Gatal Bahagian Dubur, Mengamuk/ Merengat, Pucat & Kerap Sakit Perut Tanda Anak Kecacingan. Dewasa Tak Terkecuali

Share

Gatal bahagian dubur & mengamuk/ merengat, pucat & kerap sakit perut antara simptom kecacingan. Apa mama papa boleh buat?

Menurut Dr Rosni Jamaluddin, Pakar Pediatrik KPJ Klang Specialist, masalah kecacingan atau jangkitan cacing merupakan masalah yang boleh berlaku di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Walau bagaimana pun, kebanyakan jangkitan cacing tidak serius /teruk dan tidak memberikan apa-apa gejala atau mudarat. Ini menyebabkan ia mungkin tidak disedari oleh penghidap.

Kes kecacingan yang teruk dan serius lebih kerap berlaku di kalangan masyarakat luar bandar atau di tempat di mana tidak terdapat bekalan air bersih. Ini adalah kerana kebanyakan kes jangkitan cacing berlaku melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar  dengan tanah yang mengandungi cacing atau telur cacing.

SIMPTOM KECACINGAN

Antara simptom atau gejala kecacingan yang teruk dan kronik adalah kurang berat badan atau terbantut tumbesaran, pucat atau anemia, sakit perut dan perut kembung atau membengkak. Malah, sebahagian pesakit kecacingan juga boleh mengalami kesukaran pembelajaran.

Segelintir pesakit mengadu kurang selera makan atau mempunyai selera makan yang aneh seperti tabiat suka memakan benda-benda yang kotor seperti tanah.

Adakalanya disebabkan kitaran hidup sebahagian cacing yang akan migrasi ke organ-organ tertentu, pesakit mungkin mengalami simptom –simptom yang berkaitan dengan organ tersebut seperti sakit kepala, batuk, sesak nafas, sakit perut, hati yang membengkak dan sebagainya.

GATAL DUBUR & MENGAMUK/ MERENGAT

Setengah pesakit lain boleh merasa gatal di bahagian dubur. Ada kalanya pesakit atau ibu bapa sendiri boleh terjumpa atau melihat cacing di dalam najis kanak-kanak yang kecacingan.

Simptom seperti merengat atau mengamuk mungkin boleh dijelaskan sekiranya kanak-kanak mengalami sakit perut. Namun begitu, merengat atau mengamuk secara khususnya bukanlah merupakan simptom yang spesifik untuk  masalah kecacingan kerana terdapat banyak lagi masalah lain yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak berkelakuan demikian

JUMPA DOKTOR JIKA ANDA DALAM KATEGORI BERISIKO

Jika si kecil terdedah kepada gaya persekitaran hidup yang berisiko tinggi untuk menghidap kecacingan dan mengalami simptom-simptom tersebut di atas, anak anda disyorkan untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan penilaian yang lebih terperinci.

Doktor mungkin akan mengambil sampel najis untuk diuji di makmal bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.  Doktor juga boleh memberikan ubat yang sesuai untuk merawat masalah kecacingan tersebut, dan seterusnya memberikan nasihat lanjut tentang cara-cara untuk mencegah jangkitan daripada berulang.

PASTIKAN MEMINUM AIR BERSIH

Secara amnya,  sentiasa pastikan air minuman dan air yang digunakan untuk menyediakan makanan semuanya telah dirawat dan dibersihkan. Lebih baik sekiranya semua air yang digunakan direbus sehingga mendidih terlebih dahulu. Cuci semua bahan masakan dan makanan dengan air bersih sebelum di makan, terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimakan mentah.  Kebersihan tangan dan diri-sendiri juga adalah penting agar jangkitan dapat dielakkan.

IKLAN