Sebagai ibu ayah, sudah menjadi lumrah kita menginginkan yang terbaik untuk anak-anak. Kalau boleh tak mahu mereka susah, kita sanggup lakukan apa saja untuk memudahkan kehidupan mereka. Dalam diam sebenarnya kita tak sedar yang sebenarnya telah memanjakan mereka sehingga anak tidak mampu berdikari.
Terlalu risaukan keadaan anak mungkin menyebabkan kita take charge segala kesusahan atau cabaran yang dihadapi oleh mereka. Dr Redza Zainolmelalui perkongsiannya di laman Twitter ada berkongsi tentang keadaan ini.
Menurutnya, ada seorang kanak-kanak perempuan ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Untuk menguji tahap perkembangan mereka, doktor ini meminta kanak-kanak tersebut untuk lukis sebuah bulatan. Namun yang memeranjatkan apabila ibu kanak-kanak tersebut memegang tangan anaknya untuk melukis bersama.
Selepas berkali-kali doktor ini meminta si ibu melepaskan tangan anaknya, baharulah dia menurut. Kemudian dia diminta untuk melukis garisan lurus pula. Sekali lagi ibunya mahu membantu. Doktor meminta si ibu membiarkan anaknya buat sendiri dan sebenarnya kanak-kanak perempuan itu mampu melakukannya dengan baik.
Apabila berkongsi tentang hal ini dengan isterinya, rupa-rupanya ibu ayah begini dipanggil sebagai LAWNMOWER PARENTS.
Jom lihat apakah kriteria LAWNMOWER PARENTS ini:
“Tak benarkan anak menangani konflik.”
“Ambil alih untuk selesaikan tugasan sekolah anak.”
“Tak benarkan anak naik basikal, takut cedera.”
“Sanggup bertengkar dengan guru anak.”
Kesannya? Anak tak ada kemahiran mengurus dan menyelesaikan masalah hidup.
Berpada-padalah ketika kita membantu anak ketika mereka perlu menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah. Anak-anak mempunyai potensi mereka yang tersendiri dan perlu mendapat sokongan kita untuk membantu mereka berjaya. Lebihkan galakan bukan bantuan supaya mereka sentiasa berpeluang untuk berfikiran secara kreatif.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Anak Obses Pada Sesuatu Ada Tempoh Waktunya, Biarkan Saja Asal Tak Jejas Rutin!
Pelik bila melihat anak kita terlalu obses akan sesuatu misalnya patung dinasaur, anak patung Barbie dan sebagainya. Obsesi ini seakan sudah sebati dalam diri anak-anak kita. Berkepit 24 jam.
Menurut Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, obsesi atau minat yang mendalam akan sesuatu boleh mewujudkan rutin dalam diri si kecil sebagai titik permulaan untuknya belajar rutin yang lebih kompleks.
Menurutnya lagi, tak kira apa pun obsesi atau hobi si kecil, positifnya anak akan mempelajari struktur hidup dan mendapat keselesaan melakukan perkara yang biasa seperti pergi ke sekolah setiap hari persekolahan, duduk diam sambil memberi perhatian kepada cikgu, balik ke rumah dan membuat kerja sekolah, dan macam-macam rutin lagi termasuk beribadat, membersih diri, makan-minum dan tidur.
Kuasai Kemahiran
Jelas, tidak salah untuk papa dan mama menyokong obsesi si kecil. Paling tidak, kita orang dewasa perlu bersikap neutral mengenai obsesi atau minat berkenaan sambil memberi si kecil akan pendedahan kepada perkara-perkara lain yang pasti tidak kurang menarik. Tambahan pula, di sekolah kelak anak harus mempelajari pelbagai ilmu dan bukan hanya memfokus kepada bidang minatnya sahaja!
Para pengkaji pendidikan prasekolah/praformal juga mendapati ada beberapa kesan yang amat positif apabila kanak-kanak terobsesi atau menunjukkan minat yang amat mendalam akan sesuatu.
Antaranya, mereka akan menunjukkan tempoh tumpuan (attention span) yang makin lama, meningkatkan pengetahuan dan ketekunan diri, dan melihatkan kecenderungan yang lebih besar untuk bertanya dan mencari informasi baharu.
Di rumah, mama dan papa boleh menggunakan imaginasi sendiri untuk meluaskan hobi atau obsesi si kecil berkenaan. Tanya kepadanya soalan dan minta penjelasan untuk fakta yang dia tahu, kemudian ‘cabar’ si kecil untuk menggunakan imaginasi untuk memikirkan atau mencipta idea baharu pula. Nah, pemikiran si kecil anda bakal matang dengan cepat.
Obsesi Bukan Petanda Negatif
Obsesi yang terlalu kuat terhadap sesuatu hal juga boleh menjadi petanda keadaan autisme atau seorang anak kecil yang autistik. Akan tetapi, tanpa indikator autisme lain misalnya tidak mampu memberi fokus terlalu lama, tidak suka atau mengelak sentuhan, sukar menerangkan sesuatu hal dan tidak suka bercakap – tidak semestinya memberi petanda anak anda seorang yang autistik.
Namun begitu obsesi atau minat keterlaluan yang bernilai negatif seperti terlalu taksub dengan permainan video, tablet atau aplikasi mainan telefon pintar; suka akan perkara yang kotor atau jijik; amat minat kepada hal atau perlakuan yang lebih sesuai untuk orang dewasa, dan lain-lain lagi – perlakuan seperti ini harus dipantau dan cepat dikawal.
Seperkara lagi, penyelidikan sosio-saintifik mendapati bahawa si kecil lelaki umumnya lebih berkemungkinan untuk memfokus kepada sesuatu obsesi atau hobi berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Namun, perlu saya tekankan sekali lagi, dunia kanak-kanak pada usia pendidikan praformal 0 hingga 6 tahun penuh perubahan dan perkembangan.
Seperti kebanyakan fasa pada peringkat usia ini, obsesi atau hobi kanak-kanak biasanya akan pudar dan berubah-ubah sejajar dengan masa. Pada masa yang sama, siapa tahu kerana sokongan dan dorongan papa dan mama, si kecil anda betul-betul dapat menjadi seorang Doktor Pakar, Saintis Entomologi atau Chef Profesional apabila dewasa nanti?
Semua ini nanti hasil daripada hobi, minat yang mendalam dan obsesinya yang amat keterlaluan pada usia pendidikan praformalnya suatu masa dahulu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bedak Sejuk Campuran Beras Pulut, Kunyit & Kulit Kayu Manis, Mama Yang Ada Masalah Kulit Boleh Cuba
Bedak Sejuk Campuran Beras Pulut, Kunyit & Kulit Kayu Manis, Mama Yang Ada Masalah Kulit Boleh Cuba
Bagi mama yang mengalami masalah kulit seperti jerawat dan kulit kusam, bolehlah cuba ramuan bedak sejuk yang menggunakan beras pulut, kunyit dan kulit kayu manis. Bedak sejuk memang sejak dari dahulu lagi menjadi amalan nenek moyang kita. Ia mampu merawat kulit wajah berjerawat di samping menjadikan kulit wajah lebih halus dan anjal.
Jerawat memang boleh dikatakan ‘musuh’ utama kulit wajah. Sesiapa sahaja yang mengalami masalah jerawat pasti akan berasa kurang keyakinan diri. Apabila jerawat mula menghinggapi kulit wajah, solekan setebal mana pun tidak mampu menyembunyikannya.
Apa kata anda cuba bedak sejuk versi cara cepat dan mudah. Hanya menggunakan tiga bahan sahaja. Boleh buat untuk stok dan kemudian simpan dalam peti sejuk. Tidak sesuai simpan di luar, bimbang berbau atau pun berkulat.
BAHAN-BAHAN:
Beras pulut
Kunyit hidup
Kulit kayu manis
CARA-CARA MEMBUAT:
1. Basuh beras pulut dan rendamkan semalaman atau sejam (ikut mana kita suka)
2. Buang kulit kunyit (kuantiti kunyit ikut kesesuaian dengan beras pulut)
3. Kisar kering beras pulut bersama kunyit (jangan dicampur dengan air)
4. Campurkan kulit kayu manis. Jangan terlalu banyak. Takut panas muka. Boleh guna setengah sudu kecil. Kemudian kaccau hingga sebati.
5. Kulit kayu manis ikut suka sama ada hendak tumbuk atau pakai serbuk yang sedia jual di kedai.
6. Simpan di dalam bekas. Tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk. Barulah tahan lama
7. Apabila hendak pakai, ambil sedikit, barulah campur dengan sedikit air.
BERIKUT LANGKAH DEMI LANGKAH MEMBUAT BEDAK SEJUK VERSI CEPAT DAN MUDAH:
Kisar semua bahan dengan kaedah kisar kering ikaitu tanpa dicampur dengan air.
Simpan di dalam bekas yang tertutup dan kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.
Ambil sedikit untuk digunakan.
Campurkan dengan sedikit air.
Sapukan rata pada seluruh kulit wajah.
Sebenarnya kita boleh mempelbagaikan ikut kesesuaian kulit muka kita. Ada orang suka campur madu dan asam jawa. Boleh jugak buat masker dengan putih telur. Dan tiga bahan ini juga kita boleh olah buat skrub badan juga.
Apa yang menarik tentang bedak sejuk kunyit + kulit kayu manis ini? Sebenarnya ia boleh membantu untuk mengecutkan jerawat, menegangkan kulit wajah dan menghilangkan gatal-gatal resdung pada kulit muka.
Kunyit memiliki sifat antikeradangan dan antioksidan yang penting untuk mengubati masalah kulit. Menggunakan kunyit sebagai pupur wajah bukan saja dapat meredakan keradangan akibat jerawat, malah mampu mengecutkan jerawat dan mengurangkan kemunculannya.
Sumber kredit: Hanie Inara via Masak Apa Hari Ini (MAHN)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Awas! Anak Tindik Telinga Terlalu Awal Berisiko Tinggi Kena Jangkitan Kuman. 4 Tips Ini Boleh Elak Bernanah
Tindik telinga adalah satu kebiasaan dalam masyarakat kita. Tapi tahukah anda yang tindikkan anak terlalu awal boleh menyebabkan risiko tinggi terjadinya jangkitan kuman.
Anting-anting merupakan perhiasan yang lazim digunakan oleh wanita di seantero dunia. Bagi membolehkan wanita memakai anting-anting, mereka perlu ditindik pada bahagian cuping telinga terlebih dahulu.
Lazimnya, ibu bapa akan menindik telinga anak mereka seawal usia mereka lagi. Namun begitu, ramai yang tidak tahu akan pelbagai risiko terhadap kesan tindikan ini. Artikel ini akan mengupas lebih lanjut mengenai perbuatan menindik telinga bayi dan merungkai sama ada perbuatan ini selamat atau tidak.
Bilakah waktu paling sesuai untuk menindik telinga bayi?
Ada ibu bapa memilih untuk menindik bayi ketika mereka masih bayi dan ada juga yang memilih untuk melakukannya apabila anak mereka sudah menginjak usia kanak-kanak. Perihal ini sebenarnya bergantung kepada keputusan ibu bapa itu sendiri. Namun demikian, terdapat beberapa risiko yang akan dialami sekiranya bayi ditindik terlalu awal.
Menindik telinga anak anda ketika masih bayi akan menyebabkan mereka lebih mudah mendapat infeksi. Ini kerana mereka masih belum mempunyai sistem imuniti yang kuat. Menurut Wendy Sue Swanson yang merupakan pakar pediatrik di Seattle Children’s Hospital, Amerika Syarikat, usia yang paling sesuai untuk anak anda ditindik adalah 6 bulan ke atas.
Sekiranya anda inginkan prosedur ini dilakukan dengan selamat dan mengikut kemahuan anak anda sendiri, anda disarankan untuk menunggu sehingga anak anda berumur sekurang-kurangnya 10 tahun. Ini kerana, pada ketika ini mereka sudah boleh berfikir dengan bijak dan mampu menjaga kesihatan telinga mereka sendiri seusai ditindik.
Risiko menindik telinga bayi
Prosedur menindik telinga ini dilakukan dengan mencucuk jarum sepanjang 12 hingga 18 cm ke dalam cuping telinga bagi menebuk lubang padanya. Usai lubang ditebuk, sepasang subang akan dimasukkan ke dalamnya.
Perlu diberi perhatian adalah kesan daripada ini akan menyebabkan koyakan pada bahagian cuping telinga. Koyakan ini akan menyebabkan:
- Luka dan pendarahan
- Pembengkakan
- Kegatalan
- Reaksi alahan terhadap jarum atau anting-anting yang menyentuh kulit
- Mendapat infeksi kuman seperti nanah
- Membentuk parut atau keloids
Jika risiko-risiko ini terlihat semakin teruk, segera bawa anak anda berjumpa doktor. Doktor mungkin akan memberi antibiotik. Jika terdapat sebarang reaksi, doktor akan menanggalkan anting-anting pada cuping telinga anak dan anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum memasangkannya kembali.
Penjagaan selepas menindik telinga bayi
Seusai prosedur menindik telinga, anda sebagai ibu bapa perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penjagaannya. Berikut merupakan antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:
- Jauhkan produk seperti minyak wangi, minyak rambut, syampu dan lain-lain produk berbahaya daripada anting-anting.
- Pastikan baju atau rambut anak anda tidak menganggu atau terlekat pada anting-anting yang dipakai.
- Elakkan anak anda daripada berenang di sungai atau laut sekurang-kurangnya dua minggu selepas menindik telinga bagi mengelak dijangkiti bakteria.
- Tanggalkan anting-anting anak anda jika mereka melakukan aktiviti sukan yang memerlukan helmet kerana ia akan memberi tekanan terhadap telinga mereka.
Selepas 6 bulan, anak anda sudah bebas untuk melakukan aktiviti kegemaran mereka semula. Namun begitu, jika anda juga boleh mempertimbangkan untuk membalut atau menutup bahagian cuping telinga mereka menggunakan plaster untuk melindunginya.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI