Bila bertegas tak bermakna kita dah berjaya disiplinkan anak. Namun kebiasaannya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?
Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?
Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata kedua ibu bapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.
Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibu bapa. Di luar dari lingkungan ibu bapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.
Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.
Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain.
Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.
Ads
Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.
Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya.
Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat belajar dengan cepat dan menguasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.
“Ibu kenapa ikan tu duduk dalam air?”
Ads
“Ayah kenapa ayah solat?”
Menghalang mereka daripada meneroka di sekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka.
Ads
Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak laratlah asyik nak kemas rumah je.
Dalam hal ini banyak penyelesaian yang ada, antaranya :
Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kena kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.
Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.
Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.
Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.
Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah. Didiklah anak dengan rasa cinta tanpa perlu nak marah-marah kalau mereka silap.
Sumber: pendidikanawal.wordpress
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pakar Pertuturan ini menjelaskan bahawa, jika ada anak yang lambat bercakap seawal usia dua tahun, segera hantar ke taska atau tadika supaya anak cepat bercakap. Memang diakui terdapat segelintir ibu bapa melahirkan rasa kebimbangan untuk menghantar anaknya ke taska atau tadika kerana anak lambat bercakap atau pelat.
Namun, Ruby Atika, Ahli Terapis Pertuturan Bahasa yang berpengalaman luas dalam bidang linguistik, psikologi, perkembangan bahasa dan neuropsycholinguistik untuk bayi dan kanak-kanak, berkongsi pendapat bahawa anak yang lambat bercakap harus dihantar ke tadika atau taska dan apa tindakan yang harus ibu bapa. Moga ia dijadikan garis panduan berguna dalam membesarkan si manja anda.
Selalu ibubapa yang anaknya lambat bercakap, rasa ragu-ragu untuk mula hantar anak ke tadika.
Takut anaknya dibuli, takut anaknya tak tahu mengadu, takut anaknya dibuat cikgu garang,takut anaknya lapar, tak tahu minta makan dan dan 1001 takut lagilah.
Kalau ibubapa nak anak progress, anda kena hantar juga ke tadika. Apa yang progress?
– kemahiran sosial
– faham arahan rutin
– interaksi dan bercakap
– tumpuan dan tingkah laku
– urus diri (makan dan ke tandas).
Kalau anda tak mula hantar anak ke tadika, sampai bila pun anak anda statik saja. Di tadika, dia kena ikut aturan di tadika. Dia kena ikut arahan cikgu. Dia tengok rakan-rakan lain buat apa.
Ramai ibubapa takut sangat kalau anaknya dibuli. Padahal dia tak tau, anaknya itulah yang paling terer di situ. Kalau rebut barang, dia mesti dapat juga walau apa cara sekali pun.
TIP SURVEY TADIKA / TASKA
Untuk mengelak dari risiko-risiko yang tidak diingini, ibubapa mestilah survey tempat dulu. Ambil tahu tentang: – kuota guru : murid
– pendekatan bermain vs akademik
– pengalaman guru berdepan dengan murid yang lambat bercakap.
Anda juga boleh berbincang dengan pengusaha jika mereka sudi untuk membenarkan tempoh percubaan untuk anak anda selama seminggu dua. Tengok dan cuba dulu macam mana. Hulurkan bayaran daftar kepada pengusaha. Tidaklah nanti mereka ada rasa berat hati pula untuk mendidik anak anda akibat tidak membayar daftar.
Seperti yang selalu saya terangkan bahawa, kita boleh tahu anak itu lewat bercakap seawal 2 tahun. Jika dah 2 tahun, masih tak bercakap, maka dia dikira lewat berbanding rakan sebaya.
Maka, jika anda dapat mengesan anak anda lewat bercakap pada usia 2 tahun, terus hantar dia ke taska / nursery. Biar dia bergaul dengan ramai budak di sana.
Di rumah pengasuh / tok wan / opah, dia hanya tengok tv saja kerjanya. Maka, hantar dia ke taska. Dia dapat peluang berkawan dan bermain di sana.
Tak perlu tunggu 4,5 tahun baru nak hantar. Walaupun anda suri rumah. Melainkan jika anda jadi pengasuh dan jaga budak-budak lain di rumah anda. Maka anda boleh kawal penggunaan tv serta mewujudkan suasana interaksi di dalam rumah anda.
Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika ibu ayah membelikan mainan untuk anak-anak, harus ada tujuannya. Bukan sekadar dibeli suka-suka kemudian menjadi lambakan di rumah, terbiar tidak dimain pun. Keterujaan membeli mainan untuk anak-anak, apatah lagi apabila mereka sudah pandai bermain tidak dinafikan. Sebab itulah sesetengah ibu ayah suka membeli mainan untuk anak, sehingga penuh satu rumah!
Pemilihan mainan yang betul untuk anak dapat membeantu mereka menjadi bijak, sensitif dan kreatif. Ibu ayah perlu tahu faedah sesuatu mainan itu sebelum dibelikan untuk anak kerana ia membantu perkembangan otak mereka. Tersalah beli, tiada impak kepada mereka.
Secara umum, terdapat lima kategori mainan iaitu aktif, manipulatif, kreatif, belajar dan main peranan.
5 KATEGORI ALAT PERMAINAN
1.ALAT PERMAINAN AKTIF
Faedah: Membina tubuh badan dan fizikal yang kuat. Dia juga boleh belajar bergaul dan membina jaringan sosial, belajar untuk bertolak ansur dan mengambil giliran, bersabar, memahami orang lain dan kerja berpasukan. #Tolak dan tarik
Antara permainan menggunakan mekanisme tolak dan tarik ialah seperti kereta tolak mainan (wagon), troli, kereta sorong bayi mainan dan skuter. #Tunggang
Mainan yang boleh ditunggang pada usia ini ialah basikal dengan roda tambahan, kereta mainan yang mempunyai kawalan stereng atau kuda mainan yang bersaiz besar.
#Alat mainan luar rumah
Gelongsor, buaian dan mainan pengimbang adalah antara yang dicadangkan untuk si manja pada usia ini. #Peralatan sukan
Mama dan papa boleh membeli bola, papan luncur, kasut beroda, layang-layang, kolam renang mudah alih, tali skip dan sebagainya.
2.ALAT PERMAINAN MANIPULATIF
Faedah: Menggalakkan si manja untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mempelajari bentuk objek, tekstur, saiz dan perbandingan daripada segi warna, memberikan perhatian dalam masa yang lama dan mempelajari tentang kesan-akibat. #Pembinaan
Terdiri daripada blok kiub kayu besar dan kecil, objek plastik yang boleh disambung (interlocking), blok yang boleh membina objek lebih realistik. #Puzzle
Pada usia ini, set puzzle yang sesuai tidak lebih daripada 50 keping. Pilih yang diperbuat daripada kadbod keras dan mempunyai warna yang ceria.
#Reka kreatif
Anda boleh mendapatkan alat permainan manipulatif jenis ini iaitu manik besar yang boleh dicucuk pada tali (Manik perlulah dielakkan jika si kecil suka memasukkan objek ke dalam mulut). Set mainan felt berlubang dan benang untuk menjahit serta getah yang boleh dikaitkan menjadi gelang atau rantai. #Alat permainan manipulatif
Suai padan perkataan dengan objek, mengasingkan antara warna dan jenis; nesting toys, objek berkonsepkan geometri dan model mekanikal yang lebih kompleks. #Pakaian dan tali
Mainan seperti patung yang mempunyai latihan untuk memakaikan pakaian dan memasang butang. Jarum yang besar dan tumpul serta benang kasar boleh diberikan dengan pemantauan. #Mainan pasir dan air
Pasir mempunyai tekstur dan bertindak terhadap merangsang deria sentuhnya. Mainan untuk dimainkan di dalam bilik mandi seperti pam air dan sebagainya.
3.ALAT PERMAINAN KREATIF
Faedah: Boleh memajukan kemahiran intelektual dan pemikiran kritis serta menyeimbangkan emosi si manja. Ia juga menajamkan skil motor halus. #Alat muzik
Alat muzik yang mesra kanak-kanak seperti xylophone, harmonika, wisel dan rekoder serta piano.
#Seni dan kraf
Perkakas seni seperti pensel warna, krayon, tanah liat, gunting kanak-kanak, papan hitam dan kapur, buku mewarna serta peralatan menjahit dengan jarum besar dan tumpul. #Audio visual
Kamera untuk merakam apa yang diminati sama ada gambar atau video.
4.BELAJAR
Faedah: Si manja boleh mempelajari perkara asas mengenai sesuatu perkara dan mendapatkan informasi yang tepat. Si kecil juga boleh mempelajari tentang kesan dan akibat. #Permainan
Kad, domino atau bingo (bergambar). Permainan seperti ular dan tangga juga boleh diberikan kepada si manja. #Skil spesifik
Contohnya seperti mempelajari tentang warna, bentuk, huruf dan nombor. Permainan berbentuk model juga sesuai untuk menunjukkan bahagian tubuh. Magnet, lampu picit, kanta pembesar, stetoskop, akuarium adalah objek sains yang boleh diperkenalkan pada usia ini. Jam boleh digunakan untuk mengajar si kecil mengira masa.
#Buku
Pada usia lima hingga enam tahun, si manja lebih tertarik kepada buku-buku yang mempunyai kisah yang realistik. Kamus bergambar atau ensiklopedia junior boleh diberikan di samping buku berkisar haiwan (yang bersifat seperti manusia) dan alam semula jadi.
5.MAIN PERANAN
Faedah: Si manja boleh mengembangkan imaginasi dan membina daya intelek. Ia juga membantu menguatkan memori, pemikiran logik, kreativiti dan melontarkan pendapat. Ia juga latihan untuk si kecil untuk memberikan tumpuan dalam tempoh yang lama. #Anak patung
Pada usia ini, anak patung yang lebih realistik yang mempunyai rambut, membuka mata dan kaki dan tangan bersendi.
#Mainan lembut
Seperti sayur dan buah yang diperbuat daripada kain felt dan diisi serat lembut boleh digunakan untuk masak-masak. #Puppet
Patung puppet yang boleh disarungkan pada jari dan tangan dan pentas mini untuk tujuan bercerita. #Berlakon
Permainan seperti set dapur kecil untuk bermain masak-masak sesuai dibelikan pada usia ini. selain itu, anda juga boleh menyediakan kostum seperti kostum puteri, kot doktor atau telefon mainan untuk dia bermain peranan sebagai pelbagai watak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!