Tak perlu rasa bangga anak diam, tak melompat sana-sini, jika di depannya ada gajet. Memang mudah nak urus anak yang macam ni, tapi kesan jangka panjangnya buat ibu bapa menyesal kemudian hari.
Mungkin awalnya niat ibu bapa sebagai hiburan tak mahu anak bosan, namun bila dah ketagih susah nak kawal.
Perkongsian dari seorang bapa, Syamsul Rijal Jamil mengenai kesilapannya mendidik anak dengan memberikan gajet seawal usia setahun setengah boleh dijadikan peringatan bersama.
Kesilapan besar saya dalam mendidik anak adalah dengan memberikan dia TABLET (TAB). Ketika itu anak saya Muhammad Jibriel Emand baru berusia setahun setengah. Tujuan awal “kononnya” supaya dia :
1) Mudah mengenal huruf dan belajar melalui software interaktif pintar yang menarik dan menyeronokkan;
2) Emand ini sub-modality nya adalah “kinestetik” iaitu jenis anak sangat sangat lincah, aktif dan memang langsung tak boleh duduk diam. Maka dengan adanya TAB, dunia dilihat menjadi aman seketika kerena dia leka bermain TAB tersebut (terutamanya di meja makan);
Pada usia beliau 3 tahun, dia sudah boleh men “download” game-game yang beliau suka dan dengan jarinya yang kecil itu dia sudah mampu untuk “create new folder” bagi mengisi game baru yang telah dimuatnaik.
Sewaktu umur beliau 4 tahun, dia sudah bermain “Zombie Plant” pada “level” yang tinggi. Beliau akan menjadi “tutor” kepada ibunya bagaimana cara bermain dengan betul. Sebelum bermain dilevel yang lebih tinggi, Emand akan belajar dulu teknik-teknik baru melalui “You Tube” yang kami sendiri pun tak tahu masa bila dan macamana dia boleh tahu tentang “You tube” tu.
Pada usia 6 tahun, beliau mula bermain “strategic war game” yang “complicated” dan tahu sangat banyak terminology gamers yang ada.
Ads
Adakah ini suatu pencapaian yang dibanggakan ?
TIDAK !
Suatu malam saya terjaga sekitar jam 2 pagi untuk ke tandas dan sangat terkejut apabila dia begitu asyik bermain gamenya di dalam kegelapan bilik tidur !.
Selain itu kami juga menyedari perkara-perkara berikut :
1) Dia menjadi sangat tidak sabar bila apa yang diingini tidak kesampaian. Dalam game atau alam maya nak dapat sesuatu cepat dan senang, jadi di alam sebenar juga bagi dia harus begitu.
2) Watak anak yang ceria, aktif dan menghiburkan tiba-tiba berubah menjadi watak pemalu dan tidak suka bergaul. Dia sudah mula masuk dalam dunia game beliau dan terasa kekok bila berdepan dengan manusia lain;
3) Emand menjadi mudah sangat nak merajuk dan terasa hati serta mudah menangis. Anak-anak yang kurang bersentuhan dan berinteraktif dengan orang lain akan terasa seperti dipulau dan tidak disayangi.
4) Wataknya mudah bertukar agresif dan memukul ibunya jika tidak mendapat apa yang dipinta. Kalau ingin menang dalam game, anda harus membunuh musuh atau halangan anda dan mengambil apa yang anda inginkan. MAKA itulah yang dia buat.
Ads
5) Ujian mata yang dibuat di sekolah tadika beliau menunjukkan tanda-tanda rabun sedang berlaku.
Melihat kepada perkembangan yang menakutkan ini, kami telah mencuba banyak cara dan apa yang paling jelas adalah, kami MESTI mengurangkan masa yang diambil untuk bermain game-game kesukaanya .
Antara langkah yang kami diambil adalah :
1) Hanya 5 minit siang dan 5 minit malam untuk bermain. Jika dia melanggar lebih dari 5 minit maka dia akan kehilangan masa bermain selama 3 hari. 1 hari tanpa handphone atau tab cukup memberi sengsara bagi hidupnya.
2) Aktiviti luar yang lebih banyak. Emand dibawa lebih kerap untuk berbasikal, melakukan aktiviti luar yang lebih lasak dan dihantar ke program “survival” agar dia kembali berkomunikasi dengan orang lain.
Ads
3) Dia dihantar menjalani latihan karate supaya bila badannya letih keinginan nak bermain game itu sedikit berkurangan.
4) Saya gunakan sifatnya yang semulajadi aktif dengan menambah aktiviti yang lebih mencabar seperti berlumba di litar motocross pada usia beliau 5 tahun sehinggalah sekarang.
5) Beliau juga tahu jika di sekolah terdapat sebarang aduan dari guru atau markah peperiksaan beliau jatuh ke gred C, maka beliau akan kehilangan peluang bermain game selama 2 bulan.
6) Kami berikan dia LEGO yang dia suka bagi mengisi masa lapangnya. LEGO adalah gaming yang sangat baik untuk ransangan minda dan kreativiti. Tahap kesukaran LEGO itu saya tambah pada setiap binaan yang telah lengkap.
Alhamdulillah terdapat banyak peningkatan yang berlaku namun apa yang berlaku pada Emand terjadi pada ramai anak-anak kecil yang lain.
Teknologi sepatutnya membawa kemajuan dan peningkatan mutu hidup NAMUN, ia mesti dikawal dan digunakan sesuai pada umur dan masa. Jangan diulangi kesilapan saya.
Jangan sampai anak-anak anda ketagihan bermain TAB dan GADGET hingga menjahanamkan mata, otaknya dan yang paling bahaya adalah jiwanya.
Biarlah dia menangis di meja makan, biarlah dia berlari di Shopping Mall, biarlah dia menjerit dan meraung sekuat hati di dalam kereta sewaktu anda sedang memandu kerana semuanya itu hanya seketika. Itulah masa yang paling manis dan indah ketika dia masih kecil dan akan menjadi saat yang akan dirindui.
Usah kerana inginkan anak itu tenang dan terkawal maka TAB itu dihulurkan, takut- takut nanti kita pulak yang tak akan senang dan gulana sampai ke mati.
Bagi kebanyakan orang, bayi yang montel lagi tembam nampak sihat dan sangat comel. Jadi, tidak hairanlah jika ramai ibu bapa beria-ia ingin anak mereka makan banyak agar cepat gemuk. Tapi tahukah anda bahawa perbuatan tersebut sebenarnya memudaratkan anak seterusnya menyumbang masalah obesiti.
Kanak-kanak akan termasuk dalam kategori obes jika berat badannya dua kali ganda daripada berat yang sepatutnya. Kajian menunjukkan bahawa sekiranya obesiti di kalangan kanak-kanak tidak dibendung awal, 70 peratus daripada mereka akan terus membesar menjadi orang dewasa yang gemuk. Inilah yang perlu dielakkan.
Obesiti berlaku akibat wujud lebihan tenaga positif dalam badan iaitu berlakunya pengambilan makanan lebih daripada yang diperlukan. Keadaan seperti ini berlaku apabila seseorang itu makan banyak dan tidak bersenam.
Badan menjadi gemuk bukan hanya kerana lemak yang disimpan tetapi juga hasil daripada pembentukan otot pejal. Orang bertubuh besar perlukan lebih banyak otot pejal untuk bergerak dan penggunaan tenaga sewaktu rehat juga lebih tinggi berbanding mereka yang bersaiz normal.
Kanak-kanak biasanya belajar makan daripada orang-orang di sekeliling mereka terutamanya ibu bapa sebab itu ibu bapa mesti mengamalkan tabiat pemakanan yang baik supaya anak-anak boleh mencontohi corak pemakanan.
Pengambilan makanan yang berlebihan oleh kanak-kanak hanya akan menyebabkan mereka menjadi obes. Biasanya kanak-kanak yang gemuk akan makan banyak kerana mereka perlukan lebih tenaga untuk bergerak. Jadi, untuk mengelakkan anak makan tanpa henti, anda mesti memantau pengambilan makanan mereka.
Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks boleh mengenyangkan. Hasilnya, kuantiti makanan yang diambil berkurangan. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan anak menjadi obes, pastikan dia mengambil makanan kaya karbohidrat kompleks secukupnya supaya tidak rasa lapar.
Biasanya, kanak-kanak mendapat tenaga daripada lemak. Walau bagaimanapun, pengambilan lemak berlebihan boleh menyebabkan 90 hingga 95 peratus daripadanya disimpan di dalam badan. Hal ini juga perlu dipantau. Anak mestilah mengambil lemak mengikut keperluan tubuh mereka sahaja, bukan berlebihan.
Pengambilan makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan secara berkala juga baik untuk kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti kerana makanan tersebut mengenyangkan dan rendah lemak.
Selain makanan, air yang diambil oleh kanak-kanak obes juga perlu dikawal. Ibu bapa perlu mengehadkan pengambilan minuman manis oleh anak mereka. Ini kerana rasa manis menggalakkan sesuatu makanan itu dimakan dengan lebih cepat.
Ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga diet harian anak sebaik mungkin agar tidak obes. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak obesiti pula, tidak ada perkataan terlambat dalam hal untuk mengembalikan berat badan normal anak-anak. Yang penting kerja keras dan mencuba sedaya-upaya.
Panduan elak OBESITI :
1. Jangan Makan Di Depan Televisyen
Jangan sesekali benarkan anak anda makan sambil menonton televisyen. Hal ini adalah kerana mereka akan leka menonton rancangan yang disiarkan tanpa menyedari yang mereka telah makan dalam kuantiti yang banyak.
2. Sarapan Penting
Ibu bapa mestilah memastikan anak mereka mengambil sarapan pagi setiap hari. Tidak mengambil sarapan pagi akan membuatkan anak anda makan lebih banyak pada waktu tengah hari. Hasilnya, dia berpotensi untuk mengalami masalah obesiti.
3. Bekalan Berkhasiat
Seboleh-bolehnya, sediakan makanan yang berkhasiat lagi menyihatkan sebagai bekalan anak ke sekolah. Amalan ini penting bagi mengelakkan anak membeli makanan rapu yang banyak dijual.
4. Pelbagaikan Makanan Anak
Bagi kanak-kanak yang terlalu memilih makan dan hanya memakan sesetengah jenis makanan sahaja, ibu bapanya perlulah kreatif agar anak dapat makan makanan yang seimbang. Sebagai contoh, sekiranya anak anda tidak makan sayur, hancurkan sayur tersebut dan masukkan ke dalam hidangan yang digemarinya. Begitu jugalah jika anak tidak sukakan makanan berprotein, ‘sorok’lah ikan atau daging dalam makanan kegemaran mereka.
5. Kurangkan Pengambilan Gula
Ibu bapa yang mempunyai anak obesiti dinasihatkan agar mengurangkan atau makanan manis masuk ke dalam rumah. Jika menyediakan sendiri kuih muih, pastikan kandungan gulanya juga dikurangkan. Seelok-eloknya, jangan beri anak makan gula-gula. Sekiranya semua ini dijadikan amalan, anak anda pasti tidak akan obes.
6. Makanan Tinggi Kalori
Semak makanan yang anda berikan kepada anak untuk memastikan anda tidak memberi mereka makanan tinggi kalori.
7. Makanan Segera
Bagi sesetengah keluarga, makanan segera umpama makanan ruji mereka. Alasannya mudah dan cepat. Tabiat inilah perlu dibuang agar pemakanan anak lebih terjaga dan mereka tidak obes.
8. Bijak Memilih
Ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak obesiti perlulah berhati-hati ketika memilih makanan untuk anak mereka agar tidak terbeli makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garamnya. Makanan untuk anak obesiti mestilah rendah kalorinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkembangan setiap anak kecil mungkin berbeza-beza, tapi jika ingin mengasah kemahiran motor halus anak, beberapa aktiviti yang akan menyeronokkan si kecil akan mengalihkan perhatian anak dari gajet.
Malah, tak perlu tunggu anak usia enam tahun untuk asah motor halusnya, takut nanti jejas pembelajarannya di tadika. Ini kerana kemahiran motor halus ini penting untuk anak-anak belajar menulis, zip baju, guna gunting dan sebagainya yang melibatkan pergerakaan jari.
Penguasaan skil motor halus amat penting untuk si kecil untuk menguasai pelbagai kemahiran sebelum ke sekolah. Mama dan papa boleh lakukan pelbagai 10 aktiviti ini di rumah untuk membantu mereka.
Penguasaan kemahiran motor halus amat mustahak untuk melakukan melibatkan penggunaan halus otot kecil yang mengawal tangan, jari dan ibu jari. Dengan perkembangan kemahiran ini, si manja dapat menyelesaikan tugas-tugas penting seperti menulis, memotong menggunakan gunting, menyuap makanan sendiri, membutangkan pakaian sendiri dan zip.
Mama dan papa boleh melakukan aktiviti rangsangan yang disarankan ini untuk membantu anak menguasainya. Lebih awal dilakukan maka lebih baik.
1.BERMAIN PASIR
Pasir sama ada pasir kinetik atau pasir biasa merangsang jari-jemari dan tapak tangan si kecil. Sediakan alatan yang lain seperti penceduk, trak kecil untuk mengangkut pasir dan acuan. Selain itu, isikan pasir ke dalam dulang dan biarkan si manja melakar di atasnya. Anda juga boleh membawa si kecil ke pantai dan ajaknya untuk membina istana pasir. Tentu dia seronok!
2.DOH MAINAN
Doh mainan memang sesuai untuk tujuan sensori motor halus. Dia bebas menguli, memicit, mencubit doh pelbagai warna. Ini adalah latihan yang baik untuk jari dan ibu jarinya. Berikan penggelek dan acuan untuk menjadikan permainan lebih menarik.
3.MENAMPAL
Menampal kertas mahu pun pelekat boleh menggalakkan si manja menggunakan tangannya. Anda boleh ajaknya membuat kolaj pelbagai bentuk seperti buah epal, payung dan sebagainya.
4.MENGKATEGORIKAN OBJEK KECIL
Objek kecil seperti butang, pompom, klip kertas dan tutup botol pelbagai warna boleh dimanfaatkan sebagai permainan si kecil. Anda boleh menyuruh si kecil mengasingkannya mengikut warna atau bentuk yang berlainan.
5.BUSY BOARD
Bermain dengan busy board ialah aktiviti yang bagus untuk si kecil. Ia menggalakkan penguasaan si manja untuk membutangkan baju, membuka tombol, membuka ikatan, memasang zip dan sebagainya.
6.MENYUSUN MENGIKUT BENTUK
Ambil sekeping kadbod dan lukis dua garisan iaitu zigzag dan berombak. Sediakan juga objek seperti kacang atau butang. Minta si manja untuk menyusun objek mengikut garisan-garisan ini. Penggunaan hujung jari untuk mengambil objek melenturkan otot jari dan tangan mereka.
7.MENJAHIT
Sediakan kadbod mengikut bentuk yang anda sukai dan tebuk lubang pada sekelilingnya. Berikan anak benang kasar atau tali dan minta mereka masukkan tali ke dalam lubang pada sekeliling kadbod. Ketika tangan memasukkan tali ke dalam lubang, mereka telah menggunakan jari dan serta koordinasi mata-tangan.
8.RANTAI PASTA
Sediakan semangkuk pasta penne dan seutas benang kasar yang bersaiz besar. Ajak anak untuk memasukkan benang ke dalam lubang pasta sehingga membentuk rantaian panjang. Anda boleh mewarnakan penne menggunakan pen penanda untuk efek yang lebih cantik dan menarik.
9.MENGGUNAKAN PENYEPIT
Anda boleh menyediakan objek seperti pompom, bebola kecil atau pasta penne berwarna dan biarkan si manja mengasingkannya mengikut warna menggunakan penyepit. Selain itu, boleh juga ajak si manja bermain air menggunakan syringe. Ia boleh menggalakkan penggunaan jari dan tangan.
10.MELAKAR MENGIKUT GARISAN
Melakar atau tracing adalah aktiviti yang baik untuk motor halus. Ia boleh dilakukan dengan membiarkan si manja melakar dengan meniru garisan yang telah anda buat pada kertas. Buku yang mempunyai latihan menyambungkan titik juga adalah saranan yang baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai ibu bapa merungut, susahnya nak ajar anak baca dengan lancar. Hari ini ajar, esok dah lupa. Sampai suara pun dah naik turun tiap kali mengajar. Bila fikir sekali, patutlah tak boleh nak jadi cikgu. Tahap kesabaran cepat tergugat.
Menerusi apa yang dikongsikan oleh Pengetua Genius Aulad Saujana Utama, Puan Ashikin Hashim, cuba periksa sebenarnya anak yang tak boleh baca atau kita yang tak faham tentang proses baca dan caranya? Berhenti sebentar salahkan anak.
Suka untuk saya kongsikan sedikit berkenaan mengajar anak membaca. Mahu ajar anak membaca usah tumpu belajar guna buku sahaja.
Bila kita hanya guna buku, maka berlakulah peperangan antara anak dan kita.
” Aik, baru ajar ‘ca’, ‘ba’ dah lupa!”
Mengaku tak! Dan selalu saya terima aduan ibu bapa berbunyi begini:
” Anak saya kalau suruh baca kejap je fokus dia. Kejap dah boring.”
Ingat ya ibu-ibu, yang kita ajar ni anak umur 4-6 tahun, logiklah dia mudah lupa, memang lah dia cepat boring. Bukan sebab dia tak pandai.
Kenapa dia mudah lupa? Sebab kita tak tahu cara ajar yang sesuai dengan umurnya. Kenapa kita rasa anak cepat boring? Sebab kita tak ada alat lain nak ajar anak baca. Guna buku sahaja! Ya Allah boringnya
Macamana nak bagi anak ingat? Macamana supaya anak tak boring? Nak buat aktiviti dengan anak termasuk lah membaca mesti ada 3 perkara ini.
Masukkan 3 elemen ini supaya anak lebih faham dan ingat inshaAllah.
1. Belajar secara VISUAL – anak nampak apa yang dia nak baca
2. Belajar secara AUDITORI – anak mesti dengar dulu kemudian sebut. Ulang dan ulang. Rakam suara kita pun boleh. Banyakkan berbual/bercakap supaya anak dengar pelbagai kosa kata.
3. Belajar secara KINESTETIK – anak mesti bergerak bila belajar. Bila anak bergerak, anak lebih mudah faham dan dia tak cepat bosan.
Contoh aktiviti membaca yang saya buat dengan Wafa:
1. Minta dia baca dulu.
2. Ulang
3. Cuba ingat tanpa lihat
4. Minta di tulis di whiteboard
5. Baca lagi
6. Puji anak
15 minit pun dah cukup dah inshaAllah. Silap-silap anak yang nak lagi buat. Cuba ya. Jangan tumpu pada buku sahaja. Pelbagaikan aktiviti supaya anak belajar dengan lebih baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!