Jadi isteri dan ibu ni bukan tugas mudah, baik surirumah dan juga yang bekerja. Dari awal pagi sampai ke waktu malam nak tidur, kerja kat rumah tak pernah habis. Paling happy bila suami bantu tanpa disuruh.
Tak payah bagi kemewahan itupun dah cukup buat isteri happy. Tapi kalau ada rezeki lebih nak kongsi pun tak salah, untuk yang tersayang kan. Kadang isteri bila penat, dia taknak mengadu, buat sahaja apa yang perlu. Tapi ada ketikanya bila ada yang menegur tak kena ‘timing’ rasa macam tak dihargai.
Suami kena cakna, kena tahu bila isteri perlukan pertolongan, tak perlu disuruh, tak perlu diberi salinan panjang apa yang perlu dibuat, itu sudah cukup buat isteri gembira, bangun tidur pun senyum sahaja.
Urus Rumah Tangga, Nampak Remeh Tapi Penat
Nampak remeh tapi percayalah kerja urus rumah tangga ni SANGAT MEMENATKAN. Tak kena gaya, boleh jadi stress. Ini yang saya alami hingga berlaku perang dingin dengan Surihati.
Satu hari tu, bila sampai rumah, saya tengok pinggan mangkuk bersusun dalam sinki.
“Kenapa tak basuh pinggan ni?”
Soal saya dengan nada tinggi dari biasa. Masa tu Surihati pun tak cakap banyak, dia jawab satu patah perkataan je, “Sorry.”
Sepanjang malam tu dia hanya diam saja. Muka tak ada perasaan. Selesai semua tugas, dia terus naik tidur.
Baru saya sedar. Rupanya saya dah buat kesilapan besar.
Dah banyak kali dah jadi. Surihati saya tak menang tangan uruskan rumah tangga. Sebagai isteri dan ibu yang bekerja, penat kerja tak habis lagi, sambung tugas surirumah pulak.
Kadang-kadang, tak sempat habis kerja rumah lagi, dia dah tertidur.
Lama-lama, saya nampak dia tak gembira.
Bila ingat balik perang dingin tu, saya terbayang, boleh jadi bila dia cakap ‘sorry’ tu, bermaksud,
“Tak tahu ke aku penat nak hadap kerja rumah ni seorang diri. Buat tu buat ni. Tak boleh ke sama-sama buat kerja rumah ni?”
Allahu. Sungguh saya terlepas pandang. Ya, basuh pinggan tu tak susah. Tapi urus rumah tangga tu bukan sekadar basuh pinggan.
Ads
Lepas kejadian tu, saya cuba bantu mana yang patut. Tak boleh buat semua, saya buat apa yang saya reti.
Selalu kalau pinggan mangkuk, saya ambil tanggungjawab untuk selesaikan. Saya cakap siap-siap,
“Pinggan semua tu tinggalkan. Nanti Papa settlekan.”
Sekali sekala saya akan masak. Saya minta dia rilek-rilek je bersama anak-anak.
Tak susah nak urus rumah tangga kalau masing-masing saling kerjasama.
Suami faham dan peka dengan keadaan isteri.
Jangan tunggu isteri minta tolong baru nak tolong. Atau tunggu isteri merajuk dulu. Tolong peka pada keadaan. Mereka tak minta banyak pun. Jangan tahu nak marah, nak kondem saja.
Beri pertolongan tanpa di minta.
Kalau nampak ada pinggan mangkuk dalam sinki, tolong basuhkan. Kalau nampak baju dalam mesin basuh belum jemur, tolong ambil penyangkut dan jemurkan.
Kalau nampak ruang tamu bersepah dengan mainan anak-anak, tolong kemaskan dan sapu. Tong sampah dah penuh, tolong buangkan.
Buang ego dan tak berkira.
Tak jatuh pun maruah suami bila buat kerja rumah. Manusia paling mulia Nabi (baca selawat) pun sama-sama dalam bab rumah tangga, apa lagi kita. Jangan berkira.
Bahagikan tugas.
Suami isteri yang bijak, mereka dah siap-siap bahagikan tugas masing-masing termasuk anak-anak. Jadi tiap kali masa bertugas, semua dah tahu apa yang perlu dibuat.
Kerjasama
Ini paling penting. Sama-sama duduk, sama-sama jaga. Tak adil serah bulat-bulat kepada isteri sahaja. Isteri pun ada had limit juga. Suami la yang kena bantu.
