Betul ke emosi ibu boleh mempengaruhi perkembangan anak? Ini yang selalu dipersoalkan. Mengikut beberapa pendapat dari pakar keibubapaan, akan ada sedikit tempiasnya pada anak jika ibu bapa selalu ‘teremosi’.
Dalam hal ini, biasanya ibu individu paling rapat dengan anak. Memang diakui kepenatan menguruskan anak, rumah tangga biasanya akan buat ibu mudah marah dan susah nak kawal emosi.
Menerusi apa yang dikongsikan Puan Fadzielah Ayub dia sendiri pun kadang-kadang boleh teremosi dengan anak tapi apa yang diamalkannya adalah jaga diri sendiri dulu.
Bagi ummi, jaga diri sendiri dulu lebih utama sebelum kita jaga dan mengutamakan orang tersayang especially anak.
Bila emosi ibu tak stabil, macam mana kita nak pastikan emosi anak stabil? Agak susah kan, lagi-lagi kita duduk dengan anak 24jam.
Ads
Ini kerana, emosi ibu samada positif atau negatif boleh mempengaruhi perkembangan otak anak.
Bila ibu penat, Susah nak kawal emosi, Mudah bad mood, Malas nak layan anak, Tak respon anak, Anak kena marah, Salahkan anak sebab terlalu aktif, dan lain-lain
Ads
Apa kesan emosi negatif ibu pada anak?
Ini secara tidak langsung boleh memberi kesan psikologi dan emosi anak.
Ads
Jangan pelik anak tiru emosi kita yang cepat marah, tiru respon kita jawab acuh tak acuh bila ditanya soalan, dan anak memberontak / tantrum sebab nakkan perhatian daripada kita.
Jadi, tahu limit atau kelemahan kita,
Bantu diri kita terlebih dahulu.
Macam ummi, ummi perlukan tenaga.
Ummi kena make sure badan ummi cergas bertenaga sepanjang hari.
Bila badan bertenaga, emosi senang nak jaga.
Sepanjang hari rasa positif dan layan anak dengan gembira.
Abang Long, Kak Long adalah panggilan lazimnya kepada anak sulung. Anak sulung anak yang dinanti-nantikan kelahirannya. Tahukah anda layanan kita kepada anak sulung berikan pengaruh besar kepada suasana harmoni dalam rumah?
Selalu dilihat anak sulung terpinggirkan atau secara tidak sengaja, diherdik, dimarahi kerana ‘kegagalannya’ dalam menjalankan tugas sebagai kakak atau abang. Kerapkali juga dihenyak dengan pelbagai tugas dan dipersalahkan kerana adik-adiknya.
Kak Long & Abang Long ialah bintang yang perlu digilap, kerana pengaruhnya sangat besar kepada suasana dalam rumah.
Kaunselor, Puan Farhan memberikan pandangannya mengenai hal ini. Memang benar, persediaan dan layanan yang baik secara psikologinya akan memberikan impak positif kepada si sulung. Berikut ialah perkongsiannya;
LAYANAN KEPADA ANAK SULUNG
Anak sulung ini besar pengaruhnya kepada adik dibawahnya. Oleh itu, sebelum menambah ahli baru di dalam keluarga berusahalah untuk mempersiapkan anak sulung anda juga.
Anak sulung yang siap menerima kehadiran adik adiknya pasti akan memberi banyak kesan positif di dalam keluarga itu sendiri.
KENAPA MUSTAHAKNYA ANAK SULUNG BERSEDIA?
Mengurangkan stress ibu menguruskan anak baru. Anak sulung yang bersedia menerima kehadiran adik pasti akan banyak membantu ibu dalam menguruskan rumah termasuk lah membantu menjaga dan menguruskan keperluan adiknya.
TIP MENGURANGKAN PENOLAKAN TERHADAP ADIK BARU
Anak sulung yang bersedia menerima adiknya juga akan kurang menunjukkan penolakan terhadap adiknya.
Penolakan kepada kehadiran adik pasti akan ditunjukkan melalui perbuatan seperti mengacau adiknya, membuat sesuatu yang membangkitkan kemarahan orang sekeliling dan juga kerap menangis dan mengamuk.
Untuk mengurangkan penolakan kepada kehadiran adik yang baru, ini lah pentingnya anak sulung anda dipersiapkan sebelum kehadiran orang baru.
PASTIKAN DIA SERONOK DENGAN KEHADIRAN ADIK
Jadi, sebelum ditambah ahli baru pastikan anak sulung sudah boleh faham akan erti adik. Pastikan dia juga seronok menanti kehadiran seorang adik.
Anak sulung yang tidak seronok dengan kehadiran adiknya akan memberi layanan yang kurang baik kepada adiknya.
LAYANAN SI SULUNG MENENTUKAN SIKAP ANAK KEDUA, KETIGA & SETERUSNYA
Ingat, pengaruh anak sulung sangat besar kepada adiknya. Cara dia melayan adik dibawah nya akan menentukan juga bagaimana sikap anaj kedua, ketiga dan seterusnya. Ia bagaikan sebuah cycle yang berhubung kait.
Sekiranya mereka kerap bergaduh, berebut dan saling pukul memukul antara sayu sama lain pastinya adik adik dibawahya akan menjadi kasar.
Seterusnya, sikap dan perangai itu akan diperturunkan pula kepada adik adik yang seterusnya.
Sekiranya banyak perangai dan perbuatan positif yang ditunjukkan oleh anak sulung, adik adik lebih mudah menurut.
BETAPA BESARNYA PENGARUH ANAK SULUNG
Saya selalu memerhatikan apabila anak sulung saya mengaji, adiknya pasti akan duduk dan ikut bersama sehingga dia habis mengaji.
Betapa besar nya pengaruh anak sulung di dalam pembentukan suasana yang harmoni di dalam rumah anda.
Oleh itu, sebelum anda menambah bilangan ahli keluarga jangan lupa untuk ‘berbincang’ bersama anak sulung anda agar mereka bersedia memikul tanggungjawab sebagai kakak/abang.
‘PERKASAKAN’ SI SULUNG DENGAN ILMU & CONTOH
Sebelum anak menambah ahli baru pastikan dalam keluarga pastikan juga anak sulung sudah diperturunkan ilmu serta contoh yang baik untuk mereka aplikasikan bersama adik adik yang lain.
PASTIKAN LAYANAN TIDAK BERUBAH WALAU PUN SUDAH BERADIK
Kita juga harus memastikan cara kita melayan anak sulung ini tidak berubah walaupun sudah beradik. Ingat, pengaruh Abang dan Kak Long Kawasan itu kuat. Untuk memastikan mereka melayan dan menguruskan adik dengan baik, ianya bermula bagaimana ibu dan ayah mendidik anak yang sulung.
Rasa risau dan juga rasa takut ialah dua perasaan yang lazim dalam hidup manusia. Bukan manusia namanya jika kita tidak pernah berasa risau dan takut! Begitu juga kisahnya tentang kanak-kanak dalam lingkungan usia 0-6 tahun. Yang pasti, pada peringkat usia ini ketika mereka sedang melalui proses pendidikan separa formal (praformal) yang menjadi jambatan antara rumah kediaman dan institusi prasekolah, banyak hal dan perkara yang boleh menjadikan seorang anak kecil risau lagi takut.
Apakah reaksi pertama anda sebagai papa atau mama ketika si kecil berkata dia risau atau takut akan sesuatu? Ingat, hanya kerana hari ini kita sebagai orang dewasa punya banyak pengalaman hidup dan kita tidak lagi takut tidur di dalam gelap, kanak-kanak masih belum punya pengalaman yang sama.
Lebih tragis, ada pula mama dan papa yang cenderung meremehkan kerisauan dan juga ketakutan anak kecil mereka! Memang betul (rasanya) di bawah katil kita tidak ada monster yang sedia untuk menyerang dan memakan kita. Tetapi papa dan mama juga perlu ingat bahawa imaginasi kanak-kanak 0-6 tahun amat aktif berbanding dengan kita. Maka, untuk bulan ini saya kongsikan beberapa cara untuk membantu anak anda yang mungkin sedang berasa risau lagi takut.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM dan Penyelidik Aktil Ilmu Psikologi perkembangan tahun awal sosiologi Pendidikan praformal kanak-kanak dari usia 0-6 tahun senaraikan 7 cara untuk ibu bapa bantu anak-anak atasi rasa takut dan risau.
Hakikatnya, tidak semua kanak-kanak sama walaupun umur mereka mungkin sebaya. Ada yang bersifat terlalu berani, ada pula yang sering dilanda risau, cemas dan takut hingga anak kecil itu kelihatan gelisah pada setiap detik. Tangani perasaan negatif itu satu persatu dengan aktif dan fahami sebanyak mungkin hal dan keadaan yang boleh menerbitkan rasa negatif itu dalam diri anak kesayangan anda.
Didik anak secara berperingkat untuk memerangi rasa risau dan takut. Misalnya, kalau dia takut tidur dalam gelap, belikan lampu tidur yang sesuai dengan citarasanya sebagai satu cara untuk melawan rasa takut kepada gelap. Perlahan-lahan, anak anda akan terbiasa dengan kegelapan dan akan sampai waktunya dia tidak lagi menggunakan lampu itu (atau mungkin juga dia akan kekal memakai lampu tidur sampai ke tua, macam saya juga).
Percayalah, anak anda tidak akan berhenti berasa risau atau takut hanya kerana anda suka memekik, “Janganlah takut!” atau “Jangan risaulah!” ditelinganya. Percaya atau tidak, rasa risau dan takut mempunyai asas genetik iaitu kewaspadaan. Pada zaman Jurassic dahulu kala, manusia prasejarah harus sentiasa berwaspada takut-takut kalau mereka menjadi lauk dinosaur Velociraptor atau Tyrannosaurus Rex pada hari itu.
Asas genetik ini tetap ada dalam diri setiap manusia hingga ke hari. Ajaklah si kecil anda berdialog dan dengar luahan hatinya. Siapa tahu? Dia takut pergi ke tandas seorang diri bukan kerana ada hantu di dalam tandas rumah anda tetapi kerana dia terlalu pendek untuk mencapai suis lampu. Begitu juga dia takut tidur di dalam gelap kerana hidungnya sering berdarah hingga habis bantal dan cadar (bukan kerana ada monster di bawah katil).
Meneruskan contoh saya beri tentang kanak-kanak yang takut untuk tidur di dalam gelap, ada banyak lagi usaha yang boleh kita lakukan agar rasa takut dan rasa risau mereka dapat ditangani dengan baik lagi efektif. Perlu difahami, mama dan papa harus mengelakkan diri daripada asyik mengelak untuk berdepan dengan rasa risau dan takut si kecil. Mengelak bukan suatu strategi yang baik dan hanya akan menguatkan rasa risau dan takut itu.
Jika si kecil anda takut kepada anjing misalnya, mendukung si kecil sekuat hati dan terus melarikan diri daripada semua anjing yang anda jumpai tidak akan membantu si kecil anda menjadi berani untuk berdepan dengan anjing (silap haribulan anda juga bakal dikejar anjing kerana lari daripadanya). Lebih elok jika anda memegang tangan anak anda dengan erat dan melintas di depan seekor anjing daripada mengelakkan situasi itu.
“Macam mana?”, “Boleh ke?”, “Takutlah kalau-kalau…” Semua ini sering keluar daripada mulut si kecil yang terlalu risau dan cepat takut. “Macam mana kalau monster keluar bila papa padam lampu nanti?” Pemikiran logik dapat membantu anak manja anda berdepan dengan banyak perasaan negatif yang dia rasai. Tambah juga humor dan gelak ketawa supaya kesan perasaan negaatif berkenaan dapat dikurangi.
Bermacam-macam rasa risau dan takut boleh dirasai dalam setiap keadaan. Ada kanak-kanak yang tidak suka ke tadika kerana dia takut dia tidak diterima oleh rakan sebayanya. Ada pula yang berasa cemas bila terlihat sesuatu rangsangan negatif di depan matanya. Supaya si kecil comel anda menjadi lebih yakin dan berani, pemikiran logik dan humor akan memberi kesan positif pada jangka masa panjang dengan izin Tuhan.
Strategi jangka panjang yang bermanfaat untuk membantu anak anda mengatasi rasa cemas dan takutnya ialah strategi yang berasaskan kemahiran dalam diri sendiri. Semakin banyak kemahiran yang dikuasai, semakin kurang kesan perasaan negatif seperti risau dan takut dalam hidup seharian anak anda. Selain strategi berasaskan pemikiran seperti fikiran logik dan fikiran positif, strategi fizikal juga boleh dicuba.
