Anak yang sering kali diperdengarkan bacaan al-Quran sejak kecil berpotensi untuk celik al-Quran dengan mudah. Amalan ini jika dibuat berterusan sangat elok.
Jadikan amalan ini kebiasaan dalam diri anak-anak. Apa yang dikongsikan oleh Puan Siti Aminah Sulaiman kepada dua anaknya sehingga boleh menghafaz al-Quran boleh dilakukan oleh semua ibu bapa kepada anak masing-masing.
InshaAllah saya akan kongsikan ilmu bagaimana saya ajar anak saya Nursolehah menghafaz al-Quran dari bayi. Ilmu ini sangat MAHAL dan biasanya saya hanya kongsikan ketika seminar saja.
Tapi hari ini saya kongsikan buat tatapan semua supaya setiap ibu ayah dapat melahirkan anak yang CINTA al-Quran.
Pada pendapat saya kita tak perlu jadi seorang Hafizah atau Hafiz al-Quran baru kita layak untuk ajar anak hafaz al-Quran.
Melihat kepada latar belakang saya sendiri dari bidang Audiologi dan suami dari bidang medical, kami juga mampu didik kedua anak kami hafaz al-Quran dari kecil (dengan Izin Allah). Yang penting ialah TAHU kaedah yang betul
Ini pendekatan yang saya gunakan:
1) MULA SEAWAL YANG MUNGKIN
Mengajar anak menghafaz sebaiknya bermula seawal yang mungkin dari anak masih bayi lagi.
Setiap kali saya menyusukan anak saya Nursolehah, saya akan pastikan diri saya mengalunkan surah-surah pendek yang saya hafaz.
Cukuplah dengan kita bacakan surah-surah lazim seperti al Fatihah, 3 Qul dan surah pendek lain dari Juz Amma.
Saya lebih gemar gunakan suara saya sendiri memandangkan sepanjang 9 bulan anak berada di alam rahim, dia sudah ‘kenal’ dengan suara ibunya.
Anak yang baru lahir paling selesa dengan suara ibunya.
2) KETIKA ANAK BERUMUR 1 TAHUN 6 BULAN
Ads
Pada usia Nur solehah menjangkau 1 tahun 6 bulan, saya mula ajar dia untuk sebut satu persatu ayat-ayat al Quran.
Kenapa pada usia 1 tahun 6 bulan (18 bulan)?
Saya lihat kepada carta perkembangan bahasa, purata bayi normal yang berumur 18 ke 24 bulan boleh menghasilkan 2-3 suku kata perkataan.
Contoh 2 suku kata ialah:
/a-ba / / a-ma / /a-tok/
Jadi apa yang saya buat dirumah ialah saya pecahkan sebutan ayat-ayat dalam surah kepada 2-3 suku kata, dan saya lihat anak saya boleh ikut walaupun pelat pada awalnya.
Setiap kali saya baca, saya beri peluang anak ulang semula apa yang dia dengar.
Tipsnya ialah pastikan anak MESTI nampak pergerakan mulut kita supaya dia boleh tiru sebutan ayat al-Quran.
Contoh untuk Basmallah:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Pecahkan kepada 2-3 suku kata:
Ads
Bismil-lah / hir-rah-mah/ nir-ra-him/
KESILAPAN BESAR yang biasa kita buat ialah bila kita bacakan ayat penuh kepada anak (tanpa pecahkan kepada suku kata),
Maka apa yang berlaku ialah anak tidak dapat ikut sebutan kita kerana anak hanya mampu hasilkan 2 suku kata saja pada umur ini.
Menggunakan kaedah ini,
dengan Izin Allah Nursolehah sudah mampu hafaz dengan lancar al Fatihah, 3 Qul ,Al Kafirun, Al Bayyinah, Al Masad dan surah dalam Juz Amma.
Boleh lihat pada video bacaan Surah AL Bayyinah.
3) KERAP PERDENGARKAN BACAAN AL-QURAN
Apabila anak berusia 2 tahun saya kerap pasangkan dia murattal al-Quran.
Ads
Saya hanya download saja apps Juz Amma Mishary Alafasy MP3 di phone. Kualiti bacaannya sangat bagus.
Saya cadangkan yang baru hendak bermula ajar anak hafaz untuk download apps ini.
Pastikan kita perdengarkan anak dengan bacaan dari Qari yang sama, kerana anak menghafaz dengan intonasi dan lengguk Qari yang mereka kerap dengar, maka jika kita kerap tukar Qari akan menganggu daya ingatan anak pada surah yang sedang mereka hafaz.
4) PASTIKAN SELALU SEMAK BACAAN ANAK
Ingatan anak kecil ni ibarat “sponge”. Mereka sangat mudah ingat apa yang mereka kerap dengar.
Tetapi mereka juga sangat cepat lupa kerana anak yang menghafaz melalui kaedah Audio ini selalunya simpan maklumat di Short Term memory.
Short term memory ini sifatnya mudah ingat tapi cepat hilang.
Maka untuk kita kekalkan hafazan mereka, penting untuk kita selalu semak semula hafazan anak.
Pengalaman saya sendiri ketika ajar Nur Solehah menghafaz, jika saya tertinggal untuk semak bacaan dia dalam masa 2 minggu saya dapati banyak ayat yang dia sudah lupa atau tertukar dengan surah lain.
Jangan risau atau lemah semangat bila anak lupa apa yang mereka hafaz, anggaplah ianya peringatan dari Allah untuk kita lebih dekat dengan al-Quran.
Ini salah satu tanda kasih sayang Allah pada kita, melalui anak-anak kita sendiri.
Alhamdulillah kini pada usianya 4 tahun dia sudah menghafaz Surah Taha bersama dengan abangnya dan juga surah Al Kahfi.
Semoga perkongsian kali ini memudahkan pembaca yang ingin mengajar anak sendiri hafaz al-Quran dirumah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkembangan fizikal motor kasar dan halus anak 3 tahun amat pesat. Pada usia ini, si kecil mengalami peralihan daripada anak kecil kepada kanak-kanak yang semakin suka berdikari.
Daripada suka bermain sendirian, kini mereka lebih tertarik untuk berkawan dengan orang sekeliling. Berikut adalah perkembangan yang biasanya dicapai oleh si manja tiga tahun yang boleh dijadikan panduan kepada mama dan papa.
MOTOR KASAR
Seiring dengan pertumbuhan tubuhnya, anak berusia tiga tahun juga semakin menguasai pergerakan dan motor halus seperti di bawah;
Boleh mengayuh mainan beroda seperti basikal roda tiga (atau basikal dengan tara penyokong) dengan perlahan di atas permukaan lantai yang rata.
Boleh menyeimbangkan badan dengan baik. Hal ini meningkatkan keyakinan dirinya untuk berjalan pantas dan berlari.
Boleh mendaki cenuram atau batas kecil.
Boleh melompat daripada anak tangga kedua ke bawah dengan kedua-dua kaki.
Boleh berdiri dan berjalan dengan hujung kaki untuk beberapa saat tanpa memijak menggunakan tapak kaki.
Boleh menari apabila dipasang lagu rancak dengan cara meliukkan tubuh dan menggoyangkan kaki dan tangan.
Naik ke kerusi makan sendiri dan mampu mengubah kedudukan untuk mendapatkan posisi yang selesa.
Giat meneroka permainan di taman permainan.
Suka melompat di atas trampolin atau tilam spring.
Boleh naik dan turun tangga seperti orang dewasa dengan berpegang kepada rel.
Berupaya menyepak dan menangkap bola.
Cuba melakukan pergerakan fizikal yang melibatkan dua perkara dalam satu masa seperti membawa buku sambil menaiki tangga dengan memegang.
Boleh melompat walaupun tidak tinggi dengan sebelah kaki sebanyak dua atau tiga kali dengan memberikan tumpuan pada setiap lompatan.
MOTOR HALUS
Kemahiran motor halus si kecil termasuk kemahiran koordinasi tangan-matanya. Berikut ialah antara perkara yang boleh dilakukan oleh si manja tiga tahun yang
Memegang objek tanpa goyang dan mengalihkannya dengan cara menggenggam tanpa jatuh.
Berupaya membina menara kecil menggunakan kiub pembinaan (kira-kira lapan hingga sembilan kiub)
Menggunting kertas bersaiz besar.
Boleh menyalin dengan tepat atau melakar garisan yang membentuk huruf-huruf secara samar-samar.
Boleh memegang sudu dan garpu serta cawan sendiri.
Boleh mengadun menggunakan senduk, menggelek doh biskut dan menerap biskutmenggunakan acuan.
Mula menyukai aktiviti yang melibatkan objek lebih kecil seperti jigsaw puzzle, bermain manik dan sebagainya.
Tangannya berupaya menggunakan kayu pencanai untuk mencanai doh tanah liat.
Boleh membuka butang bersaiz besar.
Boleh memegang berus giginya ke arah mulut ketika memberus gigi (apabila anda menunjukkan cara yang betul kepadanya).
Sekiranya dia masih tidak menunjukkan perkembangan yang sepatutnya, mama dan papa boleh lah melakukan aktiviti rangsangan dan sensori yang bersesuaian menerusi alat permainan atau bermain di taman permainan. Rujuk kepada doktor sekiranya anda merasakan si kecil tidak menunjukkan kemajuan fizikal yang tidak selari dengan usianya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak yang sedang membesar memang akan mempunyai tenaga lebih atau dalam bahasa mudahnya aktif. Tak kira siang atau malam.
Sampai satu tahap ibu bapa boleh jadi geram dan akhirnya anak pula jadi mangsa. Bagi memastikan keadaan ini terkawal, ibu bapa kena tahu apa puncanya.
Kadang-kadang anak terlebih aktif ini kerana beberapa sebab dan mereka tak boleh nak keluarkan sepenuhnya tenaga yang ada dalam diri mereka sehingga mereka nampak sukar dikawal.
Berikut perkongsian dari Puan Ezzaty Suffian mengenai caranya menangani anak yang terlebih hati pada waktu tertentu dan mungkin boleh jadi panduan ibu bapa.
Zaty paling sakit kepala kalau Fayyadh tiba-tiba ada hari yang dia jadi aktif terlebih. Lagi-lagi bila dah malam lepas Maghrib. Patutnya itu waktu dah ready nak tidur.
Inflatable horse/animals : pun akan buatkan anak terpaksa guna sepenuh tenaga dia untuk naik dan lompatkan kuda ni
Tapiii, dia punya berlari-lari, melompat-lompat satu rumah. Dia mengusik Faqeeha sampai menangis. Dia menjerit, ketawa mengilai bukan main.
Fuhhh, waktu macam ini jangan haraplah dia nak dengar kita larang. Ini bukan kisah terkena gangguan ke apa. Tapi inilah dia salah satu tanda energi negatif anak tak keluar habis dari tubuh badan dia.
Set gelongsor. Fayyadh umur 4 tahun pun masih sakan lagi main gelongsor. Pastu dah penat terus dia tertidur macam tu je.
Apa punca anak jadi lebih aktif daripada biasa?
1) makan malam (dinner) lewat terutamanya lepas Maghrib atau pukul 8 malam dan ke atas.
2) anak tidur lama (lebih dari 2 jam sekali tidur) pada waktu siang.
Excercise ball. Bola besar yang amat yang anak boleh jatuhkan badan kat atasnya beribu-ribu kali
3) anak ambil makanan manis macam ais-krim, biskut, coklat pada pukul 6 petang dan ke atas.
4) anak tak keluar rumah atau bermain di luar sehingga berpeluh sekurang-kurangnya selama satu jam.
5) Anak terlalu banyak tengok tv atau main gadget (lebih dari 2 jam sehari).
Trampoline
6) Anak dipaksa menghadap buku, latihan dan bacaan ilmiah lebih dari 8 jam sehari (belum sesuai nak paksa anak umur 6 tahun ke bawah baca buku/siapkan homework dari pagi sampai ke malam)
Sebenarnya kan, kadang kita selalu terlepas pandang benda-benda macam ni. Kita lebih fokus nak marah anak kalau dia terlalu aktif sampai payah nak tidur malam.
Set khemah dan terowong (tunnel).
Kesian kat anak-anak kita. Sebab dia sendiri tak boleh nak control that excessive energy. Resultnya nampaklah dia jadi energetik luar biasa walau jam dah pukul 12 tengah malam.
Diharapkan perkongsian Zaty mengenai apa tools dan toys yang sesuai kita letak dalam rumah supaya anak-anak boleh lepaskan energi negatif dia kat situ boleh mengurangkan rasa stres anda sebagai ibu bapa. Berilah anak bermain sampai dia rasa puas dan penat. Sampailah dia akan cari tempat untuk tidur dengan sendirinya. Insya-Allah boleh membantu!
Kadang kala anda pasti pernah melihat gigi anak anda rongak di beberapa batang gigi terutama si kecil anda yang suka memakan gula gula dan minuman manis. Anda rasakan perkara ini biasa sahaja kerana anda fikirkan nanti gigi baru akan tumbuh menggantikan gigi rongak tersebut.
Tetapi tahukah anda, gigi rongak jangan dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh menyebabkan terkumpulnya nanah dalam gigi tersebut. Keadaan ini disebut sebagai dental abscess.
Dental abscess boleh terjadi kepada sesiapa sahaja samada kanak-kanak mahupun dewasa, dan ia adalah satu penyakit yang memerlukan bantuan dan rawatan kecemasan kerana beberapa komplikasinya yang amat serius.
