Sikap tegas mak ayah bertukar garang sebenarnya kerana emosi. Jika diikutkan tegas dan garang sangatlah ketara bezanya. Dalam kamus, istilah tegas bererti jelas, terang dan lantang. Manakala garang pula bermakna menyerang dengan buasnya atau marah-marah dengan bengisnya.
Mak ayah tak ada ler sampai garang gitu sekali kan. Nak bertegas dengan anak demi kebaikan anak tak ada masalah. Tapi yang ramai silap hari ini adalah terlampau garang sehingga anak jadi perit. Jom kita tengok 4 perkara pencetus garang yang dikongsikan oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
1.Menjerit-jerit
Lupa nak perlahankan volume suara, maklum banyak tenaga yang datang dari emosi sebab rasa macam tidak dipercayai atau dikhianati. Apa pun perasaan kita, kawal sebaik mungkin volume suara. Guna nada profesional seperti pembaca berita. Suara diaorang serius namun mesra walau sedang membaca berita yang lucu.
Ingatkan diri sendiri bahawa Allah tegur kita dalam surah al-Hujurat:2 supaya tidak angkat suara melebihi suara nabi. Begitu juga ingatan Allah dalam surah Luqman:19 tentang suara keldai meringkik.
2. Lupa nak tarik nafas dan senyum
Bila rasa tercabar sikit mak ayah akan cepat tarik muka sepatutnya kena tarik nafas dulu. Fikir dulu kita yang kena kawal anak sebab anak tak faham, anak degil, anak terpengaruh dengan kawan dan sebagainya. Kita lupa bahawa satu-satunya insan yang kita boleh kawal adalah diri sendiri. Bila tak dapat kawal muka kita jadi bengis, masam kelat, kening berkerut, mata jadi bulat besar, hodoh jadi nya!.
Apa yang kita pamerkan itulah yang kita dapat. Anak tengok anak jadi takut terciptalah jurang antara mak ayah dan anak, Imam Ghazali pernah berpesan untuk kita lihat wajah kita sendiri di cermin sebagai kaedah kawal diri ketika rasa nak marah-marah.
3. Lupa niat; nak terang atau nak serang
Mak ayah sering lupa kita adalah pembimbing anak, kita bukan hakim yang kena menghukum anak sepanjang masa. Nabi pun ajar kita untuk bimbing anak selama 3 tahun supaya menguasai ibadah solat, nak jadikan solat sebagai budaya diri, 3 tahun adalah tempoh yang panjang dan dalam tempoh yang panjang itulah kita akan ulang, terang, jelaskan, tunjukkan berulang kali.
Lepas 3 tahun yang setiap hari 5 kali proses mengulang menerang berlaku pun tak jalan juga barulah dirotan anak itu. Bila kita lupa peranan kita pada anak, hati mudah jengkel dan bosan, mulalah kita rasa anak ni lembap ke, tak faham-faham ke, kita mula bandingkan dengan anak orang lain ataupun bandingkan diri kita dulu-dulu, masa kecik dulu kita cepat faham, cepat patuh dan cepat taat padahal kita perasan je tu, akhirnya dengan anak cepat je nak serang dan mudahnya jadi garang.
4. Lupa anak kita bukan milik kita
Kita sering lupa bahawa Allahlah yang merancang perjalanan hidup kita. Allah sentiasa melihat dan menilai respon kita pada perancangan-Nya yang kudus itu. Anak-anak kita adalah milik Allah. Allah pinjamkan pada kita untuk kita urus anak sebagaimana yang dikehendaki oleh pemiliknya. Anak kita bukan juga hamba kita, bukan pula sumber kebanggaan mutlak, tetapi dia adalah jambatan dan jalan untuk meraih reda Allah. Anak -anak merupakan asbab untuk capai keredaan dan kasih sayang Allah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bermain adalah perbuatan sukarela dan menyeronokkan bagi kanak-kanak. Bermain adalah sebahagian daripada aktiviti yang penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dan pertuturan. Kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan fikiran mereka sewaktu bermain. Kemahiran bermain merupakan sebahagian daripada kemahiran pra-pertuturan kanak-kanak.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah bermain:
Kanak-kanak yang mengalami kecacatan mental
Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal
Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan
Kanak-kanak yang mempunyai masalah persepsi
Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi dan tingkah laku
Kanak-kanak yang kurang mendapat peluang untuk bermain
Kanak-kanak yang mempunyai kelambatan pertuturan dan bahasa
Kanak-kanak bermain permainan berfungsi dengan eksplorasi sesuatu objek. Antara contoh permainan berfungsi adalah seperti menarik, menggoyang atau mengetuk objek, memanjat dan berlari.
Permainan Membina
Kanak-kanak membina sesuatu dengan merancang menggunakan minda. Contoh permainan membina seperti membina istana pasir atau menyusun blok secara bertingkat. Kanak-kanak akan menggunakan minda mereka untuk bermain permainan ini.
Permainan Olok-olok
Bermain menggunakan imaginasi seperti memberikan anak patung makan dan minum atau bermain secara olok-olok seperti menjadi seorang doktor. Keupayaan untuk meniru, penggunaan motor sensori dan kemahiran kognitif adalah penting dalam permainan olok-olok.
Tips bermain bagi meransang pertuturan anak
Sewaktu bermain dengan anak anda, bercakaplah dengan mereka. Komunikasi sewaktu bermain dapat merangsang pertuturan dan bahasa anak anda. Gunakan bahasa yang mudah, intonasi suara yang menarik serta pilih permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Gunakan ruang yang sesuai untuk anda dan anak anda bermain. Anda juga boleh menarik minat mereka dengan mengajak mereka berbual semasa bermain.
Aktiviti bermain mestilah sesuai dengan perkembangan anak anda. Pilih permainan yang bersesuai dengan perkembangan anak. Permainan perlu diubahsuai jika perlu bagi kanak-kanak yang mengalami kelainan upaya.
Mainan atau barang-barang yang digunakan mestilah bersesuaian dengan umur mereka.
Kenal pasti minat anak anda dan gunakan minat tersebut untuk menarik perhatian mereka bermain.
Arahan secara lisan mestilah sesuai dengan tahap pemahaman anak anda. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
Proses mengajar dimulakan dengan perkara asas dan kemahiran yang baru perlu diperkenalkan secara berperingkat.
Model perbuatan yang hendak anda ajar. Jika anak anda mempunyai masalah untuk meniru perbuatan tersebut, beri bantuan secara fizikal. Sebagai contoh; pegang tangan mereka dan melambai ‘bye-bye’
Anak anda mungkin berasa kecewa jika waktu bermain terlalu singkat atau tempoh bermain yang terlalu lama juga boleh menyebabkan mereka berasa bosan. Rancang tempoh bermain yang sesuai dengan anak anda.
Kanak-kanak yang tidak mahu bermain akan ikut bermain jika mereka lihat anda seronok dengan aktiviti yang sedang anda lakukan.
Beri ganjaran seperti pujian jika anak anda bermain sehingga habis sesuatu permainan.
Tunjukkan yang anda juga suka apabila anak anda bermain.
Sewaktu bermain, galakkan anak anda bercakap tentang apa yang sedang anda berdua lakukan
Apabila kanak-kanak bosan dengan mainan mereka, anda boleh bermain mainan tersebut dengan cara yang lain seperti menyembunyikan mainan tersebut di dalam kotak untuk mendapatkan semula perhatian mereka.
Ingat, anak anda juga perlukan masa untuk bermain sendiri
Keselamatan sewaktu bermain adalah sangat penting. Pastikan kanak-kanak mendapat pengawasan semasa bermain, ruang bermain yang mencukupi dan peralatan yang selamat
Permainan yang sesuai mengikut umur
Sewaktu bermain dengan anak anda, pastikan mainan tersebut sesuai dengan umur mereka Berikut adalah cadangan permainan yang sesuai mengikut peringkat umur mereka.
UMUR JENIS-JENIS MAINAN
0-3 bulan Mainan yang lembut, buku yang lembut, rattles lembut
3-6 bulan Rattles yang ringan, buku kulit keras, mainan untuk menggigit, play mat
6-9 bulan Buku, anak patung yang lembut, bola, blok berkayu atau blok lembut, mainan perkakas rumah
2-4 tahun Permainan yang boleh ditarik atau ditolak, permaian yang boleh ditunggang, permainan aksi seperti buaian, terowong and gelongsor (taman permainan mini)
5-8 tahun Permainan yang boleh dimanipulasi seperti permainan potong (cut game), mainan seni dan kraf tangan
Bergaduh adik beradik memang menjadi kebiasaan. Kalau dalam tempoh masa sehari tidak bergaduh sesama mereka, memang tak sah! Ada- ada yang tidak kena.
Kaunselor ini kongsi peranan ibu hadapi pergaduhan anak-anak, bukan menjadi hakim tentukan siapa yang salah.
Menurut Puan Farhan Salleh, seorang kaunselor dan juga ibu kepada dua anak, pergaduhan antara anak hanyalah gaduh-gaduh sayang. Berikut ialah perkongsian beliau;
GADUH GADUH SAYANG
Ada orang kata semakin lama kita menjadi ibu atau ayah, kita akan jadi semakin matang. Semakin bertambah anak semakin kita tahu bagaimana mengurus anak anak. Namun hakikanya bertambahnya bilangan anak anak di dalam rumah akan menyebabkan bertambahnya cabaran.
Saya teringat dahulu ketika anak hanya seorang saya hanya berdepan dengan kerenah Aufa sahaja, namun bila dia dah ada adik semakin banyak kerenah yang saya perlu tempuhi dan hadapi.
TERIMA ADUAN
Bukanlah namanya adik beradik kalau tidak bergaduh dalam sehari. Kita dahulu pun sama kan? Ada sahaja perasan tak puas hati sesama adik beradik.Pengalaman saya sendiri, dalam sehari tidak sah sekiranya tidak ada bunyi ini.
“Ibu!!! Tengok adik ni”
“Ibu, adik kacau kakak menulis”
“Ibu…adik gigit kakak”
Adakalanya Si adik datang pada saya dengan bekas gigitan di tangan dan menangis tersedu sedu tanda mengadu. Si kakak pula menjeling tajam
“Bukan kakak buat, adik dulu koyak kertas kakak”
Phewww. Berpeluh kita menerima aduan setiap hari. Kalau boleh dicatat berjela jela aduan dalam sehari. Itulah lumrah adik beradik kan. Bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa haruslah bijak menghadapi situasi seperti ini.
TINDAKAN
Dalam situasi yang saya ceritakan di atas, biasanya apa tindakan yang kita buat?
Mungkin ada yang terus marah pada anak yang lebih besar
Mungkin ada yang bagi sepit ketam aka cubit kepada kedua dua anak yang terlibat
Mungkin juga ada tidak memberi apa apa respon dan membiarkan sahaja segalanya selesai sendiri.
Sejak kedua dua anak saya membesar, saya belajar cara yang lebih bijak untuk membantu mereka apabila mereka bergaduh. Sebenarnya, bila anak anak bergaduh dan kita mahu menyelesaikan isu pergaduhan itu, jangan hanya fokuskan kepada misi menghentikan pergaduhan.
Sebaliknya, dalam masa yang sama kita harus memastikan anak anak kita dapat menjaga hubungan sesama mereka.
Kuncinya:
Solving issue and at the same time maintaining relationship
JADI ORANG TENGAH, BUKAN SEBAGAI HAKIM
Biasanya bila Aufa dan adiknya bergaduh, saya akan datang sebagai orang tengah atau mediator. Bukan sebagai hakim untuk menentukan siapakah yang betul atau salah. Apabila saya jadi orang tengah, saya tidak akan memihak kepada sesiapa.
