Pada hari raya ke-5 tahun lepas ketika usianya 4 bulan, saya sekeluarga dianugerahkan seorang anak angkat tanpa disangka-sangka. Bayi yang dinamakan Muhammad Arfan adalah anak dari perkahwinan campur dua bangsa iaitu Melayu dan Cina. Oleh kerana kesempitan kewangan dan keadaan persekitaran yang tidak kondusif untuk membesarkannya, keluarga Arfan memilih untuk melepaskannya di bawah jagaan kami.
Prosedur Penyerahan
Prosedur penyerahan anak angkat tidaklah rumit kerana keluarga kandung bersetuju tanpa sebarang bantahan. Setelah perbincangan dibuat dan sebulat suara bersetuju, saya dan ibu kandung mengisi borang JPN AA07 (Surat Akuan Berkanun: Surat Keizinan Pengangkatan).
Surat ini perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah supaya ianya dapat disahkan. Setelah Arfan dibawa pulang ke rumah, kami perlu memaklumkan kepada pejabat JKM terdekat tentang pengambilan anak angkat ini dan mengisi Borang 12.
Satu surat sokongan akan diberi oleh JKM supaya saya dapat memelihara anak ini secara sah. Dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan kebenaran dari pihak JKM ialah salinan slip gaji, salinan kad pengenalan suami isteri, salinan kad pengenalan ibubapa kandung dan salinan surat nikah kami suami isteri.
Urusan di JKM juga tidak lama. Hanya mengambil masa dalam 15 minit sahaja. Borang 12 ini kami perlu pegang selama 2 tahun sebelum dapat kami memohon sijil anak angkat yang sah dari JPN.
Kos Penjagaan
Ads
Arfan hadir dalam hidup kami tanpa diduga. Saya tidak pernah mencari anak angkat kerana saya sendiri sudahpun memiliki tiga anak kandung dan semuanya sedang bersekolah.
Namun begitu saya anggap ini adalah amanah dari Allah kerana memelihara anak angkat ini besar tanggungjawabnya. Kami cuba menyediakan segala yang terbaik untuk Arfan termasuklah membeli insurans pelindungan kesihatan untuknya. Ketika kami mengambil Arfan, dia dibawa pulang sehelai sepinggang.
Kos untuk kami menyediakan segala kelengkapannya dalam masa singkat mencecah hampir RM7 ribu. Ini termasuklah buaian, katil bayi, pakaian, stroller dan barangan bayi yang lain. Alhamdulillah, rezekinya sentiasa ada di rumah ini dan sentiasa dimanjai. Arfan menjadi buah hati kami sekeluarga dengan keletah yang menggelikan hati. Semakin besar semakin lasak dan mengarah-ngarah bak putera raja.
Pengalaman Menjaga Anak Angkat
Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika mula-mula memelihara Arfan ialah perubahan waktu tidur. Selama ini kami sekeluarga tidur lena waktu malam tanpa gangguan. Tetapi sejak ada anak kecil ni, semua terpaksa berjaga 3 jam sekali kerana terdengar tangisan laparnya. Oleh kerana sudah berbulan tak cukup tidur dan lingkaran bawah mata semakin hitam, saya pernah bertanya pada doktor, ada ubat tidur untuk bayi tak? Haha. Mujurlah doktor memahami keadaan saya dan mencadangkan saya menukar susu formula bayi kepada yang paling kurang gula. Sahabat di facebook juga memberi tips supaya saya lakukan urutan aromaterapi pada bayi untuk menenangkan dia supaya mudah tidur.
Ads
Saya tahu ramai sahabat saya yang masih belum memiliki cahayamata tercari-cari anak angkat untuk melengkapkan keluarga. Apabila mereka tahu saya diberikan anak angkat walaupun sudah mempunyai zuriat sendiri dan fizikal saya pula cacat, ramai mempersoalkan kelayakan saya. Anak ini adalah anugerah dan amanah dari Allah. Apabila Allah percaya akan kemampuan kita untuk memelihara dan mendidik seorang anak kecil, Allah akan hadirkan mereka ke dalam dakapan kita. Menjaga anak angkat dan anak sendiri sama sahaja ujian dan keseronokannya. Yang penting ialah kita berlaku adil kepada kesemuanya.