JENIS-JENIS DENTAL ABSCESS
Terdapat beberapa jenis dental abscess tetapi doc tidak akan menghuraikan secara terperinci kerana doc bukanlah orang yang arif tentang gigi, tetapi cukup sekadar maklumat sahaja. (Gambar 1)
Jenis pertama dinamakan gingival abscess. Gingival bermaksud gusi. Dalam kes ini, anda akan melihat beberapa benjolan kecil di gusi dan bewarna merah jambu kekuningan.
Jenis kedua dinamakan periodontal abscess. Periodontal bermaksud sekeliling gigi. Pesakit sebegini nanahnya terkumpul di sekeliling gigi yang masih sihat, dan melibatkan struktur di sekeliling gigi sahaja termasuklah gusi dan kawasan sekitarnya.
Jenis ketiga dinamakan periapical abscess. Penyakit ini biasanya dilihat apabila gigi telah rosak sepenuhnya dan akar gigi sudah mula mereput. Dalam kes ini, nanah akan keluar daripada celahan gigi yang rosak serta berbau busuk.
Ketiga-tiga jenis dental abscess ini boleh berlaku serentak mahupun satu persatu. Oleh itu, jika anda terlihat bahawa terdapat benjolan di gusi ataupon sakit pada kawasan gusi dan sekitar gigi yang sudah rosak, segeralah berjumpa doktor gigi berdekatan.
SIMPTOM DENTAL ABSCESS
Kerap demam
Kurang selera makan
Rasa sakit yang mencucuk terutama apabila menggigit atau menguyah makanan.
Gigi terasa sensitif terhadap makanan sejuk dan terlalu panas.
Bau busuk di sekeliling gigi ataupon gusi.
Benjolan atau bengkak di pipi disertai rasa sakit pada gusi atau gigi.
Oleh itu, untuk anak anda yang belum mampu bercakap, apabila anda melihat si kecil anda tidak ceria, sering demam dan kurang selera makan, jangan lupa untuk memeriksa keadaan gigi dan gusi mereka. Mungkin terdapat bau busuk atau benjolan pada gusi dan gigi anak anda.
PUNCA DENTAL ABSCESS
Seperti yang anda sedia maklum, dental abscess adalah disebabkan pengumpulan nanah pada kawasan gigi ataupon di sekitarnya. Nanah adalah disebabkan oleh kehadiran bacteria yang dibunuh oleh system pertahanan badan. Jika terlalu banyak nanah terkumpul dalam suatu tisu yang tertutup, maka abscess (benjolan nanah) akan terhasil.
Menyusu botol atau susu badan sehingga lewat malam dan terbawa tidur adalah punca menyebabkan gigi rongak dan mudah haus di kalangan kanak-kanak.
Menggosok gigi dengan kuat atau menggunakan berus gigi yang kasar dan tidak sesuai adalah salah satu punca gigi boleh rosak dan dimasuki kuman bacteria.
Tidak menggosok gigi pula akan menyebabkan sisa makanan terlekat di celah gigi dan bercampur pula dengan kuman bacteria maka terhasilnya plak gigi ataupon taik gigi.
Penggunaan pencungkil gigi yang tidak bersih dan sambil lewa juga boleh menyebabkan berlakunya kecederaan pada gusi sekaligus menyebabkan kuman mudah masuk di celah kawasan luka tersebut.
Rawatan gigi yang tidak sempurna. Kadangkala setelah anda berjumpa doktor gigi untuk membuang plak gigi (scaling), anda merasakan bahawa gigi anda sudah bersih . Tetapi tekanan kuat sewaktu membuang plak gigi ini juga boleh menyebabkan kecederaan pada tisu gusi anda.
Oleh itu setelah selesai membuat rawatan gigi dan untuk mendapat kesihatan gigi optimum, anda harus lebih menjaga kesihatan gigi anda atau si kecil anda dengan sentiasa menggosok gigi setiap kali 30minit selepas makan.
RAWATAN DENTAL ABSCESS
Seperti yang doc katakan di atas, dental abscess adalah penyakit yang memerlukan rawatan segera, samaada terus ke jabatan kecemasan untuk dirujuk kepada doktor bedah gigi hospital atau berjumpa doktor gigi berdekatan. Doktor di klinik perubatan keluarga seperti doc tidak dapat merawat dental abscess tetapi kami dapat memberikan anda antibiotic dan ubat tahan sakit sahaja.
Bergantung dengan jenis abscess, beberapa kaedah rawatan digunakan.
Antibiotik makan(Oral). Bergantung dengan saiz abscess dan lokasi nanah tersebut, nanah yang kecil akan kecut atau pecah sendiri setelah mendapat rawatan antibiotic ataupon ubat kumur yang dibekalkan doktor gigi. Untuk kita di Malaysia,antibiotic jenis Augmentin , Unasyn atau Flagyl digunakan.
Pembedahan kecil (Incision and drainage). Nanah pada gusi yang lebih besar pula memerlukan gabungan antibiotic oral dan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah tersebut.
Pembedahan (Surgery) Dalam kes periodontal abcess, anda perlu dirawat oleh doktor bedah gigi yang bertauliah untuk membuang nanah sahaja ataupon membuang sebahagian tisu gusi yang rosak di sekeliling gigi tersebut.
Rawatan salur akar. Rawatan ini dilakukan untuk gigi yang mereput, seperti contoh dalam kes periapical abscess di mana akar gigi dan gigi itu sendiri sudah rongak dan haus sepenuhnya. Rawatan ini melibatkan kos yang agak tinggi dan menyakitkan tetapi kebaikannya anda masih dapat menyimpan gigi anda. Rawatan ini boleh dibuat di klinik gigi swasta atau kerajaan.
Cabut gigi. Untuk kes dental abscess yang sangat teruk atau berulang, anda tiada pilihan selain mencabut gigi tersebut. Jika satu sahaja gigi yang rosak, anda masih boleh mencabut gigi di klinik gigi berhampiran tetapi jika banyak gigi yang rongak atau rosak, anda harus membawa anak anda berjumpa dengan doktor bedah gigi hospital untuk rawatan lanjut sebagai pesakit luar mahupun sebagai pesakit dalam.
KOMPLIKASI DENTAL ABSCESS YANG TIDAK DIRAWAT DENGAN SEMPURNA
Seperti mana abscess dan kumpulan nanah lain yang tidak dirawat dengan betul, jangkitan kuman bakteria boleh merebak ke seluruh badan.
Dental cyst. Apabila nanah yang terbentuk sebagai abscess tidak dibersihkan dengan sempurna, ia akan seterusnya membentuk kantung yang boleh membesar dan amat sukar dimusnahkan hanya dengan antibiotic makan. Pembedahan major mungkin diperlukan untuk membuang cyst yang besar dan bernanah di dalamnya.
Osteomyelitis. Jangkitan yang merebak ke seluruh badan boleh juga melibatkan tulang di sekitar gigi dan gusi seperti contoh tulang rahang(mandible), tulang pangkal hidung(nasal bone) dan tulang pipi (maxilla). Apabila ini berlaku, antibiotic harus diberikan secara dalam pembuluh darah (Intravenous).
Cavernous sinus thrombosis. Jangkitan kuman dalam darah boleh membentuk gumpalan darah pada satu jaringan pembuluh darah yang besar di bawah otak yang dipanggil cavernous sinus thrombosis. Kawasan ini perlu dibersihkan melalui pembedahan dan antibiotic untuk mengelakkan jangkitan sampai ke otak.
Brain abscess. Jangkitan kuman di mana-mana bahagian tisu muka dan telinga boleh menyebabkan jangkitan pada otak walaupon sangat jarang berlaku. Dalam keadaan ini, pesakit biasanya akan mula mengalami symptom seperti demam, sakit kepala dan lumpuh atau kesukaran bercakap. Pembedahan otak dan antibiotic sahaja yang dapat merawat komplikasi sebegini selain rawatan Hyperbaric oxygen therapy (HBOT) untuk mengurangkan tekanan dalam otak .
Terdapat beberapa kes yang doc sendiri saksikan di mana dental abscess ini tidak mendapat rawatan sempurna terutamanya apabila dirujuk ke bahagian pesakit luar jabatan kecemasan hospital. Hal ini mungkin kerana dental abscess ini bukan penyakit yang difahami oleh doktor biasa. Akan tetapi untuk doktor gigi, hal ini sangat dipandang serius terutama jika anda atau si kecil sudah mula menunjukkan bengkak di pipi dan kawasan mata.
Oleh itu, jika anda mengalami dental abscess dan terpaksa ke Jabatan kecemasan di hospital, pastikan anda meminta untuk dirujuk ke doktor gigi atau pakar bedah gigi yang bertugas untuk merawat anda dan si kecil.
Disclaimer : Doc bukan doktor gigi dan tujuan doc membuat hantaran ini adalah disebabkan baru-baru ini anak bongsu doc dikejarkan ke hospital disebabkan penyakit ini.
P/s : Tolong doakan juga kesembuhan anak doc yang diserang sawan beberapa kali kerana suhu badan beliau kerap naik mendadak setelah mendapat dental abscess ini.
Harap doa kalian dapat dipanjangkan dan diterima Allah SWT, mengiringi semangat kami sekeluarga dalam menempuh cabaran ini.