Masalah kenaikan berat badan yang berlebihan pastinya akan menyebabkan para wanita hamil ditegur oleh kakitangan klinik atau hospital. Pada waktu itu, kita akan mengimbas kembali, apakah yang kita makan semalam, atau sepanjang minggu itu? Kenaikan berat badan ketika hamil adalah sesuatu yang normal tetapi tidak boleh secara mendadak. Setiap ibu hamil boleh merujuk kepada carta berat badan yang ideal sepanjang mengandung. Ikuti penerangan lanjut tentang topik ini oleh Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital Seremban.
Sebelum kita semua panik, marilah kita lihat apakan kenaikan berat badan yang dianggap ‘normal’ ketika hamil. Kenaikan berat badan ketika hamil secara purata adalah 12 kilogram sepanjang kehamilan. Pun begitu, bagi wanita yang “underweight” iaitu BMI 18.5 atau kurang, anda boleh mengalami kenaikan berat badan sebanyak 20kg sepanjang kehamilan. Untuk wanita yang mengalami obesiti pula, (BMI lebih dari 30.0), anda hanya boleh naik berat badan sebanyak 5kg sepanjang kehamilan.
Naik Berat Badan Ikut Usia Kehamilan
Pada trimester pertama, keadaan ibu yang kurang selera atau mengalami loya menyebabkan kenaikan berat badan adalah minimum 1kg setiap bulan atau ada yang kehilangan berat badan.
Pada trimester kedua, berat badan akan naik 1kg setiap bulan. Jika berat badan tidak naik disebabkan masalah muntah yang berpanjangan, anda hendaklah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut (pastikan tiada masalah tiroid, masalah hati atau masalah usus/pankreas).
Pada trimester ketiga, berat badan selalunya naik 1.5 -2kg setiap bulan. Jika, berat badan naik lebih dari bacaan yang dinyatakan, pihak hospital atau klinik akan memastikan anda tidak mengalami masalah kencing manis, darah tinggi atau masalah pemakanan berlebihan.
Ads
Jika Berat Badan Naik Mendadak, Akan Dipantau
Ini bagi mengelakkan masalah seperti eklampsia, kematian ibu dan bayi (disebabkan oleh darah tinggi) atau masalah bayi yang obes, atau kematian bayi secara mengejut (disebabkan oleh masalah kencing manis sewaktu hamil). Biasanya doktor akan menasihatkan ibu supaya tidak makan berlebihan sehingga menyebabkan diri ibu dan bayi dalam kandungan menjadi obes.
Jika kita melahiran bayi yang mempunyai berat badan berlebihan, risiko yang kita alami adalah:
Ads
Proses kelahiran yang lama
Gagal untuk lahir secara normal dan perlu dibedah akhirnya
Penggunaan alat seperti vakum dan forsep bagi membantu kelahiran di mana bayi dan ibu boleh mengalami kecederaan.
Selepas kepala bayi keluar, bahu pula boleh tersangkut (shoulder dystocia) di mana otot, tulang dan urat saraf bayi boleh cedera dan kecederaan mungkin kekal! Otak bayi juga boleh mengalami kekurangan oksigen.
Setelah bayi dilahirkan, uri juga besar jika bayi puan besar. Dalam sesetengah kes, ia sukar dikeluarkan. Selepas uri keluar, rahim pula lambat mengecut dan boleh berlaku masalah tumpah darah.
Buat Rekod Kenaikan Berat Badan
Ibu mengandung seharusnya menyimpan rekod kenaikan badan. Dengan cara ini, anda akan peka dengan kenaikan berat badan. Beli mesin penimbang dan timbang berat badan dua kali sehari (waktu pagi dan malam sebelum tidur).
Campur berat badan anda pada hari itu dan bahagi dengan dua untuk mendapat purata berat badan. Simpan rekod berat badan selama seminggu dan kira puratanya.
Ads
Jika berat badan naik terlalu cepat ( lebih dari 0.5kg seminggu), makaa anda hendaklah menjaga pemakanan pada minggu seterusnya.
Masalah kenaikan berat badan yang berlebihan juga mempunyai kesan selepas bersalin. Di antaranya ialah masalah stres dan murung. Kesukaran untuk menyusu anak juga dikaitan dengan wanita yang obes selepas kelahiran bayi. Jika mengalami pembedahan caesarean, luka lambat baik, lebih mudah mengalami jangkitan dan lebih mudah dilanda masalah darah beku di kaki (deep vein thrombosis).
Kesimpulannya, jangan panik jika berat badan naik ketika hamil. Sebaliknya, simpanlah rekod berat badan anda sendiri. Jagalah pemakanan dan berjumpalah dengan pakar pemakanan jika perlu. Lakukan senaman setiap hari jika mampu. Ikutlah nasihat doktor kerana jika perlu, pemeriksaan untuk kencing manis dan darah tinggi akan dilakukan bagi memastikan keselamatan puan dan bayi dalam kandungan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kejang betis atau cramp sering kali terjadi pada ibu yang mengandung. Keadaan ini dikenali sebagai tarik mengkarung atau simpul biawak dalam masyarakat Melayu. Setiap kali kekejangan berlaku, mama tentu berasa sakit. Mengapa ini berlaku dan apakah ada solusi untuk mengelakkannya berlaku lagi?
Kekejangan otot kaki menyakitkan. Hanya orang yang pernah melalui akan tahu betapa sakit rasanya. Ditambah pula dalam keadaan perut yang semakin membesar, mama tentunya sukar untuk meluruskan kaki menghilangkan rasa kejang.
Menurut Dr Nurhazinat Yunus, Pakar Obstetrik & Ginekologi, otot kaki menampung berat badan yang berlebihan semasa mengandung. Rahim yang membesar juga memberi tekanan kepada pengaliran darah dari vena utama kaki naik ke atas.
Hal ini berlaku bersama dengan kesan hormon progesteron iaitu antara hormon utama yang terhasil semasa hamil. Kehadiran hormon progesteron memberi kesan kepada ketahanan atau kekuatan otot kaki semasa hamil.
KENALI PUNCA
Kekejangan betis semasa hamil adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang disebabkan oleh pemakanan dan beberapa faktor lain. Mama perlu peka faktor yang mungkin menjadi puncanya.
Keletihan otot betis.
Tekanan pada urat saraf bahagian kaki
Peredaran darah yang tidak lancar, atau
Ketidakseimbangan garam galian atau mineral di dalam badan sama ada terlalu sedikit kalsium atau magnesium atau terlalu banyak fosforus. Namun data yang menyokong pendapat kekurangan mineral menyebabkan keadaan ini terhad.
Tahukah anda pemilihan kasut yang bersesuaian dapat mengelakkan kekejangan pada kaki semasa hamil. Pilih kasut atau sandal yang selesa dan menyokong berat dan postur badan anda. Pemakaian kasut bertumit tinggi semasa hamil tidak digalakkan dan boleh mengakibatkan kekejangan pada otot betis.
SELALU TERJADI SEBELAH MALAM
Menurut pendapat kebanyakan ibu hamil, kekejangan pada betis kerap kali berlaku pada waktu malam. Kata Dr Nurhazinat, kekejangan betis selalu berlaku pada waktu malam disebabkan suhu persekitaran yang lebih sejuk, keadaan fizikal yang tidak aktif semasa tidur atau pun pergerakan secara tiba-tiba seperti mengeliat selepas rehat yang panjang. Maka tidak hairanlah kekejangan kerap kali berlaku di waktu malam atau ketika anda sedang berehat.
Apabila berlaku kekejangan betis, anda perlu meregangkan otot tersebut. Luruskan kaki, perlahan-lahan bengkokkan (flex) bahagian buku lali kaki dan jari-jari kaki ke arah anda.
Pastikan sendi lutut anda lurus. Sekiranya anda bersendirian, anda boleh membongkokkan badan anda, capai jejari atau ibu jari kaki, dan tarik jari tersebut ke arah anda dengan sendi lutut pada keadaan lurus.
Sekiranya anda bersama pasangan, anda boleh meminta pasangan anda untuk perlahan-lahan menolak jejari kaki tersebut ke arah anda. Apabila anda melakukan perkara ini, anda akan merasa kesakitan terlebih dahulu, sebelum ianya beransur-ansur hilang.
Anda juga boleh mengurangkan kekejangan tersebut dengan mengurut bahagian otot betis perlahan-lahan. Sekiranya masih tidak berjaya, bangun dari katil dan lakukan aktiviti berjalan selama beberapa minit.
CARA ELAK KEJANG BETIS
Ada cara untuk mencegahnya daripada terus berlaku walaupun sebab sebenar yang menjadi punca kekejangan otot kaki masih lagi tidak jelas. Mama boleh mengambil beberapa langkah untuk mencegahnya pada masa akan datang.
#1 REGANGKAN OTOT BETIS
Lakukan aktiviti regangan sebelum tidur boleh membantu mengelakkan kejadian kejang betis semasa hamil. Berdiri sejauh panjang lengan anda dari dinding, letakkan tapak tangan anda pada dinding tersebut dan gerakkan kaki kanan ke belakang kaki kiri. Perlahan-lahan, bengkokkan kaki kiri ke hadapan, pastikan kaki kanan anda kekal lurus atau tegak dan tapak kaki kanan tidak berganjak/bergerak dari lantai tersebut. Tahan regangan tersebut selama 30 minit, hati-hati untuk mengekalkan belakang anda lurus dan paha anda ke hadapan. Kemudian, tukar kaki, dan ulang regangan yang sama. Lakukan regangan ini selama 5-10 minit.
#2 KEKAL AKTIF
Lakukan senaman atau aktiviti fizikal setiap hari dapat mengurangkan berlakunya kekejangan ini. Mama perlu mengelakkan dari berdiri terlalu lama atau duduk dengan posisi kaki bersilang.
#3 VITAMIN DAN MINERAL CUKUP
Ambil vitamin dan mineral tambahan seperti vitamin C, magnesium, potassium dan kalsium. Mama juga boleh mengambil makanan yang kaya dengan magnesium seperti bijirin, kekacang dan buah-buahan kering. Pengambilan pisang disyorkan setiap hari kerana pisang kaya dengan potassium yang membantu mengurangkan kekejangan otot. Anda juga digalakkan meminum susu atau mengambil pil kalsium untuk mendapatkan kalsium yang mencukupi semasa hamil.
#4 AIR YANG MENCUKUPI
Minum air yang mencukupi dan memastikan diri sentiasa terhidrat akan membantu mengelakkan kejang otot. Peka akan warna air kencing untuk melihat Air kencing yang berwarna kuning pekat biasanya menandakan anda tidak mengambil air yang mencukupi.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon Aeril Zafrel meluahkan rasa bimbang kerana bayi berusia tujuh bulan yang dikandung isterinya, Wawa Zainal ketika ini mengalami masalah kekurangan berat badan.
Menurut Aeril, doktor mengesahkan masalah tersebut berpunca daripada corak makanan Wawa yang tidak teratur selain turut dipengaruhi oleh jumlah dan kuantiti makanan yang diambil.“Tidak dinafikan kali ini Wawa sedikit sibuk dengan kerja. Jadi makan itu agak kurang dan tak banyak.
“Jadi ia menyebabkan berat badan bayi pun sedikit terkesan berbanding kehamilan sebelum ini,” katanya.
Menurut Aeril, disebabkan masalah tersebut, doktor menasihati supaya isterinya mengambil makanan yang protein tinggi.
“Doktor meminta Wawa makan makanan yang ada protein tinggi seperti tauhu,” katanya.
Terdahulu, isu berat badan bayi dikandung Wawa turut mencuri tumpuan apabila pelakon itu memuat naik satu posting berkaitan masalah tersebut.
Menurut Menurut Wawa, kandungan yang diklasifikasikan sebagai kecil itu sudah berusia tujuh bulan.
Sementara itu, ditanya tentang kesan kehamilan Wawa terhadap dirinya, Aeril memberitahu dia turut terkena tempias apabila mengalami alahan.
“Saya ada muntah-muntah tapi dua bulan terawal saja. Namun ia bukanlah perkara baru kerana boleh dikatakan setiap kali Wawa hamil memang saya macam ni,” katanya.
Saya kini hamil tujuh bulan. Ini bayi sulung saya. Ketika membuat pemeriksaan kandungan, doktor menyatakan keadaan uri saya berada di bawah dan menutupi ruang untuk bayi keluar. Adakah keadaan uri ini akan berubah? Perlukah saya dapatkan rawatan tradisional seperti berurut untuk menaikkan uri kembali?
Jawapan:
Uri atau tembuni adalah tisu atau organ yang terbentuk bersama janin bagi membolehkan bayi mendapat oksigen dan nutrisi daripada ibu melalui salur nadi yang ada di dalam tali pusat. Bahan-bahan kumuhan bayi pula disalurkan melalui pembuluh darah yang mengalir daripada bayi ke uri.
Kedudukan uri di dalam sesuatu kehamilan merupakan satu fenomena yang spontan dan rawak. Uri pada peringkat awalnya mengelilingi kawasan karung kehamilan. Rupa bentuknya seperti bulatan berwarna putih dalam imej ultrasound. Bentuk sebegini dinamakan sebagai circumferential.
Apabila kandungan semakin membesar, uri tersebut akan tertumpu kepada satu-satu bahagian. Ia adalah anterior (hadapan), posterior (belakang), lateral (sisi, sama ada kanan atau kiri), low lying (uri berada di kawasan bawah rahim dan 90% akan naik ke atas apabila kandungan berusia 28 minggu) dan fundal (uri duduk di kawasan atas rahim). Ketika hamil, setiap 13 minggu bersamaan dengan tiga bulan. Ini bererti 26 minggu (enam bulan). Jika kandungan puan berusia tujuh bulan, ini bererti janin berusia 30 minggu.
Jika uri masih berada di bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar, puan dikategorikan sebagai kes placenta praevia. Uri yang menutup ruang untuk bayi keluar, ia dikenali sebagai placenta praevia major. Kalau uri berdekatan dengan ruang untuk bayi keluar (tetapi tidak menutupnya), ia digelar placenta praevia minor.
Kes-kes placenta praevia dikategorikan sebagai tahap satu, dua, tiga atau empat tetapi bergantung kepada keputusan ultrasound yang doktor lakukan ke atas kehamilan. Puan bolehlah bertanya doktor mengenai tahap placenta praevia yang puan dialami.
Risiko kes placenta praevia adalah pendarahan. Ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja selepas 28 minggu. Pendarahan yang diakibatkan olehnya membahayakan ibu dan kandungan. Oleh itu, puan dikehendaki mendaftar masuk hospital sehingga bersalin. Jika berlakunya pendarahan semasa berada di hospital, puan mempunyai peluang untuk selamat daripada masalah ini. Puan akan ditolak ke bilik bedah untuk melahirkan bayi dan seterusnya, doktor akan mengeluarkan uri. Selepas uri dikeluarkan, barulah pendarahan ini berhenti. Apabila pendarahan berhenti, nyawa ibu akan terselamat.
Jika mengurut cara tradisional atau bukan tradisional, risikonya adalah pendarahan juga. Nyawa bayi dalam kandungan boleh melayang bila pendarahan berlaku. Sekiranya kurang faham atau kurang percaya, pergilah kepada doktor yang kedua atau ketiga, dapatkan pendapat mereka. Jika semuanya menasihatkan perkara yang sama, saya pasti puan dan suami tidak akan berlengah lagi untuk masuk ke hospital.
Ibu hamil dan mempunyai masalah placenta praevia tidak akan merasai kesakitan atau kurang sihat sehinggalah pendarahan berlaku. Darah yang keluar mengalir dari faraj turun ke paha dan kaki, membasahi kain atau baju berlaku secara senyap dan tiba-tiba. Hanya yang sudah sedia ada di wad boleh menerima rawatan yang segera.
Kesimpulannya, kes placenta praevia adalah kes yang boleh meragut nyawa. Untuk keselamatan diri puan terutamanya, daftarlah ke hospital yang berdekatan dan akurlah dengan nasihat doktor. Saya doakan keselamatan puan dan bayi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Datuk Siti Nurhaliza buat 'live' dalam bilik Afwa cuit hati warga maya - "Ibu bisinglah." Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi satu insiden lucu membabitkan anak keduanya, Muhammad Afwa, yang berlaku ketika beliau sedang membuat siaran langsung di TikTok baru-baru ini.