“Bagusnya anak aku ni, kenapalah anak aku yang sorang lagi ni tak macam kakak dia”. Ingat jangan membanding dan beza anak-anak!
Sebenarnya ramai yang merasakan ibu bapa mereka selalu mendahulukan adik-beradik lain, mereka selalu di marah, selalu lebihkan adik beradik lain dan selalu tak gembira dengan kehadiran mereka ini.
Mungkin anak-anak yang lain lebih rajin, lebih pandai dari anak yang dipinggirkan ataupun faktor jantina iaitu sebagai contoh, ibu bapa mereka lebih cenderung untuk memanjakan anak lelaki atau anak perempuan mereka. Lagi-lagi anak kecil, cepatlah sentap, kalau ibu bapa dia selalu lebihkan adik-beradik yang lain.
Antara 4 faktor yang menjadi punca ibu bapa pilih kasih :
1) Anak Kebanggaan
Dalam ramai-ramai anak pasti ada salah seorang yang sangat membanggakan daripada ibu bapa. Selalunya anak yang belajar pandai, jaguh sukan atau pandai mengaji akan jadi anak kebanggaan.
Ads
Tetapi perlu ingat! Anak-anak lain ada kelebihan juga tau. Mungkin bukan dalam akademik tapi dalam kelebihan mereka sendiri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu.
2) Anak Yang Tidak Sihat
Anak yang tidak sihat selalu mendapat perhatian lebih malah ada yang beri sepenuh perhatian pada mereka ini sehingga mengabaikan anak yang sihat.
Anak yang sihat pun boleh jatuh sakit kalau di abaikan selalu. Sakit atau tidak setiap anak perlu perhatian dan kasih sayang ibu bapa mereka. Dapatkan bantuan dan adil lah dalam mengagihkan kasih sayang.
3) Anak Rajin
Anak yang rajin tolong ibu bapa semestinya ibu bapa akan sayang sangat sebabnya mereka ni meringankan beban ibu bapa. Ibu bapa cenderung mempercayai anak yang rajin sehingga tak percaya langsung anak-anak yang lain.
Ads
Pernah terfikir tak yang anak-anak lain mungkin bukan pemalas nak membantu tapi mereka masih menunggu dapat kepercayaan dari ibu bapa sendiri. Beri kepercayaan seadil yang boleh supaya tiada yang rasa tidak di percayai.
4) Anak Bongsu
Anak bongsu memang selalu dapat perhatian lebih. Maklumlah yang paling muda dan anak terakhir sekali, jadi sayangnya lebih. Perhatian pun berlebih lebih, sehingga banyak anak bongsu jadi terlampau manja.
Ads
Waspada bila abang/kakak dah mula anggap adik dia sebagai ancaman kerana sikap iri hati dan cemburu tu pasti akan hadir dalam diri anak-anak. Saya percaya tiada ibu bapa yang mahu anak-anaknya saling bermusuhan.
Jika setiap anak-anak itu ibu boleh mengandungkan sama 9 bulan 10 hari, kenapa setelah lahir mahu di beza-bezakan kasih sayang dan perhatiannya.
Sesungguhnya cinta seorang ibu menyejukkan hati, cinta seorang ayah mententeramkan jiwa.
Sumber: Mohd Fhais
Saya percaya tiada ibubapa yang suka bila anak membandingkan kita dengan ibubapa lain.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup berumah tangga ada pasang surutnya. Sesekali kita perlu ‘menerima’ tetapi ada waktunya kita harus ‘memberi’. Bukan isteri sahaja, bahkan suami pun harus berusaha sama-sama untuk mencipta rumah tangga yang harmoni. Kenalah saling bekerjasama dalam semua hal.
Bila hal melibatkan emosi, suami selalu rasa isteri berlebih-lebihan, hakikatnya isteri tak inginkan hal yang berpanjangan. Ada waktunya mood isteri bercelaru. Masalah di tempat kerja yang membuatkan dia buntu juga masalah dengan rakan sekeliling. Bila isteri luahkan perasaannya, janganlah buat tak layan. Isteri sebenarnya tidak meminta lebih, dia hanya mahukan suami mendengar dan tunjukkan dia jalan, apa yang harus dia lakukan. Itu sahaja.
Namun perkongsian daripada Encik Muhammad Yusof ini boleh juga kita jadikan panduan dalam hidup berumah tangga. Saling mendengar dan mencipta komunikasi yang baik adalah perkara yang begitu penting dalam rumah tangga. Ini sebaiknya yang kita lakukan.
Hari tu aku ada singgah solat Zuhur kat sebuah masjid. Abis ambil wuduk aku tengok ada sorang mat bangla tengah sembahyang. Muda lagi sembahyang siap pakai key ikat kat kepala. Aku pun takbir dan dia pun jadi imam aku tapi itulah dia sembahyang jenis laju sikit. Mujur dia dah tahiyat akhir dah.
Lepas habis sembahyang aku tengok dia tengah duduk kat kerusi yang ada kat tepi masjid. Depan dia ada sebuah basikal. Atas basikal tu ada mesin rumput. ‘Oh, keje mesin rumput rupanya..’ aku kata dalam hati.
Aku pun dok sebelah sebelah dia nak pakai kasut. Dan, dan time tu dia kata ‘Abang, Allah maha kuasa, makhluk takda kuasa..’ slang bangla.
Aku angguk. Tiba-tiba telefon dia bunyi. ‘Sikijap abang, bini ada telepon..’. Aku nampak dia tak angkat pun call tu mungkin dia reject call tapi lepas tu dia call semula bini dia. Pom pang, pom pang aku dengar suara dia cakap dengan bini. Muka ada sinyum, aku nampak.
Habis dia call, dia kata kat aku: ‘Bini ada telefon. Bini ada bangla. Saiya duduk Malaysia kumpul duit. Tahun depan mahu haji pirgi sama bini..’ slang bangla.
Allah, Allah. Hebat betul mat bangla ni.
Walaupun kerja potong rumput je, kerja pulak naik basikal tengah-tengah panas tapi dia solat kat masjid. Lepas tu, siap tanam azam nak pergi haji dengan bini. Kita yang ada kereta selesa, motor power pun belum tentu dapat solat kat masjid kan? Simpanan kat tabung haji pun kejap masuk, kejap keluar kan? Allahu
Satu benda lagi penting yang aku belajar ialah bagaimana pentingnya KOMUNIKASI dalam perhubungan. Ya, komunikasi adalah salah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah perhubungan suami dan isteri.
Kita sebagai suami kenalah tunjukkan rasa kasih sayang kat isteri kita sebagai teman hidup yang paling dekat. Orang kata isteri ni ialah teman sehidup, teman semati.
Kadang-kadang dengan kawan punyalah kita boleh sembang rancak tapi bila bini ajak sembang, kita buat tak dengar je. Ataupun kita main henset. Kesian kat bini kan?
Cuba fikir bila agaknya last korang ucapkan kalimah cinta kat isteri? Mungkin awal-awal kawen kita rajin dok ucap tapi masuk tahun ke lima tahun ke enam ucapan ‘I Love U’ ni hilang entah kemana.
Ucapan ‘I Love U’ ni walaupun ringkas tapi amat bermakna pada isteri. Percayalah cakap aku.
So, pada suami bukan susah pun zaman lani dengan teknologi whatsup, telegram, pergi la ambil henset taip je kat isteri ‘I Love U’.
Percayalah bila bini korang baca mesej korang, mesti dia akan senyum lebar. Betul tak isteri-isteri?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development).
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament).
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami juga kecenderungan anak.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Mendidik anak solat sememangnya memerlukan kesabaran, namun trik dan pendekatan yang digunakan ibu ini sememangnya berbeza. Bukan ketika usia anak lima tahun tetapi sejak usia anaknya berusia dua tahun lagi, anak-anak sudah didedahkan akan kepentingan untuk menunaikan tanggunggjawab sebagai umat Islam.
Pendekatan paksa namun dengan cara cukup berbeza. Ini yang dikongsikan oleh Pn Nora Karim. Semoga trik dan tip yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama.
Alisya menyarung stoking berwarna pink ke kaki kanannya. Air mata masih menitis, bersama wuduknya. Sedu sedan, masih berbaki. Dalam marah dan rajuk, dia akur dipaksa solat zuhur.
Paksa? Ya, saya paksa dia untuk solat. Walaupun ketika itu usianya baru lima tahun. Belum baligh. Belum wajib solat.
Saya ingat lagi, bagaimana dia menangis sehingga merah matanya, kerana saya menyuruhnya solat di surau ketika kami berada di pusat membeli belah.
Ketika itu saya tidak boleh solat. Tetapi saya memimpin tangannya ke surau dan menyuruhnya solat.
“Mama?” soalnya kepada saya.
“Mama cuti hari ni. Alisya solat. Mama tunggu dekat sini,” jawab saya. Dia tak puas hati dan mula menangis.
Puas dipujuk, namun dia terus menangis. Akhirnya saya meletakkan sejumlah wang di tapak tangan kanannya dan dia boleh beli apa saja dengan wang yang saya berikan itu. Jumlahnya tak banyak cuma RM10.
“Allahuakbar,” bahunya tergerak-gerak menahan esak. Solat dengan sisa-sisa air mata.
“Assalamualaikum warahmatullah… assalamualaikum warahmatullah…,” sambil memalingkan kepalanya ke kanan dan kiri.
Alhamdulillah. Cukup empat rakaat!
“Boleh kita singgah Daiso? Alisya nak tengok barang dekat sana,” pintanya sambil membuka stoking pinknya dan menggenggam erat duit RM10, ‘upah solat tadi’.
“Ok, boleh. Jom!” Saya memimpin tangannya keluar dari surau.
“Ini… bukan upah solat tau. Tapi ini, Allah bagi rezeki untuk Alisya. Allah bagi Alisya, tapi melalui Mama,” sambung saya lagi, sambil menunjukkan duit RM10 yang digenggam erat ditangan kanannya.
“Mama bangga sebab Alisya solat zuhur. Allah mesti sayang Alisya. Good job Alisya,” puji saya sambil berHi-5 dengannya.
Dia memandang saya dengan senyuman. Tiada lagi air mata. Hanya wajah ceria. Mungkin dikepalanya dah terfikir apa yang hendak dibeli nanti.
Itu kisah enam tahun lalu, sekarang tiada lagi drama air mata bila disuruh solat. Kadang-kadang bila saya terleka, dialah yang akan tanya, sama ada saya dah solat atau belum. Kalau saya tertidur pun, dia akan kejutkan dan tanya sama ada saya dah solat atau belum.
Upah solat? Tak, sekali tu je saya bagi dia RM10. Tapi jika dengan ‘upah’ tu anak-anak nak solat, maka raikanlah. Biasanya anak-anak yang bawah 12 tahun, mereka suka buat sesuatu untuk dapatkan ganjaran atau upah. Jadi tak salah pun kita nak beri ganjaran, tapi dalam masa yang sama, beritahu mereka, solat bukan untuk duit atau mainan. Nanti lama-lama mereka faham.
Tip & trik didik anak solat
Apa yang saya buat sejak Faris dan Alisya kecil, adalah seperti berikut:
1. Setiap kali nak solat, letak anak di sebelah sejadah. Buat sejak anak bayi lagi. Saya perasan Faris dan Alisya, mereka boleh duduk diam jika kami singgah solat di surau atau masjid.
2. Fasa paling awal adalah mengajar anak-anak untuk meniru pergerakan solat kita. Tentang bacaan, boleh dikuatkan sedikit supaya anak-anak tahu pada setiap pergerakan tersebut, adanya bacaan-bacaan tertentu.
3. Belikan buku panduan solat untuk anak-anak. Saya beli buku solat Upin Ipin ni, sebab masa kecil mereka suka sangat dengan Upin Ipin. Eh, sampai sekarang pun mereka masih suka Upin Ipin. 😅 Buku solat ni masih digunakan sehingga kini sebagai rujukan dalam memperbetulkan bacaan.
4. Beri ‘kuasa’ kepada anak-anak untuk memilih telekung, kain pelekat dan sejadah kegemaran mereka sendiri. Biasanya bila dipilih sendiri, mereka akan rasa teruja untuk memakainya. Kadang-kadang Alisya suka pakai telekung warna sedondon dengan saya.
5. Setiap kali kita nak solat, ajak anak-anak sekali, kalau mereka tak nak solat pun, pujuk mereka untuk duduk sebelah kita. Lama kelamaan, daripada duduk saja, mereka akan mula perhati dan kemudiannya akan ikut.
6. Sekali sekala bila anak-anak tengah main tu, buat game. Contoh, “siapa tahu, rukuk tu apa?” (galakkan mereka untuk tunjukkan cara rukuk. Masa ni tugas kita adalah membetulkan cara rukuk dan semak bacaan ketika rukuk.) Anak-anak ni sebenarnya lebih cepat ‘tangkap’ sesuatu yang kita ajar tu ketika mereka sedang bermain. Buat santai-santai je. Tak perlu lama.
7. Kaedah ‘pohon solat’ pun sebenarnya banyak membantu saya dan Alisya untuk jadualkan waktu solat. Selain tentang rutin solat itu sendiri, ada banyak cerita dari sebatang pokok tu untuk kita ambil ibrah, boleh cerita pada anak-anak.
Inilah tujuh tips yang saya lakukan ketika perkenalkan tentang rutin solat pada Faris dan Alisya, seawal mereka berusia dua tahun.
Nora Karim Benarlah anak-anak mudah dilentur, ketika usianya masih kecil.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!