Siapa ada anak umur bawah 2 tahun suka meragam atau tantrum tentu pening kepala memikirkan apa sebenarnya punca masalah tersebut.
Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak usia tersebut, anda kenalah ambil tahu punca dan cara mengendalikan tingkah laku si kecil.
Pada usia bawah dua tahun mereka masih lagi pada fasa seorang bayi namun sudah mula ”bertindak” macam kanak-kanak sudah besar.
Oleh kerana mereka masih belum pandai bertutur ia menjadi sukar untuk menyampaikan apa yang diinginkan. Akhirnya bila orang dewasa tak faham apa yang diinginkan oleh si kecil, maka berlakulah tantrum.
Ads
Perkongsian daripada seorang ibu, Dr Anayasmin Azmi yang menerangkan punca sebenar anak umur bawah 2 tahun mengamuk atau tantrum.
Siapa ada anak usia 1tahun-2tahun?
Perasan tak pada usia ini nampak macam mula meragam..’tantrum’ kata orang putih.
Sebenarnya usia ni anak kecil kita bina banyak kemahiran.
Ads
1) Anak kita mula bina AUTONOMY. Iaitu rasa dia ada kuasa menentukan sesuatu. Sebagai contoh anak saya tentukan apa baju dia nak pakai dan baju umi dia pakai juga…huhu
2) Anak kita juga mula COPYCAT. Dia akan tiru apa kita buat. Kalau kita sapu dia pun nak menyapu, kita masak dia pun nak masak. Raikan sahaja. Beri sahaja alatan ‘real’ untuk dia guna.
3) Anak mula PRETEND PLAY. Ala mcm berlakon-berlakon gitu. Dia ambil teddy bear bawak jalan-jalan macam teddy tu babynya. Dia suap teddy makan.
4) Anak juga sebenarnya mula EXPERIMENT dengan kita. Contoh semalam anak saya tumpahkan air dari cawan ke lantai. Tumpah separuh dia tengok wajah saya. Tengok mak dia calm je..dia tuang semua..huhu.Dia experiment respond kita.
Anak belajar sebenarnya. Banyak perkara dia belajar. Raikan perkembangan ini dan konsisten pada respond yang diberikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seronok tengok anak petah bercakap, confidence dan happy. Semua ciri-ciri itu akan menjadikan anak seorang individu yang positif dan sentiasa bersemangat sampai dia besar nanti.
Sebagai ibu bapa siapa yang tak mahu anak-anak yang sentiasa positif dan baik tingkah lakunya kan? Tapi apa usaha atau cara yang kita lakukan untuk mendapatkan anak sedemikian?
Walaupun setiap orang ada cara didikan yang berbeza tapi tak salah kalau kita saling berkongsi pengalaman dan tips mendidik anak yang positif kerana misi semua orang adalah sama iaitu mahukan anak yang cemerlang dunia dan akhirat.
Justeru perkongsian tips mendidik anak petah bercakap, berkeyakinan tinggi dan sentiasa gembira yang dikongsi oleh Puan Fauzan N Siti ini diharap boleh dijadikan panduan bermanfaat bersama.
Mahu anak petah bercakap, confidence dan happy?
Pengalaman dan tips yang saya guna sepanjang 11 tahun ini untuk anak-anak yang confidence dan petah bercakap. InshaaAllah
1. Luang masa untuk bercakap dengan anak-anak, bukan membebel ya tapi bercakap dan explain benda yang kita buat dengan bahasa dewasa bukan baby talk.
Dari baby dah mula bercakap dengan anak-anak bila anak dah boleh duduk bawa mereka ke dapur sambil masak tu explain macam chef wan. Mula-mula rasa macam sehala tapi bila dia dah boleh bercakap balik ia akan jadi 2 hala. Kena sabar.
Macam saya anak-anak saya selalu bersama saya bila di dapur. Mak dia jadi chef wan, anak dalam sinki atau atas high chair sambil uli bawang.
Bila anak dah boleh bercakap, ajar anak untuk cerita pulak pada kita. Kalau kita dah biasa explain benda kita buat masa dia baby bila dia boleh bercakap, dia akan pick up kebolehan untuk explain benda yang dia explore pula pada kita.
