Buah tembikai antara makanan yang sihat untuk ibu hamil dan bayi dalam kandungan. Buah tembikai kaya dengan kandungan zat Likopen. Zat ini menjadikan tembikai sangat elok dimakan oleh ibu hamil. Vitamin C yang terdapat dalam buah tembikai membantu meningkatkan sistem imun badan ibu hamil.
Buah Tembikai, Makanan Sihat Untuk Ibu Hamil & Bayi Dalam Kandungan
92% kandungan buah tembikai merupakan air, oleh itu ia merupakan antara buah buahan yang mampu membekalkan tenaga dan hidrasi pada tubuh. Ia juga kaya dengan vitamin, mineral dan serat.
Berikut antara khasiat buah tembikai untuk ibu hamil:
MENJAGA KESIHATAN JANTUNG
Buah tembikai kaya akan kandungan likopen yang amat baik untuk kesihatan jantung ibu dan bayi.
KAYA DENGAN ANTIOKSIDAN DAN VITAMIN A
Vitamin A yang terkandung dalam buah tembikai membantu menjaga organ penglihatan bayi. Selain itu, karotenoid vitamin A berfungsi sebagai antioksidan melindungi badan daripada radikal bebas.
MELANCARKAN PENGHADAMAN
Tembikai sangat bagus untuk kecantikkan dan membantu melancarkan aliran air kencing dalam badan.
MENYOKONG PEMBENTUKAN TULANG BAYI
Buah tembikai kaya dengan kalium yang berfungsi untuk mempertahankan kalsium dalam badan. Ia sangat bagus untuk pembentukan tulang bayi dan menguatkan sendi pada badan ibu supaya lebih sihat dan kuat.
MENINGKATKAN SISTEM IMUN
Buah tembikai mengandungi vitamin C yang membantu meningkatkan sistem imun untuk ibu hamil. Ia dapat mengelakkan ibu mudah terkena jangkitan selsema atau batuk terutama dalam perubahan cuaca yang tidak menentu.
MENGURANGKAN PEMBENGKAKAN
Kandungan air dalam tembikai mampu mengurangkan pembuluh darah dan otot yang tersumbat. Ia dapat mengurangkan masalah bengkak yang sering dialami oleh ibu hamil.
MENCEGAH PIGMENTASI
Buah tembikai dapat membantu melancarkan pencernaan makanan dan menjaga pergerakan usus kecil yang mana ia mempengaruhi keadaan kulit. Masalah pigmentasi dapat dikurangkan dengan memakan tembikai lebih kerap.
MENGELAKKAN KEJANG OTOT
Perubahan hormon ketika mengandung menyebabkan peningkatan berat badan. Ini membuatkan tulang dan otot menjadi kejang. Buah tembikai dapat mengurangkan kejang otot dan tulang.
MENGATASI MASALAH ‘MORNING SICKNESS’
Mengambil tembikai sebagai sarapan pagi membantu mengurangkan simptom morning sickness. Buah tembikai mengandungi tenaga dan khasiat yang baik untuk badan terutama ibu hamil yang letih dan lesu.
MENGELAKKAN DEHIDRASI
90% daripada tembikai terdiri daripada air. Makan tembikai membantu ibu untuk mengelakkan dehidrasi. Dehidrasi dikalangan ibu hamil boleh menyebabkan kesan buruk kepada kandungan seperti kontrasi pramatang atau kelahiran pramatang.
MENYINGKIRKAN LEMAK
Buah tembikai mengandungi citruline yang membantu mengurangi lemak berlebih yang ada dalam tubuh. Sangat rugi kalau tak amalkan tembikai ketika hamil. Kalau tak hamil pun memang bagus sangat tembikai. Nak-nak pula di bulan puasa, memang sangat-sangat membantu dalam mengekalkan kelembapan kulit. Tembikai kaya dengan air dan sangat enak dimakan.
Sumber: Safenifeni.com
Artikel berkaitan: Resipi Puding Tembikai Berlemak, Sedap Makan Sejuk-Sejuk. Confirm Anak Suka!
Resipi Puding Tembikai Berlemak, Sedap Makan Sejuk-Sejuk. Confirm Anak Suka!
Cantiknya Macam Tembikai, Puding Roti 6 Bahan, Nak Buat Pun Senang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pergilah Wahai Wildan Syurga…” Asma Teruk & Terlalu Banyak Ubat, Ibu Hilang Bayi Dalam Kandungan
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Kenangan 21 & 22 Januari 2018
Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ******
Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu!
Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar…
“Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang
21 Januari 2018
“Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat.
“Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas.
Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi.
“Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega.
Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas.
“Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil.
“Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat.
Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah….
Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku.
“Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung.
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi?
Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mu bilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam
22 Januari 2018
Sanah helwah buat aku!
Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah!
Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari
24 Januari 2018
Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi
25 Januari 2018
Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku.
Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi
30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya.
BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi
15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas.
“Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku.
Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,”
Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya.
Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat.
“Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi
16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat.
Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya.
Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku.
“Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang.
Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam.
Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Sumber: Mazlinda Mohd Sahar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tak Buat Majlis “Baby Shower” Mira Filzah Simpan Impian Bersalin Normal!
Biarpun berdebar bakal melahirkan cahaya mata sulungnya pada awal Mei nanti, namun pelakon Mira Filzah mengakui kini dia sedang mempersiapkan dirinya untuk melalui fasa terakhir kehamilannya.
Malah kongsi Mira lagi yang bakal bergelar ibu sedikit masa lagi, dia amat berharap dapat bersalin secara normal.
Menurut kata Mira sebolehnya dia mahu merasai sendiri pengalaman bersalin normal, namun akur jika terpaksa melalui proses pembedahan. Apa sahaja asalkan dirinya dan bayi sihat dan selamat.
“Saya berhasrat melahirkan anak secara normal. Tetapi, iyalah, semuanya bergantung kepada keadaan. Kita tengok pilihan mana yang okay nanti.
“Jika diikutkan, saya akan lengkap trimester ketiga kehamilan pada pertengahan bulan depan. Namun, ikut jangkaan, saya akan bersalin pada awal Mei.
“Jadi, apa-apa pun, saya kena bersedia termasuk dalam aspek persiapan mental dan fizikal sepanjang fasa akhir kehamilan dan melahirkan anak,” katanya berkongsi.
Enggan mendedahkan jantina anak lebih awal, namun kata Mira dia akan berkongsi segalanya selepas segalanya selesai kelak.
Dalam pada itu kata Mira, dia juga tidak mengadakan majlis baby shower khusus untuk mengalukan kehadiran bayi mereka namun hanya mengadakan sesi makan dan santai bersama kawan-kawan dan keluarga terdekat sahaja.
“Insya-Allah, nama dan jantina anak akan dimaklumkan selepas saya bersalin. Cuma belum diputuskan nama yang akan dipilih.
“Majlis mengalu-alukan kehadirannya seperti ‘baby shower’ pun tidak dibuat secara khusus. Lebih kepada sesi makan dan santai bersama kawan-kawan dan keluarga,” katanya lagi.
Semoga kelahiran cahaya mata sulung pasangan ini dipermudahkan kelak.
Terdahulu, Mira dan Emir mendirikan rumah tangga pada 3 September tahun lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Menarik: Sebak Gembira Ragam 5 Anak Selebriti Ke Sekolah, Semua Comel-Comel Belaka!
Dah tak ada idea nak masakkan apa untuk anak, semua dia tolak. Tak tahulah di mana silapnya padahal dah cuba macam-macam resipi. Untuk mommies yang ada masalah anak susah makan, jom segera dapatkan e-book 100++ Resipi Si Manja & Tip Untuk Mama!
Hanya RM20, memang berbaloi dengan pelbagai resipi menarik serta info pemakanan anak. Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/e-book-resipiselerasimanja/ untuk dapatkan e-book istimewa ini!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tiada Alahan & Selera Makan Bertambah”, Miera Leyana Umum Hamil Tujuh Bulan, Suami Teruja!
Lama tidak mendengar kisah mengenai pelakon yang satu ini. Kini selepas lama menyepikan diri, pelakon, Miera Leyana tampil mengumumkan kehamilannya yang kini sudah pun berusia tujuh bulan.
Selepas mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu, Miera meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kurniaan rezeki dari Allah ini.
Malah kata Miera lagi menerusi BH Online, dia juga amat bersyukur bila mana tidak mengalami sebarang alahan sebaliknya semakin bertambah selera makan.
“Saya tiada alahan seperti muntah pada waktu pagi seperti kawan-kawan yang lain. Cuma yang ketara, selera makan saya makin bertambah.
” Saya juga tidak mengidam juadah pelik-pelik,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang sering membawakan watak antagonis ini juga mengakui ketika sarat hamil ini, dia begitu teringin untuk travel ke luar negara seperti ke London dan Paris serta tidak ketinggalan untuk menunaikan ibadah umrah.
Bagaimanapun pelakon cantik manis ini terpaksa akur dengan keadaan pandemik yang melanda dunia, lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya yang sedang sarat hamil.
Menariknya, baik Leyana mahupun suaminya, Rosland Othman, masing-masing sepakat untuk tidak mendedahkan mengenai jantina bayi yang dikandungnya. Katanya biarlah ianya menjadi satu kejutan.
“Tunggulah sehingga bayi lahir baru kami umumkan kepada semua. Kami lebih selesa jantina ini menjadi kejutan,” kongsinya lagi.
Bukan hanya teruja untuk menjadi ibu, bahkan suaminya adalah orang yang paling teruja untuk menyambut kelahiran bayi mereka.
” Semoga dengan kehadiran cahaya mata pertama kami ini akan menambahkan lagi seri dan kebahagiaan rumah tangga kami,” katanya lagi.
Terdahulu, Miera Leyana mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Rosland Othman pada Julai tahun lalu.
Kredit: BH Online & @mieraleyana
Artikel menarik: Nampak Sengsara Sangat, Ummi Nazeera Kena Minum Air Gula Kali Kedua, Suami Kongsi Tip
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI