nad Masrom yang juga Kaunselor Penyusuan ini dapat menguatkan semangat ibu-ibu dalam memperjuangkan hak anak mendapat susu ibu.
Semoga kisah kegagalan yang membawa kepada kehilangan anak pertamanya akan menjadi iktibar bersama untuk terus bertahan dalam dunia penyusuan susu ibu. Ikuti luahannya..
Pengalaman penyusuan anak kedua saya, Nur Khadijah alhamdulillah begitu indah dan diizinkan Allah sehingga cukup tempoh 2 tahun. Saya dapat menyusukan Khadijah dalam 30 minit selepas kelahiran. Alhamdulillah, saya dapat melalui setiap fasa penyusuan selama 2 tahun ini dengan baik. Dan Allah sentiasa beri saya peluang untuk terus menimba ilmu penyusuan serta membantu ibu-ibu lain dengan mengizinkan saya untuk menjadi seorang breastfeeding peer counselor.
Semangat juang saya untuk meneruskan penyusuan susu ibu buat Nur Khadijah dan membantu ibu-ibu lain yang mempunyai masalah dalam penyusuan dikuatkan oleh rasa serba salah saya terhadap anak pertama saya, Najla Batrisya. Saya telah merasakan diri saya gagal untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu buatnya. ‘Kegagalan’ saya bukanlah kegagalan biasa yang tidak perlu dikesali. Kegagalan kali pertama itu mungkin adalah suratan takdir namun telah memberi kesan kepada siapa saya selepas kejadian itu.
———————————————————————-
3.8.2011 – Tepat jam 1.02 pagi, saya telah selamat melahirkan puteri pertama, Najla Batrisya secara normal dikala usia kandungan baru berusia 30 minggu. Anak pertama saya dilahirkan pramatang kerana PPROM (Preterm Premature Rupture of Membrane – Pecah Ketuban Pramatang). Saya ditahan di wad selama 3 hari dan diberikan rawatan sewajarnya oleh pakar dan para doktor serta jururawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum melahirkan puteri sulung saya itu.
Tangisan kuat dari seorang bayi yang mempunyai saiz fizikal yang kecil dengan berat hanya 1.5 kg memecahkan suasana pagi 3 Ogos 2011. Selepas bersalin, bermulalah detik-detik penuh liku dalam hidup saya sebagai seorang ibu. Tidak seperti bayi full term, saya hanya sempat menatap wajah Najla beberapa minit sebelum Najla dibawa ke NICU untuk rawatan lanjut.
Tiada Ilmu Penyusuan
Sejujurnya, saya TIADA ILMU tentang penyusuan susu ibu waktu tu. Saya fikir, proses penyusuan itu adalah suatu proses semulajadi yang mudah. Bila-bila bayi nak menyusu, saya hanya perlu beri dan susu akan keluar mencurah-curah. Saya langsung tak terfikir untuk marmet dan bekalkan susu awal kepadanya. Istilah ‘marmet’ ketika itu juga suatu yang janggal bagi saya. Saya cuma fikir rasa penat dan sakit sahaja lepas bersalin.
Saya masih bingung dengan status saya sebagai seorang ibu ‘baru’ waktu itu. Saya cuma lihat Najla dalam incubator dan sedang diberi susu formula khas untuk bayi pramatang oleh nurse dengan menggunakan picagari dan tube. Langsung saya tak bertindak untuk cuba perah susu waktu tu atau minta keizinan doktor untuk saya susukan Najla.
Petang tu saya dibenarkan pulang tapi Najla perlu ditahan di wad. Sebelum discharged, ada seorang staff nurse mengajar saya cara marmet dan nasihatkan saya untuk bekalkan susu awal yang mengandungi kolostrum untuk bayi pramatang saya. Pesannya, bayi saya sangat perlukan susu ibu kerana ususnya belum matang dan adalah lebih mudah untuk cernakan susu ibu berbanding susu formula.
Maka balik sahaja dari hospital, suami terus belikan breastpump. Berusaha keraslah saya mengepam. Lebih 30 minit mengepam, yang keluar hanya beberapa titik susu sahaja, kalau dikira mungkin ada dalam 5ml. Saya panik dan terus menganggap yang SUSU SAYA TIADA!
Ads
Langsung saya tidak tahu tentang sifat semulajadi kolostrum yang memang sedikit dan tak akan jadi sampai 5oz bila diperah. Saya terus mengalah dan biarkan sahaja Najla diberikan susu formula bila saya tiada di sisinya.
Sekali sekala, saya cuba juga untuk perah sikit demi sedikit dan kumpulkan semua susu saya itu. Kemudian saya hantar ke hospital walaupun beberapa ml yang saya dapat. Gembira sangat hati bila Najla mula diberikan susu ibu.
Hari ke-5, Najla dikeluarkan dari incubator. Saya diberi peluang untuk menyusukan Najla secara direct. Lama saya duduk di bilik menyusu. Saya tak tahu langsung cara pegangan bayi pramatang yang betul. Terkial-kial saya di bilik menyusu seorang diri. Dan selama hampir 30 minit, barulah saya sedar hisapan Najla tidak kuat, dan acapkali hisapannya terlepas dan Najla akan terus tertidur.
Sekali lagi saya buntu dan terus mengalah. Saya betul-betul tak faham kenapa penyusuan susu ibu TIDAK SEMUDAH YANG DISANGKA.
Setiap hari saya cuba menyusukan direct Najla tapi tidak pernah berjaya. Akhirnya saya mengepam sahaja dan bagi Najla minum menggunakan syringe @ cup dan sudu. Masa tu saya cuma mengepam waktu breast penuh sahaja. Langsung saya tak tahu yang mengepam pun ada waktunya, bukan tunggu breast penuh.
Saya mula kumpulkan stok setiap hari. Tapi sejujurnya, saya langsung tidak tahu cara pengendalian EBM dan tempoh EBM yang boleh digunakan selepas pemanasan. Saya main buat sahaja. Dan setiap hari saya akan berikan anak saya EBM itu.
Malangnya, setiap kali anak saya perlu ditimbang, beratnya tak pernah naik. Dan ada waktunya, berat anak saya turun pula.
Ads
Buat Keputusan Silap
Saya jadi STRES. Doktor kata selagi berat tak melepasi tahap minimum, anak saya tak boleh keluar. Dan saya yang tertekan waktu itu terus menganggap susu ibu tiada khasiat dan tak boleh naikkan berat Najla.
Maka saya ambil keputusan untuk berikan anak saya susu formula khas untuk bayi pramatang diselang-selikan dengan susu ibu. Setiap hari pasti ada sesi anak saya akan minum susu formula. Waktu itu, dalam fikiran saya hanya inginkan yang terbaik untuknya dan ingin dia naik berat dengan cepat.
Namun semua impian tu tiba-tiba berubah jadi satu peristiwa yang saya tak boleh lupakan sampai bila-bila. Pada hari ke-18, muka Najla beberapa kali bertukar biru untuk seketika. Susu yang diminum muntah beberapa kali. Saya rujuk pada MO yang ada dan doktor kata kemungkinan anak saya tersedak susu. Namun semua tu jadi lebih dari apa yang disangka.
Najla dimasukkan ke wad NICU A4 selama 6 hari kerana jangkitan kuman. Pada hari ke-23, keadaan Najla bertambah baik. Namun semua itu tidak lama. Lebih kurang pukul 6.30petang, 23/8/2011, Najla lihat saya dan menangis sekuat hati. Saya rasa tak sedap hati. Saya nampak di kerongkong Najla penuh susu. Najla muntah lagi!
Selepas susu disedut keluar, saya tak tinggalkan Najla. Saya tak sedap hati. Betul telahan saya. 5minit selepas itu bacaan oksigen Najla drop dari 96% ke 17%!. Keadaan jadi kelam kabut. Najla segera dibantu dengan ventilator. Mesin yang begitu canggih itu tidak dapat membantu pernafasan Najla ketika itu.
Keadaan Makin Teruk
Lebih kurang pukul 7.45 malam, MO datang diikuti doktor pakar. Saya dapat lihat doktor melakukan CPR dan bantuan untuk jantung Najla berdegup sebab saya dapat dengar dan lihat bacaan jantung Najla di mesin, drop hingga bawah 20 dengan bunyi amaran begitu kuat. Bantuan yang diberikan oleh doktor berlarutan sehingga 3 jam lamanya.
Ads
Hancur luluh hati saya bila melihat Najla dicucuk-cucuk hingga lebam setiap penjuru tubuh kecil itu. Tilam Najla penuh dengan darah kesan tusukan jarum untuk memasukkan pelbagai ubat dengan dos maksimum. Hinggakan suatu ketika yg amat kritikal, salur darah Najla sukar untuk ditemui, doktor terpaksa mencari salur darah di kepala Najla. Najla terus bertarung nyawa. Pukul 10.30 malam, keadaan Najla kembali stabil dan Najla kembali aktif.
Saya terus merujuk kepada doktor pakar tentang keadaan Najla. Menurut doktor, keadaan Najla sangat-sangat tidak stabil kerana daripada sample darah yg diambil didapati terdapat kandungan garam (kalau tak silap saya) yang sangat tinggi apabila antibiotik dimasukkan untuk melawan serangan kuman menyebabkan jantung Najla terhenti dan Najla berhenti bernafas. Keadaan Najla sangat tidak diduga sebegitu rupa kerana Najla dijangka akan sembuh dan keadaannya jauh lebih baik sebelum ini berbanding bayi lain yang sedang kritikal. Namun melihat keadaannya yang aktif kembali, doktor tetap suruh saya berdoa kerana bila-bila masa sahaja apabila ubat yg dimasukkan telah habis digunakan, Najla akan kembali tidak stabil.
Lebih kurang pukul 3 pagi, di luar tingkap wad terdengar bunyi mesin oksigen Najla. Bunyi itu begitu kuat dan saya faham dengan maksud bunyi itu! Najla berhenti bernafas! Sekali lagi Najla cuba dibantu oleh beberapa staff nurse dan doktor. Pelbagai bantuan dibuat tapi akhirnya Najla tidak memberi sebarang respon. Bacaan jantung dan oksigen Najla tidak dapat dikesan. Doktor suruh saya memanggil suami dan menyatakan keadaan Najla sudah tiada harapan.
Saya dan suami memegang tangan Najla kanan dan kiri. Kami bisikkan kalimah Allah dan syahadah..Tiba-tiba Najla memegang erat tangan kami. Begitu erat seperti genggaman tangan org dewasa. Dan tiba-tiba juga bacaan oksigen Najla meningkat kepada 100% dan bacaan jantung Najla meningkat kepada 166. Saya tergamam. Doktor juga bingung. Namun saya tahu, Najla masih ada kerana ingin menguatkan hati kami supaya redha dengan pemergiannya nanti. Saya tahu Najla tidak mahu kami ralat dan ingin bersama kami untuk suatu ketika yang lebih lama. Gerak hati saya begitu kuat sebagai seorang ibu. Saya bisikkan pada suami, “Kita jangan seksa dia lagi ye..”.
Pukul 5.30 pagi saya pujuk suami untuk maklumkan pada semua ahli keluarga. Suami akur. Saya terus menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan. Semua ahli keluarga yang hadir akhirnya buat pertama kali dan terakhir dapat memegang Najla sejak 22 hari yang lalu.
Kembali Pada Pencipta-Nya
Pukul 8 pagi, doktor pakar hadir, pemeriksaan dilakukan dan memaklumkan kpd kami, Najla sudah tiada harapan lagi. Doktor pakar menunaikan impian terakhir kami untuk memeluk dan memangku Najla. Segala wayar dan tiub yg berselirat pada tubuh kecil Najla dicabut.
Tepat 8.20pagi, mata Najla yang sejak tadi terbuka tertutup sendiri. Genggaman yang begitu kuat dilepaskan. Najla tersenyum.Ya, Najla sudah tiada lagi.
Dan kerana itu, TIADA ALASAN untuk saya tidak boleh menyusukan Nur Khadijah sehingga 2 tahun walaupun banyak cabaran yang perlu dilalui. TRAUMA yang saya lalui dengan kehilangan anak pertama saya adalah lebih hebat berbanding cabaran penyusuan yang perlu dilalui dalam tempoh 2 tahun ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak susah pun nak ajar anak-anak solat sejak kecil. Yang penting ibu ayah pun perlulah menitik beratkan hal solat masing-masing. Persoalannya bagaimana nak mendisiplinkannya.
