Tidak lama lagi kita semua akan menyambut tahun 2018 dan dengan ketibaan tahun baharu ini, pasti ada si kecil comel dalam famili anda yang sudah cukup usianya untuk dihantar ke tadika. Namun, tidak semua kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dalam suasana pendidikan sebegini dengan cepat. Malah, ada juga yang pasti akan menjerit dan meraung apabila dihantar ke tadika. Apa kata papa dan mama di luar sana cuba menilai diri dan elakkan 6 kesilapan di bawah, andai kata si kecil comel dalam keluarga tidak mahu ke tadika.
Ikuti panduan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan yang merupakan Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal.
Kesilapan 1: Tidak mendengar luahan rasa si kecil
Bila si kecil tidak mahu dan meronta-ronta apabila disuruh ke tadika, ada banyak sebab yang perlu kita ketahui sebelum menyalahkan dia atau tadika berkenaan. Apa kata mama dan papa cuba bersembang dan bertanya apa sebabnya si kecil tidak mahu ke tadika? Siapa tahu, sebab yang dia berikan mungkin suatu hal atau isu kecil yang mungkin mudah untuk kita selesaikan.
Kesilapan 2: Tidak meluangkan masa di tadika
Sekadar bertanya “kenapa” sahaja tidak mencukupi apabila kita cuba menangani isu si kecil yang berkeras tidak mahu ke tadika. Papa dan mama wajib meluangkan masa untuk sama-sama ke tadika berkenaan serta sama-sama ‘belajar’ dengan si kecil. Perhatikan hal atau isu yang mungkin menjadi penyebab stres hingga si kecil benci dan tidak mahu lagi pergi ke tadika berkenaan.
Kesilapan 3 : Gagal menimbulkan minat si kecil terhadap ilmu
Rasa kecintaan terhadap ilmu sebenar dan rasa ingin tahu sebenarnya wajib dipupuk sebaik sahaja si kecil sudah boleh bereaksi dengan papa dan mama serta dunia di sekeliling. Pupuklah minat dan rasa ingin tahu akan ilmu melalui buku dan membawa si kecil ke perpustakaan, misalnya. Kenapa? Supaya dia tidak ‘terkejut’ apabila nanti dia dihantar ke tadika pula.
Kesilapan 4: Melepaskan semua tanggungjawab kepada pendidik prasekolah
Dalam kesibukan dan tekanan hidup masa kini, mama dan papa yang sama-sama bekerja kadang-kadang melepaskan tanggungjawab mendidik si kecil kepada cikgu di tadika. Akibatnya, mungkin timbul kelaziman dalam diri si kecil yang akan melihat tadika sebagai tempat yang agak serius dan tiada keseronokan. Inti patinya mudah, papa dan mama serta cikgu tadika adalah ahli sepasukan!
Kesilapan 5: Tidak pula membina ‘jambatan’ antara tadika dan rumah
Setiap hari, mama dan papa wajib bertanya kepada si kecil, apakah yang dia lakukan atau pelajari di tadika? Sebagai orang dewasa, kita perlu membina ‘jambatan’ antara tadika dan rumah kerana sesungguhnya, proses pendidikan praformal ialah suatu proses lengkap yang meliputi suasana rumah, tadika dan alam sekeliling. Hanya dengan cara ini si kecil akan lebih tertarik untuk ke tadikanya.
Kesilapan 6: Kurang mengerti tentang konsep perkembangan
Apakah yang papa dan mama harapkan apabila si kecil comel pergi ke tadika? Adakah dia diharapkan akan menjadi seorang genius? Ada segelintir kanak-kanak yang membenci tadika kerana mama dan papa mereka menekan mereka dan memaksa mereka menjadi seperti kanak-kanak sekolah rendah yang sudah mahir membaca, menulis dan mengira. Tadika adalah kerangka paling asas pendidikan, tadika bukanlah sekolah atau kolej.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI