Berapa ramai ibu yang biasa ‘travel by flight’ solo dengan anak-anak kecil? Tentu mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi kan.
Selain itu perancangan dan persediaan rapi perlu dibuat kerana ia bukan satu perjalanan singkat yang boleh berhenti seketika di tepi jalan jika anak-anak meragam atau buat perangai.
Pengalaman pertama kali ‘travel by flight’ secara solo yang dilakukan oleh ibu ini, Puan Azizah Binti Mohd Zan bolehlah dijadikan panduan oleh ibu-ibu yang mungkin terpaksa ‘travel by flight’ dengan anak-anak kecil sahaja di bulan puasa dan hari raya nanti.
Ahaa saya baru ada masa nak cerita kat sini. Maklumlah penat masih terasa. Kisahnya isnin lepas saya bersama 3 orang anak naik kapal terbang seorang diri, kiranya kami berempat je.
Tidak bersama suami seperti selalu sebab suami kebetulan tak dapat tiket sama, jadi suami kena naik dulu lebih kurang 3 jam awal dengan penerbangan lain.
Mula – mula macam boleh ke ni?
Alhamdulillah semua berjalan lancar, dari Kota Kinabalu ke KLIA, walaupun flight cuma 2 jam setengah & lebih kurang 3 jam di airport sebelum berlepas. Tapi kena ada strategy juga.
Antara tip yang mungkin boleh di manfaat kan adalah:
1. SET MINDA ANAK-ANAK TENTANG PERJALANAN & PLAN PERJALANAN
Bila dapat tahu je saya perlu handle 3 orang anak sendiri, tanpa suami, pagi sebelum berlepas. Saya terus bagitahu anak-anak, set kan dalam mind mereka.
Mereka tak perlu bawa beg galas masing masing. Sebab biasanya mereka bawa beg sendiri isi mainan & buku mereka. Sebab nak kurangkan hand luggage, saya hanya pegang 1 handbeg & 1 beg pakaian sepersalinan, air serta pampers anak-anak.
Saya terangkan yang Abati (ayah) mereka tak dapat sama sama dalam flight. Jadi saya minta mereka behave & tolong saya untuk handle baby.
Saya hadkan mereka boleh bawa 1 kereta mainan sahaja, dan beberapa buah buku cerita nipis dalam beg saya. (untuk kurangkan beban hand luggage saya tambahan saya perlu dukung baby 7 bulan lagi)
2. SALIN PAKAIAN & LAMPIN ANAK-ANAK
Sampai sahaja ke airport, saya terus mencari bilik air untuk siapkan anak-anak. Sebab sebelumnya kami berada dalam kereta 2-3 jam perjalanan jauh dari Keningau Ke Kota Kinabalu, untuk sampai ke airport. Itu pun dah cukup buat anak-anak berpeluh & kurang selesa.
Ahha masa ni macam mana nak ke toilet dengan baby & 2 anak. Memang doa & tawakkal tinggi. Kebetulan ada pembantu bilik air yang polis sebelum tu tunjukkan, saya minta jagakan baby, sementara saya masuk salinkan pampers anak kedua. Selesai saja, saya masuk ke bilik persalinan baby, gilir-gilir lap badan anak-anak & tukarkan baju mereka. Dah segar baru selesa dalam flight nanti.
Mula mula saya nak minta tolong pembantu kedai cenderahati di sebelah toilet tapi tak jadi sebab kemudian bos nya memanggil untuk membuat kerja. Saya beralih kepada pasangan suami isteri beserta anak-anak yang duduk menunggu di hadapan toilet. Saya sangka Chinese Malaysian, rupanya dari negara luar Korea/China. Mereka tak faham bahasa inggeris yang saya tuturkan. Cancle.
3. PASTIKAN ANAK KENYANG
Lepas anak-anak selesa saya bawa mereka makan. Order dan terus makan sampai habis dan make sure mereka kenyang. Baby hanya menyusu saja, saya tak beri makan untuk waktu ni sementara.
Ads
Pastikan duit dah bawa cukup-cukup dalam purse, tak perlulah nak ke mesin ATM pula dengan anak-anak.
Alhamdulillah anak-anak rajin tolong bawakan beg saya, siap kongsi bawa seorang sebelah. Aalahai anak…
Masa makan mereka gilir gilir bertanya tentang Abati (ayah) mereka:
“must be Abati have arrive now at KLIA”
“Abati naik Mas bukan Airasia kan? “
bla bla bla
Saya layankan saja, cuba untuk pastikan anak kedua tak nangis atau tantrum bila bercerita pasal ayah mereka.
Biasalah memang anak kedua ni masih melalui” fasa tantrum” yang agak mencabar. Ada ketika dia akan menangis, meragam, menjerit bila tak dapat ikut Abati nya bersama.
Tapi malam tu alhamdulillah, dengan saya dah siap prepare terangkan pada dia dari rumah lagi. Early mind setting sangat perlu sebab kita nak anak dapat gambaran apa yang akan dilalui. Dan macam mana dia perlu bertindak saya siap pesan dan ulang cakap.
4. DOA DOA MINTA PADA ALLAH, TAWAKKAL
Ni antara yang paling penting sebelum keluar rumah dah doa banyak kali minta Allah permudahkan urusan bersama anak-anak sepanjang perjalanan. Dapat kawal dan anak-anak behave dengan baik. Tak meragam teruk teruk.
Dan kita sebenarnya kena yakin penuh yang anak-anak akan jadi baik dan mudah urus.
Ads
5. BERTANYA UNTUK KE TOILET
Untuk anak-anak yang pakai lampin tak apa. Mudah dah. Cuma untuk yang besar saya akan pastikan anak ke toilet sekali lagi, sebelum masuk. Ni untuk pastikan anak tak minta ke toilet semasa dalam flight.
Yang baby dan anak kedua saya pesan supaya tak poop semasa di airport & dalam flight. Minta mereka buat sedemikian bila sampai ke KLIA airport dan lagi bagus bila sampai ke rumah.
Baby pun saya pesan & dalam hati doa moga baby tak poop dalam flight. Untuk mengelakkan kelam kabut nanti. Biasakan kita mak mak ni mesti bercakap-cakap terdetik dalam hati tu kan?
Haa tu lah jadi doa. Jadi kita cakap & doa anak tak poop dalam flight. Allah Maha Mendengar kan. Walaupun nampak benda remeh dan kecil kan, tapi bab ni pun kita kena minta kat Allah.
5. SEBELUM MASUK BOARDING AREA
Selepas masuk boarding area tak perlu menyusukan baby atau tidurkan anak-anak. Alihkan perhatian mereka untuk ajak mereka bermain atau jalan-jalan, lihat sekeliling kawasan airport. Biarkan mereka main dan penat supaya nanti mudah tidur di dalam flight.
Penerbangan kami tangguh sejam lewat dari masa sepatutnya. Jadi kami ada banyak masa terluang. Saya beri anak-anak bermain kereta di lantai luas, berlari-lari & melihat aksi anak-anak kecil bersebelahan kerusi kami.
Seronok mereka bebas berlari dalam pandangan saya, memang saya hadkan kawasan berdekatan saya supaya mudah nampak mereka dan sengaja pilih tempat duduk lapang yang tak bersesak dengan kerusi & orang ramai. Baby pula saya berikan mainan rattle & teether.
6. MASUK AKHIR KE DALAM PESAWAT
Jika boleh lewatkan masa untuk menaiki pesawat, jadi orang yang agak akhir menaiki pesawat. Ini adalah bagi mengelakkan anak menunggu lama semasa penumpang lain masuk.
Anak mesti kurang selesa tengok ramai orang mencari tempat duduk, sibuk menyimpan barang dan bersembang.
Ads
Macam haritu saya dan anak-anak perlu menaiki tangga pesawat & kami memang sengaja biar penumpang lain berasak asak dahulu. Bila dah lengang baru kami mula beratur untuk memasuki pesawat.
7. AIR COND
Perkara pertama lepas pastikan anak-anak duduk selesa, laraskan penghawa dingin yang sesuai. Biasanya penumpang sebelumnya tutup, jadi kena ingat nanti anak meragam pula sebab panas.
8. TAKE OFF & LANDING
Biasanya baby akan menangis kerana tekanan yang dirasai dalam gegendang telinga dan persekitaran asing. Untuk baby saya terus menyusukan sebaik sahaja pesawat mula bergerak. Anak-anak lain saya lekakan dengan ajak membaca doa bersama-sama, ajak mereka selak buku.
9. DUKUNG BABY DALAM PESAWAT
Jangan segan untuk dukung baby dan berjalan-jalan untuk menenteramkan baby. Cuma pastikan selepas take off.
Saya kurang selesa untuk berjalan-jalan tambahan ada 2 orang anak lagi yang nak saya ada bersebelahan mereka. (kalau saya berjalan dodoikan baby mahu lagi dua orang anak pun ikut berjalan sekali hihi)
Jadi saya gunakan bantuan Calm Time Balm & Sleep Time Balm. Sebaik sahaja duduk, saya terus sapukan pada semua anak – anak. Bau essential oil yang wangi memang akan beri kesan menenangkan.
Memandangkan flight kami mendekati 12 tengah malam, jadi target memang untuk anak-anak tidur, dan 3 jam sebelum juga anak-anak dah penat bermain dan makan. Alhamdulillah lena lah mereka kecuali abang yang sulung, leka memerhati baby-baby lain. Sesekali anak merengek sebab kaki kebas tergantung, terus sapu calm balm dan tidur semula. Lena.
Anak kedua saya biasanya bila tertidur dalam flight bila sampai sahaja ke destinasi dia akan menangis minta dukung dan tak nak berjalan.
Kali ni sebelum tidur saya dah set kan lepas bangun tidur senyum happy bangun jalan sendiri ye. Tak mau dukung dukung. Masa anak mamai nak tidur tu masukkan skrip ni dalam sub consious mind mereka. Syukur bila sampai terus pakai sandle dan jalan keluar flight sendiri.
10. IBU SABAR IBU SENYUM
Memandangkan saya seorang saja yang akan handle anak-anak, ni paling penting kita kena sentiasa keep be positif, senyum dan cuba banyakkan sabar. Jangan sesekali naik marah, sebab ia akan memberi kesan pada emosi anak juga. So keep on smiling, cuba happy dengan anak-anak. Sentiasa ulang ulang kata nasihat sepanjang perjalanan pada anak-anak.
Alhamdulillah!
Allah izin semuanya berjalan lancar dan mudah.
Doalah pada Allah sebanyaknya. Terima kasih anak anak sayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak susah bangun pagi atau bangun pagi menangis dan meragam, mungkin ini puncanya. Mungkin 2 jam sebelum dia tidur kita ada buat 5 kesilapan ini.
1 – Tinggi suara pada anak
2 jam sebelum tidur adalah fasa otak alpha. Ini fasa otak “Ready” untuk tidur. Bila kita tinggi suara atau marah dia, emosi tu akan terbawa bawa sampai ke dalam mimpi dia nanti.
Kesannya anak tak dapat tidur berkualiti. Ada yang meragam, menangis atau terjaga dari tidur di tengah malam. Bila tidur tak betul, emosi pun jadi tak betul.
2 – Bagi anak tengok tv atau telefon
Cahaya Blue Light dari tv dan telefon ni boleh menganggu “mood” tidur anak. Dia menganggu penghasilan melatonin, iaitu hormon tidur.
Dek kerana ternampak cahaya tv dan telefon je anak boleh jadi liat nak terlelap. Jadi susah nak lena. Pusing kiri, pusing kanan, tak tidur tidur juga. Cahaya blue light punya angkara la tu!
3 – Main yang terlalu penat
Kalau main waktu siang penat tak apa, malam dia senang tidur. Tapi kalau 2 jam sebelum tidur duk bergelinjang sampai berpeluh peluh, alamatnya makin segar la mata anak tu.
Ini kerana apabila mereka bermain hormon adrenalin akan terhasil. Hormon ni buat mereka jadi makin fokus dan makin segar. Kena tunggu berjam jam nak bagi reda adrenalin ni pula baru boleh tidur.
4 – Makan yang berat-berat
Bukan sahaja makan lewat malam boleh ganggu kualiti tidur malah ia boleh ganggu juga kualiti kesihatan anak tu. Tinggi risiko masalah obesiti dan gastrik.
Jika kerap sangat anak minta makan waktu malam sebelum tidur ada kebarangkalian anak dah kena NES ( Night Eating Syndrome )
Makan ringan seperti roti, kuih muih tu tak mengapa tapi kalau tengah malam minta mee goreng, nasi goreng tu tak boleh.
5 – Tidak buat rutin tidur
Ya, tak ada rutin tidur yang baik pun boleh menganggu tidur yang berkualiti. Sebagai contoh rutin sebelum tidur ialah gosok gigi, basuh kaki, cuci muka, bed time story dan berbual.
Nampak remeh tapi rutin ni banyak membantu anak kita untuk masuk dalam “Sleep Preparation State”. Bila ada rutin yang konsisten ni tak ada isu lagi mata tak mengantuk dan tidur lewat.
Tidur sangat penting untuk anak bawah 7 tahun sebab masa tidur la terhasilnya Growth Hormon yang bantu anak membesar lebih sihat dan kuat.
4 hari berturut turut kurang tidur, tumbesaran anak boleh terbantut setahun tau. Serius tak ibu ayah yang nak anak dia jadi bantut!
Kredit: Wan Nur Syakira ( ebook Parenting Journey tulisan parenting influencer, Mohd Fhais)
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika hamil, bebanan yang berat di bahagian perut membuatkan ibu hamil lebih mudah sakit pada bahagian belakang badan. Pun begitu, sakit ini adakalanya tidak pulih selepas melahirkan malah kembali sakit selepas melahirkan anak.
Sakit yang teramat sangat hingga adakalanya terpaksa mengambil ubat penahan sakit. Pun begitu, bagi ibu yang menyusukan anak, ia bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan. Sudahnya terpaksalah menahan diri dan berehat adalah jalan meredakannya. Bagi ibu yang mengalami masalah ini, beberapa tip ini anda boleh cuba. Amat membantu!
Tip mengelakkan sakit belakang selepas bersalin
Anda mungkin berfikir bahawa sakit belakang akan hilang apabila anda melahirkan bayi. Nyata, sangkaan itu silap sama sekali.
Ini kerana keadaan ini selalunya datang kembali. Hampir 50 peratus wanita yang mengalami sakit belakang semasa hamil biasanya hilang selepas seminggu atau dua minggu. Bagaimanapun, ia boleh datang kembali. Berikut beberapa tip untuk anda menanganinya.
1. Bersenam
Mulakan senaman selepas bersalin bagi memulihkan abdomen dan otot belakang. Anda boleh bermula dengan 10 minit senaman regangan di atas lantai pada setiap hari bagi memulihkan fleksibiliti bahagian belakang badan dan pinggul.
Walau bagaimanapun, dapatkan konsultasi daripada doktor dahulu sebelum memulakan sebarang senaman. Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, disarankan untuk memulakan senaman selepas enam minggu bersalin, dengan konsultasi daripada doktor.
2. Kembalikan kelangsingan badan
Ya, ibu baru bersalin memang tidak digalakkan untuk berdiet. Namun, ini bukan tentang ‘diet’ yang anda fikirkan.
Bagi mengelakkan masalah sakit belakang selepas bersalin, cuba untuk mendapatkan semula berat normal anda seperti sebelum hamil dalam tempoh enam minggu selepas melahirkan bayi.
3. Cara mengambil bayi
Elak daripada meregangkan lengan anda semasa ingin mengambil bayi. Sebaliknya, anda boleh cuba membawa bayi dekat dengan dada anda sebelum mengangkatnya. Elakkan juga daripada memusingkan tubuh anda.
4. Semasa menunduk untuk mengangkat bayi.
Jika anda ingin mengangkat bayi anda dari lantai, bengkokkan lutut anda dahulu, dan bukannya dengan membengkokkan pinggang.
Cangkung dahulu dan dekatkan otot perut anda serta angkat menggunakan kekuatan otot kaki anda.
5. Masa makan bayi
Jika anda ingin mengangkat bayi anda keluar daripada kerusi makannya atau meletakkan bayi di dalam kerusi makan, tanggalkan atau ketepikan dahulu dulang atau meja pada kerusi makan bayi.
6. Waktu di buaian atau katil
Semasa ingin mengangkat bayi dari buaian ataupun katil bayi, elakkan daripada mengangkat si manja. Sebaliknya, tarik bayi anda mendekati anda sebelum mendukungnya.
7. Anduh bayi
Jika anda ingin memakai pengendong ataupun anduh bayi, pasangkan anduh di hadapan badan anda. Bukannya mengendong dengan cara meletakkan anduh bayi di belakang badan.
8. Posisi dukung
Selalunya kita akan lihat ibu-ibu gemar mendukung bayi mereka dengan meletakkan di bahagian pinggul.
