6. Kurangkan berkata JANGAN. Contoh baik: “Adik kat dapur kena jalan perlahan.”
7. Cakap terima kasih pada anak. Contoh baik: “Terima kasih tolong papa sangkut tuala cantik-cantik.” Contoh tak baik: “Dah habis mandi nanti jangan tinggal tuala kat lantai pula.”
Seperti mana kita bina ‘connection’ dengan orang disekeliling untuk dapatkan kepercayaan mereka, macam tu juga kita kena bina ‘connection’ dengan anak sendiri.
Percayalah bila kita cuba buat perkara ni, kita akan jadi lebih rapat dengan anak.
Anak akan rasa ‘connected’ dan percaya dengan kita. Waktu tu lebih mudah untuk dia ikut cakap kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila ada anak kecil di rumah, terutama bayi dan toddler, rumah yang nampak selamat pun boleh jadi tempat paling berisiko. Anak kecil sifatnya ingin tahu, suka memanjat, belum faham bahaya dan boleh bergerak dalam beberapa saat sahaja.
Kes kanak-kanak jatuh dari bangunan tinggi masih berlaku, termasuk insiden maut di kediaman bertingkat di Malaysia yang mencetuskan gesaan supaya ciri keselamatan seperti gril, jaring pelindung, kunci keselamatan dan had bukaan tingkap diberi perhatian serius.
Terbaru kes meruntun jiwa berlaku di Johor, dua beradik maut dipercayai terjatuh dari pangsapuri tingkat tujuh bangunan. Siapa sangka, kejadian ini masih berlaku saban waktu.
Sehubungan itu, ibu ayah wajib kenal pasti 10 tempat bahaya di rumah untuk mengelak perkara yang tidak diingini hingga membawa maut.
Tingkap antara tempat paling bahaya, terutama jika ada sofa, katil atau meja berhampiran. Anak boleh panjat dan menolak tingkap tanpa ibu ayah sedar. Jangan bergantung pada mosquito net atau skrin tingkap kerana ia tidak direka untuk menahan berat anak. CPSC menyarankan pemasangan window guard dan window stop supaya tingkap tidak terbuka luas.
Barang perlu ada: window lock, window restrictor, gril keselamatan, safety mesh, window stopper.
Balkoni rumah apartment atau kondominium wajib jadi kawasan larangan untuk anak kecil tanpa pengawasan. Jangan letak kerusi, pasu, rak kasut atau meja kecil di balkoni kerana semuanya boleh jadi “tangga” untuk anak memanjat.
Barang perlu ada: kunci pintu sliding, childproof lock, safety net, gril halus, alarm pintu.
Ramai anak boleh buka pintu sliding sendiri, lebih-lebih lagi bila sudah pandai meniru orang dewasa. Pastikan pintu ke balkoni sentiasa berkunci, bukan sekadar ditutup.
Barang perlu ada: sliding door lock, door stopper, safety latch bahagian atas pintu.
Ini perangkap biasa di rumah. Sofa tepi tingkap nampak cantik, tapi sangat bahaya untuk toddler yang suka memanjat. Alihkan semua perabot jauh daripada tingkap.
Barang perlu ada: susun atur selamat, anchor perabot, penghadang kawasan tingkap.
Tangga boleh menyebabkan jatuh, kepala terhantuk atau patah tulang. Pasang penghadang di bahagian atas dan bawah tangga, bukan hanya satu bahagian.
Barang perlu ada: safety gate, anti-slip tape, lampu tangga, handrail.
Dapur penuh risiko seperti air panas, pisau, minyak panas, gas dan periuk bertangkai panjang. Anak kecil boleh tarik pemegang periuk atau buka kabinet bahan pencuci.
Barang perlu ada: cabinet lock, stove knob cover, fire extinguisher, child gate ke dapur.
Anak boleh tergelincir, lemas dalam baldi atau terjatuh dalam tandas. Bayi boleh lemas dalam air yang sedikit, jadi jangan tinggalkan anak walaupun sekejap.
Barang perlu ada: anti-slip mat, toilet lock, penutup baldi, thermometer air mandi.
Perabot berat boleh tumbang jika anak panjat. CPSC turut menekankan kepentingan memasang perabot pada dinding bagi mengurangkan risiko tip-over.
Barang perlu ada: furniture anchor, wall bracket, drawer lock, TV safety strap.
Tali langsir atau blind boleh menyebabkan anak terjerut dalam beberapa saat. CPSC menyarankan pilihan cordless window coverings sebagai pilihan paling selamat untuk rumah dengan anak kecil.
Barang perlu ada: blind tanpa tali, cord cleat, cord winder, langsir ringkas tanpa tali berjuntai.
Anak kecil suka memasukkan jari atau objek kecil ke dalam soket. Wayar berselirat pula boleh menyebabkan anak tersadung atau menarik barang berat.
Barang perlu ada: socket cover, cable organiser, plug box, suis keselamatan.
Cuba duduk atau merangkak pada paras mata anak. Dari situ ibu ayah akan nampak bahaya yang selalu terlepas pandang seperti bucu meja, soket rendah, kerusi dekat tingkap, pintu balkoni yang mudah dibuka dan laci yang boleh dipanjat.
Keselamatan anak bukan hanya tentang “jangan panjat” atau “jangan buka tingkap”. Anak kecil belum mampu menilai risiko. Tugas kita ialah jadikan rumah lebih selamat sebelum kejadian berlaku. Satu kunci tambahan, satu gril, satu safety gate atau satu window restrictor mungkin nampak kecil, tapi itulah yang boleh menyelamatkan nyawa anak.
Satu isu yang pada mulanya kelihatan remeh kini menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa dan warga pendidik selepas tular sebuah perkongsian mengenai tugasan Sains seorang murid Tahun 1 yang dipangkah gara-gara penggunaan warna merah yang dianggap tidak menepati arahan.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, Cikgukamil436, yang berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp antara seorang ibu dan guru anaknya berhubung tugasan pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup.
Berdasarkan lembaran kerja yang dikongsikan, murid berkenaan diminta mewarnakan objek mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu:
Menerusi tugasan itu, murid terbabit dilihat berjaya mengelaskan semua objek dengan tepat mengikut arahan yang diberikan. Malah, jawapan bertulis pada bahagian bawah lembaran kerja juga dilaporkan betul tanpa sebarang kesilapan.
Namun begitu, sebahagian jawapannya tetap dipangkah kerana warna yang digunakan dikatakan lebih menyerupai merah hati berbanding merah terang seperti yang dimaksudkan oleh guru.
Menurut penjelasan guru tersebut, hanya seorang murid melakukan kesilapan itu manakala murid lain menggunakan warna yang dianggap lebih tepat.
“Warna merah dia tu lebih kepada merah hati kan. Setahu saya dia seorang yang salah, orang lain semua betul. Dia cakap dia tak ada warna merah terang,” jelas guru berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, ibu murid berkenaan tampil mempertahankan anaknya.
Menurutnya, objektif utama tugasan tersebut adalah untuk menilai kefahaman murid mengenai konsep pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup, bukannya menentukan ton warna yang digunakan.
Beliau turut menjelaskan bahawa anaknya tetap mematuhi arahan soalan dengan menggunakan warna merah walaupun dalam ton yang lebih gelap.
“Dari segi pemahaman konsep, anak saya warnakan kumpulan yang betul mengikut arahan soalan. Kasihan pada murid yang sudah faham konsep Sains tapi ditolak markah hanya kerana isu ton warna pensel,” katanya.
Tambahnya lagi, isu berkenaan lebih berkait dengan kekangan alat tulis yang dimiliki murid dan bukannya kegagalan memahami arahan yang diberikan.
Walaupun penjelasan telah diberikan oleh ibu murid tersebut, guru berkenaan tetap mempertahankan tindakannya.
Menurut guru itu, langkah memangkah jawapan dibuat bagi memastikan murid lebih peka dan cakna terhadap arahan yang diberikan.
Guru tersebut turut meminta agar lembaran kerja berkenaan dibawa semula ke sekolah untuk diperbetulkan.
“Saya buat macam tu supaya anak puan cakna dengan arahan. Kalau puan nak saya betulkan semula, bawa kertas tu Jumaat,” katanya.
Meninjau ruangan komen, ramai pengguna media sosial berpendapat bahawa warna merah tetap dianggap merah walaupun mempunyai ton yang berbeza.
Ada yang berpandangan tindakan tersebut boleh mengelirukan murid serta memberi kesan kepada motivasi mereka untuk belajar.
“Sedangkan budak tak sempat jawab atau kosong pun kita bagi peluang jawab semula. Ini pula warna yang jelas sekali warna merah,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen yang mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan warna turut berkongsi pandangan yang sama.
“Red is red. Doesn’t matter whatever tone it is. It’s a Science class, bukan Art class.”
Tidak kurang juga yang berseloroh mengenai situasi tersebut dengan mempersoalkan bagaimana guru akan menentukan ton merah yang perlu digunakan jika murid mempunyai set pensel warna yang menawarkan pelbagai pilihan warna merah.
