Tiada istilah terlambat nak mengajar anak ke arah kebaikan. Jika ibu ayah memainkan peranan yang sebetulnya anak boleh menjadi seorang yang berperibadi tinggi.
Begitu juga dalam soal mengajar anak untuk bersolat. Selagi tak memudaratkan anak, teruslah bimbing walaupun kita rasa usianya dah patut tahu apa yang perlu dibuat.
Perkongsian dari Puan Siti Aminah Sulaiman cukup membantu ibu mendidik cintakan Allah dengan cara yang lembut tanpa paksaan.
“Kenapa kita perlu solat Ibu? Kita tak nampak Allah pun..kenapa kena solat pada sesuatu yang tak nampak?”
Seorang ibu mengadu pada saya soalan anaknya. Anak yang berusia 8 tahun itu keberatan untuk solat.
Terus terngiang-ngiang ditelinga saya suara Ustaz Syaari masa kelas Ibrah Surah Luqman yang lepas
Jawapannya ada dalam Surah Luqman.
Luqman mendidik anaknya mentauhidkan Allah dahulu, kemudian baru anak itu disuruh bersolat.
Kalau kita lihat nasihat Luqman pada anaknya dari ayat 12 ke 17, langsung tak sentuh pasal solat.
Sebelum bersolat, Luqman perintahkan anaknya untuk:
Ads
1) Bersyukur kepada segala nikmat yang Allah berikan.
2) Jangan syirikkan Allah.
3) Buat baik kepada kedua Ibu Bapa
4) Percaya pada perkara yang ghaib iaitu Hari Pembalasan.
Luqman beri analogi perbuatan yang baik atau buruk yang walaupun seberat biji sawi, kemudian ia tersembunyi di celah batu besar. Allah al Khabir mampu untuk keluarkan apa yang tersembunyi itu untuk dihakimi dan dan diberi balasan.
Melalui nasihat Luqman ini, kita boleh bayangkan Islam ini ibarat sebuah pohon.
Ads
AKAR bagi pohon ini ialah pendidikan akidah.
Asas akidah yang perlu kita ajar pada anak ketika usia 0-6 tahun ialah:
siapa Allah?
Iaitu Nama dan Sifat Allah dalam Asma ul Husna
Nikmat Allah yang ada pada tubuh kita dan sekeliling yang boleh anak lihat, rasa dan dengar.
Apabila benih akidah dah berjaya disemai dan menjalar menjadi akar yang kuat, maka akan lahirlah pohon berbatang kuat, berdaun rimbun dan berbuah.
Batang yang kuat ini ialah IBADAH (yang wajib seperti solat, puasa dan lain)
Pentingnya untuk kita sebagai ibu bapa untuk faham perkara ASAS dalam pendidikan anak.
Dalam Fasa Pendidikan anak, Allah perintah kita sebagai ibu bapa untuk suruh anak bersolat pada usia mereka 7 tahun, perintah solat akan jadi mudah jika benih akidah SUDAH DITANAM pada usia 0-6 tahun.
Bagaimana jika kita terlepas untuk semai akidah pada usia 0-6 tahun?
Jangan risau ibu ayah..tiada istilah terlambat untuk anak-anak kita. Rahmat Allah tu luas sekali..bila kita dah faham mengenai perkara ASAS dalam pendidikan anak,
Kita bermula semula dari perkara yang paling BASIC, iaitu bagaimana nak tanam benih dan semai akar yang kuat..tak kisah anak tu umur 8 tahun ke, 15 tahun atau 18 tahun sekalipun.
Ajar semula anak mengenal Allah dan kejadianNya. Anak perlu selalu merasakan kewujudan Allah dan adanya Hari Pembalasan.
Tiada istilah terlambat dalam kembali semula pada Allah. Saya yang dah berumur ni pun sedang belajar semula isi kandungan Al Fatihah..sebab nak lebih khusyuk dalam solat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, squishy toy menjadi antara permainan sensori yang semakin popular dalam kalangan kanak-kanak. Mainan yang diperbuat daripada bahan lembut seperti foam ini boleh dipicit, ditekan dan kembali ke bentuk asal, menjadikannya menyeronokkan untuk dimainkan.
Selain dijual dalam pelbagai bentuk seperti makanan, haiwan dan watak kartun, squishy juga sering dikatakan mampu membantu kanak-kanak mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus serta merangsang perkembangan motor halus. Namun, adakah ia benar-benar memberi manfaat atau mempunyai risiko tertentu?
Berikut ialah penjelasannya berdasarkan pandangan pakar serta organisasi berkaitan mengenai kelebihan, kekurangan dan cara penggunaan yang selamat.
Squishy toy ialah sejenis permainan sensori yang direka menggunakan bahan poliuretana (polyurethane foam) atau bahan lembut lain yang mudah dipicit. Ia biasanya digunakan sebagai alat hiburan, permainan imaginatif dan dalam sesetengah keadaan sebagai alat membantu pengurusan tekanan.
Bagi sesetengah kanak-kanak, aktiviti memicit squishy memberikan rangsangan sensori yang membantu mereka berasa lebih tenang ketika menghadapi situasi tertentu. Walaupun begitu, keberkesanannya bergantung kepada keperluan dan tindak balas setiap individu.
Kanak-kanak juga boleh mengalami tekanan akibat pembelajaran, perubahan rutin atau persekitaran baharu. Memicit squishy memberi rangsangan sentuhan yang membantu sesetengah kanak-kanak berasa lebih tenang.
Walaupun kesannya berbeza bagi setiap individu, ramai ahli terapi pekerjaan menggunakan pelbagai alat sensori sebagai sebahagian daripada aktiviti terapi bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan rangsangan deria tertentu.
Aktiviti menggenggam dan memicit membantu menguatkan otot jari serta koordinasi tangan.
Kemahiran ini penting dalam perkembangan kanak-kanak kerana ia berkait rapat dengan aktiviti seperti menulis, menggunting, mengikat tali kasut, memegang sudu dan melakukan tugasan harian yang memerlukan kawalan pergerakan jari.
Sesetengah kanak-kanak lebih mudah memberi perhatian apabila tangan mereka melakukan aktiviti ringan.
Namun, penggunaan squishy toy ketika belajar perlu dipantau supaya tidak bertukar menjadi gangguan kepada pembelajaran. Penggunaannya lebih sesuai ketika waktu rehat atau sebagai alat sokongan mengikut keperluan individu.
Squishy yang hadir dalam pelbagai bentuk dan warna boleh dijadikan bahan permainan imaginatif.
Kanak-kanak boleh mencipta jalan cerita sendiri, bermain peranan atau belajar mengenali warna, bentuk serta objek harian. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung membantu perkembangan komunikasi dan kemahiran sosial apabila dimainkan bersama ahli keluarga atau rakan.
Sesetengah squishy berkualiti rendah mungkin mengandungi bahan kimia atau mengeluarkan bau yang kuat. Oleh itu, ibu bapa disarankan memilih produk yang mematuhi piawaian keselamatan serta dibeli daripada penjual yang dipercayai.
Jika mainan mengeluarkan bau yang terlalu kuat atau menyebabkan iritasi pada kulit, hentikan penggunaannya serta-merta.
Squishy bersaiz kecil atau yang mempunyai bahagian mudah tertanggal boleh menjadi risiko tercekik, terutama kepada kanak-kanak berumur bawah tiga tahun.
Pastikan mainan dipilih mengikut umur yang disyorkan oleh pengeluar dan sentiasa diawasi ketika digunakan.
Squishy boleh koyak, kehilangan bentuk asal atau berkulat jika kerap dibasahkan dan tidak dikeringkan dengan sempurna.
Jika permukaannya rosak atau isi di dalamnya terkeluar, mainan tersebut perlu dibuang bagi mengelakkan risiko kepada kanak-kanak.
Secara keseluruhannya, squishy toy boleh memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak jika digunakan dengan cara yang betul dan di bawah pemantauan ibu bapa. Ia mampu membantu perkembangan motor halus, memberi rangsangan sensori, mengurangkan tekanan bagi sesetengah kanak-kanak serta menggalakkan kreativiti.
Walau bagaimanapun, aspek keselamatan tidak boleh diabaikan. Memilih produk yang berkualiti, mematuhi had umur yang disyorkan serta memeriksa keadaan mainan secara berkala merupakan langkah terbaik bagi memastikan pengalaman bermain kekal menyeronokkan dan selamat.
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak lelaki kasar & ganas, kaunselor dedahkan ini mungkin puncanya. Selalu disekat jangan menangis dan melepaskan rasa kecewa membuatkan mereka bersikap bengis dan mudah marah.
Puan Farhan yang berpengalaman sebagai kaunselor dan ibu kepada dua anak memberikan pendapatnya punca anak lelaki menjadi kasar, kurang sopan dan boleh melakukan perkara-perkara yang ganas. Alasan ‘dia kan anak lelaki’ tidak boleh diguna pakai dalam mendidik untuk melahirkan generasi lelaki yang sopan dan berakhlak.
Berikut ialah perkongsian beliau;
Anak lelaki, biasalah tu…..
Dalam masyarakat kita, anak lelaki itu harus dikenali sebagai anak yang kuat, tidak menangis dan tahan lasak. Kalau anak lelaki kasar atau ganas sikit tu, eh itu biasa.
Boys will be boys. Gitu kan.
Sementara anak perempuan pula terbalik. Anak perempuan itu harusnya lemah lembut. Anak perempuan menangis ok, kira fitrah perempuan sememangnya manja. Kalau anak perempuan kasar sikit je, biasa orang tua tua akan cakap apa tau
“Macam budak lelaki lah anak kamu ni, kasar sungguh”
Tapi kan, saya sebenarnya kurang bersetuju lah dengan idea di mana anak lelaki itu dianggap normal jika sedikit kasar dan ganas.
ANAK LELAKI PERLU DIDIDIK DENGAN BAIK
Saya kalau boleh mahu anak lelaki saya menjadi seorang lelaki yang membesar menjadi lelaki yang mempunyai jiwa yang halus, baik akhlaknya, lembut tutur kata, sopan tindakannya dan dalam masa yang sama dia tegas bertempat.
Saya tidak mahu anak lelaki saya membesar menjadi anak lelaki yang mempunyai sifat yang kasar, suka naik tangan tatkala amarahnya menggunung.
Saya juga tidak mahu anak lelaki yang bercakap dengan kata kata yang kurang manis. Dalam masyarakat kita, anak lelaki kalau mencarut tidak nampak anehnya, cuba kalau anak perempuan melakukan hal yang sama tentu saja dia akan dimarahi.
Saya juga tidak mahu anak lelaki saya itu mempunyai sifat keras, sentiasa mahu menang dan sukar untuk beralah untuk mengakui silapnya.
“ANAK LELAKI, BIASALAH TU” TIDAK BOLEH DIPAKAI LAGI
Saya cukup tidak suka dan allergic bila dengar ayat “Anak lelaki biasa lah tu…”
Hanya kerana dia membesar sebagai anak lelaki, itu tidak menjadikan alasan yang kukuh untuk mereka mempunyai sifat yang kurang baik seperti yang saya nyatakan di atas.
BERI KEBEBASAN ANAK LELAKI LEPASKAN PERASAANNYA
Saya juga mahu anak lelaki saya itu bebas melepaskan perasaanya. Kalau anak saya mahu menangis, saya tidak akan meremehkan perasaanya, hanya kerana dia lelaki. Anak lelaki saya juga berhak untuk menangis dan melepaskan perasaanya saat dia sedang kecewa ataupun bersedih.
Saya ada membaca kajian di mana, antara punca lelaki itu mempunyai sifat yang ganas adalah kerana mereka itu tidak dapat melepaskan perasaanya saat dia perlukan. Ketika sedih dan kecewa dia terpaksa menahan diri dari menangis.
Takut dipandang lemah.
Takut dipandang sinis.
Sebenarnya, itu semua akhirnya akan menjadikan itu menjadi ganas dan kasar. Jadi tak pelik lah kalau anda lihat ada lelaki yang bila orang silap sikit dengan dia, mulalah dia nak tampar dan jerkah.
BIASAKAN ANAK LELAKI DENGAN KERJA URUS RUMAH
Saya juga mahu ajar anak lelaki saya untuk melakukan kerja rumah sama seperti kakaknya. Walaupun anak saya lelaki, dia tidak ada keistimewaan untuk bersenang lenang dan bergoyang kaki. Anak lelaki juga berhak untuk belajar menguruskan rumah tangganya kelak.
Saya tidak suka dengan idea di mana anak lelaki, tidak apalah kalau tidak pandai masak pun. Yang penting perempuan wajib kena pandai masak.
Saya mahu anak lelaki saya itu menjadi anak lelaki yang tahu bahawa tanggungjawabnya sama sahaja dengan anak perempuan. Tidak ada bezanya.
ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN SAMA-SAMA ISTIMEWA
Hanya kerana anak kita lelaki, tidak bermakna dia mempunyai keistimewaan lebih dari anak perempuan.
Kalau ibu dan ayah percaya anak lelaki anda itu boleh menjadi anak yang lembut, baik tutur katanya, pandai menguruskan kerja rumah. Pada akhirnya itulah resultnya.
Tapi kalau ibu dan ayah percaya bahawa anak lelaki and itu memang dilahirkan dengan sifat kasar, keras,tidak pandai express feeling dan tidak boleh menguruskan hal rumah. Maka resultnya begitulah pada akhirnya hasilnya.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.