Anak gurau kasar, tak pandai makan sendiri dan pakai baju, tanda anak ‘malas’ deria sendi. Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar sendiri. Anak bermain dan bergurau terlalu kasar.
Anak umur 6 tahun masih memegang pensil menggunakan 5 jari. Anak tak mahu makan dengan sendiri walaupun semasa umur 5 tahun.
Masalah di atas adalah masalah biasa bagi anak yang mempunyai masalah terhadap sensitiviti deria sendi. Deria sendi tidaklah sepopular seperti deria visual, auditori, rasa, sentuhan dan bau tetapi deria ini sangat penting dalam setiap urusan kita seharian.
Anak Gurau Kasar, Tak Pandai Makan Sendiri & Pakai Baju
Nak ambil barang, nak buka pintu, nak seluk beg ambil dompet, nak pakai baju dan seluar, nak makan, nak garu belakang badan dan lain-lain. Semua aktiviti yang menggunakan anggota badan menggunakan deria ini.
APA ITU DERIA SENDI?
Deria sendi (propioception) adalah deria yang memberi info kepada otak di mana anggota badan kita berada. Setiap kali kita menggerakkan badan (tangan atau kaki), setiap kali itu juga kita akan menggunakan deria sendi untuk memberi input kepada otak untuk mengawal pergerakan anggota badan dan berapa tekanan yang sepatutnya.
Bayi selepas lahir akan rasa badannya seperti “terawang-awangan”, mereka tidak sedar keberadaan tangan dan kaki menyebabkan mereka tidak pandai mengawal pergerakan anggota badan disebabkan deria sendi yang “belum cukup kuat” ataupun “belum cukup develop”. Jika kita tidak merangsang deria sendi dari awal ia akan menyebabkan masalah di masa akan datang terutamanya skil urus diri (makan, pakai dan buka baju) malah akan menyebabkan masalah akademik juga.
Anak yang ada masalah deria sendi selalu disalah erti kan dengan malas, lembab atau “hyper”. Mereka tak nak pun dilahirkan atau “dibesarkan” ada masalah deria sendi. Ya, faktor persekitaran memang boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah apabila anak dibesarkan dalam keadaan yang terlalu “manja” dan tak diberi peluang untuk berdikari sendiri.
SEMUA BENDA MAK AYAH NAK BUATKAN, SEMUA BENDA NENEK ATUK NAK “TOLONG” BUATKAN SAMPAI ANAK DAH ADA MINDSET “TAK PERLULAH BELAJAR BERDIKARI, ORANG LAIN AKAN JAGA BADAN INI”. JANGAN TERKEJUT JIKA SAYA KATAKAN, KEBANYAKAN ANAK YANG “MALAS” UNTUK BELAJAR (PAKAI BAJU SELUAR, MAKAN SENDIRI, MENULIS) ADALAH BERPUNCA DARI SIKAP MAK AYAH YANG TERLALU MEMANJAKAN ANAK DENGAN “MEMBANTU” BENDA YANG TIDAK SEPATUTNYA DALAM URUSAN SEHARIAN.
Kalau bawah 2 tahun, masih diterima lagi. Tapi kalau umur 6 tahun? Tepuk dada tanya minda.
Tanda Anak ‘Malas’ Deria Sendi
PUNCA ANAK “MALAS”
Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar?
Setiap kali anak mencari lubang baju atau lubang seluar tak jumpa, kadang-kadang masuk tangan dalam lubang kepala, kadang-kadang 2-2 kaki masuk dalam 1 lubang seluar.
Berjuta kali cuba tak dapat, mak ayah dah bising-bising sebab nak cepat. Anak stres terus tak nak buat. Mak ayah stres terus pakaikan.
Macam mana nak pakai sendiri kalau deria sendi tak cukup kuat untuk “merasa” sesuatu tanpa melihatnya?
Anak bermain dan bergurau terlampau kasar
Niat nak bergurau dengan kawan atau adik, tetapi gurauan bertukar jadi drama air mata apabila orang lain takut nak bermain sama. Orang lain gurau cuit sikit-sikit, dia tolak dan pukul “kaw kaw” macam bertinju betul.
Macam mana nak bermain sama, kalau tak pandai mengawal “tekanan” cuitan, pukulan, tolakan dan sepakan?
Ads
Memegang pensil menggunakan 5 jari di umur 6 tahun
Sebenarnya skil memegang pensil tidak perlu diajar atau dipaksa, ia adalah secara semula jadi.
Semakin deria sendi anak “kuat”, semakin dia akan membetulkan jari-jarinya sendiri semasa memegang pensil. Dari 5 jari ke 4 jari seterusnya 3 jari dan skil menulis ada tahapnya untuk setiap umur anak. Tidak perlu terlalu taksub untuk mengajar anak menulis di awal usia dan memaksa anak menulis menggunakan 3 jari sebelum umurnya sebenar.