Jika anda mengikut cara ini, anda akan hanya menyebabkan bebanan di bahagian otot belakang badan anda. Jadi, tukar posisi mengendong bayi anda.
9. Penyusuan
Posisi penyusuan yang salah turut menjadi punca ibu mendapat sakit belakang. Bagi mengelakkannya, bawa bayi anda ke arah payudara semasa sesi penyusuan.
Elakkan daripada badan anda membongkok ke arah bayi. Anda juga boleh menggunakan kerusi tegak semasa proses penyusuan berbanding memilih sofa lembut.
10. Pilihan kenderaan
Kenderaan juga memainkan peranan dalam mengelakkan sakit belakang badan. Lebih baik jika anda menggunakan kereta empat pintu berbanding kereta dua pintu.
Hal ini adalah supaya anda mudah meletakkan bayi anda di dalam kerusi keselamatan bayi.
Semasa ingin meletakkan bayi, pastikan anda memasukkan badan anda ke dalam kereta dan dengan menggunakan otot lengan, anda dudukkan bayi anda di dalam kerusi.
Elakkan daripada melutut di bahagian tempat duduk belakang kemudian meletakkan bayi pada kerusi keselamatan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagaimanakah caranya untuk kita mengekang kenakalan si kecil 4-6 tahun dan pada masa yang sama, membantu mereka untuk terus berkembang dan membesar sepenuh potensi diri mereka? Apakah pengisian dan bentuk aktiviti yang sesuai supaya tempoh usia 4 hingga 6 tahun menjadi waktu untuk belajar, membesar dan berkembang positif selain daripada menjadi masa untuk membuat perangai yang nakal?
Dalam edisi kali ini, Dr Airil membincangkan tentang fokus kepada si kecil yang berusia 4-6 tahun yang berada dalam usia tahap pendidikan praformal (pre-operational age). Fokus kita adalah kepada pengisian aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan si kecil yang berusia 4-6 tahun.
Papa, mama dan pendidik prasekolah perlu sedar bahawa kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun telah mempelajari pelbagai ‘peraturan’ tentang hidup. Misalnya, mereka sudah tahu perangai yang mana elok diikut dan yang mana pula perlu dielak, mereka sudah tahu asas-asas dalam berkomunikasi dengan orang lain dan mereka juga sudah bagaimana caranya untuk bermain dengan orang lain.
Pada masa yang sama, ‘kenakalan’ mula timbul apabila kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun seakan-akan cenderung pula melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya mereka lakukan! Mereka seolah-olah rajin mencari jalan untuk membengkokkan dan melanggar segala peraturan yang sudah pun dipelajari!
Ya, mereka tahu akan batasan dan balasan yang pasti diterima sekiranya mama dan papa marah jika mereka merosakkan alat permainan yang diberi atau jika mereka dengan sengaja mengganggu dan berkelahi dengan kanak-kanak lain. Namun, mereka tetap menguji batasan dan kesabaran kita sebagai orang dewasa.
Pertama, banyakkan aktiviti yang membentuk empati dan melatih komunikasi
‘Empati’ boleh dikategorikan kepada 3 jenis. Yang pertama dipanggil, empati kognitif. Ini adalah kebolehan untuk mengambil perspektif orang lain atau membayangkan diri kita di tempat orang lain dan melihat perspektif mereka. Empati kognitif amat berguna, terutamanya dalam kemahiran berunding. Aktiviti yang membentuk empati kognitif juga akan melatih kemahiran komunikasi si kecil. Mengajak si kecil untuk membayangkan perasaan dan tindakan orang lain juga akan mematangkan fikirannya dengan cepat.
Satu lagi empati digelar empati emosi. Ini dirasa apabila kita dapat berkongsi masa dan luahan rasa orang lain secara tersurat dan tersirat. Kita seakan-akan dapat ;menangkap; perasaan orang lain dan memahami kesusahan atau kesenangan yang mereka rasai. Si kecil perlukan aktiviti yang membina empati emosi agar dia dapat sama merasai kesedihan jika dia pecahkan pinggan kesayangan mama, bila dia merosakkan telefon bimbit papa… atau bila si kecil mencukur misai Cici si kucing peliharaan keluarga – dengan sengaja!
Empati terakhir pula dipanggil empati belas kasihan. Melalui perasaan ini kita bukan hanya merasakan kesakitan atau kesusahan seseorang tetapi kita akan cepat mengambil tindakan positif untuk membantunya. Rasa belas kasihan dan keinginan membantu orang lain amat perlu untuk membentuk insan yang mulia lagi berguna. Sebab itulah aktiviti yang melatih rasa empati belas kasihan harus diperbanyakkan dalam membesarkan si kecil 4 hingga 6 tahun agar dia sentiasa prihatin dengan kesusahan dan kepayahan hidup orang lain tetapi juga cekap dan cepat mengambil insiatif untuk membantu kelak.
Kedua, tambahkan aktiviti yang membentuk serta melatih rasa ingin tahu
Kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun mempunyai rasa ingin tahu yang amat tinggi. Malah, ramai penyelidik dan saintis sosial percaya bahawa rasa ingin tahu manusia sebenarnya memuncak pada tahap usia ini berbanding dengan tempoh lain dalam hidup kita. Rasa ingin tahu ini bermula sejak daripada saat kelahiran lagi dan terus memuncak hingga sekitar usia 6 tahun. Segala-gala yang ada di sekeliling mereka seakan-akan mampu menerbitkan ‘deria’ ingin tahu kanak-kanak 4-6 tahun!
Pada tahap usia ini, mereka sangat berasa berminat untuk mempelajari idea-idea baharu, melakukan aktiviti yang belum pernah dilakukan atau aktiviti sama tetapi yang amat menyenangkan dan mereka juga mencari-cari peluang untuk menguasai kemahiran baharu yang tidak diketahui sebelum itu. Namun, mereka cenderung untuk berasa kecewa dan juga marah apabila tempoh pembelajaran mereka seakan-akan lebih lama daripada yang mereka mahukan hingga timbul pula rasa bosan.
Maka, pastikan papa, mama dan pendidik prasekolah sentiasa menetapkan matlamat yang boleh dicapai untuk segala macam tugasan dan aktiviti untuk si kecil. Bantuan serta sokongan perlu diberikan berasaskan konteks, supaya si kecil mampu pula memproses maklumat dalam tempoh masa yang pendek. Yang paling utama, untuk apa-apa sahaja aktiviti atau tugasan yang dilakukan, bantu si kecil untuk menerima kegagalan, menangani rasa bosan dan juga agar dia tidak cepat putus asa. Jadikan diri anda sebagai ikon atau contoh ikutan yang baik ke arah ini.
Ketiga, pastikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan sesuai dengan tahap fokus
Walaupun mereka boleh menguasai rasa empati dan amat tinggi rasa ingin tahu dalam diri mereka, kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun sebenarnya mudah hilang fokus dan berasa terganggu dalam setiap usaha atau aktiviti yang mereka lakukan. Tahap fokus (attention span) yang masih agak pendek berbanding seorang remaja atau orang dewasa boleh menimbulkan rasa geram atau kecewa dengan mudah sambil menggagalkan aktiviti atau tugasan yang sedang dilakukan.
Maka tidak hairanlah jika kita menyedari bahawa kanak-kanak dalam tempoh usia ini kadang-kadang mempunyai masalah untuk menyelesaikan tugasan atau aktiviti, walaupun yang mungkin terlihat mudah kpada orang dewasa. Tahap fokus yang pendek ini pasti akan menjadi lebih panjang sejajar dengan masa, akan tetapi pada tahap usia 4-6 tahun ini adalah suatu realiti yang tidak dapat kita elakkan. Segala-gala aktiviti atau tugasan untuk si kecil dalam lingkungan usia ini perlu menyedari hakikat ini.
Yang paling mudah, tambahkan aktiviti atau tugasan yang tidak terlalu rumit untuk diselesaikan, yang tidak memerlukan masa yang terlalu panjang tetapi bermanfaat kepada si kecil. Pada masa yang sama, berikan maklum balas dan dorongan selepas setiap pencapaian tidak kira sekecil mana pun. Namun, ini tidak bermaksud bahawa aktiviti yang lebih rumit tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak 4-6 tahun! Minda mereka perlu ‘dicabar’ agar mereka dapat mencapai tahap perkembangan yang lebih tinggi pula dan tidak hanya menguasai ilmu pengetahuan atau kemahiran yang rendah dan mudah sahaja.
Keempat, sesuaikan aktiviti-aktiviti dengan tahap imaginasi si kecil 4-6 tahun
Kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun juga memiliki daya imaginasi yang amat tinggi dan agak ‘liar’. Liar di sini bukan memberi makna yang negatif, liar bermaksud si kecil boleh memikirkan hal dan perkara yang tidak terjangkau dek imaginasi orang yang lebih dewasa! Daya imaginasi yang kuat dan tinggi ini perlu dimanfaatkan, lebih-lebih lagi untuk menerbitkan kecenderungan personaliti, melatih kebolehan dan juga kemahiran awal usia si kecil.
Daya imaginasi yang tinggi dan liar juga bererti kanak-kanak 4-6 tahun suka melakukan hal-hal ‘di luar kotak fikiran’ atau yang mungkin terlihat aneh bin ajaib kepada orang yang lebih dewasa. Jika diberi sesuatu aktiviti atau tugasan, si kecil itu mungkin akan cuba untuk menyelesaikannya dengan daya imaginasi sendiri dan bukannya dengan mengikuti peraturan yang ketat atau arahan yang sudah diberikan langkah demi langkah. Papa, mama dan pendidik prasekolah masih perlu memberi bimbingan dan memperingatkan si kecil dalam konteks ini.
Imaginasi tetap memerlukan struktur dan tidak boleh dibiarkan menjadi terlalu liar hingga menjadi tidak masuk akal atau semakin ‘merapu’. Maka, aktiviti atau tugasan yang diberi masih perlu peraturan asas yang perlu diikuti. Namun, kanak-kanak yang berusia 4-6 tahun tetap perlu diberikan ruang untuk mencipta, mengubah, mengekspresikan diri dan bebas bercerita serta menerangkan tentang segala macam aktiviti atau tugasan yang sudah berjaya mereka habiskan serta lengkapkan di bawah bimbingan papa, mama atau guru.
Kelima, lakukan aktiviti-aktiviti yang melatih dan menguatkan memori si kecil
Pada usia 4-6 tahun juga, fungsi memori atau daya ingatan si kecil meningkat dengan mendadak untuk membolehkan mereka menstor atau menyimpan data serta pengalaman hidup yang dapat mereka kumpulkan daripada dunia di sekeliling mereka. Daya ingatan atau memori yang meningkat ini bererti aktiviti atau tugasan yang diberikan untuk si kecil 4 hingga 6 tahun perlu selari dengan kebolehan yang ditunjukkan. Yang paling utama, keboleh ingatan atau memori ini perlu dilatih dan diperkembangkan lagi.
Aktiviti biasa yang boleh dilakukan adalah untuk meminta si kecil meceritakan kembali sesuatu hal, kejadian atau perkara yang telah berlaku berdasarkan perspektif si kecil sendiri. Ini kerana dia sudah pun boleh mengingati urutan kompleks segala macam peristiwa hanya dengan melihat, menonton atau memerhatikan orang lain melakukan sesuatu (hati-hati juga agar si kecil anda tidak cenderung meniru perlakuan yang mungkin akan membawa bahaya kepada dirinya kelak).
Selain aktiviti mengingat dan menceritakan kembali, mungkin anda boleh bersama-sama dengan si kecil melakukan aktiviti atau bermain permainan yang mempunyai lebih daripada satu matlamat dan yang perlukan daya ingatan yang tajam. Sebagai contoh, si kecil perlu melukis semula semua bentuk segi tiga yang dia lihat di dalam rumah dan dia hanya ada 1 minit untuk mengingat kembali bentuk-bentuk itu. Kemudian dia perlu lari dan mencari kembali bentuk-bentuk segi tiga yang sudah dilukis tadi. Banyak lagi aktiviti dan tugasan serta permainan bersama boleh dilakukan untuk membina daya memori si kecil 4 hingga 6 tahun. Terserahlah kepada anda untuk melakukannya.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan ialah Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Buku beliau bertajuk ‘Dunia Si Kecil Kontemporari’ pernah menerima Anugerah Karya Ilmiah Negara Malaysia (kategori Sains Sosial & Kemanusiaan) dari Dewan Bahasa dan Pustaka.
——————————————————————————————————
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjelang hari raya yang bakal disambut tidak berapa hari lagi, pasti ada diantara kita yang melapangkan masa untuk mencuba buat kuih raya bersama anak-anak di rumah.