Sebaliknya saya akan pegang kedua kedua tangan anak saya dan seorang akan berada di sebelah kiri dan seorang akan berada di sebelah kanan.
Ketika itu, sebenarnya masih sempat lagi mereka menyambung bergaduhan mereka.
Tetapi, sebagai orang tengah saya haruslah SABAR dan TIDAK MENGHUKUM sesiapa pun.
BERI MASA BERTENANG
Sebelum memulakan proses menyelesaikan masalah, saya beri mereka masa untuk bertenang dalam 5 minit.Setelah kedua-dua sudah agak reda dan tidak lagi naik kaki dan tangan, saya mula memainkan peranan saya.
Memandangkan hanya si kakak yang boleh bercerita, saya mula mendengar cerita dari pihak kakak.
“Ibu, bukan salah kakak, adik yang buat kakak dulu. Kakak tengah buat kerja, lepas tu dia datang tarik buku kakak”
Panjang lebar aduan kakak
“Ok, lepas adik tarik buku kakak, apa jadi selepas itu?”
“Kakak tolak lah dia, dia pun jatuhlah. Tapi bukan salah kakak!”
(Masih lagi mahu menang)
“Ok, faham, maknanya adik kacau kakak, lepas tu kakak tolak dia sebab marah?”
“Yelah, adik buat kakak dulu, bukan kakak, kakak tak kacau pun dia”
“Ok, kakak, ibu tahu kakak tak suka adik kacau, tapi kakak tolak dia sampai jatuh tu bagus tak?”
“Tak…”
Balas Aufa perlahan
PELUK ANAK, PASTIKAN MINTA MAAF & SALING BERPELUKAN
Biasanya ketika ini, saya akan peluk kedua dua mereka. Saat ini biasanya kedua duanya sudah semakin tenang.
Langkah seterusnya yang saya ambil adalah, memastikan kedua duanya meminta maaf dengan penuh perasaan dan kesedaran. Bukan memaksa mereka untuk meminta maaf, tetapi saya ajar mereka.
“Ok adik, sekarang minta maaf kakak. Adik ambil tangan kakak. Aminnn kakak”
“Ok, kakak pula minta maaf pada adik”
Oleh kerana kakak sudah besar, saya biasanya akan ajar dia meminta maaf dengan cara yang lebih berkesan. Biasanya ayat yang saya ajarkan kepada Aufa begini
“Adik, kakak minta maaf sebab……(tolak adik)”
“Lain kali kakak tak nak buat dah”
“Sayang adik”
Selepas si adik bersalam, saya akan menyuruh kedua kedua peluk antara satu sama lain.
Maka selesai lah 1 babak drama dalam rumah saya.
PISAHKAN SEKETIKA KALAU TIDAK MAHU MENGALAH
Harus saya ingatkan proses di atas bukanlah 1 penyelsaian magic. Adakalanya anak tetap akan keras dan tidak mahu mengalah. Kalau saya, biasanya saya akan pisahkan mereka seketika apabila kedua keduanya tidak mahu beralah. Biasanya saya akan dukung si adik bawa dia ke tempat lain sementara kedua duanya bertenang. Tetapi, pada kebiasaanya saya akan gunakan jalan penyelesaian seperti dibawah.
Kalau perhatikan cara saya di atas itu banyak melibatkan si kakak kerana anak saya yang sulung berumur 5 tahun dan adiknya baru sahaja setahun setengah. Jadi, sekiranya anak tuan dan puan sekalian kedua duanya berumur 3 tahun lebih dan ke atas kedua duanya harus dilibatkan dalam setiap langkah yang saya ceritakan.
Contohnya, dalam proses bercerita tentang apa yang terjadi, sekiranya kedua dua sudah mencecah usia 3 tahun lebih dan sudah pandai bercerita. Maka dengarlah cerita dari kedua dua belah pihak.
Ketika anak anak anak bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku jangan menyampuk atau mencelah. Dengar sahaja dengan penuh minat.
Ibu dan ayah jangan sesekali menyebelahi atau menyalahkan mana mana pihak yang terlibat.
Cuba untuk memahami perasaan anak anak kita dan jangan merendah rendahkan mana mana pihak.
Elakkan kekerasan ketika menyelesaikan masalah pergaduhan anak anak kerana cara kita itu akan digunakan semula apabila mereka bergaduh.
RINGKASAN
Harus ingat dalam menyelesaikan pergaduhan anak anak jangan lupa, dalam masa yang sama kita harus maintain hubungan mereka.
Ibu dan ayah bukan hakim untuk tentukan siapa bersalah tetapi jadi lah orang tengah yang tidak menyebelahi mana mana pihak
Orang tengah itu harus sabar dan tenang. Bukan menghukum
Adakan tempoh bertenang sebelum mula menyelesaikan masalah anak bergaduh
Dengar dengan penuh perhatian cerita dari mulut anak anak
Rasionalkan pemikiran mereka tanpa menyalah kan mana mana pihak. (Betul tak tindakan kakak tolak adik tadi?)
Ajar anak anak meminta maaf dari hati dan tanpa paksaan
Peluk
Apa yang penting, mereka harus faham bahawa kedua dua nya menyumbang kepada pergaduhan itu.Walaupun ada 1 pihak yang memulakan, tetapi kedua duanya tetap menyumbang kepada pergaduhan itu. Jadi kedua keduanya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan pergaduhan antara mereka.
Pergaduhan adik beradik itu lumrah yang kita sebagai ibu ayah perlu hadapi setiap hari. Cuma akhirnya terpulang bagaimana kita melatih anak dalam menghadapi setiap masalah itu agar mereka membesar menjadi insan yang tahu untuk menyelesaikan masalah dengan baik tanpa perlu menggunakan kekerasan dan kekasaran.
Anak anak kita, gaduh gaduh pun mereka tetap sayang antara satu sama lain. Kadang kadang saya terharu juga melihat anak anak sendiri. Siang bergaduh, tetapi bila malam sebelum tidur masing masing bergurau manja seolah olah tidak pernah bergaduh. Bila tiada pula masing masing rindu menyebut di mulut. Itulah gaduh gaduh sayang. Bila tiada terbayang-bayang.
Tidak dinafikan semua ibu bapa jadi tegas dan garang bila ia berkait dengan didikan anak. Sama seperti aktres Noor Khiriah, walau pun mempunyai karakter yang lucu, tapi dia amat tegas.
Didikan dan disiplin itu bermula dari rumah. Tidak kira anak lelaki mahu pun perempuan, ketegasan ibu bapa memang perlu terutamanya bila menetapkan peraturan. Noor Khiriah telah berkongsi di Instagram beliau video berdurasi 56 saat itu menunjukkan dia bertanya kepada anak lelakinya sesuatu.
Camera sorok masa rekod ni.Ni cara saya, memang sy msk air tapi saya akan jd singa bila bab anak2..dlm zaman yang makin ngarut ni..time main..mainlah, time seyes..seyes..
Kadang2 sedih, mak ayah dah bagj semua cukup..bila besar lain jadinya..Bapaknya dah ckp..klu wat pangai pelik2..anta sekolah pondok..sebab kat sana anak2 br taw camne hidup berdikari..-Rotan tu acah je?
Video yang di tonton oleh lebih daripada 81 ribu dalam masa 9 jam ini akhir. Para netizen seolah-olah mengimbau kembali kenangan semasa kecil dahulu apabila ibu bapa memanggil dan kenangan dirotan. Hakikatnya apa yang dilakukan oleh Noor Khiriah ini bagus dan wajar dicontohi walau pun dia hanya acah-acah dengan rotan sahaja.
Buat julung-julung kalinya, Pa&Ma membawakan Edutainment Fest Simpan SSPN 2024 yang telah berlangsung pada 24 & 25 Ogos lalu di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur yang diinspirasikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).