Anak gunakan 5 jari kerana deria sendi belum cukup kuat untuk mengawal tangan semasa menulis, maka memerlukan lebih sokongan.
Kini, banyak sangat produk-produk untuk mengajar anak memegang pensil dengan betul. Tapi sampai bila nak guna? Gunakan alat bantuan memang bagus untuk membantu tetapi kalau tidak disusuli dengan rangsangan deria sendi tiada gunanya kerana anak tetap akan cepat penat semasa menulis disebabkan perlu “effort” lebih untuk mengawal jari.
Sebenarnya banyak sangat masalah-masalah harian yang akan timbul disebabkan masalah deria sendi. Nampak kan betapa pentingnya deria sendi dalam hidup anak kita?
TIP MERANGSANG DERIA SENDI
Belajar skil urus diri
Normal fasa anak umur 18 bulan hingga 3 tahun akan teruja untuk melakukan semuanya sendiri termasuklah pakai buka baju, makan sendiri, belajar memegang pensil dan sebagainya. Gunakan fasa ini dengan baik untuk melatih anak menguasai skil urus diri yang secara tak langsung merangsang dan “menguatkan” deria sendi.
Sokong dan beri pujian setiap kali anak berjaya buat sendiri. Selesaikan penguasaan skil ini sehingga anak umur 4 tahun.
Ads
Ini adalah tahap normal skil urus diri untuk anak umur 4 tahun:
Bebas diaper + pakai baju seluar sendiri + makan dengan sendiri+ pakai kasut dan stokin dengan sendiri + kemas mainan + mandi dan keringkan badan sendiri + berus gigi sendiri dll
Main conteng-conteng.
Sebenarnya sejak bayi bawah umur 1 tahun, mak ayah dah boleh beri dan dedahkan dengan pensil. Bukan untuk belajar menulis atau mewarna ya, hanya untuk conteng-conteng dan belajar mengawal tangan dan jari. Conteng bukan hanya di kertas, tetapi di atas pelbagai permukaan. Bukan hanya menggunakan pensil, malah boleh juga krayon, kapur dll.
Kalau menggunakan pensil, beri yang jenis pendek dan “gemuk” demi keselamatan dan membantu anak mengawalnya. Kalau takut anak conteng dinding atau perabot, boleh cat dinding menggunakan “cat kalis conteng” ataupun beri pensil warna yang boleh dipadam.
Sebenarnya tak menjadi masalah kalau mak ayah beri pengawasan penuh setiap kali anak memegang pensil.
Merangkak:
Fasa merangkak sangat penting untuk bayi, semasa merangkak bayi secara semulajadinya akan merangsang deria sendi di tangan dan jari yang sangat diperlukan untuk mereka belajar mengawalnya seharian terutamanya skil urus diri dan skil motor halus.
Kurangkan atau elakkan menggunakan walker, sokong anak merangkak dengan merangkak bersama anak.
Yang mana anak berjalan cepat dan kurang fasa merangkak boleh kerapkan bermain kejar-kejar secara merangkak dengan anak ya.
Urutan dan pelukan:
Ads
Pendapat saya, urutan adalah wajib untuk bayi bawah 12 bulan, banyak sangat manfaat urutan dalam perkembangan bayi yang saya sudah selalu kongsi di post saya sebelum ini. Anak membesar hanya sekali, 80% perkembangan otak anak adalah semasa umur 0-2 tahun.
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai pelengkap dan penyeri kehidupan. Namun sebaliknya yang berlaku kepada pasangan muda ini apabila anaknya dijemput Ilahi setelah 14 hari dilahirkan. Berat ujian yang datang namun pasangan ini reda dengan ketentuan daripada pencipta. Ikuti perkongsian daripada Encik Muhamad Syafiq.
30/09/2018 ( AHAD )
Jarum jam meniti tepat pukul 5.30 petang, isteriku mula menunjukkan tanda-tanda sakit di bahagian peranakkannya. Aku terus mempersiapkan barang-barang kelengkapan bersalin isteriku dan terus memandu tenang ke hospital berdekatan. HUSM Kubang Kerian menjadi pilihan kami pada hari tersebut. Aku menolak perlahan isteriku ke bahagian pendaftaran.
Aku gelisah menunggu kelahiran ‘malaikat kecil’ di bahagian menunggu sementara isteriku sedang menanggung kesakitan di wad 2 Baiduri. Tanpa berlengah aku terus mencapai kain pelikat dan terus membuat solat sunat hajat dihadapan Wad 2 Baiduri tanpa menghiraukan sesiapa yang melihat perbuatan ‘aneh’ ku di kawasan tersebut. Bagi aku asal isteri dan anakku selamat sahaja. Hanya Allah swt tempat aku bergantung harap.
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi isteriku belum melahirkan anak, aku yang keletihan terus tertidur di atas kerusi menunggu beralaskan kain pelikat tadi. Aku bermimpi sesuatu yang aneh, di dalam mimpi tersebut aku bersama isteriku dan satu lagi pasangan sedang mendaki gunung yang sangat tinggi pada waktu malam yang gelap. Tetapi apa yang menghairankan aku pasangan tersebut mendaki sambil mengengdong bayi lelaki mereka tetapi aku dan isteri tidak memangku anak dan akhirnya aku dan isteri sampai dahulu di kemuncak gunung berbanding pasangan tadi. Di kemuncak gunung aku melihat ada satu cahaya bulan purnama yang sangat terang menerangi kami dan memadam kepekatan malam pada hari itu. Apakah petanda mimpi tersebut?
01/10/2018 ( ISNIN )
Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan sekalian alam, pukul 9.30 pagi aku sudah usai khatam Quran dengan pengakhiran surah An-Nas dan kalimat ‘Sodaqallahulazim’ dilafazkan yang memberi maksud ‘benarlah kalam Allah yang Maha Agung’. Berdebar hati ini, berdegup kencang jantung ini menanti namaku dipanggil oleh jururawat bertugas bagi menyaksikan kelahiran anak sulungku.
Jam menunjukkan tepat pukul 10.20 pagi akhirnya isteriku selamat melahirkan anak kami secara normal setelah bertarung nyawa melahirkan anak kami. Bayi seberat 2.89kg diazankan oleh aku sebagai bapa kandungnya. Ya Allah anak aku! Kata aku yang tidak percaya anak yang selama ini dikandung 9 bulan oleh isteriku kini sudah Allah zahirkan dihadapan aku. Menitis air mata jantanku tanda bersyukur Allah memberikan aku nikmat sebesar ini.
Wajahnya seiras wajahku, putih berseri kemerah merahan, matanya yang bulat dibuka luas melihat dunia. Bayi lelaki ini diberi nama Muhammad Uwais Al-Qarni bin Muhamad Syafiq. Aku diminta oleh guruku untuk ke surau bagi menunaikan solat sunat syukur ke atas kelahiran pertama ini. Ini amanah dari Allah, ini tanggungjawab dari Allah kata guruku kepadaku melalui corong telefon. Tanpa berlengah aku terus turun ke surau bagi melengkapi permintaan guruku.
Seronok gembira hati ini hanya Allah yang tahu, kelahiran anak lelaki sulung ini memberikan seribu makna kepada aku dan isteri. Bagaikan dunia ini ana yang punya.
02/10/2018 ( SELASA )
Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran aku yang ke-25. Kelahiran anak lelaki pertamaku merupakan satu anugerah Allah paling besar sepanjang hidupku, ini adalah hadiah paling berharga yang Allah berikan kepada aku. Aku bersyukur masih diberikan nyawa oleh Allah. Terima kasih emak Norshita Shawal sebab lahirkan abang ke dunia ini. Besar jasa dan pengorbanan emak dan abah. Apabila aku melihat proses kelahiran anak aku dan susah payah isteriku melahirkan anak, baru aku tahu bagaimana emak bersusah payah melahirkan aku ke dunia. Hanya Allah sahaja yang mampu balas jasa emak. Isteriku sudah boleh pulang ke rumah tetapi anak kami tidak boleh pulang bersama atas alasan anak kami kemungkinan disyaki ada jangkitan kuman di bahagian paru-paru.
03/10/2018 ( RABU )
Sedih hati ini melihat katil anak aku ditolak ke dalam wad Nilam 2 atas faktor anak aku dijangkiti kuman di bahagian darah. Kata doktor, isteriku turun air ketuban awal dan demam sewaktu melahirkan Uwais, maka doktor terpaksa kuarintin Uwais di wad tersebut bagi mengelakkan perkara-perkara sebaliknya berlaku. Aku melihat pernafasan anak aku turun dan naik begitu pantas berbanding bayi yang lain. Allahu akhbar! Hal ini sungguh merisaukan aku dan isteriku. “Nak , cepat sembuh ye, nanti dah sihat, ikut Walid jalan-jalan” bisikku ke telinga Uwais.
04/10/2018 ( KHAMIS )
Bermulah rutin harianku, ini sudah hari keempat aku ulang alik ke hospital bersama isteriku ke hospital untuk menyusukan anak kami. Jarak hampir 8km dari rumah ke HUSM tidak aku hiraukan, isteriku yang masih di dalam pantang digagahi jua demi untuk melihat perkembangan anak kami dan menyusukan anak soleh kami Muhammad Uwais Al-Qarni. Seperti kebiasaan, sebelum jari jemari ini menyentuh lembut ubun-ubun dan fizikal Uwais, aku akan memberikan salam kepadanya “Assalamualaikum Muhammad Uwais Al-Qarni, anak soleh Walid”. Usai meberikan salam pasti anak comel ini akan mengerutkan dahi dan keningnya tanda memberi respons kepadaku. Cerdik sungguh.
05/10/2018 ( JUMAAT )
Hari kelima, tali pusat Uwais dah mula tercabut, Uwais kelihatan sihat dan sedikit bertenaga berbanding sebelum ini. Uwais dah pandai membuat pelbagai reaksi di wajah, mengeliat seperti Umminya, menendang perlahan dan mengigit kuat jari kami seperti bayi yang berusia 5 bulan. Cerdik sungguh kamu wahai anak. Setiap hari kami menunggu dan menemani Uwais di wad tersebut sehingga lewat pukul 1.30 pagi. Aku dan isteriku tidak mengiraukan keletihan dan sakit sakit di badan yang kami alami sepanjang ulang alik ke hospital asalkan sahaja dapat bersama Uwais si cinta hati kami. Ya Tuhan, tak sabar rasanya menunggu anak cerdik ini pulang ke rumah kami.
06/10 – 09/10/2018
Ulang alik ke hospital seperti biasa menjenguk, menjaga, menukar pampers, memandikan dan menidurkan Uwais. Berat Uwais sedikit turun. Proses ultrasounds dilakukan keatas Uwais untuk menentukan tahap kesihatan Uwais. Hari ke 7, ada satu hal yang terjadi, seperti kebiasaan selepas Uwais bangun dari tidurnya, dia akan mengeliat kepuasan, apa yang mengejutkan kami ialah selepas dia mengangkat tangan ke atas untuk mengeliat, pasti dia meletakkan kedua tangannya di atas dada seperti perbuatan orang sedang qiam dalam solat. Hal ini berterusan sehingga ke hari hari seterusnya. Allahu akhbar!
10/10/2018 ( RABU )
Kami dikejutkan dengan berita Uwais dimasukkan ke wad Nilam 1 N.I.C.U (kes lebih berat), Uwais mula dimasukkan ubat antibiotik tahap kedua kerana ubat antibiotik tahap pertama tidak memberikan tindak balas positif pada darahnya. Uwais mula dipakaikan wayar oksigen di hidungnya bagi menyokong pernafasannya. Sesekali Uwais menangis tanda sakit dan mahukan perhatian dari kami. Uwais bersin berkali-kali. Lucu melihat reaksi anak comel ini bersin. Ya Allah, Engkau sembuhkanlah anak aku ya Allah.
11/10/2018. ( KHAMIS )
Darah Uwais semakin pekat kata doktor, doktor pakar mula mengambil kes Uwais dan anakku akan dikawal sepenuhnya oleh doktor pakar bagi memantau perkembangan Uwais. Kata doktor kuman semakin tinggi di dalam darah anak aku dan kemungkinan akan berlaku pendarahan dalaman keatasnya. Hati ini mula semakin risau, tidur tidak nyenyak, selera makan sudah tiada memikirkan tentang anak sulung kami. Begitu juga dengan isteriku jangankan air, apatah lagi nasi untuk dijamah jauh sekali. Sesiapa yang mempunyai anak pasti tahu bagaimana perasaan ini.
Emak dan abahku sudah pulang ke Pulau Pinang atas sebab bapa saudara aku di sana dikhabarkan keadaannya semakin tenat. Ini kali kedua Emak dan Abah datang ke Kelantan selepas datang kali pertama pada 1 Oktober lepas. Emak dan abahku belum pernah menyentuh cucu sulung mereka lagi .
12/10/2018 ( JUMAAT )
Aku dikejutkan dengan berita kematian bapa saudaraku di Pulau Pinang. Bapa saudara aku yang paling rapat dengan ahli keluarga kami. Aku begitu sedih dengan berita tersebut tambahan pula aku tidak boleh pulang ke Pulau Pinang atas faktor isteri dan anakku dalam keadaan begini. Sedihku bukan kepalang ibarat jatuh ditimpa tangga. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mazlan bin Shawal.