“Kalau anak bawa set 60 warna dengan tujuh tona merah berbeza, kena tanya guru dulu yang mana satu merah yang dibenarkan?”
Dalam masa sama, pendidik terkenal, Cikgu Mohd Fadli Salleh, turut mengulas isu yang sedang menjadi perhatian ramai itu.
Menurut beliau, kesahihan perkongsian tersebut masih belum dapat dipastikan dan beliau tidak menolak kemungkinan ia sekadar kandungan yang dihasilkan bagi menarik perhatian pengguna media sosial.
Bagaimanapun, sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku, beliau berpandangan bahawa guru berkenaan telah melakukan kesilapan.
“Arahan soalan jelas, warnakan merah. Bukan merah terang. Jadi apa-apa warna merah diterima betul. Bahkan kalau warna pink pun boleh diterima. Pink kan merah jambu.”
Walaupun isu ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, perbincangan yang tercetus memperlihatkan betapa pentingnya keseimbangan antara pematuhan arahan dan penilaian terhadap kefahaman murid, khususnya bagi pelajar sekolah rendah.
Bagi ramai ibu bapa dan pendidik, perkara yang lebih utama adalah memastikan murid benar-benar memahami konsep yang diajar, selain mengekalkan keyakinan serta semangat mereka untuk terus belajar tanpa takut melakukan kesilapan kecil yang tidak menjejaskan objektif pembelajaran.
Sumber: Threads @cikgukamil4436
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu ayah mungkin pernah mendengar ayat, “Tak apa, nanti pandailah dia sendiri,” apabila anak lambat bercakap, lambat berjalan, susah fokus atau sukar bergaul dengan orang lain.
Memang benar setiap anak membesar pada kadar yang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada yang lambat sedikit. Ada yang aktif bergerak, ada pula yang memerlukan lebih masa untuk yakin mencuba sesuatu.
Namun begitu, ibu ayah juga tidak boleh terlalu lama menunggu jika perkembangan anak kelihatan jauh berbeza daripada usia sepatutnya. Masalah pembelajaran anak bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Ia bukan tanda ibu ayah gagal mendidik, bukan juga bermaksud anak malas atau degil. Sebaliknya, ia mungkin petunjuk awal bahawa anak memerlukan pemerhatian, sokongan dan bantuan yang lebih sesuai.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Wai Loong, di Malaysia seramai 7.4 peratus kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022.
Kadar prevalens tersebut merangkumi kelewatan dalam kemahiran motor kasar sebanyak 1.0 peratus, kemahiran motor halus 1.9 peratus, pertuturan dan pendengaran 2.7 peratus serta perkembangan sosial 4.1 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa statistik ini menunjukkan kepentingan pengesanan awal dan bantuan yang sesuai bagi menangani cabaran perkembangan kanak-kanak dengan lebih berkesan.
Walaupun angka ini kelihatan kecil, bagi ibu ayah yang sedang membesarkan anak, ia membawa makna yang sangat besar. Setiap kelewatan perkembangan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran apabila anak mula memasuki taska, tadika atau sekolah.
Pembelajaran bukan sekadar kebolehan membaca, mengira atau menulis. Sebelum mencapai tahap tersebut, anak perlu menguasai pelbagai kemahiran asas yang menjadi asas kepada perkembangan mereka.
Anak perlu mampu duduk dengan stabil, memegang pensel, mendengar arahan, memahami bahasa, menyebut perkataan, bermain bersama rakan, menunggu giliran dan mengawal emosi. Semua kemahiran ini saling berkait rapat dengan perkembangan motor, bahasa, sosial dan kognitif.
Jika terdapat gangguan dalam mana-mana aspek perkembangan ini, anak mungkin kelihatan seperti tidak mahu belajar sedangkan hakikatnya mereka sedang bergelut untuk memahami, memproses atau melakukan sesuatu kemahiran.
Sebagai contoh, anak yang mempunyai kelemahan motor halus mungkin sukar memegang pensel dan cepat berasa penat ketika menulis. Anak yang mengalami kelewatan pertuturan pula mungkin sukar menjawab soalan guru atau menyampaikan keperluan mereka sendiri.
Begitu juga dengan anak yang mengalami kelewatan perkembangan sosial. Mereka mungkin tidak tahu cara bermain bersama rakan, berkawan atau mengikuti rutin di dalam kelas.
Oleh sebab itu, ibu ayah tidak seharusnya menganggap perkembangan anak sebagai perkara kecil. Ia merupakan asas penting yang membentuk keyakinan diri, komunikasi, emosi dan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Antara kesilapan yang sering berlaku ialah ibu ayah menunggu terlalu lama kerana menganggap anak akan mengejar perkembangan sendiri apabila semakin membesar.
Ada yang hanya mula risau apabila anak memasuki tadika tetapi masih belum boleh bercakap dengan jelas, tidak memahami arahan mudah atau sukar bergaul dengan rakan sebaya.
Sebenarnya, pemerhatian awal memainkan peranan yang sangat penting. Lebih awal ibu ayah bertindak, lebih banyak peluang untuk anak dibantu melalui intervensi, terapi, latihan di rumah atau sokongan pembelajaran yang sesuai.
Anak kecil mungkin belum mampu memberitahu apa yang mereka rasa atau apa yang mereka sukar lakukan. Oleh itu, ibu ayahlah yang perlu lebih peka melihat perubahan tingkah laku dan perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Berikut ialah beberapa tanda yang wajar diberi perhatian oleh ibu ayah sekiranya berlaku secara berterusan.
Antara tanda yang paling mudah disedari ialah anak lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusia. Contohnya, anak masih kurang menggunakan perkataan, sukar menyebut ayat mudah atau hanya menunjuk apabila mahukan sesuatu.
Ada anak yang memahami arahan tetapi sukar meluahkan apa yang mereka mahu. Ada juga yang kurang menunjukkan usaha untuk berkomunikasi dengan orang di sekeliling.
Jika keadaan ini berterusan, jangan sekadar berharap anak akan bercakap sendiri. Pemeriksaan pendengaran, penilaian bahasa atau terapi pertuturan mungkin diperlukan bagi membantu perkembangan mereka.
Anak kecil biasanya mula memahami arahan ringkas seperti “ambil kasut”, “duduk sini”, “beri pada mama” atau “letak mainan dalam kotak”. Kemahiran ini berkembang secara berperingkat mengikut usia dan menjadi asas kepada proses pembelajaran.
Jika anak kerap kelihatan terpinga-pinga, tidak memberi respons atau gagal mengikut arahan mudah walaupun telah diulang beberapa kali, ibu ayah perlu memberi perhatian. Keadaan ini mungkin berkait dengan pemahaman bahasa, pendengaran, tumpuan atau perkembangan kognitif.
Semakin awal puncanya dikenal pasti, semakin mudah anak menerima bantuan yang bersesuaian.
Sesetengah ibu ayah mungkin menyangka anak terlalu leka bermain apabila tidak menoleh apabila nama dipanggil. Namun, jika perkara ini berlaku secara konsisten bersama tanda seperti kurang bertentang mata, kurang berminat berinteraksi atau jarang memberi respons kepada orang di sekeliling, ia tidak seharusnya dipandang ringan.
Langkah pertama ialah memastikan pendengaran anak berada dalam keadaan baik. Selepas itu, ibu ayah boleh mendapatkan penilaian perkembangan sekiranya kebimbangan masih berterusan.
Kemahiran motor halus memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Ia melibatkan penggunaan jari dan tangan untuk memegang sudu, menyusun blok, membuka bekas, mengoyak kertas, mewarna dan memegang pensel.
Jika anak kelihatan terlalu sukar melakukan aktiviti ini berbanding rakan seusia, cepat berputus asa atau sering mengelakkan aktiviti yang menggunakan tangan, jangan terus menganggap mereka malas.
Anak mungkin memerlukan sokongan bagi menguatkan otot kecil tangan, meningkatkan koordinasi mata dan tangan atau menangani cabaran sensori tertentu yang akhirnya boleh memberi kesan kepada kemahiran menulis.
Motor kasar merangkumi kemahiran seperti duduk, merangkak, berdiri, berjalan, berlari, melompat dan memanjat.
Jika anak lambat berjalan, kerap terjatuh, sukar menaiki tangga atau kelihatan kurang yakin melakukan aktiviti fizikal mengikut usia, ibu ayah digalakkan mendapatkan pandangan profesional.
Motor kasar yang baik bukan sahaja membantu aktiviti harian, malah membina keseimbangan badan, koordinasi serta keyakinan diri apabila anak mula belajar di persekitaran sekolah.
Bermain merupakan proses pembelajaran yang sangat penting bagi kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, mereka belajar berkongsi, menunggu giliran, berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan memahami emosi orang lain.