Ini antara tip yang dikongsikan oleh Dr Farhuda sebagai panduan buat ibu bapa yang ingin mendidik anak solat.
TIP mudah ajar anak-anak solat:
1. Solat ibu ayah perlulah awal waktu, tunjukkan bahawa solat itu penting untuk kita dahulukan.
2. Sebaiknya solat di depan anak-anak sejak mereka bayi lagi. Walaupun ada anak kecil atau bayi, usahalah untuk solat berjemaah suami isteri. Letakkan bayi di sebelah kalian.
Jika dia sudah pandai merangkak atau berjalan, pastikan keadaan sekitar tidak merbahaya sebelum kalian mulakan solat. Ye mungkin kadangkala mereka akan memanjat, masuk dalam kain dan sebagainya. Itu fitrah mereka. Segala itu akan menjadi kenangan nanti. Bukankah cucu Rasulullah pun memanjat baginda ketika bersolat?
3. Lagi bagus jika ada ruang khas solat di rumah. Boleh jadi bilik khas mahupun sekadar suatu sudut khas. Pastikan keadaan kawasan berkenaan bersih dan jauh dari bunyi bising. Jika bersolat di ruang tamu, ajarkan anak-anak bahawa tv perlu ditutup atau dihentikan ketika waktu solat.
4.Jika ayah tiada di rumah, ibu harus memainkan peranan untuk ajak anak solat bersama. Jika ibu ‘cuti’ pastikan anak-anak tetap disuruh bersolat.
5. Sekiranya ada anak-anak yang baru sahaja melelapkan mata apabila tiba waktu solat, pastikan sebaik sahaja mereka bangun mereka harus solat biarpun telah melepasi waktu. Ajarkan yang solat itu wajib. Apabila sudah boleh berfikir, ajarkan apa itu solat qada’ dan juga masbu’.
6. Ayah perlu baca surah kuat-kuat, tertib dan tartil. Biar dapat didengari anak sepatah-demi sepatah. InsyaAllah mereka boleh menghafal surah dengan hanya mendengar bacaan kita setiap hari.
7. Ajarkan mereka perlahan-lahan. Tidak perlu tinggu mereka pandai semua rukun baru nak suruh solat. Biarkan mereka bersolat walupun sekadar meniru pergerakan dalam solat. Walaupun ada yang kejap meniarap, kejap menonggeng, kejap pandang belakang. Semakin besar nanti ajarlah mereka apa itu rukun solat, apa yang tidak boleh dilakukan.
8. Ajarkan wudhu’ bila mereka sudah faham. Awal-awal belajar solat itu wudhu’ boleh diajar kemudian. Kalau tidak, jenuh juga bertukar baju yang lencun nanti bila yang umur 3 tahun ambil wudhu’. Slowly but surely.
9. Didik dan semailah dalam jiwa mereka kenapa kita perlu melaksanakan solat. Ajarkan berapakah solat wajib yang perlu dilaksanakan. Berapa rakaatkah setiap solat. Apakah tanda masuknya waktu solat.
10. Ibu ayah, jika boleh solatlah berjemaah. Selain pahalanya berganda-ganda, anak-anak juga akan lebih excited jika mereka memerhatikan semua perkara kita buat bersama-sama. Berjemaahlah sekalipun hari itu kita tengah berkecil hati/ salah faham/ berperang dunia dengan pasangan kita. InsyaAllah akan sejuk selepas itu.
11. Sediakan sejadah peribadi milik mereka setiap satunya. Sekarang ini pelbagai jenis sejadah moden yang dijual. Ada juga yang specially designed untuk kanak-kanak dengan gambar kartun dengan saiz yang lebih kecil. Kami membelikan sejadah kecil begini untuk mereka. Sejadah-sejadah ini dibeli ketika masih kecil, kebetulan pula warna-warna itu bertepatan dengan warna character kartun PJ Mask dengan Owlette (merah), Geko (hijau), Catboy (biru). Rehal pun beli warna yang sama.
12. Reward system. Ketika mereka masih kecil, boleh galakkan mereka untuk solat dengan sistem reward menggunakan sticker. Tampalkan sticker pada board peribadi mereka. It may look for fun but it works.
13. Beri peluang kepada anak-anak kecil untuk mengetuai bacaan doa. Usai doa abah yang panjang, minta merela mengetuai bacaan doa ringkas sambil kita turut menadah tangan. Contoh doa yang paling mudah adalah doa ibu bapa. Si anak bujang boleh diberi mandat untuk Iqamah. Tidak lupa ajak juga anak – anak untuk membaca alFatihah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Semoga mereka istiqamah melakukan perkara yang sama apabila kita meninggal kelak.
14. Apabila tiba sahaja waktu untuk solat, boleh minta abah yang garang bagi hint : Whudu’!! Maka akan bertempiaran larilah yang si besar-besar untuk segera ambil wudhu’ meninggalkan apa yang sedang mereka kerjakan.
15. Solat tidak boleh tinggal langsung. Jika di rumah solat lima waktu ajarkan juga mereka bahawa sama juga jika balik kampung atau semasa jalan-jalan. Tiada pengecualian.
16. Akhir sekali, tunggulah mereka di atas tikar sejadah sebelum kalian mengangkat takbir. Pastikan semua orang bersedia sepenuhnya barulah mereka bersemangat solat bersama dan tanda kita mahu mereka bersama-sama menghayati solat.
Marilah melentur buluh dari rebungnya.
Children won’t follow your orders, they imitate you.
Jika anak itu adalah dibawah satu tahun, maka itu adalah lebih kerana dia di dalam tahap membaling barang. Ada sebabnya ini berlaku kepada setiap anak-anak pada usia ini.
Ini adalah kejadian Allah untuk membolehkan anak ini menguatkan skill motor nya. Skill motor ini adalah sangat penting untuk dia boleh menggunakan tangannya untuk melakukan apa-apa perkara berkait dengan tangan dikemudian hari. Contohnya, untuk menulis, menggunting, memotong, memanjat dan pelbagai lagi.
Oleh itu jika ibu bapa marah dan suruh anak itu berhenti kerana merasakan anak-anak itu sudah nakal dan berkelakuan tidak baik, maka ini adalah satu kesilapan besar.
Tindak-tanduk begini adalah kerana ibu bapa tidak peka kepada proses pembesaran yang setiap anak-anak perlu lakukan. Bila anak itu dihukum kerana ini, maka ibu bapa menempah untuk anak itu menjadi kurang keupayaan tangannya, kurang kreatif, rendah hormat diri dan tiada keyakinan diri.
Membesarkan anak-anak perlu ada ilmu, skil dan sikap yang betul. Supaya kompetensi kita sebagai ibu bapa itu meningkat sentiasa. Dan anak boleh dibesarkan dengan penuh amanah dan berintegriti.
Nabi s.a.w sangat memberi perhatian kepada pendidikan awal kanak-kanak. Kerana kesannya adalah seumur hidup anak-anak itu.
Penghujung tahun ini ramai ibu bapa yang sudah mencari-cari dan membuat pilihan untuk menghantar si kecil ke tadika. Pastinya tadika hebat menjadi pilihan ibu bapa. Soalnya benarnya tadika hebat ni dapat menjamin anak pandai membaca dan jadi anak hebat?
Menurut Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Bustam Kamri yang merangkap Dekan Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengakui bahawa tadika yang bagus dan berkualiti mendidik kanak-kanak membaca terletak kepada kemahiran guru yang mengajar.
Tadika yang mahal belum tentu dapat menjamin hasil yang dikehendaki oleh ibu bapa yang mengharapkan anaknya boleh membaca. Kualiti guru terletak kepada kelayakan keilmuan dan pengalaman mengajar kanak-kanak. Guru perlu mendapat pengetahuan pendekatan dan teknik mengajar membaca kepada kanak-kanak. Malah guru juga perlu peka dengan kebolehan dan keupayaan setiap kanak-kanak di tadika.
Katanya lagi,
Tadika yang mahal belum tentu dapat hasil yang dikehendaki oleh ibu bapa yang mengharapkan anaknya boleh membaca.
TADIKA KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA
Di negara kita terdapat dua jenis tadika iaitu tadika bantuan kerajaan iaitu kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Biasanya kelas prasekolah ini terdapat di dalam kawasan sekolah rendah. Ibu bapa perlu mendaftar lebih awal di prasekolah berkenaan.
Selain itu ibu bapa boleh memilih kelas tadika yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Masyarakat dan Luar Bandar iaitu kenali sebagai tabika KEMAS. Biasanya tadika ini berada di kawasan luar bandar. Manakala tadika anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berada di kawasan bandar.
Penubuhan tadika KEMAS dan tadika JPNIN bertujuan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah . Oleh kerana prasekolah dan tadika ini anjuran kerajaan maka yuran yang dikenakan amat minima sesuai dengan kemampuan keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun tadika swasta tetap gunapakai sistem pembelajaran berlandaskan Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekiranya ibu bapa berkemampuan dan tidak mahu menghantar anaknya ke tadika bantuan kerajaan, mereka boleh memilih menghantar anak ke tadika swasta.
Biasanya pengusaha tadika akan mengenakan yuran pada setiap kanak-kanak dan kadar yuran tidak sama pada setiap tadika. Perbezaan yuran bergantung pada keadaan di tadika.
8 TIP BANTU ANAK
Dr Bustam menyenaraikan lapan cara seharusnya pihak tadika lakukan. Apabila sudah tahu mengenai lapan panduan ini, ibu ayah, boleh tanya kepada pihak tadika, bagaimana corak pembacaan di tadika.
1.Aktiviti membaca di tadika hendaklah dipelbagaikan supaya dapat merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca.
2.Cara pendekatan mengajar membaca juga penting untuk menghasilkan kanak-kanak yang boleh membaca dan memahami apa yang dibaca.
3.Kaedah membaca secara menyeluruh, fonetik atau membaca terus hendaklah disesuaikan dengan latar belakang kanak-kanak yang berbeza.
4.Masalahnya kadangkala pihak guru yang mengajar tidak sedar dan menganggap semua kanak-kanak adalah sama minat, kebolehan, keupayaan dan pencapaiannya.
5.Bahan bacaan yang disediakan oleh tadika hendaklah dapat menarik perhatian kanak-kanak. Pemilihan bahan bacaan hendaklah disesuaikan dengan peringkat umur, minat dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai latar belakang.
6.Membaca hendaklah disusuli dengan aktiviti yang mempunyai perkaitan dengan bahan yang dibaca dan memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.
7.Persekitaran membaca di rumah adalah penting sebagai lanjutan aktiviti belajar membaca di tadika. Ibu bapa dinasihatkan mengambil tahu dengan bertanya pengalaman kanak-kanak kegiatannya semasa di tadika.
8.Berikan galakkan kepada anak untuk terus membaca. Ibu bapa jangan merasa kecewa apabila anaknya belum boleh membaca. Dijangka semua kanak-kanak apabila telah mencapai kematangan dalam lingkungan usia sembilan tahun boleh membaca dengan lancar sekiranya diberi bimbingan yang sesuai mengikut keperluan kanak-kanak.
Pilih Guru Berkelayakan
Setiap kelas prasekolah akan menggunakan kurikulum yang sama di seluruh negara. Begitu juga dengan kelas tadika anjuran kemas dan jpnin juga menggunakan kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran malaysia. Guru-gurunya pula mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka ini terlatih khusus dalam mengajar kanak-kanak di tadika. Kurikulumnya dibina bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
Bezanya kebanyakan guru yang mengajar di tadika KEMAS dan JPNIN berkelulusan diploma pendidikan awal kanak-kanak. Mereka juga mendapat latihan khusus untuk mengajar kanak-kanak di tadika.
Manakala guru-guru di tadika swasta pula datang daripada pelbagai kelayakan akademiknya. Pengusaha tadika yang berkemampuan akan mengaji guru yang berkelulusan sarjana muda dan juga diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Tadika mahal atau tidak bergantung kepada sistem pembelajaran di tadika itu. Jika tadika itu murah yurannya, tetapi guru-gurunya berpengalaman sudah tentu banyak ilmu pendidikan yang boleh digunapakai untuk mendidik kanak-kanak. Yang penting, pastikan tenaga pengajarnya berkualiti dan mempunyai sijil dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masa yang dinanti telah tiba! Harga emas sedang meningkat, menandakan peluang terbaik untuk menambah koleksi barang kemas atau melabur untuk masa depan. Bagi yang...