Ads
Betul,
Suami pun penat dengan kerja di pejabat yang tak habis-habis. Tapi rumah kita tu, bukan tanggungjawab isteri seorang. Tanggungjawab bersama.
Bila sama-sama buat, kerja jadi ringan. Kerja jadi cepat. Hati pun senang. Isteri lebih ceria.
Kalau bukan suami gagah perkasa yang perlu bantu isteri, siapa lagi?
Superman?
Andalah Superman itu.
Silakan follow —> Azlan Noor untuk baca posting-posting terbaru setiap hari. TQ.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini tular perkongsian seorang isteri di laman sosial di mana dia perlu membuat Whatsapp Group semata-mata untuk memberitahu suami tentang perbelanjaan harian kerana suami tidak percaya ke mana duit yang diberi pergi.
Pempengaruh media sosial, Dr. Say turut memberikan pandangan dalam isu ini di mana diatidak bersetuju jika seorang suami terlalu berkira dengan isterinya.
Rupa-rupannya ramai pasangan kat luar sana yang buat whatsapp group sesama mereka untuk upload resit bukti pembelian. Kalau resit tu suami nak claim LHDN sy faham tapi kalau resit tu untuk dijadikan bukti yg isteri tak spend sana sini, kat mana kepercayaan seorang suami kepada isteri? Kalau suami yang berkira duit ke mana ni, percayalah isteri pasti tak dapat duit untuk keperluan diri.
Suami kalau tak berpendapatan tinggi, simple, bagilah duit poket mingguan tak tinggi sebab isteri kita tahu je how to manage apa yg diberi. Satu lagi, kalau kita berpendapatan lebih rendah daripada isteri kita, JANGAN SESEKALI CULAS TANGGUNGJAWAB kita memberi nafkah kepada mereka. Kalau kita rasa rendah diri bini earn more than kita, compensatelah by doing more work at home. Ini tidak, goyang telur pastu perli2 bini bergaji lagi tinggi, anjay. Sy sebagai lelaki pun malu baca message lelaki berkira macam ni.
Satu lagi kena ingat, pemberi rezeki yang mutlak adalah Allah SWT tapi antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT adalah jika kita sentiasa berlaku baik dengan isteri. Terus terang cerita sy takkan earn whatever im earning, living the life im living, achieve whatever i have achieved if not because of my wife. Jadi kepada suami luar sana, kalau kita rasa “apasal aku asyik sempit eh?”, “apasal hidup aku macam tak tenteram eh?”, “apasal duit salu tak cukup eh?” selain check hubungan kita dengan Dia, check juga hubungan kita dengan isteri. Last note, kalau ko tahu ko takleh commit to marriage, takleh commit being a husband, berkira tak tentu hala, stay single & jangan rosakkan wanita di luar sana, bebal.
Rata-rata warga maya turut berkongsi pengalaman yang sama malah ada yang takut untuk mendirikan rumah tangga disebabkan isu sebegini
Persoalan poligami sering dijadikan topik perbincangan yang sangat menarik untuk diperkatakan terutamanya dikalangan kaum lelaki tetapi sebaliknya tidak bagi kebanyakan wanita. Walaupun lazimnya wanita amat tidak menyukai poligami bahkan mereka menganggap bahawa poligami adalah salah satu dari perkara yang sangat mengerikan dalam perjalanan kehidupannya, namun terdapat wanita yang dapat menerima bahkan bersetuju dengan hukum syariat tersebut. Oleh yang demikian, kedapatan dalam masyarakat kita kisah isteri yang meminangkan seorang wanita lain sebagai hadiah untuk diberikan kepada suaminya.
Namun bagi lelaki yang telah berjaya berpoligami, ia sangat merasakan bahawa dirinya adalah orang yang paling bertuah dalam kehidupannya seolah-olah dunia ini adalah miliknya. Ini terungkap dalam kata-kata keramat Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee dalam lirik lagu madu tiga:
“ Hai senangnya dalam hati kalau beristeri dua, terasa dunia ana yang punya”.
Namun P.Ramlee dalam lirik seterusnya mengungkapkan sesuatu yang tidak betul dalam konsep berpoligami sehingga menimbulkan persepsi yang salah seterusnya merosakkan institusi poligami itu sendiri:
“ Mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang, tetapi jangan sampai hai pecah temberang”
Walaupun sekadar sebuah lagu untuk hiburan tetapi lirik tersebut banyak mendorong mereka yang berpoligami tetapi tidak secara telus. Menipu ramai pihak, sanggup berkahwin diluar Negara tanpa kebenaran atau nikah secara pernikahan sendiket. Asal tercapai apa yang dihajati, sehinggakan merosakkan institusi poligami, kehidupan menjadi berantakan, matlamat perkahwinan tidak tercapai, apatah lagi apabila perkahwinan tersebut tidak didaftarkan.
“Dari ibnu Umar, bahwa Ghailan bin Salamah Ats-Tsaqafi masuk Islam, sedangkan ia mempunyai sepuluh orang istri pada zaman jahiliyah, lalu mereka juga masuk Islam bersamanya, kemudian Nabi SAW memerintahkan Ghailan untuk memilih (mempertahankan) empat diantara mereka. (Hadis Riwayat Tirmizi).
Hadis tersebut di atas, membicarakan tentang Ghailan As-Tsaqafi yang mana sebelum masuk Islam mempunyai sepuluh orang isteri. Ketika ia masuk Islam ke sepuluh orang istrinya itu turut masuk Islam bersamanya. Oleh karena dalam Islam seorang laki-laki tidak boleh beristeri lebih dari empat, maka Nabi menyampaikan hadits di atas. Yakni, menyuruh atau memerintah mempertahankan empat diantara mereka dan menceraikan yang lainnya.
Hadis senada dengan riwayat di atas adalah sebagaimana juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad dari jalan yang berbeza, iaitu :
“Telah bercerita kepada kami Yahya bin Hakim; telah bercerita kepada kami Muhammad bin Ja’far; telah bercerita kepada kami Ma’mar; dari Az-Zuhri; dari Salim; dari ibnu Umar; berkata : Ghailan bin Salamah masuk Islam, sedangkan padanya ada sepuluh orang istri, maka Nabi SAW bersabda padanya ; “silahkan ambil (pertahankan) empat diantara mereka”. (HR. Ibnu Majah)
“Telah bercerita kepada kami Ismail; telah mengkhabarkan kepada kami Ma’mar dari Az-Zuhri, dari Salim, dari bapaknya, bahwa Ghailan bin Salamah masuk Islam, dan padanya ada sepuluh orang istri, maka Nabi SAW bersabda padanya; “pilihlah empat diantara mereka”. (HR. Ahmad)
Sifat lelaki
Setiap lelaki normal, memang menyimpan hasrat untuk berkahwin lebih daripada satu, sekalipun dia belum pernah diuji dengan perkahwinan . Sebenarnya, keharusan berpoligami di dalam Islam adalah diberi kepada pasangan yang mempunyai masaalah dengan perkahwinan yang sediaada. Kebanyakan sebab atau masaalah tersebut adalah berpunca dari pihak isteri seperti sebab kemandulan, sakit, gila, dan lain-lain. Dalam setengah-setengah keadaan pula, ia juga boleh berpunca dari suami, misalnya keinginan seksual suami yang terlalu tinggi sehingga isteri sediaada tidak mampu untuk memberi layanan sewajarnya, maka Islam memberikan jalan keluar dengan diharuskan berpoligami tetapi dengan syarat tertentu.
Adil Dan Mampu
Mampu berlaku adil dikalangan isteri-isteri dan berkemampuan memberikan nafkah zahir dan batin tetap ditagih dan menjadi syarat utama bagi suami yang ingin berpoligami. Syarat-syarat yang melayakkan seseorang lelaki itu berkahwin lebih dari satu dengan jelas telah dinyatakan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia iaitu:
ENAKMEN 2 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
BAHAGIAN II – PERKAHWINAN
Permulaan Kepada Perkahwinan
Seksyen 23. Poligami
(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.
(2) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.
(3) Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri Selangor seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri Selangor dan perkahwinan di luar Negeri Selangor seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri Selangor.
(4) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.
(5) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika
berpuas hati—
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
(6) Satu salinan permohonan di bawah subseksyen (4) dan iqrar yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas tiap-tiap isteri yang sedia ada.
(7) Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak puas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Mal (Negeri Selangor) [Enakmen 4/2003] 2003.
(8) Mana-mana orang yang membuat akad nikah bersalahan dengan subsekyen (1) hendaklah membayar dengan serta merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.
(9) Acara bagi akad nikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Negeri Selangor di bawah Enakmen ini.
(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan—
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.
Oleh yang demikian manisnya sesebuah bahtera perkahwinan akan dapat dirasai bukan sahaja dalam perkahwinan monogami tetapi juga poligami jika perkahwinan tersebut benar-benar menepati syarat dan kehendak syarak. Jika sebaliknya, ia bakal menjadi pahit seperti pahitnya hampedu…. maka dimanakah nikmat kebahagiaan dalam perkahwinan yang hendak dicari?
