Belum pun sampai usia enam tahun, gigi anak sudah rongak dan menjadi kehitaman. Jangan biarkan sahaja kerana menjaga gigi perlu menjadi kewajipan pada mak ayah.
Persoalannya, kenapa masalah gigi kehitaman dan rongak ini berlaku pada anak kita?
Gigi rongak adalah satu keadaan di mana gigi mengalami kepecahan dan kehitaman lantas membuat ia tidak seperti gigi normal lagi. Kondisi ini sering berlaku kepada golongan kanak-kanak dan kebanyakan ibu bapa hanya membiarkannya kerana beranggapan bahawa ia adalah gigi susu sahaja.
Ya, mungkin benar bahawa karies gigi sering berlaku kepada gigi susu dan bukan gigi kekal kerana ia masih lagi belum kuat. Namun adalah tidak wajar untuk ibu bapa hanya membiarkannya kerana ia akan menjejaskan kehidupan kanak-kanak malang itu.
Jangan terlambat kerana ia akan menjejaskan kehidupan anak anda kelak.
Ibu bapa boleh perhatikan tanda-tanda bahaya ini:
* Mula muncul tompok putih di atas permukaan gigi anak * Tompok ini telah berubah warna menjadi kuning, perang atau hitam * Gigi anak mula mengalami kepecahan dan kehitaman * Sekiranya berlaku salah satu atau kesemua tanda di atas ini, segera bertindak dan bawa si kecil anda berjumpa dengan doktor gigi okay!
Ads
Punca gigi rongak?
Meskipun anak anda belum lagi pandai memberus dan memflos gigi mereka sendiri, ia tidak wajar dijadikan alasan oleh ibu bapa. Anda berperanan penting dalam usaha untuk mengajar mereka tentang tatacara penggunaan berus, ubat dan flos gigi di awal usia.
Dalam pada itu, sila berwaspada dengan beberapa punca kerosakan gigi si kecil seperti berikut:
#1. Pengambilan makanan & minuman
Untuk pengetahuan ibu bapa di luar sana, gigi anak anda mungkin akan rongak sekiranya banyak mengambil makanan dan minuman yang bergula. Ini kerana makanan dan minuman yang bergula ini seterusnya akan menyebabkan pembentukan plak sekali gus merosakkan tulang gigi si kecil. Jadi ibu bapa sila lebih awasi diet mereka.
Ads
#2. Pendedahan terhadap paras pH rendah
Kerosakan gigi anak juga boleh berlaku akibat kekacauan dalam proses pertumbuhan gigi (contohnya amelogenesis atau dentinogenesis imperfecta).
Ia boleh berlaku akibat pendedahan terhadap persekitaran mulut dengan paras pH rendah bercampur air liur, kuman, sisa makanan dan sebagainya.
#3. Tabiat menghisap botol susu
Ia mungkin merupakan satu tabiat yang tidak dapat dielakkan kerana si kecil perlu untuk menyusu menggunakan botol susu di awal usia mereka.
Pun begitu, tabiat inilah yang akan menyebabkan kerosakan gigi terutamanya jika meminum minuman yang tinggi kandungan gula di dalamnya.
Bukan tidak boleh, cuma cuba kurangkan!
Ads
#4. Jangkitan
Selain itu, gigi yang rongak juga mungkin berpunca daripada jangkitan kuman antaranya Mutans Streptococci (MS) yang akan membentuk karies gigi.
Ia boleh merebak dan membiak melalui perkongsian air liur antara kanak-kanak dengan individu lain (contohnya ketika berkongsi makanan atau minuman).
Seperti mana penyakit yang lain juga, gigi rongak adalah lebih mudah untuk dicegah berbanding dirawat. Menurut pakar pergigian ada beberapa cara yang ibu bapa boleh cuba amalkan termasuklah:
Kurangkan memberi anak makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula
Elakkan anak daripada tidur bersama botol susu di mulut sepanjang tempoh lena
Ajarkan anak tentang tatacara yang betul untuk memberus dan memflos gigi
Pastikan anak menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida
Bersihkan kawasan gigi rongak dengan menggunakan peralatan yang disarankan doktor gigi
Cabutkan gigi anak yang telah rosak setelah berunding dengan doktor gigi
Sebaik-baiknya, ibu bapa perlu selalu membawa anak berjumpa doktor gigi secara berkala contohnya seperti 6 bulan sekali untuk menjalani pemeriksaan.
