
Macam-macam gelagat anak kecil yang boleh mencuit hati! Kalau kebiasaannya ibu ayah yang menulis surat memaklumkan ketidakhadiran anak ke sekolah, lain pula kisah seorang murid ini apabila dia mengambil inisiatif menulis sendiri surat untuk ustazah yang juga guru kelasnya.
Bukan sekadar memaklumkan tidak hadir ke sekolah, si kecil ini siap menjelaskan sebab ketidakhadirannya, lokasi yang ingin dikunjungi bersama keluarga dan bila dia akan kembali.
Lebih mencuit hati, surat tidak hadir sekolah tersebut ditulis menggunakan tulisan tangan kanak-kanak yang comel, lengkap dengan ejaan yang dibetulkan serta penggunaan pen berwarna merah dan hitam.

Tulis Sendiri Surat Tidak Hadir Sekolah Untuk Ustazah,
Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna @_nisa.khai, surat tulisan tangan seorang murid bernama Sara Hannah mencuri perhatian kerana gelagat comelnya memaklumkan ketidakhadiran ke sekolah.
Perkongsian tersebut turut disertakan dengan kapsyen:
“Surat makluman tidak hadir dari ibu bapa ❌
Surat makluman tidak hadir dari murid ✅”
Dalam surat bertarikh 16 November 2026 itu, si kecil berkenaan memulakan ayat dengan memaklumkan kepada ustazah bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah pada keesokan harinya.
“Ustazah, esok saya tak datang. Sebab saya ikut mak dan ayah saya.”
Dia kemudian menjelaskan bahawa keluarganya akan ke Cameron Highlands, Pahang, sambil menyebut kakaknya turut mengikuti perjalanan tersebut.
Paling menghiburkan, si kecil ini turut memaklumkan bahawa dia tidak akan hadir ke sekolah sehingga hari Jumaat.
Gelagat Sara Hannah menulis sendiri surat tidak hadir sekolah ini memang mencuit hati. Siap dengan penjelasan tentang percutian keluarganya, seolah-olah mahu memastikan ustazah tahu ke mana dia akan pergi sepanjang tidak hadir ke sekolah.

Siap Cerita Bulan Disember Nak Pergi Indonesia Pula!
Belum habis dengan cerita ke Cameron Highlands, Sara Hannah turut berkongsi perancangan keluarganya untuk bulan berikutnya.
“Nanti Disember saya pergi Indonesia, pergi Kalimantan kot.”
Aduhai, comelnya! Bukan sahaja memaklumkan ketidakhadiran kali ini, malah perancangan perjalanan bulan depan pun sudah diberitahu kepada ustazah.
Menariknya, pada bahagian hadapan surat tersebut, si kecil ini siap menulis tajuk “Surat Untuk Ustazah Khairrunisa” bersama namanya sendiri.
Beberapa perkataan turut dipadam dan dibetulkan sebelum dia memilih tajuk “Surat Tidak Hadir”, lengkap dengan garisan beralun sebagai hiasan.
Walaupun tulisannya belum begitu kemas dan terdapat beberapa kesalahan ejaan, jelas kelihatan kesungguhan si kecil ini menyiapkan surat untuk gurunya.
Melihat cara Sara Hannah menyusun cerita dalam surat tidak hadir sekolah tersebut, memang nampak betapa bersungguh-sungguhnya dia mahu menyampaikan segala maklumat kepada ustazah. Daripada sebab tidak hadir hinggalah rancangan bercuti bulan berikutnya, semuanya mahu diceritakan. Comel!

Tulisan Comel Jadi Kenangan Manis
Di sebalik gelagat yang menghiburkan ini, usaha Sara Hannah menulis surat sendiri sebenarnya sesuatu yang wajar dihargai.
Aktiviti menulis seperti ini dapat membantu kanak-kanak membina keyakinan, menyusun idea dan melatih kemahiran bahasa sejak kecil.
Ibu ayah juga boleh menggalakkan anak menulis nota ringkas atau surat sebagai latihan, sambil membimbing mereka memperbaiki ejaan dan susunan ayat.
Tak semestinya perlu menulis surat yang panjang atau menggunakan ayat yang sempurna. Kadangkala, nota ringkas yang ditulis dengan bahasa sendiri pun sudah cukup untuk memberi peluang kepada anak-anak meluahkan apa yang ingin disampaikan.
Malah, apabila anak-anak berani mencuba menulis sendiri, ibu ayah boleh menjadikan pengalaman itu sebagai peluang untuk memberi galakan. Kesalahan ejaan atau tulisan yang kurang kemas boleh diperbaiki sedikit demi sedikit tanpa mematahkan semangat mereka.
Apa pun, memang comel sungguh surat Sara Hannah ini! Walaupun ringkas dan penuh dengan pembetulan, kejujuran serta kesungguhannya menyampaikan maklumat kepada ustazah pasti membuatkan sesiapa yang membaca tersenyum.
Ibu ayah pula, pernah tak anak-anak tulis surat atau nota sendiri yang buat anda tak kering gusi?
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: @_nisa.khai

sekarang!