Contohnya, memegang erat tangan si kecil anda atau memeluknya dengan penuh kasih-sayang jika dia terlampau cemas atau takut. Latih juga anak anda untuk bernafas dengan stabil dan merehatkan otot-otot jika dilanda perasaan negatif. Kemahiran pernafasan memang terbukti untuk mengurangkan stres dan rasa negatif, begitu juga kemahiran merehatkan otot yang cepat tegang ketika kita sedang cemas, takut atau pun marah.
Jangan dipaksa si kecil anda melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan dia risau atau pun takut. Memaksa hanya mengundang tindak balas ekstrem kelak malah boleh menerbitkan risau dan takut yang melampau pula. Pada masa yang sama, pastikan semua perkara asas mencukupi dan terjaga dalam hidup anak anda seperti waktu tidur yang cukup, makanan yang berkhasiat, air yang mencukupi, waktu beriadah dan lain-lain lagi.
Perasaan negatif mudah menguasai diri kita apabila kita tidak dapat berehat atau berasa tenang. Fakta ini bukan hanya terpakai dalam hidup orang dewasa tetapi juga untuk
kanak-kanak. Jika semua keperluan asas tumbesaran ini dapat dipenuhi maka risiko perasaan risau, cemas, takut dan marah pun dapat dikurangkan dengan banyak. Jadi, pastikan semua keperluan asas si kecil kesayangan anda dipenuhi pada setiap masa.
Kerisauan dan ketakutan sebenarnya boleh ‘melumpuhkan’ diri dan peribadi si kecil anda. Anak anda yang tidak mahu tidur di dalam gelap akan berperang dengan dirinya (dan juga dengan anda pastinya) dan dia akan bertahan selama mana boleh daripada tidur kerana dia dikuasai kepercayaan yang ada monster tinggal di bawah katilnya. Seboleh-bolehnya, jangan dimarahi si kecil itu dan cubalah berempati dengan perasaannya.
Empati daripada papa dan mama akan membantu kanak-kanak yang cenderung berasa risau dan takut untuk memahami bahawa mereka tidak bersendirian dalam hidup, dan orang tua mereka akan sentiasa bersama dengan mereka. Hari bertukar minggu bertukar bulan, perlahan-lahan rasa risau dan takut itu pasti berkurangan sejajar dengan masa.
Oh ya, jangan lupa mama dan papa semua memantau keperluan anda sendiri. Mengasuh anak kecil yang cepat risau dan cepat takut boleh memakan masa yang lagi di samping menguji kesabaran kita orang dewasa. Waktu tidur si kecil yang terganggu atau pun kerisauannya yang berterusan, boleh memberi kesan negatif juga kepada kita orang dewasa. Maka, beri juga keutamaan kepada keperluan kesihatan anda supaya anda memiliki tenaga yang diperlukan untuk membantu anak comel manja anda melalui tempoh masa yang sukar ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama anak terlalu panjang boleh jejas emosi anak? Doktor dedah kesan yang ramai ibu bapa tak sedar ini bukan sekadar isu kecil atau remeh. Sebaliknya, ia berkait rapat dengan kesejahteraan emosi, keyakinan diri dan perkembangan sosial anak dalam jangka panjang.
Setiap ibu bapa pastinya mahu memberikan nama yang baik, indah maknanya serta membawa doa kepada anak yang baru dilahirkan. Ada yang memilih gabungan beberapa nama sebagai simbol kasih sayang, harapan dan identiti keluarga. Namun kebelakangan ini, trend memilih nama yang terlalu panjang dan unik semakin popular dalam kalangan ibu bapa generasi muda.
Tanpa disedari, keunikan tersebut boleh bertukar menjadi cabaran buat anak apabila mereka membesar, terutamanya apabila berdepan dengan urusan harian yang memerlukan penggunaan nama penuh.
Menurut perkongsian seorang doktor perubatan, Dr. Aman Rizal, terdapat individu yang mengalami tekanan emosi akibat nama yang terlalu panjang. Antara aduan biasa yang diterima termasuk kesukaran menulis nama ketika peperiksaan kerana memerlukan masa lebih lama, ejaan yang kerap disalah tulis serta masalah semasa mengisi dokumen rasmi.
Bila nama anak terlalu panjang, perkara ini bukan sekadar “leceh sikit”. Untuk kanak-kanak, situasi seperti menulis nama berkali-kali dalam latihan, ujian, buku rekod, borang sekolah, dan kad peperiksaan boleh membuatkan mereka rasa cepat penat, serabut dan ketinggalan.
