Memang ada bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara sahaja. Cuma mama tentulah rasa pelik, kenapa satu payudara sahaja yang jadi favourite dia? Bila diberi payudara yang bukan favourite, mula menangis tanda protes.
Kebanyakan ibu tentu tertanya-tanya normalkah bayi yang suka menghisap sebelah sahaja payudarah hinggakan kuantiti susu bila diperah juga tidak seimbang di mana payudara bukan favourite tidak semeriah yang sebelah.
Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, memang ada sesetengah bayi yang akan menggemari sebelah payu dara sahaja apabila menyusu. Ia adalah situasi penyusuan yang agak normal.
Amalan penyusuan sebegini berkemungkinan akan menyebabkan payu dara ibu akan besar sebelah (lopsided).
Namun, ia dapat diatasi setelah bayi bercerai susu kelak. Gemar pada sebelah payu dara merupakan masalah penyusuan yang biasa terutamanya di kalangan bayi baru lahir. Lazimnya, bayi akan menolak, meragam atau menyusu sekejap sahaja apabila disusukan di payu dara yang tidak digemarinya.
7 SEBAB BAYI SUKA PADA SEBELAH PAYUDARA
Menurut Rita, keadaan bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh 7 sebab ini.
IKLAN
1.Kadang kala trauma kelahiran akan menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk menyusu di sebelah payu dara akibat ketidakselesaan atau kesakitan pada kawasan tertentu di kepalanya(biasanya melibatkan alat bantuan kelahiran – vakum dan forsep).
2.Payu dara ibu bengkak sebelah. Payu dara yang bengkak menyebabkan bayi perlu berusaha keras untuk cuba melekap dengan baik. Kesan kepayahan yang dialami, dia cenderung untuk menggemari payu dara yang mudah melekap.
3.Jika ibu mengalami mastitis di sebelah payu dara, bayi mungkin tidak mahu menyusu menerusinya kerana rasa yang berbeza (lebih masin disebabkan peningkatan kandungan sodium). Malah, rasa susu di sebelah payu dara yang jarang dikosongkan juga boleh menjadi lebih masin.
IKLAN
4.Keadaan fizikal payudara itu sendiri boleh menyebabkan bayi suka menyusu pada sebelah payudara. Perbezaan areola/puting agak biasa berlaku iaitu sama ada puting tenggelam atau leper. Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.
5.Perbezaan aliran susu juga menjadi faktor bayi lebih gemar menyusu pada sebelah sahaja. Bayi lebih suka menyusu daripada payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih baik. Ada kalanya refleks pancutan susu terlalu perlahan atau terlalu laju atau bekalan susu berkurangan juga boleh menjadi masalah.
6.Antara sedar atau tidak, ibu mungkin lebih kerap menawarkan sebelah payu dara. Biasanya perkara ini berlaku pada waktu malam apabila ibu tanpa sedar kerana terlalu letih atau mengantuk. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan bekalan susu di kedua-dua belah payu dara. Bekalan susu di payu dara yang jarang diberikan akan berkurangan!
IKLAN
7.Pembedahan atau kecederaan. Jika salah satu payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu pada payu dara tersebut.
Walau pun begitu, bayi masih boleh mendapat semua zat pemakanan yang diperlukannya selagi dia disusukan secara eksklusif (bagi bayi enam bulan ke bawah) tanpa had biar pun dia hanya menyusu pada sebelah payu dara sahaja. Lebih banyak bayi minum daripada sebelah payu dara, lebih banyak payu dara berkenaan akan menghasilkan susu penuh khasiat yang diperlukannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memang normal, waktu kita nak tidur ada yang menghalang kan? Elok nak pejam mata, si kecil tu pun mulalah ajak kita main. Naik atas badanlah, tepuk-tepuk muka lah. Sudahnya, lewatlah kita tidur. Bangun pagi, mata habis bengkak! Alahai, anak..
Apabila anak menjangkau usia 9 hingga 12 bulan dan ke atas, banyak perubahan yang berlaku. Selain perubahan pada fizikal yang semakin ketara dan lebih aktif, tidur malam juga kerap tertunda. Tidur amat mustahak untuk perkembangan bayi dan kanak-kanak kerana otak mereka berkembang sewaktu tidur.
6 KESILAPAN PERLU ELAK JIKA MAHU ANAK SENANG TIDUR
1.Tidur siang terlalu lama
Ini menjadi salah satu punca utama masalah sukar tidur malam. Apabila bayi tidur siang terutamanya pada waktu petang terlalu lama, mereka akan rasa segar, tidak mengantuk dan bertenaga pada malam hari.
Ia akan menyebabkan sama ada mama dan papa perlu membiarkan anak bermain sehingga mengantuk sendiri awal pagi atau perlu berperang untuk memaksanya tidur dengan cara paksaan yang mana perlu dielakkan.
2.Persekitaran bising dan terlalu cerah
Suasana bising dan keadaan pencahayaan yang terlalu cerah boleh menjadi sebab kenapa bagi sukar untuk tidur pada waktu malam. Seelok-eloknya wujudkan suasana yang cosy apabila waktu tidur anak kian hampir.
Malapkan pencahayaan dengan memasang lampu meja dan memadamkan lampu siling. Matikan TV dan gajet sekurang-kurangnya 1 jam sebelum waktu tidurnya.
3.Terlebih rangsangan
Elakkan melakukan aktiviti rangsangan seperti bermain permainan melibatkan pergerakan fizikal yang aktif dengannya supaya pergerakan badan mula perlahan dan bersedia untuk tidur.
Peralatan seperti buaian seringkali menyebabkan kebergantungan. Kalau tak ada alatan ini, bayi tidak mahu tidur atau amat susah untuk melelapkan mata. Jadi, kalau anda tidak mahu pergantungan pada kemudian hari, elakkan dari membiasakan bayi dengan buaian daripada awal lagi.
5.Elakkan bergantung kepada pergerakan
Biasakan bayi didukung atau didodoikan dengan cara pergerakan. Apabila tidak dapat dua cara ini, ia boleh jadi punca bayi sukar untuk tidur. Seelok-eloknya biarkan bayi tidur di atas tilam. Paling tidak, mama dan papa hanya menepuk pahanya sehingga tertidur.
6.Tiada ada rutin tidur yang tetap
Bayi tidak mempunyai rutin tidur yang tetap akan mengalami masalah untuk tidur. Ibu ayah perlu mewujudkan rutin tidur bagi memudahkan mereka tidur. Tapi perkara ini tidak akan berlaku dalam masa yang singkat.
Rutin tidur yang seelok-eloknya mula diciptakan pada seawal selepas pantang. Misalnya selepas mandi malam, disusukan malam dan kemudian tidur. Patuhilah rutin ini untuk mengelakkan ‘berperang’ untuk tidur di waktu malam.
Selepas tiga minggu melahirkan cahaya mata kedua, selebriti dan pengacara versatil, Jihan Muse mendedahkan wajah, jantina serta nama anak keduanya kepada umum.
Jihan atau nama penuhnya Nuur Jihan Musa mengulang siar semula posting dimuat naik suaminya, Ungku Hariz di laman Instagram berhubung kehadiran bayi lelaki mereka.
“Assalamualaikum.. izinkan saya memperkenalkan hero kedua kami sebagai Ungku Altamis Barr Ungku Hariz Faizal,” kata pasangan itu.
Sebelum ini, pengacara berusia 39 tahun itu melahirkan Ungku Altamis Barr di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam pada 6 September lalu.
Susulan perkongsian Jihan dan suaminya, rata-rata rakan artis dan pengikut berkongsi rasa syukur selain mengucapkan tahniah kepada Jihan atas kelahiran bayi lelaki kedua dalam keluarganya.
Nama penuh makna
“Masya allah sedap nama! 😍😍”
“Assalammualaikum Ungku Altamis Barr!!!Nama yg penuh bermakna!!Moga Membesar Menjadi Anak Yg Soleh,Bijak Dan Bertaqwa Kpd Kedua Ibubapa Serta Keluarga.”
“Macam ni lah tak payah tutup-tutup muka. Setiap doa orang itu kesejahteraan untuk baby Aminnn”
Jihan dan Ungku Hariz berkahwin pada 20 Mac 2016 dan telah dikurniakan cahaya mata sulung iaitu Ungki Arsalan Haq yang kini berusia empat tahun.
Disebabkan Jihan kini sedang dalam tempoh berpantang, tempat Jihan sebagai hos program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) digantikan dengan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein.
Sumber: Instagram Jihan Muse
Si manja suka bergambar? Jom, mama papa kongsikan foto aksi bayi anda bertemakan Jungle Cuties untuk peraduan Pencarian Bayi Pa&Ma! Mana tahu ada rezeki boleh menang banyak hadiah menarik. Nak hantar gambar anak klik saja link ini: https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/
Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan untuk memberikan puting bayi atau pacifier kepada anak sebagai salah satu cara untuk menenangkan anak. Keputusan untuk memberikan anak puting bayi atau lebih dikenali sebagai puting kosong ini, adalah terpulang kepada ibu bapa. Cuma, anda mungkin ingin tahu kesan pemberiannya kepada anak anda. Jadi, ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kesan yang mungkin akan berlaku.
Apa itu puting kosong?
Puting kosong adalah puting bayi yang digunakan sebagai alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah wanita tidak dapat tidur kerana bayi meragam.
Alat penenang dianggap sebagai alat selamat yang diberikan kepada bayi untuk dihisap, bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Tetapi kini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Pacifier moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi daripada tercekik atau menelan puting itu.
Adakah baik jika bayi gemar menghisap puting?
Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka akan lebih tenang jika diberikan puting bayi. Ini kerana, kebanyakan bayi rasa gembira apabila dapat menghisapnya tidak kiralah puting ibunya ataupun puting tiruan. Bagi penggunaan harian, ibu bapa akan menawarkan puting bayi yang banyak dijual di pasaran. Apabila dapat menghisapnya, anda akan lihat tumpuan bayi teralih dan bayi juga mudah untuk terlena selepas letih menghisap pacifier.
Selain itu, aktiviti menghisap pacifier semasa tidur siang dan malam juga dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS). Walau bagaimanapun, bagi bayi yang menyusu badan, ibu bapa adalah disarankan untuk menawarkan puting bayi selepas usia bayi 3 hingga 4 minggu.
Kesan negatif jika perkenalkan bayi kepada puting
Pemberian puting bayi ada juga kontranya. Sebelum ibu bapa menawarkan anak kepada puting bayi, ketahui dahulu apa kesannya kepada anak anda:
Pengenalan awal puting bayi kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan pacifier boleh mengurangkan kekerapan sesi penyusuan bayi, malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting bayi. Namun, kajian yang dilakukan kepada bayi yang sihat, dan cukup bulan mendapati tiada impak pada penyusuan bayi.
Bayi yang mendapat pacifier juga akan terlalu bergantung kepada puting bayi dan akan menangis jika tidak mendapatnya, tidak kiralah jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.
Infeksi telinga meningkat. Terdapat hubung kait yang membuktikan mengenai penggunaan puting bayi untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Dipercayai bahawa menghisap puting bayi menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Jika anda memberikannya kepada bayi anda, pastikan anda mengehadkan penggunaannya untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.
Penggunaan puting bayi untuk jangka masa yang panjang cenderung menyebabkan masalah gigi. Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.
Masalah pertuturan. Penggunaan pacifier tidak membolehkan bayi membebel atau babbling, iaitu satu langkah penting untuk bayi anda belajar bertutur dan berkomunikasi.
Adakah saya perlu bagi bayi hisap puting?
Sudah tentu keutamaan ibu bapa adalah menenangkan bayi. Jadi, puting bayi adalah salah satu cara untuk bayi lebih tenang, tenteram dan tidak meragam. Pemberian pacifier tiada salahnya asalkan ibu bapa tidak terlalu menjadikannya sebagai alat utama untuk memudahkan tugas ibu bapa dalam menenteramkan anak. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anak anda susah untuk berhenti hisap puting.
Memberikan puting kepada bayi
Terdapat segelintir ibu bapa yang memberikan puting kepada bayi untuk menenangkan bayi mereka, dan terdapat juga ibu bapa yang tidak gemar untuk menggunakannya. Wujud juga ibu bapa yang berpendapat untuk tidak menggunakannya pada ketika bayi masih belum dilahirkan dan akhirnya bertukar fikiran apabila sukar untuk membuat bayi yang menangis untuk bertenang.
Jika anda ingin memberikan bayi anda puting, berikut adalah beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan, antaranya:
Tunggu dulu sampai bayi biasa dengan rutin penyusuan.
Jangan terlalu kerap bagi bayi pacifier. Tawarkannya hanya selepas atau di antara waktu makan. Cuba hadkan pemberian puting bayi untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan. Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko infeksi telinga tengah dan masalah lain.
Pilih puting bayi jenis silikon, bebas BPA (bisphenol-A) dan selamat untuk bayi.
Pastikan puting bayi bersih sebelum diberikan kepada si manja.
Pastikan ia sentiasa bersih – sterilkan sama seperti puting botol.
Jangan bagi anak-anak berkongsi puting bayi.
Tawarkan bayi puting mengikut saiz yang sesuai dengan usianya.
Jangan letakkan sebarang benda manis pada puting bayi kerana akan merosakkan gigi si manja.
Ganti puting kosong bayi secara kerap – sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru segera.
Sebaiknya “ceraikan” anak anda dari putingnya sebelum usia satu tahun. Ini kerana ia lebih senang untuk dilakukan pada masa ini daripada ketika bayi anda sudah menginjak usia 2 hingga 3 tahun. Dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar, selalunya pada usia enam tahun.
Tip memberhentikan pemberian puting bayi
Sekiranya anda berdepan masalah untuk memberhentikan tabiat ini dan anak anda gemar menghisapnya setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu:
Kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakannya secara perlahan-lahan. Jangan terus memberhentikan pemberian puting, kerana ini mungkin boleh menyebabkannya lebih sukar untuk ditenangkan.
Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang – jangan berikan gula-gula untuk menggantikannya.
Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting – kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
Bertegas dalam mengehadkan masa penggunaannya kepada masa-masa utama sahaja dalam masa sehari, seperti waktu tidur atau ketika dia tidak sihat.
Penjagaan Gigi Bayi & Kanak-kanak
Ibu bapa sering menganggap bahawa penjagaan gigi anak hanya bermula selepas gigi mereka tumbuh. Salah tanggapan tersebut. Penjagaan oral dan gigi bayi khususnya, mesti bermula sejak awal, iaitu daripada si manja lahir lagi. Aspek penjagaan perlu lebih diberi perhatian jika anda memberikannya pacifier. Masalah kerosakan gigi bayi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertamanya tumbuh.
Bila gigi pertama bayi tumbuh?
Lazimnya, bayi akan mula tumbuh gigi pertama semasa usia enam hingga lapan bulan, malah ada juga yang baru tumbuh gigi semasa usia setahun. Gigi mereka akan lengkap sepenuhnya semasa usia kanak-kanak tiga tahun.
Bagaimana penjagaan oral untuk bayi dan kanak-kanak?
Penjagaan oral atau mulut bayi perlu dilakukan secara berterusan setiap hari. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, anda perlu mula menjaga gusi bayi, terutamanya jika bayi anda menghisap puting. Penjagaan gusi ini tidak memerlukan anda untuk menggunakan berus serta ubat gigi. Ibu bapa disarankan untuk melakukan penjagaan gusi dan mulut bayi selepas anak menyusu dan sebelum bayi tidur. Caranya adalah dengan melembapkan kain yang lembut, kemudian, gosokkan lembut pada gusi si manja bagi membersihkan sisa-sisa susu pada mulutnya. Lakukan cara ini sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengelakkan bakteria daripada melekat pada gusi.
Jika gigi pertama bayi sudah tumbuh, teruskan rutin penjagaan oral bayi seperti di bawah:
Bersihkan gigi pertama yang baru tumbuh dengan meletakkan sedikit ubat gigi berfluorida pada kain lembut dan sapukan pada gigi bayi.
Jika gigi geraham sudah tumbuh, anda boleh mula menggunakan berus gigi khas untuk bayi yang banyak dijual di pasaran. Letakkan ubat gigi khas untuk bayi sebesar saiz biji kacang pis pada berus gigi tersebut.
Berus di sekitar lidah dan gusi untuk menghilangkan bakteria tersembunyi dan mengelakkan mulut bayi berbau.
Lakukan rutin ini dua kali sehari iaitu sewaktu bangun tidur pada waktu pagi dan pada malam hari sebelum tidur.
Bawa bayi anda berjumpa doktor gigi semasa gigi pertamanya tumbuh ataupun selewat-lewatnya semasa usia bayi setahun. Doktor gigi akan memberikan nasihat tentang cara-cara penjagaan gigi bayi kepada ibu bapa.
Elakkan memberi bayi anda menghisap botol susu sambil tidur. Ini kerana kandungan kanji atau karbohidrat dalam susu akan membentuk lapisan plak pada permukaan gigi yang menyebabkan kerosakan gigi.
Hindari dari mengisi air bergula dalam botol susu. Ia adalah satu tabiat yang seharusnya dielakkan.
Mencegah kerosakan gigi kanak-kanak
Masalah gigi rongak, gigi hitam dan gigi berlubang bukan lagi perkara asing untuk kita lihat berlaku pada kanak-kanak. Gigi yang dahulunya putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang. Masalah kerosakan gigi pada kanak-kanak ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti pemakanan, penggunaan pacifier dan cara menggosok gigi yang salah. Bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi, ibu bapa mesti memastikan penjagaan oral dan gigi kanak-kanak dilakukan secara berterusan setiap hari.
Bagaimana kerosakan gigi berlaku?
Plak gigi yang mengandungi bakteria akan terbentuk dan melekat pada gigi si manja anda.
Bakteria akan bertindak dengan gula menjadi asid dan menyerang serta mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ia akan membentuk karies gigi yang akan menyebabkan gigi mereput dan berlubang.
Jika masalah ini dibiarkan, kanak-kanak akan mengalami sakit gigi kerana bakteria di dalam karies akan terus merebak dan menjangkiti pulpa gigi.
Lebih teruk lagi, sekiranya ia tidak dirawat, si kecil bakal mengalami masalah bisul pada gusi dan radang muka.
Faktor gigi anak rosak
Faktor utama kerosakan gigi berpunca daripada cecair, minuman atau makanan bergula yang diberikan kepada anak. Minuman dan makanan ini mengandungi gula tersembunyi yang akan menyebabkan plak terbentuk sekali gus menyebabkan gigi rosak.
Selain itu, tabiat bayi dan kanak-kanak yang gemar menghisap botol dan puting bayi juga boleh menyebabkan kerosakan gigi berlaku. Apatah lagi jika si kecil menghisap botol yang berisi minuman manis ataupun minuman jus bergula.
Memantau aspek pemakanan
Penyusuan botol untuk tempoh yang panjang cenderung mengakibatkan kerosakan gigi atau karies di awal usia kanak-kanak. Salah satu cara yang berkesan untuk menghentikan penyususan botol yang berpanjangan adalah dengan menggunakan cawan. Minum dengan menggunakan cawan tidak akan menyebabkan air minuman terkumpul di sekitar gigi. Oleh itu, gunalah cawan jika minum minuman yang manis seperti jus buah-buahan.
Pengambilan makanan bergula atau yang mempunyai kandungan gula yang tinggi secara kerap, lama-kelamaan akan menyebabkan bakteria terkumpul menghasilkan asid yang akhirnya menyebabkan kerosakan gigi. Adalah dinasihatkan supaya tidak menambah gula ke dalam makanan bayi seperti susu, minuman dan bijirin. Selain itu, berwaspadalah dengan gula tersembunyi di dalam makanan.
Galakkan tabiat pemakanan yang baik dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Hadkan makanan dan minuman yang mengandungi gula pada waktu makan sahaja. Tawarkan makanan ringan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di antara waktu makan.
Tip penjagaan gigi
Penyebab utama pereputan gigi bukanlah jumlah kandungan gula di dalam diet bayi anda, tetapi bergantung kepada kekerapannya makan makanan dan minum minuman yang bergula sepanjang hari. Hadkan makanan bergula semasa waktu makan sahaja dan tidak melebihi empat kali sehari. Ini termasuklah buah-buahan kering yang tinggi kandungan gula dan melekat pada gigi. Jika anda mahu memberi anak anda snek di antara waktu makan, pilih makanan yang tidak manis seperti keju atau sayur-sayuran.
Langkah pencegahan
Ibu bapa disarankan untuk mengehadkan pengambilan minuman bergula terutama di dalam botol untuk kanak-kanak. Selain itu, elakkan daripada memberikan anak menyusu botol sebelum waktu tidurnya.
Pilih ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida, iaitu sejenis bahan mineral yang membantu menghalang kerosakan gigi dan menguatkan lapisan enamel gigi. Fungsi fluorida juga adalah untuk membuatkan gigi bertahan daripada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.
Elakkan meletakkan madu ataupun manisan pada pacifier atau puting kanak-kanak. Selain itu, minimumkan penggunaan puting kerana penggunaan yang kerap akan menyebabkan susunan gigi kekalnya nanti tidak cantik.
Pentingnya penjagaan gigi susu
Sememangnya gigi susu, iaitu gigi yang akan berada bersama anak anda sehinggalah usia seawal 6 atau 7 tahun, akan diganti dengan gigi kekal. Maka ada yang berpendapat bahawa penjagaan gigi susu ini adalah tidak begitu penting dan memandang remeh aspek penjagaannya. Tetapi tanpa anda sedari, gigi susu mempunyai pengaruh yang besar dalam aspek perkembangan bayi anda. Ini kerana, apabila gigi susu anak anda sihat dan terjaga, maka ia dapat menghindari anak anda daripada berdepan kesulitan untuk mengunyah makanan. Selain itu, mulut adalah pintu utama bagi makanan sebelum ia sampai ke dalam organ pencernaan dan diserap oleh usus. Seandainya cara penjagaan dan pembersihan gigi tidak dilakukan dengan betul, maka bakteria dan kuman pasti akan membiak dan akhirnya menyebabkan jangkitan yang menjejaskan kesihatan anak anda. Oleh itu, pastikan anda membantu dan menggalakkan anak anda menjaga kebersihan gigi mereka.