Jika anak lebih gemar bermain bersendirian secara berulang, kurang berminat berkawan, sukar berkongsi perhatian atau tidak meniru cara bermain rakan sebaya, ibu ayah perlu memantau perkembangan sosial mereka dengan lebih teliti.
Perkembangan sosial yang terganggu boleh menyebabkan anak menghadapi kesukaran menyesuaikan diri apabila memasuki taska atau tadika.
Ada kanak-kanak yang sukar menerima perubahan kecil dalam rutin harian seperti laluan ke sekolah yang berbeza, makanan yang berubah atau jadual aktiviti yang tidak sama seperti kebiasaan.
Mereka mungkin menangis berlebihan, mengalami tantrum yang berpanjangan atau sangat sukar dipujuk apabila rutin berubah.
Walaupun kanak-kanak sememangnya memerlukan rutin yang konsisten, reaksi yang terlalu kuat dan kerap sehingga mengganggu kehidupan harian mungkin menunjukkan keperluan kepada penilaian lanjut.
Anak kecil memang aktif dan mudah beralih perhatian. Namun begitu, jika mereka langsung tidak mampu memberi tumpuan walaupun kepada aktiviti ringkas yang sesuai dengan usia, ibu ayah perlu mengambil perhatian.
Contohnya, anak tidak boleh duduk mendengar cerita pendek, cepat meninggalkan aktiviti, gagal menyiapkan tugasan mudah atau terlalu aktif sehingga sukar mengikuti rutin.
Masalah tumpuan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran kerana anak sukar menerima arahan, memahami pengajaran dan menyiapkan tugasan dengan baik.
Perkara paling penting ialah jangan menyembunyikan keadaan anak kerana malu atau bimbang dipandang serong. Mendapatkan bantuan awal bukan bermaksud ibu ayah gagal, sebaliknya menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap perkembangan anak.
Anak yang mengalami kelewatan perkembangan bukan bererti mereka tidak bijak. Mereka mungkin hanya memerlukan pendekatan pembelajaran, terapi atau sokongan yang berbeza mengikut keperluan masing-masing.
Ada yang memerlukan terapi pertuturan, terapi cara kerja, pemeriksaan pendengaran atau penilaian perkembangan bagi mengenal pasti sama ada terdapat keadaan seperti autisme, ADHD atau kesukaran pembelajaran tertentu.
Pertama, perhatikan perkembangan anak mengikut usia dan catat perkara yang telah mereka kuasai serta perkara yang masih mencabar. Maklumat ini sangat membantu doktor atau ahli terapi semasa proses penilaian.
Kedua, elakkan membandingkan anak dengan adik-beradik atau anak orang lain secara berlebihan. Setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza.
Ketiga, jangan berlengah mendapatkan pemeriksaan sekiranya timbul keraguan. Ibu ayah boleh mendapatkan nasihat daripada klinik kesihatan, pakar pediatrik, pakar perkembangan kanak-kanak, audiologis, ahli terapi pertuturan atau ahli terapi cara kerja mengikut keperluan.
Keempat, teruskan memberi rangsangan di rumah melalui aktiviti mudah seperti membaca buku bersama, berbual, menyanyi, bermain blok, melukis, bermain di luar dan melibatkan anak dalam rutin harian. Aktiviti harian yang konsisten memberi manfaat besar kepada perkembangan bahasa, motor, sosial dan emosi.
Ibu ayah perlu memahami bahawa kelewatan perkembangan bukanlah pengakhiran. Ramai kanak-kanak menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan apabila menerima intervensi awal dan sokongan yang tepat.
Jangan tunggu sehingga anak jauh ketinggalan sebelum bertindak. Jangan tunggu guru yang menyedarinya terlebih dahulu. Jika naluri ibu ayah merasakan ada sesuatu yang tidak kena, dapatkan penilaian secepat mungkin.
Lebih baik menjalani pemeriksaan dan mengetahui anak berkembang dengan baik daripada menunggu terlalu lama sehingga peluang intervensi awal terlepas.
Akhir sekali, masalah pembelajaran anak bukan untuk disembunyikan. Ia perlu difahami, diterima dan ditangani dengan penuh kasih sayang. Anak-anak tidak memerlukan ibu ayah yang sempurna, tetapi mereka memerlukan ibu ayah yang peka, berani bertindak dan sentiasa memberikan sokongan sepanjang proses perkembangan mereka.
Sumber: Harian Metro, National Health and Morbidity Survey 2022: Maternal and Child Health, Institute for Public Health, National Institutes of Health Malaysia , CDC — Learn the Signs. Act Early: Developmental Milestones & WHO — Nurturing Care for Early Childhood Development.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!