Cara tegur salah & suka menyindir sebab anak hilang hormat? Suka buat kesalahan yang sama berulang kali. Tak berkesankah apa yang mama papa dah cakap sebelum ni?
Menurut Siti Farhana Md. Yasin, Pensyarah Jabatan Pengajian Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan, UNITAR bagi mendapatkan penyelesaian yang jelas bagi menangani isu ini.
Menegur anak adalah untuk mendidiknya. Namun, jika salah teknik ia boleh jadi kurang berkesan. Jangan sampai anda memukulnya secara berlebihan untuk memperbetulkan keadaan. Walaupun kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun itu masih kecil, dia perlu ditegur secara berhemah dan berhikmah supaya emosi dan tingkah lakunya dapat dibina secara positif.
KENAL PASTI PERSONALITI ANAK Secara psikologinya, defensive mode atau butang pertahanan seseorang akan ‘menyala’ jika ditegur secara melulu, kasar atau bernada tinggi kerana dia merasakan dirinya terancam.
Bagi mengelakkan si kecil rasa terancam, perkara utama yang perlu dipertimbangkan sebelum menegur, agar teguran yang diberikan berkesan ialah mengenal pasti personaliti anak anda terlebih dahulu. Setiap anak mempunyai personaliti unik dan tersendiri.
Jadi, cara menegur juga perlu berbeza supaya ia berkesan dan bermakna secara positif kepada anak. Jika anak anda seorang yang sensitif, cara teguran anda perlu lebih lembut dan tenang agar mudah teguran tersebut sampai ke hati.
Manakala bagi anak yang mempunyai personaliti bersahaja, teguran perlu bersifat tegas tetapi tidak perlu meninggi suara supaya anak tahu anda sedang menegur kesilapannya dan perkara itu serius.
PASTIKAN TEGURAN JELAS, TEPAT DAN TIADA SINDIRAN
Ads
Setelah personaliti anak dikenalpasti, pastikan teguran jelas, bebas unsur sindiran dan tepat pada perkara yang ditegur sahaja. Jelas yang dimaksudkan ialah perlu disebut tingkah laku atau respon yang anda kurang gemari dan beri cadangan bagaimana untuk mengubahnya.
Sebagai contoh, jika anak menyepahkan rumah yang baru dikemas, anda boleh menegur seperti ini, “Abang, ibu tak suka kalau abang sepahkan rumah macam ni. Berselerak barang dan kalau terpijak permainan abang, kaki kita semua sakit. Kalau abang nak main, main dalam bilik, lepas tu kita kemas sama- sama.”
Tidak semua kanak-kanak memahami bahasa kiasan, sindiran atau perlian. Tidak wajar anda menggunakannya kerana anak masih sukar memahami maksud di sebalik teguran tersebut. Jika sindiran digunakan berterusan, ia akhirnya menyebabkan si kecil ini membesar dalam ketidakpastian dan berteka-teki mengenai tingkah laku mana yang betul atau sebaliknya.
Ia juga boleh menyebabkan si anak cenderung untuk salah tafsir. Hal ini akan menyebabkan anda bertambah emosi kerana anak tidak faham dan terus mengulangi kesalahan yang sama.
MAMA PAPA ELAK KITARAN EMOSI AGRESIF
Apabila keadaan marah, anda cenderung untuk menjadi agresif menerusi percakapan atau tindakan. Anda mahu yang terbaik untuk anak-anak. Namun, kadang-kala, apabila anak tidak mendengar kata, sedikit nakal atau suka melawan, anda mudah berasa marah dan jika tidak dapat mengatasi rasa tersebut, ia boleh membawa kepada tindakan memukul anak.
Ads
Marah dan pukul perlu dalam mendidik anak-anak, namun ia menjadi isu sensitif apabila kedua-dua tindakan ini dilakukan secara berlebihan dan keterlaluan sehingga mencederakan anak secara fizikal dan emosi.
Bukan anda sahaja boleh menjadi agresif jika tidak mengawalnya, malah sikap ini boleh dipindahkan kepada anak melalui peniruan. Si kecil akan beranggapan apabila marah, memukul itu perlu dan tidak salah. Kitaran ini seterusnya menjadi budaya yang kurang sihat dalam sesebuah keluarga jika tidak dilakukan secara sederhana dan berpatutan.
JELASKAN DULU SEBAB SEBELUM DENDA
Denda atau hukuman tidak semestinya merupakan cara terbaik namun boleh menjadi salah satu daripada cara untuk anak belajar daripada kesilapan. Perlu diingatkan, denda yang dikenakan kepada anak mempunyai syarat-syarat tertentu supaya tujuan asal anda untuk membetulkan kesalahan anak tercapai.
Ads
Sebelum mendenda, anak perlu dijelaskan terlebih dahulu kesalahan yang telah dilakukan. Tindakan mendenda atau menghukum anak tanpa dia mengetahui sebabnya, boleh menimbulkan kesedihan, ketidakpuasan hati dan cenderung untuk mengulanginya kerana kesedaran itu tidak wujud.
Apabila anak sudah tahu kesalahan yang dimaksudkan, dia perlu ‘bersetuju’ dengan denda yang diberikan walaupun tanpa rela. Tiada sesiapa pun yang sukakan denda namun dengan memberitahu anak jenis kesalahan dan mengapa dia perlu didenda, lebih mudah untuk dia mempelajari sesuatu daripada kesalahan yang dilakukannya.
Terdapat pelbagai jenis denda yang boleh anda laksanakan tetapi elakkan yang boleh mencalarkan emosi anak sehingga mengalami trauma.
3 TIP IBU BAPA KAWAL EMOSI
Tarik nafas perlahan dan dalam-dalam. Perkara ini memerlukan kekuatan dan latihan supaya menjadi tabiat. Bukan mudah untuk mengawal marah namun apabila anda terus bertindak menarik nafas, otak secara automatik menahan diri daripada bertindak secara melulu. Sebaliknya, lebih rasional dan tidak terlalu mengikut emosi.
Istighfar seperti yang dianjurkan dalam agama Islam atau cara lain bagi penganut agama berlainan untuk mengawal amarah.
Tidak terlalu menekan diri atau anak untuk menjadi sempurna (perfectionist) kerana ia boleh menyebabkan rasa kecewa. Apabila kecewa, anda lebih mudah untuk marah secara berlebihan sekiranya anak melakukan kesalahan. Sentiasa ingat yang si kecil dalam proses membesar dan suka meneroka. Apabila tidak terlalu menekan diri, anda akan lebih tenang, berlapang dada dan rasional dalam bertindak.
CIPTA SUASANA GEMBIRA DAN SELAMAT
Saya berpendapat, kanak-kanak perlu dibesarkan dalam suasana yang gembira dan selamat. Dia perlu melalui fasa melakukan kesilapan kerana dia belajar melaluinya. Teguran dan dendaan perlu bersesuaian dengan umur anak, kebolehannya untuk memahami dan keperluan dirinya untuk mengubah tingkah laku atau mengelak kesalahan yang sama berlaku lagi.
Mama papa perlu kurangkan marah dan emosi melampau terhadap anak kerana anda pasti tidak mahu dia membesar dan hidup dalam ketakutan, tidak puas hati dan berdendam.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila anak mengadu sakit telinga, ibu bapa kena ambil berat. Mungkin bagi anak kecil mereka tak boleh nak beritahu secara terus tetapi ibu bapa kena peka dengan ketidakselesaan yang ditunjukkan anak.
Menurut Doktor Telinga, Hidung dan Tekak jangkitan telinga sangat berbahaya jika tidak diberi rawatan awal. Jangan dibiar jika anak anda mengadu sakit telinga, keluar cecair kuning, nanah, darah atau apa-apa yang tidak normal. Tahukah anda bahawa komplikasi akibat jangkitan pada dalam telinga berpotensi untuk mengancam nyawa?
Jangan dibuat main!
Struktur telinga kita sebenarnya bersambung dengan hidung, tekak dan juga ada sambungan dengan rongga-rongga sekitar seperti rongga mastoid dan sebagainya.
Jika jangkitan pada telinga tidak dikawal pada peringkat awal, ia boleh merebak ke kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini. Masalah lain dan lebih serius boleh berlaku.
Mastoiditis merupakan jangkitan yang berlaku pada kaviti mastoid yang terletak di bahagian belakang telinga. Ia merebak dari telinga tengah untuk membentuk abses atau nanah di ruang udara mastoid tulang temporal.
Pesakit yang mengalami mastoiditis kebiasaannya akan mengalami gejala klinikal dan sistematik yang sangat tidak sihat.
Jadi, apa simptom dan gejala pesakit yang mengalami mastoiditis ini? Macam mana nak tahu?
Pesakit yang mengalami mastoiditis akan dilihat septik: iaitu demam, lemah dan lesu. Kanak-kanak akan menjadi tidak selesa, kerap menangis dan tidak akan makan serta minum. Pesakit akan mempunyai tanda dan gejala dari jangkitan telinga yang lebih teruk. Akan ada tanda kemerah-merahan dan sakit serta bengkak yang signifikan di belakang telinga.
Adakah mastoiditis ini akan berhenti setakat itu sahaja? Jawapannya Tidak.
Mastoiditis boleh merebak lagi jauh ke dalam sel-sel udara untuk membentuk abses atau nanah subperiosteal dan kawasan-kawasan sekitarnya!
Oleh itu, jika anak-anak anda ada mengalami dan mengadu sakit telinga, disertai demam, ada cecair keluar dari telinga, sakit juga di bahagian belakang telinga, jangan tunggu lagi. Bawa jumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan menyeluruh dan terperinci akan berjaya mengenalpasti masalah anak anda, walaupun untuk sesetengah kes agak sukar untuk mendiagnos pesakit pada peringkat awal.
Sumber: Dr. Ezairy M.Sallih
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Asas menulis dan membaca penting untuk anak-anak. Aktiviti menulis perlu dilatih sejak anak-anak di rumah lagi. Ini bagi mengelakkan mereka ketinggalan apabila masuk ke tadika mahupun sekolah.
Cara memegang pensel yang betul perlu dilatih dan bentuk-bentuk huruf perlu ditunjukkan terlebih dahulu, Jadi, ibu ayah harus berusaha bagi membolehkan anak-anak menulis pada posisi yang selesa.
Perkongsian Puan Hanis Athirah Rusli ini boleh menjadi panduan untuk ibu ayah dalam proses memupuk minat anak menulis.
Tips Pilih Buku Untuk Anak Belajar Menulis
1) Pilih buku yang merangsang kemahiran motor halus anak seperti kemahiran untuk menconteng, mewarna, menyalur dan menyambung yang dapat dikembangkan dalam sistem yang tersusun.
2) Pilih buku yang merangsang kemahiran berfikir. Contohnya aktiviti membaca dan menulis yang digabungkan dalam situasi yang boleh merangsang minda anak.
3) Pilih buku yang mengalakkan anak menyalin, melakar atau menulis semula corak atau tulisan yang ada. Seperti quotes oleh Jack Canfield
” Repetition is the key to real learning”
4) Pilih buku yang sesuai dengan tahap perkembangan usia anak.
5) Pilih buku yang mempunyai arahan yang ringkas, tak berjela-jela tapi cukup padat dan mudah difahami anak.
6) Pilih buku yang tersusun mengikut aras kefahaman anak secara berperingkat dari mudah ke kompleks.
7) Pilih buku yang mempunyai ilustrasi yang berkait dengan apa yang anak pernah pelajari dan gambar yang mudah anak faham bila melihatnya.
8) Pilih buku yang padat dengan aktiviti menarik seperti permainan suku kata, maze, teka teki atau pun nyanyian.
Nak cari buku tak susah. Ternyata memang berlambak sampai rambang mata untuk kita memilih. Tapi Anis cadangkan pilih buku yang menepati Garis Panduan Kurikulum Prasekolah (KSPK) dan turut mengandungi kemahiran asas menulis, pengukuhan dan pengayaan untuk anak yang baru belajar menulis.
Bila anak baru melatih menulis, tak perlu lumba-lumba memaksa mereka menulis sehingga berpuluh-puluh muka surat. Satu atau dua helai pun dah memandai dalam satu masa. Kecuali jika anak sendiri yang teruja untuk teruskan menulis.
Raikan proses menulis anak, bukan hasilnya. Tak mengapa sekiranya tulisan anak masih terbang, ada yang terbalik, ada yang kejap besar dan kecil. Cuma perbetulkan dan ajar anak untuk perbaiki bukan memarahi. Ini supaya dapat mengekalkan minat anak dalam menulis dan merasakan usaha mereka dihargai.
Untuk menulis secara awal Anis gunakan buku oleh AWAL . Kami fokus tiga jenis buku aktiviti untuk tingkatkan kemahiran motor halus sambil mengimbas kembali apa yang dibaca dalam buku teks Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Jawi. Cepat Tulis untuk Bahasa Melayu, I Can Write untuk Bahasa Inggeris dan Lancar Jawi untuk subjek Jawi. Anis suka kerana buku-buku ini menepati ciri yang Anis senaraikan di atas.
Dah masuk hujung tahun ni, biasanya mama papa pasti buat persediaan anak-anak masuk ke sekolah. Apa yang patut kita nak buat supaya anak-anak tak kekok dan teruja nak ke sekolah?
Jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dari Dr Tengku Putri Zainab Ab Malek (Pakar Perunding Pediatrik), Pn Nurul Sheriena Musa (Konsultan Perkembangan Kanak-kanak & Terapis Cara Kerja) serta sharing dari selebriti Yana Samsudin bagaimana dia melatih anaknya untuk belajar tiga bahasa. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/tip-a-z-anak-ready-ke-sekolah/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika mahu anak-anak membesar menjadi individu yang rajin dan boleh diharap untuk membantu kerja-kerja rumah, latihlah mereka sejak kecil untuk melakukannya. Tidak perlu sempurna, tapi jika selalu dibuat lama-kelamaan akan mahir juga.
Ada sesetengah ibu ayah yang tidak mahu anak membantu kerana kita merasa anak-anak akan ‘menambah kerja’ dari mengurangkannya. Sudah tentu anak-anak akan melakukan kesilapan ketika membantu kita, tapi jangan dihalang. Terus galakkan mereka dan percaya pada kemampuan mereka.
Tolong JANGAN HALANG Kalau Anak Nak Tolong! Baru ni geram juga tengok anak saya yang umur 2 tahun tu basahkan lantai dengan susu. Lebih geram lagi bila dia ambil baju saya dan letak dekat tumpahan susu tu dengan muka yang tak bersalah langsung! Geram je rasa tapi tahan je.
Saya tak boleh halang! Sebab saya kena baca niat di sebalik perbuatan pelik anak saya ni. Bila saya perhatikan balik dari jauh rupanya dia gunakan baju saya tu untuk serap air susu tu sebenarnya. Ye, dia sedang cuba keringkan lantai dengan keringkan tumpahan susu tu!
Mungkin dia pernah nampak saya ataupun umminya buat benda ni kot. Mujur saya tak larang dia buat ‘ benda pelik ‘ tu tadi. Kalau saya jerit atau jerkah, boleh jadi ‘intention’ ataupun niat suci dia untuk tolong saya tu akan terbantut dan hilang buat selama lamanya!
Padahal mengikut kajian daripada Harvard anak yang buat ‘chores’ ataupun bantu kerja di rumah ni akan jadi orang dewasa yang berjaya! Daripada situ seorang anak belajar ‘work ethic’ untuk menempuhi alam dewasa mereka nanti.
Ni cadangan untuk ajar anak kita buat kerja yang ringan di rumah;
Umur 2-3 tahun : + Lap air yang tumpah + Sapu habuk + Letak baju dalam bakul sebelum mandi + Simpan mainan selepas digunakan
Umur 4-5 tahun : + Kemas tempat tidur + Sidai tuala di tempatnya + Cuci cawan dan pinggan plastik sendiri + Siram pokok bunga + Semua kerja yang umur 2-3 tahun tu buat
Kepada yang ada anak lelaki jangan risau. Setakat ni saya tak jumpa lagi kajian yang cakap anak akan tiba-tiba bertukar jadi pondan lepas dah buat kerja rumah 😉
Taufiq Razif.
Bagus perkongsian dari Dr. Taufiq ni, bila anak-anak dah biasa buat kerja rumah dia jadi lebih berdikari. Tak adalah nak bergantung semua benda pada ibu atau ayah. Bila dah besar pun tak kekok kalau terpaksa hidup sendiri di asrama dan sebaginya. Jadi, latihlah anak buat kerja rumah sejak mereka kecil lagi.
Bapa ditahan biar anak umur 6 tahun bergayut dikenderaan. Polis menahan lelaki yang membiarkan anak lelakinya berusia enam tahun bergayut pada sebuah kenderaan pacuan empat roda di Nilai, seperti rakaman video yang tular di akaun Twitter.