13/10/2018 ( SABTU)
Seharian bersama Uwais bermain , pada hari yang sama isteriku bermimpi telah didatangi seorang lelaki berjubah membawanya ke sebuah bangunan hospital yang sangat besar dan apabila isteriku masuk ke dalam hospital isteri tercinta aku melihat sebujur jasad kaku anak kami Uwais tidak bernyawa . Bangun dari tidur , isteriku menangis tersesak-esak sambil memelukku tanpa menceritakan perihal sebenar mimpi tersebut . Malam hari aku dan isteri bersama Uwais , seperti biasa Uwais minum susu dengan banyaknya tetapi pada hari tersebut susu isteriku sudah kering .
Aku mengusap perlahan kepala anak kesayanganku sambil bercakap dengannya . Dahinya yang lembut ku cium dan kucup berulang-ulang kali . “Sayang….Uwais anak Walid , cepat sihat nak , cepat sembuh , cepat-cepat keluar hospital , semua tunggu Uwais kat rumah . Nanti dah sihat Uwais teman Walid , kita pergi masjid sama-sama ye nak “ kataku sambil matanya merenung tepat kearah mataku , bulat dan hitam penuh anak matanya . Redup dan sayu matanya melihat aku lama lalu tanpa aku sedari mengalir air mata Uwais dan mulut kecilnya terkumat kamit seolah-olah ingin memberitahu sesuatu kepadaku . Jarinya menggengam kemas jariku tanpa ada isyarat mahu dilepaskan .
Jam menunjakkan pukul 1 pagi , isteriku mahu meletakkan Uwais ke atas katil , hari sudah lewat , kami diminta oleh jururawat untuk pulang tetapi anak kami Uwais tidak mahu melepaskan Umminya , erat dan kemas memeluk tangan isteriku , menangis merengek Uwais apabila mahu diangkat keatas katil seolah olah tidak mahu berpisah dengan Umminya yang telah berada didalam kandungan selama 9 bulan . Dia seperti mahu bersama Umminya sampai ke bila-bila . Aku dan isteri tidak sedap hati dan merasakan bagai ada sesuatu bakal terjadi . Kami meninggalkan Uwais di atas katil dengan beribu kesedihan .
14/10/2018 ( AHAD )
Di subuh yang hening , tiba-tiba telefon aku berdering kuat dan kelihatan nombor hospital tertera di skrin telefon aku , berdebar jantung ini seperti nyawa aku bakal dicabut . “Encik , boleh datang ke hospital dengan segera tak ?” tanya doktor kepadaku . Ya Allah ya Tuhanku , berat sungguh kaki ini nak melangkah .
Sesampainya di wad aku sudah melihat katil Uwais dikelilingi oleh ramai doktor pakar , Uwais sudah tidak sedarkan diri , dia di kelilingi mesin dan alat bantuan pernafasan . Luluh hancur hati ini melihat darah daging aku dalam keadaan begini . Kata yang merawat , Uwais muntah susu dan keluar banyak darah pada pukul 5 pagi tadi . Ya Allah ! Dugaan apa yang Engkau berikan kepadaku ini , baru semalam sahaja Uwais nampak sihat dan bermain dengan Walid dan Umminya , pagi ini Uwais sudah tidak sedarkan diri .
Seharian kami menunggu di wad , kami mengambil peluang untuk pulang ke rumah sebentar untuk mandi dan bersihkan badan . Emak , abah , kakak , adikku dan abang iparku baru sahaja sampai setelah menempuh perjalanan hampir 6 jam dari Pulau Pinang .
Jam pukul 9.00 malam sekali lagi hospital menelefon aku , sambil menyuruh aku membawa ahli keluarga terdekat . Petanda apakah ini ?
Sampai di katil Uwais , ketua bahagian perubatan di wad tersebut bersama doktor pakar yang lain sedang membuat sesuatu keatas Uwais , ketika itu hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang aku rasa . Isteriku tidak henti-henti menangis keesakkan sehinggakan ditenangkan oleh jururawat bertugas .
Doktor menjemput aku dan isteri ke bilik perjumpaan dan doktor menerangkan tentang situasi Uwais . “ Encik Syafiq dan Puan Nurul Fatihah, kita dah cuba sehabis baik tetapi Allah yang memegang kita , anak Encik sekarang sudah berada di tahap 50/50 dan kita hanya menunggu keajaiban dari Allah sahaja , bila kita buat ultrasounds kita lihat penuh tumpah darah dalam badan anak Encik , hati dia telah rosak dan pecah “ . Bayangkan kalian berada disituasi aku dan isteri ketika itu .
Akhirnya Uwais di pangkuan isteriku dan semasa diribaan isteri tercintaku , satu persatu wayar di badan Uwais dicabut perlahan , tekanan nadi dan jantung Uwais semakin lemah , tepat jam 12.15 pagi anak kesayangan kami MUHAMMAD UWAIS AL-QARNI BIN MUHAMMAD SYAFIQ telah dijemput kembali oleh Allah swt setelah genap 14 hari dia bertarung melawan kuman dalam badan . Dilahirkan pada hari Isnin dan diambil kembali oleh Allah juga pada hari Isnin .
Di penghujung detik nafas Uwais yang terakhir aku sempat menyaksikan kaki dan tangan anak syurga ini terangkat sedikit ke atas dan kelopak matanya terbuka melihat tepat kearah kami dan kelihatan anak mata nya yang pekat jernih kehitaman tersebut, tiba-tiba tanpa disedari sekali lagi terbit air matanya mengalir perlahan-lahan mula jatuh ke pipi . Dengan wajahnya yang sayu tanda seolah olah ingin memberitahu Walid dan Umminya bahawa dia akan pergi selama-lamanya meninggalkan kami di dunia yang fana ini . Kini tiada lagi rengekan manja Uwais terhadap kami . Luluh jiwa ini .
Kata jururawat yang menjaga dan merawat Uwais sepanjang dua minggu , dia anak yang sangat senang dijaga , tidak banyak ragam dan susah untuk dengar Uwais menangis . Isteriku terus memangku jasad anaknya yang kini sudah tidak bernyawa lagi sambil mengesat air matanya yang tidak henti-henti mengalir . “Uwais , uwais bangun nak , bangun anak Ummi , Ummi rindu Uwais , siapa nak hisap susu ummi lagi” isteriku diam sejenak diselangi dengan tangisannya tanpa penghujung . “Sayang anak ummi…ummi dah halalkan susu ummi untuk Uwais…tak apalah sayang pergilah dengan tenang..” kata isteriku perlahan. Allah , aku yang melihat bagaikan hendak pengsan . Lahaulawala khuwataillahbillah hila’liyula’zim . Kuatkan kami Ya Allah !
Aku redha Ya Allah , aku terima ujian darimu walaupun pedih dan pahit untuk aku tempuh semua ini . Uwais dicipta untuk hidup didunia ini hanya 14 hari sahaja . Perjanjian dia dengan Sang Pencipta telah ditunaikan . Semua ini terasa bagaikan mimpi . Terlalu pantas berlalu namun inilah realiti yang perlu ditanggung oleh aku dan isteri .
Ketahuilah sesungguhnya Ummi & Walid amat merinduimu wahai anak . Kita jumpa di syurga nanti ye nak. Maafkan Walid tak sempat bawak Uwais ke masjid bersama-sama, Walid hanya sempat mengengdong jasad Uwais yang sudah tidak lagi bernyawa ke masjid untuk menunaikan solat jenazah Uwais. Jasad Uwais wangi sangat sangat, selama Walid hidup atas dunia ini tidak pernah sekali Walid bau sewangi wangian Uwais itu.
Bercucuran air mata ini mengalir laju ketika nukilan ini disiapkan. Aku dan isteri masih mencari semangat . Walaupun kami sudah terpisah jasad dengan Uwais, kami berada di atas tanah dan anak tersayang kami di bawah tanah namun roh Uwais Al-Qarni dalam keadaan sangat tenang di sana sambil berlari-lari di dalam syurga Allah swt. Aku terima, aku redha, aku pasrah dan hanya kepada-MU jualah aku bertawakal.
Wahai kesayangan Walid & Ummi , damailah engkau di sana . Walaubagaimana sayangnya kami kepada Uwais , walau setinggi dan sebesar manapun kasih dan cinta kepada Uwais tetapi Allah swt lebih menyayangimu . Kerana sifat Ar-Rahman & Ar-Rahim itu sangat tinggi melebihi segala-galanya.
Ada satu hal yang dapat meredakan kepedihan hati aku dan isteriku , Uwais adalah HAK Allah swt dan aku perlu kembalikan semula HAK Allah swt tersebut , maka aku tidak boleh ‘kedekut’ tentang pemberian tersebut dan aku serahkan kepada yang MAHA BERHAK .
INNALILLAHI WAINNAILAIHI ROJIUN . Dari Allah kita datang , kepada Allah jualah kita kembali
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
(Al-Baqarah: 286)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)
Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu’jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:
“Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga”
Membesarkan anak-anak pada zaman sekarang bukan satu tugas yang mudah. Pendedahan kepada teknologi dari awal usia membuatkan mereka kurang berekplorasi dengan alam selain emosi dikawal oleh gajet.
Selain itu, aras akademik yang semakin tinggi juga sedikit sebanyak membuatkan anak-anak kita pada masa kini turut tertekan.
Perkongsian daripada Wawa Shauqi tentang kenapa kanak-kanak zaman sekarang lebih mudah stress daripada anak zaman dulu menerangkan apakah sebab utama mereka ini mudah tertekan.
