Setiap orang ujian yang dilalui tak sama. Namun bagaimana seseorang itu menempuhinya  terletak dalam diri kita sendiri. Ada orang hidupnya sempurna sejak dari kecil sehinggalah besar. Ada pula yang pernah melalui peristiwa hitam dalam hidup sehingga menjadikan diri lebih kuat.

Apa pun perjalanan hidup kita, percayalah Allah tempat kita bergantung harap. Asalkan niat yang baik untuk berubah ke arah kebaikan, pasti dipermudahkannya.

Seperti kisah seorang ibu muda ini yang dikongsikan oleh Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom, ia begitu menyentuh hati kerana perjuangannya untuk tetap menjaga bayi dan menyusukan dengan susu ibu walaupun status anak itu tidak mempunyai ayah.

“Sebab Sayanglah Nak Bagi Susu Ibu”. Walaupun Anak Tak Sah Taraf Saya Tetap Ibunya 
Gambar Hiasan

Tebus kesilapan lalu

“Assalamualaikum puan. Saya masih dalam perjalanan. Kalau saya lambat sikit boleh tak? Nanti tolak masa 3 jam tu..”

Biasanya saya buat kaunseling hampir 3 jam juga. Jadi ibu ini minta izin untuk mula lewat tapi habis pada masa yang sama.

Saya ringkas jawab, “Boleh..”

Kemudian saya pesan kepadanya supaya tak tergesa-gesa. Bimbang kalau suaminya terpaksa bawa kereta laju-laju untuk sampai awal.

Selepas 1 jam setengah lebih kurang, ibu muda ini dan adiknya sampai dengan seorang bayi.

“Naik apa?”, tanya saya.

“Naik bas kak..”, tersipu malu dia jawab.

“Suami kerja?”, tanya saya.

“Saya tak ada suami…”, jawabnya sambil tertunduk.

“Maaf akak nak tanya, awak belum bernikah?”

IKLAN

Dia menggeleng kepala. Allahu.. Serba salah pula saya melihat dia bersusah payah untuk datang berjumpa saya hari ini.

Saya tahu dia belum makan dan desak dia pergi makan dulu. Apatah lagi dia sudah bertolak dari pukul 7 pagi.

Dia menolak pelawaan saya. Saya terpaksa hulur duit ke tangannya kerana bimbang dia tak cukup duit dan minta izin untuk ambil bayinya (semoga Allah jauhkan saya dari sifat ujub dan riak).

“Pergilah makan dulu. Mesti awak tak makan lagi. Nanti dah makan kita sambung.”

Dia dan adiknya yang berusia 11 tahun tersenyum dan pergi makan di kedai hadapan.
Usai makan, kami teruskan sesi kaunseling.

“Sebab Sayanglah Nak Bagi Susu Ibu”. Walaupun Anak Tak Sah Taraf Saya Tetap Ibunya 

‘Doakan saya dan anak mati’

Ya ibu muda ini telah melahirkan anak tidak sah taraf.

Hidupnya sendiri kerana keluarga malu. Dia kesal dengan apa yang berlaku. Namun dia tak pernah putus asa dalam mencari ilmu demi menyusukan bayinya dengan susu ibu.

IKLAN

“Lelaki tu doakan saya dan anak mati bila saya cari dia untuk bertanggungjawab. Dia dah kahwin pun dengan orang lain..”, jawabnya sambil bergenang air mata.

“Saya nak bagi susu ibu sebab saya sayang anak saya…”

“Nak menuntut ilmu ni 3 kali saya tukar bas dan 3 kali naik grab,” terangnya yang buat saya serba salah. Kalaulah saya tahu sesusah itu si ibu, sudah tentu saya sendiri yang akan melawatnya di rumah.

“Saya jumpa akak melalui Youtube. Saya belajar marmet dari youtube akak. Kemudian saya nampak gambar akak. Saya rasa akak orang yang sama dengan youtube tu. Sebab tu saya nak belajar dengan akak”, ceritanya tentang bagaimana dia boleh menemukan saya.

“Sayang sangat pada lelaki tu?”, tanya saya tiba-tiba.

“Ya sayang. Sebab sayanglah saya buat benda bodoh tu..”

“Setiap titis susu yang keluar tu kena syukuri. Bila kita bersyukur, Allah tambah nikmat. Macam hari ni, susah payah awak datang, awak kena bersyukur sebab tak semua orang dapat gali ilmu macam awak,” terang saya untuk meredakan rasa salah dalam dirinya.

“Jaga anak ni betul-betul. Mana tahu dia akan jadi pejuang agama dan pelindung kepada ibunya nanti..”, beritahu saya pada ibu ini.

IKLAN

Banyak yang kami kongsi bersama tentang penyusuan susu ibu. Dari teknik perahan tangan, teknik perahan dengan pam, posisi penyusuan, lekapan dan lain-lain.

Ibu ini juga aktif dalam group-group penyusuan. Saya perasan juga profilnya tanpa muka dan nama yang pelik juga.

“Memang sengaja guna nama pelik untuk sembunyikan identiti?”, tanya saya kepadanya.

Dia mengangguk sahaja. Pernah dia diminta tukar nama profil facebook itu untuk memasuki group. Rupanya ada sebab mengapa sesetengah ibu ini terpaksa menyembunyikan identiti mereka.

Dia nampak letih dan sugul. Tapi bersemangat waja.

Nampak rindu di wajahnya pada keluarga. Nampak terbeban di bahunya menanggung tanggungjawab itu sendirian. Sungguh bayi yang dikendong itu tidak berdosa. Dan syukurlah dia masih mahu menjaga dan menyusukan bayinya.

Dia sudah kesal dengan apa yang berlaku. Saya yakin dia tak mahu mengulangi kesilapan yang lalu.

Saya kagum dengan semangatnya yang luar biasa.

Dalam sendiri dan tidak bersuami, dalam kepayahan dan tiada kenderaan, dia masih mahu datang dari jauh, dengan naik turun bas dan grab hanya ingin zahirkan rasa cinta dan sayang buat anaknya.

“Saya nak bagi susu ibu sebab saya sayang anak saya…”, kata ibu itu yang menggamit jiwa keibuan saya sebelum dia beransur pulang.

Semoga ibu ini terus tabah dalam menempuh jalan seribu liku.

Sumber: Nad Masrom
Kaunselor Laktasi
Fasilitator Art Therapy in Breastfeeding

**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.

“Sebab Sayanglah Nak Bagi Susu Ibu”. Walaupun Anak Tak Sah Taraf Saya Tetap Ibunya 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI