Antara masalah yang selalu difikirkan oleh ibu ayah adalah menjadikan waktu tidur si kecil lebih senang supaya ibu tak stres dan anak pun tidur lena.
Bila ada anak kecil tugas menidurkan mereka bukan satu perkara yang mudah sebenarnya. Trend sekarang pula memang anak-anak kecil termasuk yang bayi akan tidur lewat malam.Jangan main-main hal tidur ya! Tidur memainkan peranan penting bagi perkembangan otak anak.
Kajian juga menunjukkan bahawa kurang tidur menyebabkan prestasi kognitif yang rendah, termasuk memori, refleks dan daya tumpuan yang lemah.
Janganlah ibu bapa anggap anak boleh tidur sendiri begitu sahaja. Sebenarnya salah satu kunci utama hendak pastikan anak kecil tidur awal iaitu disiplin. Kenapa disiplin? Anak yang memang diajar rutin dan disiplin tidur awal akan patuh kepada peraturan tersebut.
Sebenarnya memang karektor anak kecil akan mudah ikut peraturan kalau ibu bapa bertegas dengan perkara tersebut. Membiarkan anak tanpa rutin, disiplin dan peraturan dan memberikan mereka kebebasan membuat apa sahaja mengikut kemahuan hanya akan menjadikan anak sukar dikawal.
Cakap memang mudah tapi untuk melaksanakannya sangatlah sukar. Hanya ibu bapa yang melaluinya sahaja tahu betapa mencabarnya mendidik anak kecil tidur awal. Namun ia bukan hal yang mustahil apabila ibu bapa sedia berkorban masa dan keseronokan mereka sendiri demi memastikan anak tidur awal.
Tentu anda pernah lihat wajah ceria dan bahagia anak bila dia bangun tidur. Itu tandanya dia cukup tidur! Cuba bandingkan pula keadaan anak anda bila dia tak cukup tidur. Bukan anak sahaja yang buat hal tapi anda berdua pun mulalah nak naik angin.
Jadi berusahalah disiplinkan anak untuk tidur awal supaya mereka sentiasa cukup tidur. Mungkin anda boleh cuba tip mudah ini. Mana tahu menjadi. Bolehlah share pula dengan ibu-ibu lain.
1. Tutup lampu dan gajet di rumah
Ads
Bergantung pada usia anak anda untuk mengaplikasikan tip ini. Bagi yang ada anak bawah usia 6 tahun, seawal pukul 8.30 malam dah boleh mula bagi ‘hint’ kepada mereka sudah tiba masa untuk tidur dan berehat. Antara yang boleh dibuat, tutup lampu di rumah kecuali hanya satu lampu sahaja yang dibuka. Tutup semua gajet (termasuk handphone atau laptop papa & mama ya), tak lupa juga TV di rumah.
Ibu bapa kena berkorban untuk berhenti menonton TV atau melakukan sebarang tugas yang melibatkan penggunaan gajet. Semuanya demi kebaikan anak anda. Kalau tak biasa buat kaedah ini, jangan terkejut jika anak anda akan mengamuk bila pertama kali membuatnya. Tapi anda perlu kentalkan hati dan tegas melakukan disiplin ini. Kejayaan memerlukan kesabaran!
2. Kurangkan anak tidur waktu siang
Kadangkala ada anak yang jenis tidur siang terlalu lama. Kalau boleh elakkan kerana ia akan membuatkan mereka tak mengantuk di waktu malam dan masih bertenaga untuk bermain.
Elakkan sama sekali anak tertidur pada lewat petang kerana ia hanya akan membuatkan mereka mengamuk jika tersedar di awal malam dan seterusnya susah nak tidur semula.
Tidur waktu siang yang diperlukan oleh kanak-kanak usia 1-3 tahun iaitu antara satu hingga dua jam sehari sementara kanak-kanak usia 4-6 tahun pula 30 minit hingga sejam sehari.
Ads
3. Bersihkan badan sebelum tidur
Kanak-kanak memang aktif bermain sampaikan mereka kerap berpeluh. Jadi, sebelum anda mengajak anak tidur bersihkan badan mereka terlebih dahulu. Kalau ajak tidur dalam keadaan baju dan muka berpeluh memang mereka tak nak tidurlah jawabnya. Tak perlu mandikan mereka macam waktu pagi.
Cukup sekadar menyiramkan segayung air supaya anak merasa lebih segar. Jangan risau dengan mitos tak boleh mandikan anak waktu malam. Tiada bukti saintifik yang menyatakan amalan mandi pada waktu malam boleh menyebabkan masalah paru-paru. Jadi, tiada masalah untuk memandikan anak pada waktu malam walaupun hanya menggunakan air paip biasa.
4. Tukar baju yang bersih
Kita yang tua pun rasa tak ‘best’ nak tidur kalau baju kotor dan berbau. Inikah pula anak kecil yang aktif. Selepas mandikan anak, tukarkan baju mereka. Secara psikologi bila sudah tukar baju tidur yang bersih, anak tahu sudah tiba masa untuk mereka masuk tidur.
Ads
5. Urut badan perlahan-lahan
Siapa tak suka kena urut dan belai badan sebelum tidur. Si kecil pun tak terkecuali. Kalau selalu sangat meragam dan mengamuk bila suruh tidur, cubalah buat tip ini. Lepas dah bersihkan badan mereka, anda suruh anak berbaring dan sapukan minyak bayi di seluruh badan si kecil.
Kemudian urut-urut mereka sambil cakap yang elok-elok tentang diri mereka. Pujilah anak, cakap “hari ni Aina baiklah. Good girl sangat. Mama sayang Aina kalau selalu macam ni.” Sambil urut dan belai badan anak, berilah ciuman penuh kasih sayang. Mesti anak akan tersenyum dan dengar cakap anda.
6. Bercerita/berzikir/menyanyi
Terpulanglah mana satu yang anda hendak buat dengan anak sebelum mereka lelapkan mata. Tapi sebelum anda bercerita atau berzikir atau menyanyi, jangan lupa tutup lampu bilik. Percayalah, tak sampai 10 minit anak anda akan terlena tidur.
Lakukan tip berikut secara konsisten tanpa jemu sehinggalah anak biasa dengan rutin tidur awal mereka. Jangan berharap proses ini boleh berjaya selepas hanya sekali dua cubaan. Apa yang penting anda berdua perlu bersabar dan jangan putus asa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila anak mula meragam dan mengamuk sedangkan biasanya anak selalu sahaja baik tentu jadi serba tidak kena. Apa yang mama boleh lakukan ialah dengan cara memerhatikan punca anak jadi begitu.
Perhatikan adakah perubahan sikap anakberpunca daripada diri mama dan papa itu sendiri. Kadang-kadang anak kecil yang buat perangai ini bersebab. Mungkin mereka tak pandai nak beritahu secara terus jadi pendekatan yang mudah adalah dengan menunjukkan tanda protes.
Anak Tiba-tiba Meragam & Mengamuk
Bila anak buat perangai, secara automatik mama dan papa pun akan rasa geram sangat sehingga boleh terkuat suara atau pun memukul anak. Sebenarnya ada beberapa sebab yang mungkin boleh dikaitkan dalam hal ini.
Berikut perkongsian Puan Maryam Jamadi yang boleh dijadikan sebagai panduan bersama.
Saya nak ceritakan tentang pengalaman anak tantrum dan jadi pemarah:
Anak saya tiba-tiba banyak meragam, menangis tanpa sebab. Semua benda tak kena dan jadi sangat pemarah bila tak ikut kemahuan dia. Pujuk macam mana pun tak jalan, kalau kes macam ini memang saya akan biarkan dia menangis untuk lepaskan semua kemarahan dia. Cara saya tahu dia dah puas nangis adalah bila dia dah mula buka mata untuk tengok sekeliling.
Selagi dia menangis menjerit tutup mata, buatlah macam-macam cara tak akan ‘laku.’ Punca dia menangis memang ‘kelakar’ dan tak boleh diterima:
– Tak nak mandi – Tak nak tukar diaper walaupun sudah ‘membuang’ – Nak buka peti ais – Saya tegur bila dia tumpahkan air – Nak makan sup panas menggelegak – Baju dia pakai tak cantik
Benda kecil pun dia akan mengamuk macam kena dera, emosi dia sangat sensitif minggu ini dan saya mencari-cari puncanya dan apa salah saya. Pening + stress.