Penyakit 3T
Terdapat pula suami yang berkemampuan dan layak berpoligami tetapi mempunyai penyakit 3T ( Teringin Tetapi Takut ), iaitu takut dengan isteri tua. Kadangkala ada dikalangan mereka yang berseloroh: “ Bukan saya takut bini, bini tak takut saya”. Tidak dinamakan lelaki, walaupun takutkan bini tetapi akhirnya berkahwin juga di Selatan Thailand dan perkahwinan pula tidak didaftarkan. Begitu juga mereka yang memang tidak berkemampuan dari sudut nafkah tetapi berkahwin juga di selatan Thailand. Perkahwinan tidak didaftarkan. Hidup dalam keadaan ketakutan, nafkah terabai, tidak membuat giliran secara adil, bersembunyi-sembunyi, tidak telus dan akhirnya banyak menipu isteri dan orang lain.
Hikayat Payung Emas
Terdapat setengah suami yang ingin berpoligami, memperguna ungkapan “Payung emas” kepada isteri dimana kononnya jika isteri memberi izin kepadanya untuk berkahwin lagi, di akhirat nanti isteri bakal mendapat payung emas. Secara logiknya, apa manfaat payung emas dalam syurga, sedangkan semua benda di sana telah diciptakan Allah dari emas, mutiara, permata, yakut, marjan dan segala benda berharga.
Hak Suami
Di dalam Islam, keizinan isteri bukan menjadi syarat keharusan poligami tetapi ia hanya sebagai suatu kesempurnaan sahaja. Ada terdapat pula suami yang memperguna ayat al-Quran dari Surah an-Nisa’ ayat 3 tentang keharusan poligami kepada isteri tanpa dibaca dengan sempurna keseluruhan daripada ayat tersebut:
“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat….
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”
Takutlah amaran Rasulullah s.a.w
Sepatutnya apa yang perlu diketengahkan dalam masyarakat ialah amaran yang dinyatakan syarak jika tidak berlaku adil dalam berpoligami sebagaimana yang telah disebut oleh nabi s.a.w:
“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Hakikat Poligami
Poligami adalah syariat Islam yang merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Dari segi hukum berpoligami ia adalah harus dengan bersyarat. Syarat boleh berlaku adil dan berkemampuan. Keadilan pula adalah suatu perkara yang amat sukar untuk dilaksanakan. Di dalam surah yang an-Nisa’ ayat 129, Allah telah menyatakan:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri- isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan)”
Tekanan
Bagi mereka yang berpoligami, tekanan perasaan pasti berlaku bukan sahaja kepada isteri begitu juga suami. Bermula dengan kehidupan dan situasi yang baru , suami memerlukan kepada pertambahan perbelanjaan, mengurus masa, kebolehan dalam membuat perancangan, mengurus dan menyelesaikan setiap perkara dalam rumahtangga, melayan setiap kerenah anggota dalam keluarga, semuanya menjadikan seorang suami merasa keletihan. Sebab itu seorang yang berhasrat untuk berpoligami mesti berfikir sepuluh kali. Dia mestilah mempuanyai kekuatan dari sudut mental dan fizikal yang luar biasa disamping mesti mempunyai kesabaran yang tinggi serta tidak mudah strees.
Dijamin Undang-undang
Dalam berpoligami, isteri pertama yang dimadukan turut dilindungi undang-undang. Jika suami mempunyai alasan yang munasabah untuk berkahwin lagi, mahkamah pasti memberi keizinan. AUKI 1984 misalnya menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah untuk berbuat demikian. Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih di dalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.
Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi, maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Syarat berpoligami
Selain itu, mahkamah juga perlu berpuas hati tentang empat perkara sebelum kebenaran diberikan iaitu:
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandang kepada, hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana di- kehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak;
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ kepada isteri atau isteri- isteri yang sedia ada;
Prosedur Mahkamah
Beberapa tatacara undang-undang telah dilaksanakan di mahkamah syariah untuk permohonan poligami oleh pihak suami. Suami mestilah memfailkan permohonan tersebut di mahkamah Tinggi Syariah dimana suami sebagai plantif manakala isteri sediaada sebagai defendan. Bakal isteri dan wali akan dipanggil sebagai saksi. Isteri sedia ada akan dimaklumkan terlebih dahulu dan dipanggil hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan. Sekiranya isteri mempunyai alasan mengapa perkahwinan kali kedua suaminya itu tidak harus diteruskan, mahkamah akan meneliti dan akan membuat keputusan berdasarkan kenyataan kedua suami isteri itu. Kegagalan isteri selaku pihak defendan untuk hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali menyebabkan hakim akan membuat keputusan.
Nasihat Yang Arif
Kebiasaannya Hakim Syarie akan meneliti berdasarkan kepada empat perkara di atas dan memberi nasihat kepada suami yang ingin berpoligami tentang tuntutan adil terhadap isteri-isteri dan tanggungjawab yang akan dipikul kelak termasuk memberi nafkah. Beliau mestilah bersedia dan boleh berlaku adil terhadap isteri yang sedia ada, anak dan orang yang menjadi tanggungannya. Apabila Hakim berpuas hati dengan semua aspek yang melayakkan berpoligami dengan mengambilkira semua keterangan maka mahkamah akan mengeluarkan kebenaran berkahwin selepas 14 hari dari tarikh keputusan mahkamah
Suami Pengecut
Suami yang memilih untuk berkahwin sekali lagi tanpa kebenaran mahkamah haruslah bersedia juga untuk dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengamalkan poligami tanpa kebenaran. Sekiranya ini berlaku, pasangan tersebut telah melakukan dua kesalahan iaitu berkahwin di luar negara tanpa kebenaran mahkamah dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah yang masing-masing boleh didenda tidak lebih daripada RM1000 atau dipenjarakan selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Tujuan peruntukan undang-undang ini bukanlah untuk mengharamkan poligami yang dihalalkan Allah, tetapi adalah untuk membela nasib isteri sedia ada, anak-anak dan isteri baru. Telah banyak kes isteri diabaikan begitu sahaja apabila suami mengamalkan poligami. Kebanyakannya melibatkan isteri pertama, namun isteri kedua atau ketiga malah keempat turut berpotensi untuk diabaikan sekiranya suami adalah jenis lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Hakikat Sebenar
Sebenarnya bukan poligami yang bermasalah tetapi orang yang berpoligami itu yang bermasalah. Ini kerana Allah tidak menghalalkan sesuatu yang memudharatkan manusia. Masalah timbul dari segelintir orang yang mempraktikkan poligami, maka kita terus mengatakan bahawa poligami membawa masalah. Saban hari masalah yang kita baca di dada-dada akhbar tentang masaalah poligami adalah datangnya dari orang yang mengamalkan poligami yang tidak menepati syarak tetapi bukannya poligami itu sendiri. Ramai orang yang mengamalkan poligami berada dalam keadaan bahagia tetapi tidak diwar-warkan oleh media masa.
Disediakan oleh:
Ustaz Khairuddin Bin Haiyon
Penolong Pengarah Unit Penerangan & Penerbitan
Bahagian Dakwah JAIS
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajak Shiro didik anak gosok gigi sebelum tidur, “Suruh hembus nafas depan muka, kena ada bau ubat gigi.” Menjaga kesihatan gigi dan mulut anak adalah salah satu aspek penting dalam perkembangan mereka.
Salah satu tabiat paling utama yang perlu diterapkan sejak kecil ialah menggosok gigi sebelum tidur. Meskipun nampak seperti perkara kecil, amalan ini mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan keseluruhan anak dan perkembangan tabiat kebersihan mereka.
Begitulah yang dilakukan oleh ajak dalam mendidik anak-anaknya. Menggosok gigi sebelum tidur sangat dititik beratkan.
Hantaran Ajak di laman Instagramnya mengundang respon di kalangan warga maya.
Anak-anak dia semua kena train gosok gigi sebelum tidur. Tak boleh nak tipu tau, sebab dia suruh hembus nafas depan muka dia. Kalau tak ada bau ubat gigi kena gosok semula. – tulis Ajak di ruangan komen.
Apabila anak-anak makan dan minum sepanjang hari, sisa makanan dan bakteria terkumpul pada permukaan gigi. Jika tidak dibersihkan sebelum tidur, bakteria ini akan membentuk plak, iaitu lapisan nipis yang boleh mengakibatkan kerosakan gigi. Plak mengandungi asid yang boleh merosakkan enamel gigi dan menyebabkan karies atau gigi berlubang.
Menggosok gigi sebelum tidur dapat membantu membersihkan sisa makanan dan plak, mengurangkan risiko pembentukan karies gigi, serta menjaga kesihatan mulut anak dengan lebih baik.
