Apabila berhadapan dengan masalah bayi keliru puting, mama menyusu pasti rasa resah. Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk memastikan dia mahu kembali menyusus susu ibu. Dr Nurhaya Yacob, Pakar Laktasi IBCLC daripada Dr Nurhaya Lactation Center berkongsi langkah-langkahnya untuk mama praktikkan. Mari belajar bagaimana cara yang betul untuk memujuk si comel untuk kembali menerima payudara.
1. Jangan sesekali membiarkan bayi terlalu lapar untuk dia menerima payudara
Percayalah jika mama mengambil keputusan untuk menunggu sehingga bayi berasa lapar sebelum menyusukannya, ia tidak akan berjaya.
Sebaik-baiknya sekiranya perlu, berikan sedikit susu ibu terlebih dahulu. Contohnya 1/2 auns susu ibu perahan melalui cawan atau botol sebelum cuba menyusukan si comel. Ingat! Bayi yang tenang lebih mudah menerima payudara ibu berbanding dia di dalam keadaan yang sebaliknya.
2. Lakukan di tempat selesa dan tidak banyak gangguan atau menarik perhatian bayi
Sekiranya bayi sering terganggu dengan bunyi bising ataupun lampu, lakukan sesi penyusuan di dalam bilik. Sekiranya ia dilakukan pada waktu malam, malapkan lampu. Langkah memasang muzik latar atau alunan zikir boleh dicuba kerana ia boleh mencipta suasana yang tenang untuk bayi semasa menyusu.
3. Banyakkan sentuhan kulit ke kulit di antara mama dan anak
Walaupun bayi enggan menyusu, biarkan dia sentiasa berasa selesa dengan bau badan mamam. Biarkan sahaja dia tertidur di atas dada mama. Dengan cara sentuhan kulit ke kulit ini, ia dapat membantu mama mengenal pasti tanda-tanda ingin menyusu (feeding cue) yang biasa ditunjukkan oleh anak. Jadi, mama berkemampuan untuk memulakan pemberian susu ibu lebih awal dan tidak menunggu sehingga bayi berasa terlalu lapar.
Pendek kata, jangan berpisah daripada bayi dan jadikan dada mama sebagai tilam untuknya.
4. Tawarkan payudara sekerap mungkin dalam apa jua keadaan
Tidak kira sama ada ketika itu bayi sedang bermain atau telah memberi petunjuk tanda-tanda mahu menyusu, baru bangun daripada tidur mahupun mengantuk. Tidak kisah bila-bila masa pun boleh.
Umpamakan proses memperkenalkan payudara untuk memujuk bayi yang mengalami masalah keliru puting itu sebagai suatu permainan di antara mama berdua. Carilah cara yang bersesuaian untuk menyusu sama ada dilakukan sambil duduk, berbaring, berjalan atau mana-mana posisi yang mama selesa dengannya. Yakinlah! Mama pasti dapat mencari cara yang kreatif untuk memujuk bayi agar kembali menyukai payudara.
5. Pam sedikit payu dara terlebih dahulu
Mama digalakkan untuk memerah atau mengepam dahulu payudara. Mekanisma menyusu menerusi botol berbeza berbanding payudara. Tujuan pemerahan dilakukan adalah bagi memastikan refleks let down berlaku, seterusnya aliran susu menjadi jalan lancar semasa proses penyusuan berlangsung. Percayalah, ia dapat memudahkan bayi menghisap payudara dengan tenang dan selesa.
6. Pujuk bayi dengan suara yang lembut dan mesra
Sekiranya bayi tidak mahu menerima payudara, jangan tunjukkan rasa kecewa mama kepadanya. Sebaliknya, teruskanlah usaha untuk memujuknya. Jika selepas 10 minit mencuba dan bayi masih tidak mahu melekap, maka hentikan sesi itu dan jangan memaksa lagi.
Berikan masa berehat kepada bayi untuk sementara waktu. Cuba sekali lagi tidak lama selepas itu. Lakukannya sekali lagi dalam jangka masa yang lebih pendek! Sekiranya bayi masih tidak mahu juga, tangguhkan sesi itu dan cuba sekali lagi pada masa yang lain pula.
7. Hentikan cubaan
Sekiranya bayi menunjukkan tanda marah dan lapar tetapi masih tidak mahu melekap di payudara, hentikan cubaan dan berikan sedikit susu perahan sebelum mama mencuba lagi sekiranya perlu melakukannya. Ketika memberi susu itu, gunakan cawan atau picagari.
Selepas beberapa waktu, cuba tawarkan payudara sekali lagi. Jika masih gagal, tidak mengapa. Habiskan susu perahan itu atau tambahkan dengan kaedah penyusuan yang biasa anda gunakan.
8. Gunakan alat gendongan bayi
Semasa mengamalkan langkah sentuhan kulit ke kulit, cara selesa lain yang boleh mama lakukan ialah dengan mengamalkan penggunaan alat gendongan bayi seperti ring sling, wrap atau soft structure carrier (SSC).
Penggunaannya menjadikan mama berdua lebih rapat dan sesi itu menjadi lebih lama umpama ‘kembar siam’ ibu dan anak. Cara sebegini juga lebih cepat dan memudahkan anak menerima payudara dengan baik.
9. Biarkan bayi sekadar menjilat payudara terlebih dahulu
Apabila anak sudah mula menerima payudara, dia tidak terus menghisap dengan lahap. Kebiasaannya dia hanya menjilat terlebih dahulu, kemudian mengemam atau menghisap kosong.
Itu adalah permulaan yang cukup baik. Walaupun hisapan itu hanya untuk memberi keselesaan atau comfort suckle dan bukannya untuk menghisap mengeluarkan susu ibu, sekurang-kurangnya bayi sudah mula menerima puting.
10. Lakukan breast compression
Apabila anak sudah mula melekap dan menghisap payudara dengan betul, aliran susu yang lebih laju akan membantu bayi dalam menyusu. Untuk itu, mama boleh melakukan breast commpression atau memampatkan payudara bagi membantu meningkatlan aliran susu. Hal ini kerana bayi biasanya menggemari aliran yang laju.
11. Gunakan supplementary nursing system
Mama yang sedang dalam proses relaktasi dan mahu meningkatkan pengeluaran susu ibu boleh mempertimbangkan untuk menggunakan supplementary nursing system atau alat tambahan yang membantu proses penyusuan menggunakan tiub.
12. Gunakan nipple shield dengan nasihat
Sekiranya mahu menggunakan nipple shield, ia dibolehkan dalam kes-kes tertentu. Namun begitu, sebaik-baiknya dapatkan nasihat daripada pakar laktasi atau kaunselor laktasi sebelum menggunakannya. Untuk bayi di bawah satu minggu, elakkan penggunaannya kerana nipple shield boleh menyebabkan gangguan pengaliran susu daripada payudara ke bayi. Malah, ia juga boleh mengganggu penghasilan susu
13. Mandi bersama bayi
Mandilah bersama bayi di bawah pancuran air suam sambil melakukan sentuhan kulit ke kulit dan memerah susu menggunakan tangan. Pengenalan seperti ini lebih medekati alam rahim di mana air ketuban yang suam membuatkan bayi berasa tenang dan lebih mudah membuatkan dia menerima payudara.
14. Lakukan rangsangan oral
Mama boleh mengurut lidah, pipi bahagian dalam kiri dan kanan serta lelangit bayi. Lakukan ini sekerap mungkin. Ia sangat membantu mengembalikan bayi ke payudara.
Pemberian susu menggunakan botol tidak menggunakan semua otot mulut kerana mekanisme hisapannya berbeza. Maka, rangsangan oral ini sangan membantu. Lebih kerap mama lakukannya, lebih cepat untuk anak menerima payudara.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI