Rasa sakit pada luka pembedahan caesarean? Ia mungkin tanda rahim sedang mengecut. Tapi mama perlu perhatikan juga, bimbang ia tanda-tanda luka dalaman bermasalah!
Penjagaan luka yang baik dan tahap kesihatan ibu yang optimum membantu penyembuhan luka pembedahan selepas bersalin. Menjadi satu igauan ngeri sekiranya timbul masalah.
Terdapat ibu yang berasa sakit pada bahagian dalam luka pembedahan walau pun bahagian sudah kering. Ada juga ibu yang merasakan sakit & perit dirasakan terutamanya semasa menyusukan bayi.
Menurut Dr Nurul Azwa Hasni, Konsultan Obstetrik & Ginekologi, Salam Specialist Hospital pembedahan caesarean merupakan pembedahan yang melibatkan 7 lapisan perut.
Memandangkan banyak lapisan yang terlibat, proses pemulihan mengambil masa dalam 4 hingga 6 minggu, kadangkala 3-6 bulan, bergantung pada individu.
PERINGKAT PENYEMBUHAN
Lapisan yang paling awal pulih adalah lapisan kulit dalam 7-10 hari, manakala luka dalaman seperti lapisan rahim dan rektus mengambil masa yang lebih lama. Oleh sebab yang demikian, adalah normal sekiranya ibu selepas bersalin masih berasa sakit pada bahagian dalam luka permbedahan walaupun luka pada kulit telah kering.
FAKTOR MEMPENGARUHI PENYEMBUHAN
Faktor – faktor yang mempengaruhi proses pemulihan boleh dibahagikan kepada 2 faktor utama iaitu faktor setempat (local) atau faktor sistemik.
Faktor setempat termasuk keluasan luka yang terlibat jangkamasa pembedahan dan banyak atau sikit pendarahan semasa pembedahan.
Manakala faktor sistemik termasuk pada umur, nutrisi, masalah kesihatan ibu semasa mengandung, ubat – ubatan yang diambil semasa mengandung dan juga cara hidup ibu semasa mengandung.
Para ibu juga digalakkan bersenam ringan untuk memastikan perjalanan darah ke seluruh badan adalah baik.
PUNCA LAMBAT SEMBUH
Antara faktor yang menyebabkan luka menjadi lambat sembuh ialah umur ibu yang meningkat, masalah kurang zat makanan dan masalah kesihatan ibu seperti anaemia.
Selain itu, obesiti, kencing manis, darah tinggi dan kekurang tiroid, pengambilan steroid untuk perubatan dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam atau pergeraka juga akan melambatkan proses pemulihan.
PENGECUTAN RAHIM
Rasa sakit dan perit semasa menyusukan disebabkan oleh penghasilan oksitosin di mana ia mengecutkan rahim seterusnya mengelakkan dari tumpah darah. Proses pengecutan ini boleh menyebabkan sakit pada tempat pembedahan.
TANDA-TANDA BAHAYA PADA LUKA
Agak sukar untuk mengetahui luka dalaman dalam keadaan baik atau tidak; kecuali ibu mengalami sakit dan perit yang berterusan, demam tak tahu punca, perut bertambah kembung sehingga rasa loya dan muntah, sesak nafas atau pendaharan banyak dengan tiba-tiba. Tanda-tanda ini perlu mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera!
Untuk memastikan pemulihan berlangsung dengan cepat, ibu selepas bersalin perlu mengawal gula dalam darah. Ikut nasihat doktor berkenaan pemakanan dan dos insulin. Makan makanan berkhasiat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas Ummi Nazeera habis pantang, suaminya, Dr Mohd Izzar Anwari berkongsikan cara berpantang yang diamalkan oleh Ummi selepas melahirkan anak sulungnya, Ayra Aneesah secara pembedahan.
Melalui perkongsian di instagramnya, Dr Izzar ada memberi beberapa tip yang sangat bermanfaat untuk ibu yang bersalin ceaser atau normal.
Nak ikut cakap orang ke ikut cakap doktor? Ibu berpantang lepas bersalin ni perlu banyak nutrisi untuk kembali sihat. Kementerian Kesihatan menyarankan amalan pemakanan suku pinggan protein, suku pinggan karbohidrat dan separuh pinggan sayur dan buah.
Protein seperti ikan, daging, telur penting untuk pembaikan tisu badan. Sayur dan buah untuk elak sembelit dan vitamin-vitamin dalam sayur boleh membantu dalam proses penyembuhan luka.
Karbohidrat untuk memberi tenaga kepada ibu. Air juga harus diminum sekurang-kurangnya 3 liter untuk penghasilan susu ibu yang mencukupi.
Senaman ringan atau ambulation pula amat digalakkan terutamanya buat ibu-ibu yang operate ceaser bagi mengelakkan darah beku dalam vena (salur darah).