Situasi ini mungkin nampak kecil bagi orang dewasa, namun bagi kanak-kanak, ia boleh memberi kesan kepada emosi dan keyakinan diri. Apatah lagi apabila nama sering disalah sebut oleh guru atau rakan sebaya, sekali gus membuatkan anak rasa malu, terasing atau tidak selesa.
Lebih membimbangkan, ada anak yang akhirnya dipanggil dengan nama singkatan atau nama pendek tanpa persetujuan mereka. Walaupun niat asal sekadar memudahkan sebutan, ia boleh menyinggung perasaan anak dan membuatkan mereka merasakan identiti diri tidak dihargai.
Dalam kes tertentu, bila nama anak terlalu panjang, anak boleh jadi serba salah: mereka mahu orang panggil nama penuh, tetapi pada masa sama mereka penat membetulkan ejaan dan sebutan. Lama-lama, anak mungkin memilih untuk “mengalah” dan membiarkan orang panggil apa sahaja, walaupun hati sebenarnya tidak selesa.
Menurut doktor tersebut, dalam diam ada individu yang mula menyalahkan ibu bapa kerana memberikan nama yang menyukarkan kehidupan seharian. Malah, terdapat kes pesakit yang ingin menukar nama di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun mendapat tentangan daripada ibu bapa sendiri sehingga menjejaskan kesihatan mental.
Pakar perkembangan kanak-kanak turut menjelaskan bahawa nama adalah sebahagian daripada pembentukan identiti diri. Kanak-kanak yang berasa tidak selesa dengan nama sendiri berisiko menunjukkan tanda kurang keyakinan, menarik diri daripada pergaulan atau mudah berasa tertekan.
Bila nama anak terlalu panjang dan “terlalu unik”, ada anak yang mula bimbang setiap kali sesi perkenalan di kelas. Mereka takut diejek, takut salah sebut, atau takut jadi bahan ketawa. Kalau kerap berlaku, anak boleh jadi pasif, kurang bercakap, dan mula mengaitkan namanya dengan rasa malu.
Sebab itu, pemilihan nama bukan hanya soal sedap didengar atau mengikut trend, tetapi perlu mengambil kira kesesuaian dalam kehidupan seharian anak dari alam persekolahan hinggalah ke alam dewasa.
Tiada salah mahu nama yang bermakna dan indah. Namun, jika nama anak terlalu panjang, ibu bapa boleh pertimbangkan keseimbangan antara doa dan kemudahan harian. Antara perkara yang boleh membantu:
Di Malaysia, ibu bapa masih dibenarkan membuat pembetulan atau penukaran nama anak di JPN tertakluk kepada syarat tertentu. Bagi bayi berusia bawah satu tahun, prosesnya lebih mudah dan kos yang dikenakan juga minimum. Namun, bagi anak yang lebih besar, prosedurnya lebih kompleks dan memerlukan dokumen sokongan tambahan.
Jika nama anak terlalu panjang dan anak mula menunjukkan tanda tertekan, cuba mulakan dengan berbual secara tenang. Tanyakan apa yang mereka rasa: adakah kerana diejek, susah menulis, atau tidak suka dipanggil singkatan. Kadang-kadang, anak hanya perlukan ibu bapa mengakui perasaannya itu valid dan bukan “mengada-ngada”.
Jika anak mahu guna nama panggilan yang mereka sendiri setuju, ibu bapa boleh sokong dengan menetapkan satu panggilan yang konsisten di rumah dan maklumkan kepada guru jika perlu. Yang penting, anak rasa mereka ada pilihan dan identiti mereka dihormati.
Sebagai ibu bapa, penting untuk berfikir secara seimbang antara makna, keindahan dan kepraktisan nama. Nama yang ringkas, mudah disebut dan tetap membawa maksud yang baik boleh membantu anak membina keyakinan diri serta identiti yang positif.
Ingatlah, nama adalah hadiah pertama daripada ibu bapa kepada anak. Jangan biarkan hadiah itu menjadi beban emosi di kemudian hari. Jika nama anak terlalu panjang sampai mengganggu keyakinan diri, itu sudah cukup untuk ibu bapa berhenti seketika dan menilai semula dengan matang. Pilihlah dengan penuh pertimbangan, kerana apa yang kelihatan kecil hari ini, boleh memberi kesan besar kepada kehidupan anak pada masa hadapan.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.