Dalam seminggu juga dia banyak meragam, selepas itu saya bercuti 3 hari. Tiba-tiba mood dia sangat ok, bangun tidur senyum tak ada nangis dan boleh mendengar arahan tanpa mengamuk. Kalau saya tak ikut kemahuan dia, dia boleh terima.
Lepas difikir-fikir punca, rupanya minggu yang dia banyak mengamuk itu adalah minggu appointment saya penuh selama 7 hari berturut-turut dari 9 pagi hingga 6 petang sebab nak kena ganti 7 hari saya bercuti. Suami pula sedang sibuk siapkan thesis master. Saya kerja beliau jaga anak, berganti-ganti.
Jadi masa itu saya stres, penat dan tak cukup rehat sampai demam, anak saya pun stres dan sangat kuat mengamuk.
Terlalu fikir kerja sehingga saya terlupa yang susu yang saya berikan kepada anak saya boleh ‘pass’ hormon tak baik saya setiap kali saya stres dan penat iaitu hormon cortisol.
SUSU IBU + HORMON
*Kajian telah dilakukan oleh evolutionary biologist di Harvard University terhadap monyet makmal menunjukkan hormon stress yang dikeluarkan semasa ibu stres fizikal atau emosi boleh disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
*Keputusan yang paling mengejutkan adalah hormon stres ini memberi kesan yang berbeza terhadap bayi perempuan dan lelaki. Susu yang mempunyai tinggi kepekatan hormon stres memberi kesan terhadap emosi dan perilaku seperti rasa takut, marah, sensitif ataupun tak selesa kepada bayi perempuan berbanding bayi lelaki.
*Hormon cortisol pada susu ibu boleh memberi kesan kepada tingkahlaku sosial anak di masa akan datang walaupun selepas bercerai susu.
Inilah jadi mak ayah lagi-lagi anak pertama, kita belajar apa pun atau kerja apa pun bila kena dekat batang hidung sendiri memang pening.
Jadi, untuk mak-mak yang masih menyusu badan kalau anak tiba-tiba kuat mengamuk dan meragam cuba check balik emosi kita semasa menyusu.
Kalau tengah penat dan dalam tergesa-gesa, saya cadangkan untuk ambil masa 10 minit untuk bertenang, minum air sekejap, makan coklat dan lupakan perkara yang menyemakkan kepala. Boleh buka ayat Al-Quran ataupun white noise juga untuk membantu kita bertenang sebelum menyusu. Tak kiralah menyusu direct ataupun pam.
Bila agak-agak dah tenang, degupan jantung dah stabil dan normal baru mula menyusu ataupun mengepam.
Menyusu badan bukan bermaksud kita beri sumber khasiat dan keperluan bayi sahaja. Kita juga salurkan HORMON kita. Jadi, jaga-jaga dengan emosi sepanjang proses perjalanan menyusu badan.
Suami juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menjaga emosi isteri sepanjang tempoh menyusu badan. Agak-agak isteri mula berkerut, offerlah nak masakkan makan malam ataupun tolong lipat sidai baju ke.
Macam kes saya, sebenarnya saya pun tak perasan tengah stres sebab enjoy kerja walaupun sangat penat. Selepas ini kena lebih berhati-hati lagi dengan hormon stres.
Sumber: Maryam Jamadi (Occupational Therapist)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketahui tip rangsang bayi untuk merangkak. Tapi mama papa perlu tahu setiap bayi ada kemampuan berbeza, jangan terlalu memaksa mereka!
Lazimnya apabila usia bayi memasuki enam bulan, bayi mula meniarap dan mampu mengangkat beban tubuhnya. Ini merupakan petanda bayi anda akan merangkak. Meskipun demikian tidak semua bayi pada usia yang sama memiliki kemampuan merangkak dan ada yang akan melangkau fasa merangkak ini.
Ada ketikanya ibu cemas dan seringkali timbul persoalan adakah lambat merangkak merupakan tanda gangguan pada perkembangan anak.
KEMAMPUAN BERBEZA-BEZA
Kemampuan bayi untuk merangkak biasanya berlaku ketika usia mereka sekitar enam hingga 10 bulan. Ketika anak mula merangkak, lengan dan kakinya akan menampung badan di atas lantai sekaligus melatih kemampuan motorik halus bayi. Merangkak merupakan fasa yang dilalui si kecil sebelum berjalan. Dengan merangkak anak anda mempersiapkan diri untuk berjalan bahkan dengan merangkak juga dapat memperkuatkan otot-otot tangan dan kaki untuk mengangkat beban tubuhnya.
Selain usia yang berbeza untuk perkembangan setiap anak, cara mereka merangkak juga ada yang berbeza-beza. Kebanyakkan bayi menggunakan tangan dan kaki untuk merangkak, ada pula bayi yang merangkak dengan cara bergesel dengan perut dan ada juga merangkak dengan menggunakan bahagian pinggul dan kaki. Mama dan papa perhatikan pergerakan anak sebelum mengatakan mereka tidak merangkak!
Bayi tidak dapat merangkak boleh disebabkan oleh berbagai faktor. Antaranya ialah;
Bayi mungkin mempunyai berat badan yang berlebihan
Kekurangan nutrisi
Kurang stimulasi merangkak
Gangguan keseimbangan
Sebab-sebab lain
6 TIP MERANGSANG ANAK MERANGKAK
Sering meniarapkan bayi sejak awal adalah rangsangan terbaik untuk si kecil. Dengan meniarap, bayi akan mengangkat kepala, badan dan mula bergerak menggunakan perut mereka.
Elakkan penggunaan baby walkerdan biasakan diri mereka diletakkan di ruangan yang luas dan bersih tanpa mengendong atau meletakkan di atas kereta sorong. Sediakan alas atau play mat yang comel untuk merangsang bayi bermain dan merangkak.
Letakkan permainan di hadapan bayi. Bermain dengan permainan tersebut agar bayi anda tertarik untuk mendapatkannya. Berikan sedikit pujian untuk mereka jika mereka berjaya menuju ke permainan yang ada. Pujian juga boleh merangsang si kecil untuk terus berusaha merangkak.
Merangkaklah bersama si kecil anda. Anak-anak kan suka ikut apa yang ibu dan ayah buat.
Tidak terburu-buru untuk menyuruh si kecil berjalan. Biarkan bayi anda melalui fasa merangkak mereka dengan gembira tanpa rasa tertekan.
Adakalanya stimulasi sahaja tidak mencukupi untuk merangsang bayi anda untuk merangkak, oleh itu fisioterapi dan juga senaman juga boleh anda lakukan namun ia perlu dilakukan atas nasihat doktor.
KEBAIKAN MERANGKAK
Merangkak bukan sahaja antara fasa perkembangan bayi, ia juga mempunyai banyak kebaikan penting yang berkaitan dengan perkembangan fizikal dan otak bayi. Dengan merangkak bayi dapat:
Menguatkan leher, tangan, sendi dan otot.
Menguatkan otot besar dan kecil, melatih kemampuan motorik kasar dan halus.
Koordinasi mata dengan tangan, kekuatan, tegangan otot, keseimbangan dan juga keterampilan jari.
Melatih fungsi otak kanan dan kiri. Gerakan bersilang ketika merangkak merangsang memperkuat dan intergrasi otak kanan dan kiri. Ia juga membantu kordinasi penggunaan kedua belah mata, telinga, tangan dan kaki.
Mengembangkan sambungan jaringan saraf. Gerakan berulang ketika merangkak merangsang dan mengembangkan sambungan jaringan saraf otak sehingga otak lebih berkesan dalam mengawal proses kognitif seperti pemahaman, konsentrasi dan ingatan.
Merangsang kepekaan. Dengan merangkak ia merangsang kepekaan visual dan kepekaan terhadap jarak jauh dan dekat.
MERANGKAK DAN PERKEMBANGAN OTAK
Merangkak adalah salah satu cara melatih perkembangan motorik bayi pada usia tujuh hingga lapan bulan. Merangkak adalah tindak balas semulajadi yang membantu bayi mengawal badannya untuk bergerak sebelum bayi boleh berjalan.
Pakar perkembangan kanak-kanak menganggap merangkak adalah fasa penting dalam tahap perkembangan bayi kerana berkaitan dengan perkembangan otak. Oleh itu, jika anak anda terlewat untuk merangkak, cubalah cara yang disarankan untuk merangsang bayi supaya merangkak dengan cepat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Membekukan makanan bayi adalah tip mudah yang boleh menjimatkan masa ibu dalam menyediakan makanan untuk si manja.
Semua ibu ingin menyediakan sendiri makanan untuk bayi mereka. Jika boleh ibu mahu memberikan makanan yang dimasak sendiri berbanding makanan bayi segera.
Bagi ibu yang bergelar suri rumah tentu sahaja ia tidak menjadi masalah tetapi bagi ibu yang bekerja, kadangkala kekangan masa membataskan ibu untuk menyediakan makanan bayi setiap hari.
Jangan risau tentang hal tersebut, ada penyelesaiannya di mana ibu tetap boleh menyediakan makanan bayi setiap hari dan dalam masa yang sama boleh menjimatkan masa. Bagaimana?
Pernahkah anda terfikir untuk menyimpan stok makanan bayi seperti mana membekukan stok susu ibu perahan dalam peti sejuk? Bolehkah?
Tahukah anda, kita sebenarnya boleh menyejukbekukan makanan bayi sebagai stok yang boleh menjimatkan masa penyediaan. Tetapi sebelum membuat stok makanan bayi sejuk beku anda perlu tahu beberapa perkara penting.
Ini kerana perut bayi lebih sensitif berbanding orang dewasa, jadi kita perlu mementingkan kebersihan ketika menyediakan makanan bayi.
1. Apa jenis makanan boleh beku?
Ketahui jenis makanan yang boleh dibekukan. Antara buah-buahan yang boleh dibekukan adalah epal, pir, pisang, sayur-sayuran pula seperti brokoli, kacang peas, kentang, labu dan sebagainya lagi.
2. Penyimpanan
Biarkan dahulu makanan yang sudah dimasak itu sejuk, kemudian masukkan dalam bekas-bekas kecil yang berpenutup atau bekas khas untuk membekukan makanan bayi.
Jika menggunakan bekas ais batu, setelah makanan membeku, alihkan ia ke dalam freezer bags dan simpan kembali ke dalam peti ais bahagian sejuk beku. Jangan lupa keluarkan udara yang ada di dalam plastik tersebut sebelum ia dimeterai.
3. Proses membekukan makanan
Simpan puri makanan yang hendak dibekukan ke dalam bekas ais yang mempunyai tutup supaya tiada bakteria masuk ke dalamnya.
4. Pentingnya label
Labelkan tarikh makanan disediakan pada makanan beku bayi. Kaedah sejuk beku ini dapat bertahan sehingga empat ke enam bulan tetapi untuk makanan bahan berprotein seperti ayam, ikan dan daging ia hanya bertahan sehingga dua bulan. Bagaimanapun seeloknya habiskan dalam masa kurang sebulan.
5. Had masa
Makanan bayi yang belum dibekukan hanya boleh berada di dalam peti sejuk (bukan tempat dingin beku) maksimum selama 48 jam sahaja.
6. Tak lebih 2 jam
Sekiranya mahu sejukkan makanan bayi sebelum dikisar menjadi puri, pastikan tidak melebihi dua jam dalam suhu bilik kerana bimbang akan membiakkan bakteria ke dalam makanan.
7. Jangan beku semula
Jangan bekukan semula makanan yang sememangnya sudah beku. Ia dikecualikan bagi makanan mentah beku yang boleh dibekukan apabila sudah dimasak. Contohnya kacang pis beku yang sudah dimasak boleh dibekukan.
8. Panaskan tak lebih sekali
Jangan panaskan makanan lebih daripada sekali.
9. Cara memanaskan makanan beku
Untuk menghidangkan semula makanan yang disejuk beku, anda hanya perlu merendamnya ke dalam air suam atau air biasa atau biarkan sahaja berada pada suhu bilik selama beberapa ketika.
10. Tak habis, buang sahaja!
Jangan simpan semula sisa makanan beku yang sudah dipanaskan tetapi tidak habis dimakan oleh bayi anda.
Mudah bukan? Jika anda mengikut dengan betul langkah untuk membekukan makanan bayi, sudah tentu anda dapat menjimatkan masa menyediakan makanan sihat si manja. Paling penting anak tersayang dapat makan makanan berkhasiat air tangan ibu sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tersentuh hati sesiapa pun melihat belon jernih bertulis “Happy Birthday Sayang” yang masih mengandungi udara, meskipun insan yang diraikan telah pergi. Ia diletakkan kemas...