Tip Penjagaan Anak Angkat
Sekiranya ada pasangan yang mahu mengambil anak angkat, saya boleh beri tips ini. InsyaAllah akan dipermudahkan. Santunilah anak-anak yatim sekerap yang boleh, seikhlas hati. Sebelum saya dianugerahkan anak istimewa ini, saya kerap membantu anak-anak yatim dan anak tak sah taraf di rumah perlindungan remaja hamil. Rasa kasih saya terhadap anak-anak ini membuka pintu rezeki pada keluarga kami untuk menerima seorang cahayamata yang cukup sempurna di hati kami. Cubalah, semoga Allah memakbulkan doa kalian yang sabar menanti.
Penjagaan anak angkat dan anak sendiri adalah sama. Apa yang anak kandung saya dapat, Arfan juga dapat yang sama (mungkin lebih sikit sebab dia bongsu). Kesemua anak-anak saya termasuk Arfan dilindungi insurans, diberi keselesaan yang sama dan InsyaAllah pendidikan yang terbaik supaya apabila dia dewasa kelak, dia dapat membantu keluarga kandungnya keluar dari kesempitan hidup.
Ads
Niat saya memelihara anak angkat ialah untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarganya, menyediakan kediaman yang selesa baginya untuk membesar, memberi pendidikan yang terbaik dan membentuk dia menjadi insan yang tinggi empati. Saya mengharapkan dengan segala usaha yang saya lakukan ini, Arfan boleh berjasa kepada orang tuanya kelak dan memberikan yang terbaik untuk mereka pula.
Di dalam Al Quran sudah ditegaskan bahawa hubungan di antara anak dan keluarga kandungnya tidak boleh dirahsiakan mahupun dipisahkan (Surah Al Ahzab ayat 4-5). Terma yang digunakan di dalam Islam untuk pengangkatan dipanggil ‘kafala’, yang bermaksud memberi makan. Itulah amanah dan tanggungjawab penjaga (ibubapa angkat) yang sebenar dalam Islam.
Walaupun kita mengambil tanggungjawab memelihara anak ini, tetapi hukum agama perlu dipatuhi;
* Anak angkat akan tetap ber’bin’kan ayah kandungnya (jika perkahwinan didaftarkan) atau ber’bin’kan antara 99 nama Allah jika anak itu tak sah taraf. Nama ibu kandung juga tidak akan diubah kepada nama ibu angkat walaupun anak itu jadi anak susuan.
* Anak angkat akan mewarisi harta dari sebelah keluarga kandungnya sahaja dan bukan dari keluarga angkat. Jika anak itu tak sah taraf, maka dia hanya akan mewarisi harta pusaka dari sebelah ibu kandungnya sahaja. Jika anak angkat mewarisi harta dari keluarga kandungnya, ibubapa angkat tidak berhak mengambil atau menuntut harta itu dari mereka.
Dalam kita bersungguh mahu memelihara anak angkat, kita perlu bersedia dengan pelbagai cabaran dalam membesarkan mereka. Anak yang lahir itu mungkin ada penyakit yang sukar diubati atau masalah pembelajaran yang memerlukan penglibatan kita yang berterusan. Apa pun latar belakang anak ini, yang mencorakkannya adalah kita. Bagaimana cara kita mendidik mereka dan keadaan persekitaran anak ini membesar yang akan membentuk karakter dan kejayaan masa depan mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fasa mengamuk, membaling dan memukul biasanya kerap berlaku pada anak di usia 3 tahun ke bawah. Keadaan ini berlaku kerana mereka mahu menunjukkan ketidakpuasan hati dan menarik perhatian ibu bapa.
Tetapi ibu bapa yang mengalami situasi ini kerap kali tidak dapat mengawal kemarahan dalam diri sehingga menyebabkan anak dimarah berulang kali atau pilihan terakhir mengangkat tangan untuk menyuruh anak berhenti dari tindakannya itu.
Berdasarkan perkongsian dari Pakar Keibubapaan, Kekeluargaan dan Kasih Sayang, Ibu Rose beliau menyatakan ibu bapa kena memahami kenapa si kecil anak bertindak sedemikian sebelum mengambil tindakan untuk menghukum. Cara ini bukan sahaja dapat menenangkan anak sekaligus mengawal perasaan marah ibu bapa.
Ketahuilah bila anak kecil di bawah usia 3 tahun mengamuk dan membaling dan memukul-mukul anda atau menghentak-hentakkan kepalanya…itu tandanya dia sendiri sedang tenggelam di dalam Monster yang terbit dari dirinya.
Jika anda marah, monster itu akan terus hidup dan menyemarakkan amarahnya. Jika api merebak, anda tidak akan meniup angin ke arah api itu bukan?
Marah adalah ibarat api dan memang disuntik oleh Iblis yang berasal dari api. Itu sebabnya memarahi, memukul dan menyuruh diam dengan sangat kasar bukan jawapan yang tepat
Anda perlu fikirkan, apakah yang boleh memadamkan ‘api’? Ya, air! Apakah air di dalam komunikasi? Bacaan DOA yang menghasilkan sabar dan ketenangan. Maka bacalah dan ambil air serta perlahan-lahan sapukan pada muka anak yang sedang mengamuk sambil membacakan doa dan menyebut anda sayangkan dia. Urut badannya dengan kelembutan tangan mu. Ini akan mengurut emosinya dan menenangkan Monster itu untuk kecil menjadi anak kucing yang jinak.
NAMUN, ada satu syarat penting untuk berjaya. Dan inilah yang sering ibu bapa terlepas pandang. Di hati anda mesti bersangka baik dengan anak anda. Dia mengamuk begini bukan sebab dia sengaja hendak berperangai buruk dan mahu menyusahkan anda. Ada sesuatu yang tidak kena dan dia cuba memberitahu.
Jika ada orang menyuruh anda menengking atau memukul anak anda yang masih kecil itu dan mengatakan jangan dibiarkan nanti dia jadi lenja, ternyata orang itu belum faham psiikologi kanak-kanak dan belum mengkaji cara Rasulullah mendidik kanak-kanak.
Oleh itu, berpendirian tegaslah dalam membantu anak anda mengatasi monster itu dengan tenaga sabar, tenang dan penuh kasih sayang.
Biasa paling banyak rungutan dari ibu bapa adalah anak saya tak boleh duduk diam. Asyik nak main dan sampai kemuncaknya ibu bapa pula yang hilang sabar. Apa patut saya buat?
Bagi Ibu Rose yang juga pakar kekeluargaan dan kasih sayang, anak yang cerdik memang suka bermain dan aktif. Adakalanya keaktifan mereka mencabar guru-guru yang belum mahir menangani cara anak-anak ini belajar.
Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu bijak memberi dia ruang untuk belajar cara bermain di rumah. Beri dia masa untuk bermain sedikit lasak dan aktif. Belajar bukan bermaksud duduk dimeja, baca ABC, kira 123, sahaja. Ajak dia buat eksperimen yang mudah, contohnya bermain dengan ais dan sebagainya.. Beri outlets untuk keinginan untuk tahu di dalam dirinya. Dia suka explore. So explore with him.
Bila kita mula memberi dia ruang untuk belajar cara yang dia suka, anak akan berasa lebih mampu untuk disiplin. Bagi seorang anak kecil dan masih dalam kategori itu, bermain adalah belajar.
Kita boleh melarang, tapi jangan mengongkong. Bila melarang terangkan sebab kenapa kita tidak beri dia buat begitu dan begini. Kemudian beri alternatif yang mana dia boleh lakukan.
Kita kena tahu bahawa kita mempunyai seorang anak yang berpotensi besar menjadi seorang yang hebat. Oleh itu tingkatkan ilmu parenting agar tidak menzalimi anak-anak kerana kesilapan sendiri.
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya. Dari awal kelahiran hingga mampu berdikari sendiri. Namun culas dalam mendidik dan membangunkan minda anak-anak, akan memberi kesan negatif kepada sikap dan perilaku. Persoalan kini, adakah sikap anak itu diwarisi atau dibentuk?
Memahami personaliti anak ialah menggabungkan sifat yang membentuk karakter tersendiri seseorang individu. Adakah ianya diwarisi secara natural atau dibentuk?
Semula jadi dan genetik
Persoalaan natural/nature ini ada kaitan dengan genetik. Ia melibatkan faktor kelahiran seseorang bayi itu. Nature pula menyebabkan individu berpersonaliti sedemikian disebabkan pengalaman hidup dan persekitaran.
Sikap dan perilaku anak-anak boleh terbentuk sama ada secara semulajadi atau melalui persekitaran. Ya kedua-duanya sekali,
Tips Membentuk Perilaku Positif Pada Anak
Jadi role model kepada anak
Kalau bapa adalah seorang yang garang dan panas baran, tidak mustahil anak yang dibesarkan itu juga akan jadi seorang yang pemarah dan baran.
Genetik yang diturunkan pada si anak akan membentuk sifat tersebut. Ia akan ditambah pula dengan persekitaran dan pengalaman hidup yang telah dilaluinya. Jadi, bagi membentuk sifat positif serta anak yang baik, ibu bapa harus tunjukkan teladan yang elok dan sikap yang positif terlebih dahulu.
Berdialog Dengan Anak
Bahasa mudahnya, sesekali luangkan masa anda untuk berbual dan bertanya pada anak tentang perihal mereka. Ketika berdialog atau berbual, ikutlah kesesuaian pemikiran anak tersebut. Rendahkan suara dan pandai menarik perhatian mereka untuk ada two way communication.
Usah borak dan tanya dengan panjang lebar. Lebih teruk lagi kalau ia perkara yang membosankan. Jika ada kata-kata nasihat, make sure nasihat yang diberikan haruslah secara direct. Straight to the point dan ikut kemampuan akal anak kita.
Contoh: kalau anak buang sampah merata-rata, jangan terus marah dan tengking mereka. Nasihatlah secara berhemah dan ajarkan anak tentang kebersihan. Ya sangat simple dan usah cepat melenting.
Nasihat pada waktu yang tepat
Rasulullah ada menjelaskan ada tiga waktu yang sesuai untuk tegur dan nasihatkan anak.
Ketika dalam perjalanan ke suatu tempat
Semasa makan
Semasa anak sakit
Dalam waktu-waktu tersebut, anak-anak ini mudah untuk terima kata-kata dari ibu bapa mereka. Segala teguran dan nasihat akan mudah untuk mereka fokus dan ambil inti patinya.
Beraktiviti bersama anak
Ibu bapa, tolong spend sedikit masa yang terluang untuk anak. Anak ini kalau dibiarkan tak tentu arah jadinya. Kita yang dewasa ini juga perlukan perhatian bukan?
Sebenarnya, aktiviti yang disertai oleh kita dapat melatih pancaindera si anak. Ia juga dapat membantu mereka meniru sesuatu perkara yang diajarkan oleh anda ibu bapa.
Sekiranya anak minat melukis dan mewarna, turunlah padang sekali sekala dan tunjukkan skill anda. Cara ini akan buat anak kagum dan memerhatikan gaya anda. Malah mereka akan belajar menirunya.
Dengan beraktiviti bersama-sama, ia akan melahirkan sifat ingin tahu kepada si anak. Contohnya seperti membuat kapal terbang kertas. Mereka, (anak-anak) akan teruja ingin tahu bagaimana ibu bapanya mencipta kapal terbang kertas tersebut.
Selain itu, aktiviti bersoal jawab atau berteka teki juga baik untuk membentuk sifat anak selain mengerakkan minda mereka. Anak-anak akan berfikir untuk menjawab, dan ia sungguh menghiburkan dengan gelak ketawa mereka.
Semua perkara ini mungkin ada halagannya juga. Bergantung pada faktor luaran. Halangan yang mungkin dilalui dalam pembentukan sikap anak-anak adalah dari aspek kesihatan, masa, persekitaran dan media sosial.
Aik media sosial?
Ya anak-anak kini terpaksa bersaing dengan media sosial demi mendapatkan perhatian daripada ibu bapa yang taksub dengan jaringan internet dan media sosial.
Dari segi faktor kesihatan pula, jika si anak menghidapi penyakit yang sukar dirawat (penyakit kronik) redhalah yang kita tidak dapat mengubah sikapnya, contoh sering menangis.
Akhir kata, semailah benih-benih cinta bukan saja pada pasangan anda, malah kepada cahaya mata. Mereka ini adalah penyeri hidup dan ladang pahala buat ibu bapa seperti anda.