‘Sepatutnya Januari 2020 Lahir Tapi Ketuban Pecah Awal.’ Kami Reda, Percaya Ada HikmahNya

Share

Biarpun hanya 26 hari menjadi datuk, namun penyanyi Hajimi Ibrahim atau Gmie tetap reda dengan takdir yang sudah ditentukan oleh ALLAH SWT.

Menurut vokalis kumpulan Screen itu, cucu sulung hasil perkahwinan puteri pertamanya, Siti Hadirah bersama Muhammad Ridzzuan, dilahirkan pra matang pada 23 Oktober lalu dan menghembuskan nafas terakhirnya malam semalam.

Bayi yang diberi nama Siti Adinda Raudhah itu sepatutnya lahir pada Januari 2020.

Pecah ketuban awal, paru-paru terlalu kecil

“Anak saya, Hadirah pecah air ketuban ketika berada di rumah kami pada 22 Oktober, jadi bagi mengelakkan bayi lemas kerana air ketuban hampir kering, dia dipaksa bersalin keesokan harinya.

“Selepas dilahirkan, cucu saya terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dengan alat bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun semalam, doktor memaklumkan paru-paru cucu saya terlalu kecil dan oksigen tidak dapat sampai ke otaknya. Jadi pihak hospital tiada pilihan lain dan mencabut alat bantuan pernafasan tersebut,” katanya.

Tambah Gmie, 48, walaupun sedih, namun mereka sekeluarga reda dengan ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT.

Katanya, jenazah Siti Adinda sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Batu 9, Sijangkang, Selangor.

“Anak saya terutamanya memang sedih kerana ini adalah anak sulungnya. Tapi kami tetapi reda dengan ujian ALLAH SWT.

“ALLAH SWT tak akan uji hambaNya di luar kemampuan hambaNya itu. Saya percaya segala ujian ini ada hikmahnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian & ig gmiescreen

IKLAN