Menurut Wawa ada 3 sebab utama yang perlu dikenal pasti oleh ibu bapa hari ini. Menurut wanita ini juga, sesekali ibu ayah perlu cuba selami hati dan perasaan anak-anak untuk ambil tahu apakah cara didikan kita itu adil buat mereka.
Kenapa kanak-kanak sekarang lagi senang stress dari anak zaman dulu?
Saya TERJAGA,
TERSENTAK,
TERBUKA MATA
bila dengar satu patah ayat dari Puan Ummu Aminah dalam live semalam.
Katanya, “Kanak-kanak sekarang sangat fragile. Kalau dulu, anak-anak masih boleh ‘jadi orang’ bila dirotan. Tapi sekarang dah tak boleh. Sebab anak-anak sekarang fragile macam kaca.”
3 Sebab Utama Yang Perlu Kita Kenal Pasti
Kenapa anak zaman sekarang lebih ‘fragile’?
Zaman dulu, anak-anak belajar membina ketahanan diri dari aktiviti bebas di luar rumah. Bebas panjat pokok, terjun sungai, lompat atas lopak dan main atas batas sawah.
Tapi zaman sekarang, ramai kanak-kanak duduk di bandar. Rumahnya jarangkan bertanah. Kalau bertanah pun sekangkang kera. Atau tak ada sungai dan pokok untuk diteroka.
Kebebasan eksplorasi juga terpaksa dikawal disebabkan jenayah yang berleluasa. Aduhai. Saya sendiri pun, macam ni.
Jadi, janganlah pekik kami kalau nampak saya dok bagi semangat kat anak yang sedang panjat pokok atau join anak mandi hujan.
Peluang eksplorasi anak saya ni dah tak banyak. Sebab itu saya tak larang anak saya buat benda yang dia sudi nak mencuba. Walaupun nampak bahaya. Insya Allah, saya pantau sebaiknya.
Saya percaya, BANYAK MELARANG bukan sahaja menyekat kemahuan anak nak meneroka. Malah, membantutkan daya tahan fizikal serta emosi anak.
solusi: tengok gambar
Bila anak ada cetusan emosi, mereka sepatutnya belajar untuk melepaskan dan menyalurkan dengan cara yang betul.
Biasa tak bagi anak henfon bila mereka menangis?
Alah.. trik ni saya pun pernah buat. Terutama kalau kat tempat yang mereka tak boleh bising. Sebenarnya, tak sihat tau. Tapi, kalau sekali sekala buat menyelamatkan keadaan dan sebagai solusi terakhir, ampunkanlah diri sendiri.
Yang bahaya bila kita beri kepada anak HAMPIR SETIAP KALI mereka menangis.
Rupanya, bila kita buat macam ni, kita akan didik mereka bahawa henfon adalah tempat untuk mereka bergantung, setiap kali mengalami emosi yang tak best. Walaupun bila dah besar.
Bila sedih, kecewa, marah, henfonlah solusi. Jadi mereka tak belajar bagaimana cara yang betul untuk mengendali emosi. Dan tak tau bahawa, komunikasi adalah salah satu bentuk yang sihat untuk salurkan emosi.
Nak-nak pula, internet di henfon ni, ‘membawa’ anak kita ke mana sahaja tanpa sempadan. Mudah sangat untuk anak dapat pengaruh negatif dalam fon tu. Dari TikTok, Bigo semua tu, tiba-tiba, anak kita dah bertukar jadi seorang yang tak pernah kita didik. Nauzubillah…
Ini belum lagi menyentuh bab persaingan. Bersaing siapa pakai fon paling canggih, siapa yang nampak lagi cool, lifestyle siapa paling menarik, semua ini ibarat persaingan anak zaman kini di media sosial.
Sekolah sepatutnya medan untuk anak berjuang dalam akademik.
Walaubagaimanapun, sistemnya menyediakan satu acuan yang perlu di’fit’ oleh semua kanak-kanak. Disebabkan terlalu nak fit kanak-kanak dalam satu sistem tu, kita mak pak ni dah tak ambil kira sama ada anak tu : – cukup asas atau tak – dah bersedia atau tak – types of learning anak tak sesuai dengan cara pembelajaran di sekolah – mengenepikan fitrah mereka untuk bermain – mengenepikan keperluan emosi mereka – ketinggalan perkembangan lain seperti perkembangan emosi, fizikal, spiritual, komunikasi, urus diri dll – dihalang untuk tonjolkan bakat dan potensi lain
Usaha untuk anak jadi pandai adalah usaha yang sangat baik. Anak-anak kita memang perlu kita latih untuk mampu beradaptasi dengan sistem sekolah.
Tapi, jangan kerana terlalu fokus nak anak capai akademik, kita terlupa untuk bangunkan perkembangan anak yang lain. Especially perkembangan emosi.
Kita lupa yang perkembangan emosi yang sihat inilah yang menentukan anak tu ada kemampuan yang besar untuk cope stress atau tidak. Dan bila dah besar, mampu beradaptasi dengan orang lain, mampu tahap tekanan, dan tak cepat melatah bila diuji.
Niat yang baik tak menjamin usaha yang betul.
Usaha yang baik tak menjamin tindakan yang bijak.
Sesekali, kita pandanglah mata anak-anak. Selami hati mereka. Duduk di tempat mereka dan cuba dalami perasaan mereka. Adakah selama ini mereka melihat kita sebagai seorang yang adil dalam mendidik.
Sumpah, saya kalau buat gitu, selalu keluar segala rasa kesal. Nasib baiklah kita sentisa ada peluang untuk belajar dan betulkan silap kita. Tau apa yang paling saya struggle dalam dunia parenting ni?
BALANCE.
Ada beberapa pakar mengibaratkan parenting ni ibarat main layang-layang; perlu pandai bila nak lepaskan atau tarik tali layang-layang yang sedang di udara.
Macam mana letihnya nak balancekan layang-layang tu, macam tulah nak balancekan dunia parenting.
Ada hari yang saya keletihan mental, emosi dan fizikal untuk ‘play balance’, saya hanya biarkan anak-anak buat ikut sukati mak bapak diorang.
Tapi ada hari yang saya dapat kekuatan, saya perlu mainkan semula ‘balance’ ni. Ia sangat susah. Tapi inilah perjuangan kita, kan! Kepada ibu bapa yang baca tulisan ini,
forget your past mistakes and let’s start over. Relearn and redo.
Kalau Allah sentiasa buka pintu taubat untuk hambanya yang bersalah, kenapa kita perlu tutup ruang kita untuk mencuba semula. Ini perjuangan kita.
Semoga kita mampu melahirkan anak-anak yang resilient & strong from inside. Yet loving & caring with others.
Mengembangkan kecerdasan anak bukan bermaksud kita hanya memberi peluang kepada anak mengikut minatnya semata-mata tetapi dengan interaksi sehari-hari ibu juga boleh merangsang anak agar mereka lebih bijak.
Seawal usia dua tahun kita sebagai ibu bapa sudah boleh mengembangkan kecerdasan anak. Namun ia tidak boleh dipaksa. Buat berdasarkan kemampuan anak kerana kita mahu anak rasa tidak seronok dan tertekan.
Berikut adalah beberapa cara mengembangkan kecerdasan anak iaitu:
Mengetahui minat kanak-kanak
Mengenali minat kanak-kanak yang semakin membesar pada satu-satu bidang sangat membantu untuk mengenali potensinya. Misalnya kanak-kanak suka membaca buku, bersenam, bermain muzik atau memasak. Dengan mengetahui minat anak akan lebih mudah untuk mengajar mereka melalui perkara yang menjadi minat atau kesukaannya itu, sehingga proses belajar menjadi lebih menyenangkan.
Mendorong anak agar bertanya
Dalam setiap kesempatan, dorong anak untuk bertanya. Rasa ingin tahunya merupakan modal untuk mengajar pelbagai pengetahuan baru.
Mengajar anak mencari jawapan
Setelah anak bertanya, secara automatik akan lahir rasa ingin tahu pada anak. Sebaiknya jangan terus memberikan jawapan, tetapi ajaklah anak untuk mencari jawapannya bersama-sama, misalnya dengan membuka buku atau cara lain sehingga imaginasi kanak-kanak menjadi lebih terbuka.
Membina rasa ingin tahu atas jawapan yang diberikan
Jangan bosan menjawab soalan dari anak ketika anak bertanya terus-menerus. Satu maklumat baru yang diterimanya saling berkaitan antara satu sama lain sehingga anak akan membina kesimpulan sendiri.
Melakukan permainan yang menyelesaikan masalah
Banyak permainan yang boleh membantu kanak-kanak mengembangkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah, contohnya bermain membuat bentuk daripada lego, membina ayat, dan sebagainya.
Mendorong anak untuk meminati perkara yang lain
Walaupun kanak-kanak mempunyai minat pada bidang muzik, namun ibu bapa juga perlu memperkenalkan kepada aktiviti sukan supaya anak tahu. Sekurang-kurangnya dia tidak fokus pada satu perkara sahaja dan serba boleh.
Oleh itu, ibu bapa kena pastikan apa yang dilakukan untuk anak bukan semata-mata paksaan tapi biar anak itu sendiri rasa seronok.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!