Mengelakkan Bau Mulut
Apabila bakteria terkumpul dalam mulut, ia boleh menyebabkan nafas anak berbau tidak menyenangkan. Menggosok gigi sebelum tidur dapat mengurangkan jumlah bakteria dalam mulut dan membantu anak bangun dengan nafas yang segar pada keesokan harinya.
Melindungi Kesihatan Gusi
Selain daripada gigi, gusi anak juga boleh terjejas jika penjagaan mulut tidak diambil berat. Plak yang tidak dibersihkan boleh merebak ke kawasan gusi dan menyebabkan keradangan, yang seterusnya boleh menyebabkan penyakit gusi seperti gingivitis. Dengan rutin menggosok gigi sebelum tidur, anak-anak dapat menjaga kebersihan gusi dan mengelakkan masalah gusi yang lebih serius pada masa akan datang.
Membina Tabiat Kebersihan yang Baik
Mendidik anak menggosok gigi sebelum tidur sejak kecil bukan sahaja membantu menjaga kesihatan mulut, tetapi juga membina tabiat kebersihan yang baik dalam jangka panjang. Apabila rutin ini dilakukan setiap hari, ia menjadi satu kebiasaan yang akan dibawa hingga dewasa, membantu anak-anak menjaga kesihatan diri dengan lebih baik sepanjang hayat mereka.
Mengelakkan Lawatan ke Klinik Gigi yang Kerap
Kerosakan gigi dan masalah kesihatan mulut boleh menyebabkan lawatan ke klinik gigi yang kerap. Ini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada anak, tetapi juga boleh menjadi pengalaman yang menakutkan bagi sesetengah kanak-kanak. Dengan mengamalkan rutin menggosok gigi sebelum tidur, ibu bapa dapat membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan mulut yang serius, sekaligus mengurangkan keperluan lawatan kecemasan ke doktor gigi.
Jadikan Rutin yang Menyeronokkan
Kanak-kanak cenderung untuk lebih mudah menerima sesuatu yang menyeronokkan. Jadikan aktiviti menggosok gigi sebagai satu pengalaman yang positif dan menyeronokkan dengan cara bermain muzik atau memberi ganjaran kecil setelah mereka selesai menggosok gigi.
Berikan Contoh yang Baik
Kanak-kanak sering kali mencontohi tingkah laku ibu bapa. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menggosok gigi bersama anak sebelum tidur. Ini akan membantu anak memahami bahawa menggosok gigi adalah sebahagian daripada rutin harian yang penting.
Gunakan Berus Gigi dan Ubat Gigi yang Menarik
Pilih berus gigi dengan reka bentuk atau warna yang menarik untuk anak-anak. Berus gigi yang mempunyai karakter kegemaran anak mungkin boleh menjadikan mereka lebih teruja untuk menggunakannya. Selain itu, pilih ubat gigi dengan perisa yang sesuai untuk kanak-kanak, seperti perisa buah-buahan, agar mereka lebih suka menggosok gigi.
Tetapkan Peraturan yang Konsisten
Konsistensi adalah kunci untuk membentuk tabiat yang baik. Pastikan anak-anak menggosok gigi setiap malam tanpa pengecualian, walaupun mereka merasa letih atau tidak mahu melakukannya. Dengan peraturan yang tetap, anak-anak akan mula memahami bahawa menggosok gigi adalah satu keperluan, bukan pilihan.
Gunakan Buku atau Video Pendidikan
Buku-buku atau video pendidikan tentang pentingnya menggosok gigi boleh menjadi alat yang berguna untuk membantu anak-anak memahami mengapa mereka perlu menjaga kebersihan gigi mereka. Banyak bahan pendidikan yang direka khusus untuk kanak-kanak dalam format yang mudah difahami dan menarik.
Mengajar anak menggosok gigi sebelum tidur bukan sahaja membantu menjaga kesihatan mulut mereka, tetapi juga membentuk tabiat kebersihan yang baik yang akan bertahan sepanjang hayat. Tabiat ini membantu mencegah masalah gigi, menjaga kesihatan gusi, dan mengelakkan pelbagai masalah kesihatan yang lebih serius.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mengamalkan rutin ini. Dengan pendekatan yang menyeronokkan dan konsisten, anak-anak dapat membiasakan diri menggosok gigi sebelum tidur, sekaligus meletakkan asas kepada kesihatan mulut yang baik sepanjang hidup mereka.
Ekzema anak berkait dengan asma dan resdung ibu bapa melalui fenomena Atopic March, satu perjalanan alahan yang boleh bermula sejak bayi jika tidak dikawal awal.