Ya, ia mungkin akan menjadi satu cabaran yang agak besar kerana kebanyakan kanak-kanak akan berasa sangat takut untuk melakukan pemeriksaan ini.
Oleh itu, cuba pujuk mereka dengan bijak dan menawarkan sesuatu selepas sahaja mereka bersetuju untuk bertemu dengan doktor gigi.
Kredit: hellodoktor.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila sistem imun seorang kanak-kanak tidak dapat melindungi diri mereka daripada alergi terhadap bahan dalam makanan, debu atau perkara tertentu, ia sebenarnya adalah tindak balas yang menyebabkan mereka mempunyai alahan.
Alahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur, aktiviti sosial dan di sekolah. Kanak-kanak dengan masalah ekzema iaitu situasi awal alahan paling awal boleh menyebabkan mereka cenderung untuk mempunyai alahan terhadap benda lain.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr Ezairy M Sallih, menyatakan mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, penting untuk mak ayah tahu bahawa alahan ini lebih mudah berlaku bila kanak-kanak itu sendiri mempunyai keluarga dengan sejarah alahan.
Tiada ibu bapa yang mahu melihat anaknya menderita. Ibu mana yang mahu melihat anaknya jatuh sakit dan hidup dengan penuh kesengsaraan. Betul?
Hakikatnya, mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, tahukah anda bahawa ianya lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai keluarga dengan sejarah alahan? Maknanya, jika anda sendiri ada masalah alahan, anak anda juga turut sama berisiko untuk mendapat masalah yang sama.
Saya faham adalah amat sukar untuk ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka daripada terdedah kepada segala punca alahan sama ada datangnya daripada persekitaran, makanan dan sebagainya. Oleh itu, saya sering menasihatkan ibu bapa yang berjumpa saya agar lebih menumpukan perhatian kepada pemantauan gejala alahan anak-anak mereka. Pastikan bahawa semua simptom yang dialami tidak mengganggu kehidupan seharian anak-anak. Dan apa yang lebih penting, ia tidak mengganggu perkembangan IQ, EQ dan persekolahan anak-anak kita!
Jika ibu bapa mampu mengenalpasti punca alergi yang dialami oleh anak-anak, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kualiti hidup anak anda, mengurangkan jumlah hari tidak hadir ke sekolah dan ia juga akan membantu meningkatkan lagi perkembangan akademik anak-anak anda.
Sebenarnya, ada banyak punca-punca alahan yang boleh dialami oleh anak-anak. Kebiasaan pesakit yang saya temui mengadu mengalami gejala alahan apabila mengambil sesetengah makanan seperti makanan berasaskan kacang, telur, udang, ketam, kerang, ayam dan sebagainya.
Perlu diingatkan juga bahawa setiap anak-anak ini tidak sama punca alahan yang dialami. Anda tidak boleh menganggap jika anak sulung anda alergik kepada udang, maka semua anak-anak yang lain turut mengalami alahan kepada jenis makanan yang sama. Tak sama, puan-puan…
Punca ada di sekeliling kita
Saya senaraikan beberapa punca alahan yang boleh berlaku kepada anak-anak kita. Semoga ia boleh menjadi panduan kepada anda yang masih belum berjaya mengenalpasti apa punca alahan anak-anak anda.
Persekitaran luar : Ia boleh disebabkan oleh debunga pokok, tumbuh-tumbuhan dan habuk serta asap yang ada di luar rumah.
Persekitaran dalam rumah sendiri : Ia mungkin daripada bulu binatang peliharaan kita seperti kucing contohnya. Boleh juga disebabkan hama atau habuk yang terperangkap pada sarung bantal, tilam, langsir, permaidani atau mungkin juga pada penghawa dingin kita!
Makanan : Ada beberapa jenis makanan yang agak biasa dikaitkan dengan punca-punca alahan seperti kacang tanah, telur, makanan laut, coklat dan susu.
Lain-lain : Selain itu, ada juga pesakit yang mudah untuk mengalami alahan apabila terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan di luar rumah, minyak wangi dan sebagainya.
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar di sini. Anda perlu memantau segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak anda. Ianya termasuklah gejala seperti kerap-kerap bersin, hidung berair, kegatalan pada mata, masalah pada kulit dan ini semua biasanya berlaku kepada anak-anak yang sememangnya ada alahan terhadap sesuatu ‘allergen’ yang mereka sepatutnya tahu lebih awal lagi.
Saya sering menerima beberapa soalan daripada ibu bapa tentang bagaimana untuk kita kenalpasti bahawa anak kita ini sebenarnya sedang mempunyai gejala-gejala alahan terhadap sesuatu makanan? Adakah beberapa perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian?
Oleh itu, saya senaraikan beberapa simptom yang amat biasa ditemui di kalangan anak-anak kita apabila mereka sedang mengalami gejala alahan terhadap sesuatu keadaan atau makanan.
Simptom anak terkena alahan
Ruam kemerah-merahan pada kulit : Ini biasa berlaku kepada anak-anak kita jika mereka lebih sensitif kepada sesuatu keadaan terhadap kulitnya. Jika ini berlaku kepada anak-anak anda secara berulang kali, maka anda perlu kenalpasti apa puncanya seberapa segera yang mungkin.
Gejala pada hidung : Anak-anak yang mempunyai masalah alahan juga akan mengalami simptom-simptom alahan pada hidung. Anda akan dapati anak anda kerap alami gatal-gatal pada hidung, mudah bersin-bersin dan hidung berair. Keadaan ini biasanya berlaku apabila mereka terdedah kepada ‘allergen’ yang menyebabkan masalah ini berlaku. Seboleh-bolehnya, cuba kenalpasti apa punca yang menyebabkan ia berlaku supaya masalah ini tidak terus berlarutan tanpa pemantauan rapi oleh anda.
Simptom pada tekak : Pesakit biasanya akan lebih kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak. Sebab itu ada ramai juga pesakit yang mengadu mengalami masalah tidak selesa dan sakit pada kawasan tekak.
Simptom pada mata : Anak-anak anda bukan sahaja ada masalah pada kulit dan hidung, bahkan mereka juga boleh alami masalah gatal-gatal pada mata, mata kerap rasa kering atau kadang berair, dan ianya lebih biasa berlaku apabila mereka terdedah kepada punca alahan.
Sesak nafas : Jangan dibuat main tentang masalah alahan ini. Jika ianya tidak ditangani dan dikenalpasti lebih awal, anda mungkin sengaja membiarkan anak anda terus menjalani kehidupan dengan terdedah kepada punca-punca alahan yang sebenarnya yang boleh membahayakan mereka! Ada sesetengah kes dimana jika ia gagal ditangani dengan baik oleh ibu bapa, ia boleh mengakibatkan sesak nafas yang teruk. Ada kes sehingga boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam wad hospital!
Masalah pada sistem pencernaan : Ada juga keadaan di mana anak anda mungkin mengalami gejala alahan dalam bentuk seperti cirit-birit dan sakit perut. Walaupun agak tidak kerap ditemui berbanding gejala-gejala lain, namun simptom ini juga perlu diketahui oleh ibu bapa agar mereka tahu apa permasalahan yang sedang dialami oleh anak-anak mereka.
Kita perlu sedar bahawa pesakit ‘allergic rhinitis’ atau alahan resdung ini jika tidak mendapatkan rawatan yang sesuai, cecair berlendir di dalam ruang sinus akan terus berkumpul dalam ruang sinus hidung pesakit. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus!
Jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kuning di dalam sinus. Masalah ini akan menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih buruk seperti berat pada kawasan muka, pening kepala, dan ada kes yang memerlukan ubat antibiotik.
Ada ibu bapa yang bertanya kepada saya, bagaimana mahu memastikan bahawa gejala serta masalah ini tidak berulang? Bolehkah masalah ini hilang sampai bila-bila? Di sinilah perlunya peranan ibu bapa di rumah. Pastikan anda berjaya kenalpasti apa punca yang menyebabkan anak-anak anda dapat simptom alahan ini. Ianya mungkin daripada makanan, persekitaran, habuk, hama dan sebagainya. Setelah punca alahan ini berjaya dikenalpasti, maka elakkan. Saya percaya masalah ini akan selesai atau sekurang-kurangnya akan lebih mudah untuk ditangani jika punca alahan ini berjaya dikenalpasti dengan lebih awal lagi.
Ada banyak sebenarnya rawatan yang boleh dilakukan di hospital bagi memastikan masalah ini tidak terus berlarutan dan berjaya ditangani dengan baik.
Untuk langkah awal, kami di klinik telinga, hidung dan tekak akan menasihatkan pesakit untuk menjalani ujian ‘allergy skin test’. Melalui ujian ini, doktor akan melakukan ujian kepada pesakit. Ada lebih 40 ‘allergen’ akan disuntik ke kulit pesakit bagi mengenalpasti punca alahan pesakit tersebut. Setelah lebih dua puluh minit, doktor akan membaca keputusan berdasarkan tindak balas yang berlaku pada kulit pesakit.
Melalui ujian ini biasanya pesakit akan mengetahui apakah punca-punca alahan yang mereka sedang alami. Pastinya, mereka akan berjaya mengelakkan semua punca-punca tersebut selepas itu dan masalah alahan yang dialami selama ini akan berjaya dikawal dengan lebih baik.
Selain menjalani ujian yang saya sebutkan tadi, kami juga akan melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Bagaimana struktur dalam hidung tekak, mulut, telinga, mata dan kulit pesakit. Jika masalah alahan pada hidung yang dialami amat mengganggu pesakit, mereka boleh dibantu dengan ubat ‘intranasal steroid’ yang bertujuan untuk mengurangkan tindak balas inflamasi pada dalam hidung dan seterusnya boleh membantu pesakit mengawal masalah yang dialami.
Pembedahan kecil juga akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinet).
Masalah seperti gatal-gatal pada hidung dan mata boleh juga dibantu dengan memberi ubatan seperti ‘oral antihistamine’. Ubat-ubat ini perlulah diambil dengan pemantauan dan selepas pesakit mendapat pemeriksaan daripada doktor di klinik atau hospital terdekat.
Sebagai pesanan terakhir daripada saya, sayangilah anak-anak kita. Jangan biarkan masalah kesihatan yang dialami mereka berterusan tanpa pemantauan baik daripada kita sebagai insan yang paling dekat dengan mereka. Ingatlah bahawa anak-anak ini adalah anugerah yang tidak ternilai untuk kita.
Semoga kita semua diberi kesihatan berpanjangan dan sentiasa duduk di bawah limpahan rahmat dan kebahagiaan milikNya.
Karies awal kanak-kanak adalah kerosakan gigi yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Ia melibatkan satu atau lebih batang gigi. Ia merupakan proses pendemineralan asid terhadap gigi akibat kehadiran plak (tahi gigi) dan air liur.
Apakah faktor penyebab penyakit ini?
Kekerapan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi gula tinggi
Kurang/tidak memberus gigi
Teknik memberus gigi yang tidak berkesan menanggalkan plak
Apakah faktor lain yang boleh meningkatkan risiko mendapat kerosakan gigi?
Menyusu botol yang mengandungi sukrosa
Transmisi bakteria daripada ibu kepada anak melalui air liur (Cth: Ibu dan anak berkongsi sudu makanan)
Higin mulut ibu yang teruk
Pengambilan ubat yang mengandungi gula
Apakah langkah yang boleh diambil untuk mencegah penyakit ini?
Pengambilan diet yang mengandungi gula rendah
Penggunaan ubat gigi berfluorida ( kandungan fluorida ?1000ppm)
Memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida
Ibu/bapa/penjaga perlu membantu kanak-kanak memberus gigi. Ibu/bapa atau penjaga perlu mengangkat bibir atas kanak-kanak (Lift the Lip), untuk memastikan tiada plak terkumpul di bahagian pinggir gusi.
Keluarkan botol susu dari mulut sebaik sahaja habis menyusu botol
Berhenti menyusu menggunakan botol (umur 1-3 tahun) dan diganti dengan cawan
Menggunakan ubat ‘bebas gula’ sekiranya perlu makan ubat berbentuk cecair
Minum air masak/berkumur selepas ambil ubat cecair yang mengandungi gula
Menjalani pemeriksaan gigi setiap 6 bulan
Apakah rawatan kerosakan gigi?
Rawatan fluorida topikal
Rawatan pengapan fisur
Rawatan tampalan amalgam
Rawatan tampalan komposit
Rawatan tampalan simen ionomer kaca
Rawatan korona keluli nirkarat
Rawatan pulpa
Rawatan cabutan
Perlukah pesakit dirawat dengan kaedah bius umum?
Sekiranya rawatan yang sempurna tidak dapat diberikan di klinik, rawatan komprehensif dengan kaedah bius umum wajar dipertimbangkan. Dengan kaedah ini, kesemua gigi yang rosak akan dirawat, sama ada untuk tampalan, rawatan pulpa dan rawatan korona, ataupun cabutan supaya mulut kanak-kanak menjadi bebas penyakit.
Perlukah pesakit dipanggil semula setelah selesai rawatan?
Pesakit perlu dipanggil semula setiap tiga bulan untuk memastikan penyakit kerosakan gigi terkawal dan tidak berulang.
Plasenta atau uri yang berada pada kedudukan tidak normal sememangnya mengundang bahaya kepada ibu hamil. Malah beberapa risiko lain turut memberi masalah kepada ibu. Kenal pasti risikonya.
Ada beberapa kriteria plasenta tidak normal yang boleh mengundang bahaya kepada ibu iaitu:
1. Uri melekat (retained placenta)
Tanda dan risiko:
a. Ketiadaan tanda-tanda plasenta sudah lekang selepas 30 minit menunggu.
b. Pengalaman lepas, ibu pernah mengalami masalah plasenta melekat.
c. Pernah menjalani pembedahan Ceasarean sebelum ini.
d. Pernah menjalani D&C.
e. Mempunyai anak ramai.
f. Kandungan kembar.
g. Kehamilan lewat usia.
Cara menanganinya:
Ibu perlu dibius. Seterusnya doktor akan cuba membuat MRP dengan memasukkan seluruh tapak tangan ke dalam rahim dan hujungnya akan digunakan untuk mengikis permukaan uri yang melekat di dinding rahim.
Doktor akan mengeluarkan plasenta sepenuhnya atau sedikit demi sedikit (serpihan).
Bagaimanapun terdapat risiko dengan cara ini iaitu:
– Uri tidak dapat dikeluarkan sebab tertanam di dalam lapisan otot dinding rahim. Ia dikenali sebagai acretal/percreta. Boleh menyebabkan pendarahan yang banyak. Doktor akan memberikan ubat methtrexate untuk mengecutkan sel-sel plasenta supaya ia keluar sendiri atau melalui pembedahan histeraktomi (buang rahim) terutama kepada pesakit yang sudah cukup bilangan anak atau lewat usia.
– Serpihan uri tidak lengkap. Mungkin doktor akan melakukan D&C untuk mencuci hingga rahim bersih.
– Berlaku jangkitan.
– Luka pada dinding rahim (perfocation) tetapi jarang berlaku.
2. Uri di bawah (placenta previa)
Lokasi plasenta di bawah ini boleh disahkan selepas usia kandungan 8 bulan melalui pemeriksaan ultrasound. Tanda-tanda masalah ini ialah:
-Pendarahan yang tidak sakit pada trimester pertama kehamilan.
-Kedudukan bayi yang tidak normal seperti melintang atau menyongsang.
Jenis-jenis plasenta previa: Minor – Tidak menutupi keseluruhan rahim. Wanita ini mempunyai peluang untuk bersalin normal. Tetapi jika berlaku pendarahan, pembedahan Ceasarean perlu dilakukan.
Major – Uri menutupi keseluruhan rahim. Pembedahan Ceasarean perlu dilakukan. Antara risikonya termasuk pendarahan banyak, kelahiran kecemasan dan kelahiran pramatang.
3. Uri lekang (abraptio placenta)
Plasenta lekang daripada tempatnya sebelum bayi dilahirkan. Biasanya berlaku semasa trimester ketiga kehamilan atau sewaktu kontraksi. Antara tanda-tandanya:
– Pendarahan yang banyak berbanding darah biasa diiringi dengan kesakitan.
– Denyutan nadi anak semakin menurun kerana dia cemas.
– Kes-kes ekstrem, degupan jantung anak tidak dapat dikesan menyebabkan dia lemas. Kadangkala masalah ini berlaku pada ibu yang mempunyai darah tinggi, bersalin kembar, kembar air (ketuban banyak) dan ibu yang mengamalkan urutan untuk membetulkan kedudukan plasenta atau bayi.
Jika doktor mendapati bayi masih hidup dan pintu rahim masih terbuka, pembedahan Ceasarean akan dijalankan. Jika pintu rahim sudah terbuka dan bayi masih stabil, doktor akan membenarkan ibu bersalin normal. Kalau bayi sudah meninggal pun, ibu tetap perlu bersalin normal.
4.Serpihan plasenta tertinggal (retained placenta tissue)
Boleh berlaku sejurus kelahiran bayi atau selepas ibu pulang ke rumah. Antara tanda-tandanya:
– Darah nifas yang banyak dan tidak berkurangan diiringi dengan ketulan darah yang banyak.
– Rengat yang berterusan dan teramat sakit.
– Darah nifas berbau menunjukkan jangkitan sudah berlaku.
Doktor akan mengesahkan terdapat serpihan plasenta tertinggal melalui pemeriksaan ultrasound. D&C akan dijalankan bagi membersihkan rahim dan kikisan serpihan plasenta akan dihantar ke makmal untuk mengesahkannya.
Apakah semua kes serpihan plasenta perlu menjalani D&C?
Hal ini bergantung pada serpihan yang tertinggal. Jika tidak banyak pendarahan, doktor akan memberi antibiotik dan serpihan akan keluar bersama darah nifas.
Adakah masalah serpihan plasenta tertinggal boleh dielakkan?
Hal ini merupakan satu kontroversi di kalangan pakar perubatan. Doktor dapat mengeluarkan plasenta sepenuhnya tetapi masalah selaput plasenta masih tertinggal masih boleh berlaku.
Masalah plasenta succencuriate lobe yakni tertinggal serpihan daging tambahan plasenta yang tidak diketahui oleh doktor boleh membawa kepada pendarahan yang banyak selepas pulang ke rumah. Bagaimanapun masalah ini jarang berlaku.
Wow best giler! Inilah peluang untuk semua followers Pa&Ma dan Pn Nad Masrom bersama rakan-rakan menyambut MINGGU PENYUSUAN SEDUNIA bersama-sama di WEBINAR PENYUSUAN – SYOKNYA SUSUKAN ANAK!
Bukan itu sahaja ya, ada banyak hadiah cabutan menarik kita sediakan. Antaranya, baucar penginapan 2H 1M di hotel best, pam susu elektrik serta banyak lagi.
Bila anak mengamuk, mak ayah mulalah rasa tak keruan. Bertambah rasa tak keruan bila mana anak mula mengamuk serentak. Apa nak buat bila dalam situasi macam ni?