Tu je pantang doktor-doktor suruh. Tapi kalau orang-orang tua punya pantang memang banyak (bergantung kepada negeri asal).
Belah wife asal Terengganu, belah saya asal Kedah. Jadi banyaklah pantang yang diutarakan oleh belah masing-masing.
Apa yang isteri dan saya buat ialah layan je mana-mana pantang tu, janji menepati saranan Kementerian Kesihatan jugak. Takyah nak tunjuk siapa salah dan betul. Jagalah hati orang-orang tua sambil ikut cakap doktor. Kan bagus. Tapi satu je saya nak cakap, kalau orang tua-tua cakap tak boleh bersenam sepanjang berpantang tu, janganlah sampai 40-100 hari berpantang tu duduk atas katil tak bergerak je.
Saya bawa isteri pergi berjalan kat taman pun ada yang bising. Kalau lepas operate tu tak start bergerak /ambulate, boleh dapat Deep Vein Thrombosis (DVT). DVT ialah darah beku yang boleh pergi ke otak (jadi strok) atau ke peparu (jadi pulmonary embolism) dan dua-dua keadaan tu boleh menyebabkan kematian. Jadi jangan sembunyi belakang alasan pantang untuk cover kemalasan anda.
Sumber: Ig Izzar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isteri kepada pelawak Fad Bocey, Syaheera Rahman telah berkongsi satu khabar yang mengejutkan apabila salah seorang anak kembar mereka, Zayyan cedera ringan selepas bibirnya tertusuk besi alat kawalan jauh kereta mainan.
Dipercayai Tergigit Besi
Menurut Syaheera menerusi laman Instagramnya, bibir anaknya iaitu Favian Adrazin Zayyan yang juga pasangan kembar, mengalami kecederaan berkenaan dipercayai akibat tergigit besi tersebut.
Sejurus selepas itu, anak selebriti ini dikejarkan ke hospital bagi membuang besi dan mendapatkan rawatan lanjut.
Selamat Jalani Pembedahan
Kongsi Syaheera lagi, besi tersebut berjaya dikeluaran dan anaknya selamat menjalani pembedahan sekitar 1.30 pagi. Dalam pada itu, dia turut berkesempatan mengucapkan terima kasih buat mereka yang mendoakan keselamatan anak mereka.
“Alhamdulillah semuanya selamat dah .1:30 pagi semalam masuk OT. Fully bius sebab dalam keadaan dia sakit memang susah untuk tarik keluar. Doktor jahit balik gusi. Macam-macam sementara anak nak besar ni. Terima kasih yang tak henti-henti tanya dan doakan anak mommy sorang ni”
Selain Zayyan dan pasangan kembarnya, Favian Adrazin Hayyan Fad dan Syaheera yang berkahwin pada 14 Mac 2015 juga dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Aminah Mishall.
Sumber: ig Syaheera Rahman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekiranya anda pilih untuk berpantang sendiri selepas melahirkan bayi, pastikan persiapan rapi telah dilakukan untuk elakkan daripada rasa tertekan.
Selepas bersalin, wanita akan menjalani tempoh berpantang bertujuan untuk memulihkan kembali kesihatan dan tenaga yang hilang semasa proses melahirkan bayi.
Kalau dulu, orang Melayu sahaja yang mengamalkan berpantang selepas bersalin.
Tetapi kini, kaum lain turut mengamalkannya kerana kesannya positifnya kepada tubuh badan wanita lepas bersalin.
Biasanya wanita akan memilih untuk balik ke kampung sendiri bagi menjalani tempoh berpantang dan dijaga oleh ibunya.
Tetapi kini ramai yang mengambil keputusan untuk berpantang sendiri tanpa bantuan ibu disebabkan faktor kesihatan ibu atau ibu sudah meninggal dunia.
Jika anda memilih untuk berpantang sendiri di rumah, pastikan penglibatan suami dalam memberikan bantuan.
Suami perlu menjadi orang kuat yang membantu isteri sepanjang tempoh berpantang.
Pastikan 7 senarai semak ini memang ada dalam to do list anda.
1. Persiapan makanan
Salah satu faktor penting dalam penjagaan ibu berpantang adalah pemakanan. Ibu lepas bersalin mesti makan makanan yang berkhasiat dan tidak boleh terlepas waktu makan.
Tetapi ibu tidak boleh makan sebarangan jenis makanan. Jadi, pastikan beberapa minggu sebelum bersalin, anda sudah buat persiapan menu makanan berpantang dan bahan-bahan yang diperlukan serta cara memasaknya.
Ini bagi memudahkan suami membantu menyediakan masakan tersebut. Maklumlah pada minggu-minggu awal, ibu tidak boleh bergerak banyak.
Menu orang berpantang mudah disediakan dan ringkas sahaja. Barang basah yang sudah dibeli, simpan di dalam peti sejuk. Pastikan sudah siap dipotong dan dibersihkan untuk satu kali masak.
Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi mempercepatkan pengecutan rahim.
Pastikan juga waktu makan tepat untuk mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika panas dalam kadar sederhana.Tetapi ibu perlu makan dengan kerap apatah lagi sedang menyusukan bayi, maka ibu cepat berasa lapar.
2. Peranan suami
Suami adalah orang yang paling rapat dengan anda. Sokongan dan bantuan suami sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani tempoh berpantang dengan sempurna tanpa tekanan.
Berbincanglah dan terangkan kepada suami bagaimana dia boleh membantu anda semasa berpantang.
Suami mesti membantu menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian, menjaga anak, memasak makanan berpantang isteri dan menguruskan keperluan isteri berpantang.
Oleh itu sebaiknya, suami mengambil cuti yang panjang lebih kurang seminggu atau dua minggu untuk menguruskan isteri dan anak yang baru lahir. Bantuan amat diperlukan terutama jika ibu bersalin secara pembedahan
3. Sediakan jadual berpantang
Rutin harian semasa berpantang amat penting supaya ibu dapat rehat yang cukup. Sediakan jadual rutin waktu mandi, bertungku, bertangas, berpilis, memakai bengkuk, berurut, mengepam susu (untuk stok jika anda bekerja) dan menguruskan bayi.
Dengan adanya jadual, anda akan berdisiplin mengikut rutin berpantang supaya cepat kembali cergas.
4. Hantar anak di taska
Sekiranya anda mempunyai anak, pastikan mereka juga mempunyai jadual aktiviti harian supaya mereka tidak membuat ‘perangai’ dan boleh mengganggu emosi ibu.
Jika mereka memang anda tinggalkan di taska atau pengasuh ketika bekerja, maka sepanjang berpantang anda perlu tetap menghantar mereka.
Sukar untuk anda menjalani tempoh berpantang sendirian tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak lain terutama jika mereka berusia di bawah enam tahun.
5. Mencari bidan/tukang urut
Keperluan ini sangat penting untuk memastikan rutin berpantang dapat dilaksanakan dengan lancar.
Oleh itu pastikan anda sudah membuat tempahan awal bidan atau tukang urut untuk mengurut anda semasa berpantang.
Sekarang bukan sahaja ada khidmat tukang urut, kalau ada bajet lebih anda juga boleh mengupah confinement lady yang akan membantu menguruskan penjagaan ibu dalam berpantang.
Menariknya, anda boleh pilih pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut bajet anda.
Pakej yang ditawarkan termasuk mengurut, memakaian bengkuk, memasak makanan berpantang dan memandikan bayi. Ia lebih mudah dan banyak membantu ibu berpantang.
6. Kelengkapan ibu bersalin dan bayi
Pastikan kesemua kelengkapan untuk anda dan bayi sudah tersedia. Antara kelengkapan ibu yang mesti ada adalah stoking, baju sejuk, kain batik, bengkung, tungku, herba berpantang, pam payu dara, keperluan menyimpan susu ibu perahan, tuala wanita dan coli penyusuan.
Sementara keperluan bayi pula termasuk pakaian, lampin pakai buang, tisu basah, sarung kaki dan tangan, set tilam, minyak telon, bedung dan lain-lain yang penting.
Bagaimanapun jika kehabisan stok barangan keperluan tersebut dan tiada sesiap boleh membantu membelikan, anda boleh beli sahaja secara online. Kini ada bermacam kedai barangan ibu dan bayi yang menawarkan khidmat jualan secara online.
7. Persediaan mental, fizikal dan emosi
Anda mungkin fikir anda kuat dan boleh menguruskannya sendirian tetapi selepas melalui tempoh berpantang sendiri, ternyata ia tidak semudah yang disangka.
Oleh itu pastikan anda sudah membuat persiapan mental, fizikal dan emosi. Banyakan mencari maklumat dan info daripada pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya.
Berpantang seorang diri memang berisiko. Anda mungkin akan bersedih dan tertekan apabila semuanya perlu dilakukan sendiri kerana biasanya ibu berpantang dilayan seperti ‘permaisuri’ oleh orang yang menjaganya.
Oleh itu pastikan anda sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui sepanjang tempoh berpantang terutama dalam bab menjaga bayi baru lahir.
Elakkan daripada rasa tertekan kerana jika emosi tidak stabil,anda mungkin berasa sedih atau meroyan.
Tetapi kini dengan kecanggihan teknologi internet, anda tak perlu risau kerana boleh sahaja mendapatkan maklumat dan info yang diperlukan dengan sekali klik sahaja di telefon pintar. Yang penting ada khidmat internet!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Proses penyembuhan luka bersalin sememangnya memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya. Dianggarkan luka jahitan ini akan sembuh dalam masa empat hingga enam minggu bagi yang bersalin normal dan enam minggu hingga berbulan-bulan bagi luka jahitan pembedahan caesarean.