Saya rasa ramai ibu dan ayah suka bercakap tapi terhenti sebab banyak sangat tengok phone. Jadi “bisu” pulak mak ayah zaman sekarang.
Tiba-tiba nak anak yang petah. Memang payah nak berjaya.
2. Beri masa untuk anak bercakap. Beri ruang untuk dia tonjolkan diri dia
Bila anak bercakap kita pandang mata dia, level kan aras mata dengan dia dan respond dengan baik.
Jangan pulak anak nampak siput ” mama sipuuuut”..
Mak jawab..”aaaaaa”
Sambil tengok phone.
Bila anak bercakap sila berikan respond perubahan memek muka. Balas soalan yang di tanya, tanya soalan pada dia, tunjukkan anda beri perhatian.
Kita tunjuk pada anak-anak mereka lebih PENTING dari HP masing-masing ya.
3. Raikan dan hargai anak-anak
Masa ni lah nak guna telefon canggih masing-masing bukan asyik selfie tak tentu arah tu.
Guna telefon rakam perkembangan anak-anak. Share dengan orang terdekat yang positif, yang akan puji.
Jangan share dengan orang yang negative. Yang kerjanya nak mencari buruk anak kita. Kalau orang macam ni jauhkan dari anak-anak dan kalau nak share di fb ke apa, hide post dari orang-orang yang kita tahu tak suka atau orang yang pernah tag kita ” riak anak”. Ibu-ibu mesti block /unfriend golongan begini.
Pada saya tiada istilah riak anak. Semua ibu bapa patut bangga dengan anak masing-masing. Kalau kita ibu bapa tak sokong dan bantu mereka berkembang, bangga dan bahagia dengan perkembangan mereka, nak harap kan siapa?
Istilah riak anak adalah hasil dari mereka yang dengki..eh!
Ibu atau ayah kena ambil peluang, masa lepak-lepak dengan anak-anak malam-malam tu, tunjuk balik rakaman pada anak. Puji anak… senyum…happy..
Walaupun perkembangan yang kecil, kita perlu hargai.
Kita perlu bina small success untuk anak-anak. Baru datang bigger success bermula dengan hargai usaha kecil dia.
Sebenarnya tips ini bukan sahaja akan hasilkan anak petah, dan berani bercakap. Tips ini juga untuk anak-anak happy, suka belajar dan kukuh hubungan dengan ibu bapa.. Anak-anak akan jadi anak-anak yang percaya pada kita dan berakhlak baik. Inshaallah
Semoga kita semua dikurniakan kesabaran dalam mendidik anak-anak kita. Semoga Allah permudahkan urusan kita di dunia dan akhirat.
Rupanya ada enam aktiviti bermain yang boleh bantu rangsang penguasaan kemahiran membaca awal untuk anak yang ibu ayah kena tahu. Pastikan ibu ayah alert bab ini terutama aktiviti yang telah disenaraikan. Buat list pendek aktiviti-aktiviti ini pada kertas memo atau telefon bimbit, supaya dalam seminggu ada aktiviti bermain cara ini.
Memang risau bila anak usia lima atau enam tahun masih belum boleh membaca sehinggakan ada ibu bapa memaksa anak-anak untuk membaca. Memang tidak dinafikan anak kemahiran membaca perlu ada kepada anak-anak supaya dapat menyesuaikan diri semasa memasuki darjah satu nanti. Namun jangan lupa juga bahawa bermain adalah alat bantu yang dapat merangsang anak-anak untuk mahir membaca. Ini kerana semasa kanak-kanak ini bermain akan terbentuk nilai-nilai dalam dirinya seperti kreativiti, fokus, berani, yakin dan perkembangan bahasa.
Contohnya bermain pasir di luar rumah akan dapat meningkatkan kesihatan fizikal kanak-kanak, mengatasi konflik, koordinasi motor, lebih fokus. Malah jika anak-anak suka main peranan seperti berlakon jadi doktor, guru , berlakon atau terlibat dalam penceritaan boneka, ia sebenarnya membantu penguasaan membaca dengan baik.
Dalam kajian Pellegrini, 1980 dalam Spodek, 1993, terdapat hubungan antara awal membaca dengan permainan lakonan . Perkara ini menjelaskan bahawa melalui berlakon atau bermain peranan, kanak-kanak akan lebih mudah menguasai kemahiran membaca awal.
Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti tersebut seperti membina blok, bermain air dan pasir, menyelesaikan teka kata atau membina kawasan bermain secara imajinatif memaksa kanak-kanak menggunakan kemahiran berfikir kritis.
Juga anak-anak bermain di tadika atau di taman bersama rakan sebaya atau anak jiran tertangga, ia melatih kanak-kanak belajar bekerjasama dan mengatasi konflik. Bila seseorang kanak-kanak melalui pengalaman sosial dan emosi yang sihat, mereka akan dapat menyesuaikan diri kepada persekitaran di sekolah.
Secara kesimpulannya, bermain adalah aktiviti kritikal untuk perkembangan anak. Ibu bapa dan pihak tadika atau taska perlu menyedari bahawa bermain bukanlah aktiviti untuk memenuhi masa kanak-kanak tetapi faedahnya lebih daripada itu.
6 JENIS PERMAINAN BANTU PENGUASAAN KEMAHIRAN MEMBACA AWAL
Permainan 1
Bermain dengan pasir. Kanak-kanak belajar mengenai sifat semula jadi elemen-elemen seperti pasir, air dan udara. Jom ke pantai hujung minggu! Jika tidak ada masa terluang, boleh je beli pasir buatan tu. Yang penting ada aktiviti bermain pasir. Jangan lupa jaga kebersihan anak-anak yang lepas main pasir.
Permainan 2
Bermain air dalam kolam plastik. Biasanya kanak-kanak meletak itik, bungkah kayu atau kapal layar dalam air. Selain daripada berasa seronok, kanak-kanak juga mempelajari itik boleh berenang, kapal boleh belayar dan bungkah kayu boleh tenggelam dalam air. Sesuai sangat untuk anakk-anak usia tiga atau empat tahun terutama aktiviti di taska.
Permainan 3
Permainan mengail ikan. Ia permainan kanak-kanak belajar kemahiran psikomotor, kognitif dan
afektif terutamanya jika bermain sambil menyanyi. Sesuai sangat untuk anak usia lima dan enam tahun. Rupanya permainan mengail ikan ini berguna untuk perkembanan anak kan. Tetapi jika nak natural, boleh ke Farm In The City, Sri Kembangan sebab ada ruang untuk anak-anak menangkap ikan menggunakan pencedok. Bila ke sana jangan lupa lakukan aktiviti ini!
Permainan 4
Berlakon atau main peranan mememegang watak ibu, bapa, kakak dan abang yang dapat mendidik anak-anak menghayati watak dan peranan ahli keluarga seperti dalam permainan “masak-
masak” atau “pondok”. Lepas ini bila anak nak pinjam senduk atau periuk kat dapur jangan marah-marah. Biarkan je. Jika nak beli set permainan masak-masak pun ok jika ada bajet.
Permainan 5
Terdapat pelbagai lagi bentuk permainan yang berfaedah untuk perkembangan anak-anak . Ia termasuk bermain doh mainan daripada plastersin, bermain guli, boneka (puppets), batu, bungkah kayu, lego dan lain-lain.
Secara keseluruhannya, pastikan ibu ayah dan pihak taska dan tadika mengenalpasti apa aktiviti permainan anak. Pastikan permainan yang anak-anak lakukan itu ada faedah untuknya. Memang ada pakar yang mengatakan permainan gajet ini dibolehkan untuk pembelajaran anak-anak. Tetapi jika tidak dikawal, ia akan jadi permainan yang sebaliknya. Bagi admin, ibu bapa yang tidak dapat mengawal dan mengelak anak rasa ‘ketagih’ dengan gajet adalah lebih baik jangan bagi terus gajet kepada anak-anak. Biarkan mereka lupa dunia gajet, dan suka kepada permainan-permainan yang menggunakan alat bantu ini. Jom kita lakukan perubahan sekarang untuk kecemerlangan anak. Ingat enam tahun pertama ada perkembangan kritikal anak. Selamat mencuba!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dikurniakan anak istimewa Autism Spectrum Disorder (ASD) bukanlah penghalang untuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan isteri, Nori Abdullah menyekat kebebasan anaknya seperti kanak-kanak normal lain.
Bagi Khairy dan Nori ketika ketika ditemubual secara eksklusif oleh Star2 dia akan memeriksa jadual anak kesayangan mereka, Timor yang sudah mempunyai rutinnya sendiri sepanjang hari.
Jadual itu lengkap dengan gambar dan visual tentang aktivitinya dan ia amat penting dalam memastikan kanak-kanak berusia 10 tahun itu berada dalam keadaan tenang dan terurus.
Timor mempunyai ASD dan seperti kebanyakan kanak-kanak (dan orang dewasa) pematuhan terhadap rutin harian adalah sangat penting.
Sebarang gangguan secara tiba-tiba terhadap rutin yang telah ditetapkan akan menyebabkannya seseorang itu mudah berasa cemas selain mudah mengamuk.
Tujuh tahun sejak Timor disahkan mempunyai autisme, Khairy dan Nori perlu berdepan dengan realiti bahawa anak mereka melihat dunia dengan cara berbeza dan perlukan perhatian berlainan daripada kanak-kanak normal.
“Jujurnya, anda tidak akan pernah faham kanak-kanak yang mempunyai ASD.
“Mereka hidup dalam dunia neurologi yang sangat berbeza berbanding dengan individu biasa. Saya tidak pernah faham apa dunia di mata Timor namun dari sudut positif kami sentiasa belajar perkara baharu,” katanya.
Timor tunjuk perbezaan sejak berusia dua tahun
Bercakap lanjut mengenai Timor, Nori memberitahu Timor mula menunjukkan petanda dia berbeza daripada kanak-kanak lain ketika usianya mencecah dua tahun.
“Dia banyak bersendiri dan berada dalam dunianya sahaja. Apabila usianya mencecah tiga tahun, agak jelas Timor mempunyai masalah.
“Ketika hari jadinya yang ketiga, kami mula perasan dia tidak mahu bermain dengan kanak-kanak lain dan hanya fokus kepada satu perkara. Kami membawanya berjumpa dengan pakar kanak-kanak dan doktor mengesahkan Timor mempunyai ASD,” katanya.
Mendengar perkhabaran anak kesayangan mereka mempunyai autisme bukan mudah kata Khairy.
“Diagnos mengatakan dia berlainan daripada orang lain memang mengejutkan. Sebagai ibu-bapa lain kami perlu tukar perancangan hidup, impian dan cita-cita untuk dirinya, berdasarkan keadaannya.
“Tetapi kami tahu pada masa sama kami perlu bantu Timor untuk menjadi seorang yang berdikari,” ujarnya.
Walaupun tidak bersedia dengan berita disampaikan, Khairy dan Nori memberitahu mereka sedar perlu menerima hakikat dalam membantu anak mereka.
Malah Timor juga sudah menghadiri terapi percakapan sebelum disahkan mempunyai ASD selain mula mempelajari Applied Behavior Analysis (ABA) iaitu terapi untuk kanak-kanak dengan autisme.
Malah di sekolah, Timor diajar tentang kemahiran hidup selain dia kini sedang belajar mengingati nombor telefon ibu-bapa dan alamat rumahnya.
ASD adalah masalah neurologi dengan gejala tertentu namun ia berbeza dalam setiap kanak-kanak atau pun orang dewasa bergantung kepada jenis dan tahap keadaan mereka.
Individu yang mempunyai autisme kebiasaannya mengalami masalah dalam berkomunikasi dan sosial, memproses deria selain melambatkan perkembangan zaman kanak-kanak mereka.
Selain itu, mereka kebiasaannya enggan mempunyai hubungan mata, tingkah laku berulang dan mempunyai fungsi motor yang lemah.
Meskipun tiada ubat yang boleh merawat autisme namun rawatan awal dan perhatian yang cukup mampu memberi perbezaan besar dalam kehidupan golongan ini.
“Kami terima hakikat dan terus mengambil langkah segera dalam apa perlu kami lakukan. Timor terus menjalani terapi dan pelbagai perkara berlaku sepanjang tempoh itu tetapi banyak kita belajar setiap hari.
“Timor berada dalam keadaan baik buat masa sekarang tetapi kami juga sedar ia adalah usaha berterusan. Kami tidak tahu apa akan terjadi esok… Keistimewaan dirinya sudah menjadi sebahagian daripada hidup kami,” kata Nori.
Timor adalah anak kedua daripada tiga beradik iaitu Jibreil, 11 dan Raif, 4 tahun.
“Jibreil sangat memahami keadaan adiknya malah tahu akan cabaran apabila berhadapan dengan Timor. Mereka mungkin tidak banyak berkomunikasi kerana ia adalah antara cabaran Timor, tetapi mereka berdua banyak berkongsi pelbagai aktiviti bersama seperti bergusti, bermain bersama.
“Raif? Dia juga faham apabila dia sentiasa melayan Timor berbeza daripada abangnya. Dia lebih menghormati Timor,” kata Khairy.
Timor ada banyak hobi
Seperti kanak-kanak lain seusianya, Timor juga mempunyai pelbagai hobi. Khairy memberitahu anaknya itu gemar melukis, berenang, berbasikal dan sebagainya.
“Dia menunggang kuda malah menyukai cuaca sejuk dan salji. Dia seorang yang ceria dan mempunyai zaman kanak-kanak yang menggembirakan. Saya secara peribadi merasakan dia seorang kanak-kanak yang hebat!,” kata Khairy.
Tiga tahun lalu, Khairy bercakap secara terbuka mengenai hubungannya dengan Timor selepas membaca sebuah buku berjudul Uniquely Human tentang autisme tulisan Dr Barry M. Prizant.
“Asas mesej dari buku itu adalah kita harus berhenti daripada cuba mengubah anak (dengan ASD) untuk sesuaikan dengan dunia kita sebaliknya kita mesti mengubah dunia untuk kesesuaian kanak-kanak dalam spektrum ini.
“Itu adalah idea yang besar dalam pemikiran neurologi dan banyak cara dan kaedah untuk mendekati orang yang mempunyai autisme,” katanya.
Terinspirasi dengan buku itu, Khairy memberitahu dia membeli puluhan buku itu untuk dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan dalam usaha menyebarkan kesedaran tentang austime.
Ia juga mengubah cara mereka mendekati Timor dan ia membuatkan mereka lebih peka tentang keunikan Timor selain memupuk minatnya terhadap sesuatu perkara dengan caranya.
“Kami berharap dia dapat membesar sebagai seorang yang berdikari. Sebagai ibu-bapa saya kami harap dia dapat menjaga dirinya sendiri sekiranya kami tiada di sisinya.
“Kami juga mahu dia mencapai potensi diri. Kami tidak mahu memandang kepada kekurangannya. Timor gemar melukis dan dia sangat bagus dalam perkara itu. Bayangkan dia mampu melukis garisan lurus tanpa menggunakan pembaris.
“Siapa tahu, suatu hari nanti dia boleh bergelar arkitek suatu hari nanti kalau dia mahu,” ujarnya.
Akses kepada terapi
Sementara itu, Khairy dan Nori memberitahu mereka sedar Timor sangat bertuah berbanding kanak-kanak lain apabila dapat menjalani terapi sejak awal.
Bagi membantu dan menyokong keluarga lain, Nori telah membuka sebuah gimnasium khas iaitu We Rock The Spectrum dalam usaha meningkatkan akses kepada golongan memerlukan.
“Baru-baru ini juga kami melancarkan program Therapy Through Play. Idea program itu adalah semua orang dapat akses kepada terapi.
“Kami memulakan program tajaan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan. Kami mahu ibu-bapa hadir dan belajar tentang cara yang boleh dilakukan untuk membantu anak mereka,” katanya.
Bersempena dengan Bulan Kesedaran Autisme, Khairy dan Nori berharap masyarakat akan terbuka untuk membaca tentang autisme.
“Ia mungkin tidak memberi kesan kepada anda secara peribadi tetapi masih terdapat rakyat Malaysia tidak tahu mengenainya kerana jika masyarakat tidak sedar, kita turut menafikan peluang kanak-kanak dengan spektrum ini untuk mencapai potensi mereka,” ujarnya.
Influenza kanak-kanak, RSV, rotavirus dan HFMD semakin membimbangkan. Ketahui cara meningkatkan sistem imun anak melalui pemakanan, tidur, vaksinasi serta langkah pencegahan yang disarankan pakar.