Kalau Nak Mudah Hamil, Boleh Cuba 4 Rawatan Kesuburan Ini

Share

Pasangan suami isteri yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama berumah tangga pasti mahu memiliki cahaya mata sendiri.

Namun, ada yang diuji apabila masih belum diberikan rezeki anak untuk ditatang dan disayang.

Dengan adanya teknologi perubatan yang semakin maju, pelbagai alternatif rawatan kesuburan boleh membantu proses kehamilan.

Biarpun begitu, anda dan pasangan perlu mendapatkan pandangan doktor dalam memilih rawatan kesuburan yang bersesuaian.

Ubat hormon

Clomid adalah ubat hormon yang sering digunakan untuk meningkatkan kesuburan. Ia membantu wanita membebaskan telur pada peringkat ovulasi di kitaran haid secara berkesan.

Ia berlaku dengan adanya peningkatan rembesan hormon follicle stimulating hormone (FSH) dan luteinizing hormone (LH).

Lazimnya, doktor akan mengsyorkan ubat ini sekiranya wanita mempunyai kitaran haid yang tidak normal. Ia perlu diambil pada hari ketiga haid selama lima hari.

Ovulasi akan berlaku selepas 7 hingga 8 hari rawatan ubat hormon. Doktor kemudiannya akan mengesahkan waktu ovulasi serta waktu terbaik untuk melakukan hubungan seksual.

Waktu ovulasi dapat disahkan dengan beberapa ujian seperti ujian darah, ujian suhu badan basal serta ultrasound. Sepanjang pengambilan ubat, pesakit akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti kembung perut, dan tidak selesa semasa melakukan hubungan intim.

Suntikan hormon

Suntikan Human Chorionic Gonadotropin (HCG) membantu pembentukan telur yang sihat dalam rahim wanita. Ia juga membantu pembebasan telur semasa peringkat ovulasi.

Kaedah ini adalah alternatif sekiranya ubat hormob tidak berkesan kepada tubuh pesakit.

Selain pada wanita, ubat ini juga berkesan meningkatkan jumlah sperma pada lelaki. Suntikan ini juga meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat kembar dua atau tiga.

Kaedah ini terbukti membantu peningkatan kebarangkalian untuk mengandung sebanyak 15% dalam satu kitaran ovari.

Suntikan ini memberi kesan sampingan minimum pada badan seperti kemerahan pada bahagian suntikan serta bengkak pada bahagian dada. Sesetengah wanita yang mengamalkan kaedah ini juga mengalami ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS) terutamanya pada kitaran pertama penggunaan ubat ini. Jika simptom semakin serius seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit, dapatkan nasihat doktor segera.

Intra Uterine Insemination (IUI)

Teknik IUI dilakukan dengan memindahkan sperma lelaki yang bergerak pantas terus ke dalam rahim wanita melalui satu tiub halus sewaktu ovulasi hampir berlaku.

Doktor akan mengesyorkan kaedah ini sekiranya wanita mempunyai masalah ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan. Prosedur ini juga dilakukan sekiranya lelaki mempunyai masalah ejakulasi pramatang atau sperma yang tidak begitu bermasalah.

Dengan teknik ini, isteri perlu mengambil ubat kesuburan untuk beberapa hari sebelum prosedur dilakukan. Suami pula perlu menyediakan sampel sperma semasa hari prosedur. Sperma yang sihat akan dipilih dan dipindahkan terus ke dalam rahim melalui tiub kecil.

In-vitro (IVF)

Ia dilakukan dengan cara mensenyawakan sampel sperma dan telur di dalam makmal. Kemudian embrio yang terhasil akan dipindahkan dalam rahim wanita.

Doktor akan mencadangkan kaedah ini sekiranya isteri mempunyai masalah pada tiub fallopian atau kitaran ovulasi; suami mempunyai masalah kekurangan sperma atau sperma yang tidak subur.

Isteri akan diminta supaya mengambil ubat kesuburan bagi mendapatkan beberapa telur. Kemudian, doktor akan memilih telur yang sihat untuk menjadi sampel melalui teknik ultrasound dan pembedahan kecil.

Si suami pula perlu menyediakan sampel sperma. Dalam peringkat insemination, telur dan sperma akan digabungkan dan disimpan di makmal untuk pemerhatian. Jika berjaya, gabungan tersebut akan bertukar menjadi embrio dan akan dipindahkan di dalam rahim isteri.

 

IKLAN