Bayi kerap meragam selalu dikaitkan dengan ‘gangguan’ tapi benarkah dakwaan itu? Pakar kata bayi menangis kerana masalah kolik bayi. Ikuti penjelasannya dalam artikel ini.

Bayi Kerap Menangis Bukan Sebab Ada Gangguan, Ini Penjelasan Saintifik & 16 Cara Pujuk Si Manja

Memahami apa itu kolik 

Bagaimana untuk tahu bayi menangis bukan kerana gangguan, sebaliknya disebabkan kolik bayi?

Kolik adalah ketika bayi yang sihat menangis lebih lama daripada biasa.

Ya, sudah tentu semua bayi akan menangis. Itu merupakan cara terbaik, malahan satu-satunya kaedah untuk mereka berkomunikasi menyampaikan ketidakselesaan mereka tentang sesuatu perkara.

Doktor biasanya akan mendiagnosis bayi menangis sebagai kolik berdasarkan 3 tanda, iaitu:

  1. Bayi anda menangis sekurang-kurangnya 3 jam sehari.
  2. Bayi menangis sekurang-kurangnya 3x seminggu.
  3. Tangisan yang berlaku berlanjutan untuk tempoh 3 minggu berturut-turut

Bayi dengan kolik, akan menangis secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab. Lebih memilukan, tiada rawatan yang terbukti berkesan untuk mencegahnya.

Masalah kolik yang terjadi tidak bermakna si manja anda mempunyai masalah kesihatan. Biasanya keadaan ini akan beransur hilang seiring dengan peningkatan usia si kecil.

Bayi menangis, bila ia bermula & berakhir

Serangan kolik bermula apabila bayi berusia 2 hingga 3 minggu (lebih lewat untuk bayi pramatang).

Kemuncaknya adalah apabila usia bayi mencapai 6 minggu dan akan berkurangan pada minggu ke-10 hingga 12.

Menjelang usia 3 bulan (biasanya akan sedikit lambat bagi si kecil dengan kelahiran pramatang), masalah kolik bayi akan hilang secara ajaib.

Kolik yang dialami mungkin hilang secara tiba-tiba atau berhenti secara beransur-ansur.

Kenal pasti simptom dan tanda

Selain 3 peraturan doktor di atas, berikut adalah beberapa simptom dan tanda kolik bayi yang boleh anda kenal pasti:

  • Bayi menangis berlaku pada waktu yang sama setiap hari. Biasanya pada lewat petang atau awal senja
  • Tangisan terjadi tanpa sebarang sebab yang boleh dikenal pasti seperti lampin kotor atau rasa lapar mahupun mengantuk
  • Bayi akan melakukan pergerakan kaki dan tangan yang lebih banyak daripada kebiasaannya
  • Ekspresi muka yang berubah-ubah, seperti menutup mata dan membukanya dengan luas, mengerutkan kening serta menahan sebentar pernafasan
  • Aktiviti usus yang meningkat. Bayi anda mungkin lebih kerap mengeluarkan gas atau mengeluarkan air liurnya
  • Aktiviti makan dan tidur terganggu disebabkan tangisan. Bayi akan panik mencari puting susu tetapi menolaknya sebaik hisapan bermula dan kembali menangis dengan kuat

Punca bayi menangis disebabkan kolik

Punca sebenar masalah kolik masih lagi misteri. Namun berikut adalah beberapa teori yang mungkin jadi penyebab berlakunya tangisan kolik:

  1. Deria berlebihan

Menjelang akhir bulan pertama selepas kelahiran, bayi akan menjadi lebih peka terhadap rangsangan persekitarannya.

Dengan begitu banyak rangsangan dan sensasi yang muncul, menyebabkan mereka sukar mengendalikan keadaan tersebut.

  1. Sistem pencernaan

Mencerna makanan adalah tugas besar bagi sistem gastrousus bayi yang masih baru.

Akibatnya, makanan akan melalui saluran usus dengan cepat dan tidak dapat dicerna dengan sepenuhnya.

  1. Asid refluks bayi

Penyelidikan mendapati gastroesophageal reflux disease (GERD), boleh mencetuskan keadaan kolik bayi.

Keadaan itu mencegah asid perut mengalir ke kerongkong serta mulut dan merengsakan esofagus.

  1. Alahan makanan

Ada pakar percaya episod kolik terjadi disebabkan oleh alahan kepada protein susu lembu atau intoleransi laktosa pada bayi yang diberikan susu formula.

Untuk kes jarang berlaku, kolik juga boleh terjadi disebabkan reaksi terhadap makanan tertentu dalam diet pemakanan ibu yang menyusukan bayi.

  1. Pendedahan kepada tembakau

Kajian menunjukkan wanita merokok semasa atau selepas kehamilan cenderung mempunyai bayi dengan kolik.

Walaupun masih tidak jelas kaitan antara asap rokok dan kolik, tetapi bukankah bagus jika ibu mengandung menjaga kesihatan dengan baik?

Mengatasi kolik bayi

Tiada rawatan dapat menghilangkan kolik, tetapi ada cara untuk membantu meredakan keadaan bayi menangis.

  1. Pastikan bayi tidak lapar.
  2. Keadaan lampin bayi sentiasa bersih.
  3. Cuba untuk sendawakan bayi dengan lebih kerap semasa atau selepas penyusuan.
  4. Jika si comel menyusu menggunakan botol, cuba tukar botol lain yang lebih sesuai.
  5. Tanyakan pendapat doktor jika menukar susu formula boleh membantu.
  6. Sesetengah ibu mengehadkan pengambilan kafein, tenusu, kacang soya, telur atau gandum dalam diet harian dan ia berkesan menghalang kolik bayi.
  7. Dodoikan bayi.
  8. Bernyanyi atau berbual dengan si manja.
  9. Bawa bayi menaiki kereta sorong.
  10. Mendakap bayi secara rapat ke badan dan bernafas secara perlahan-lahan.
  11. Berikan si manja mandian suam yang menyelesakan.
  12. Sambil mendukung anak, lakukan urutan perlahan di belakang badan bayi.
  13. Letakkan bayi secara meniarap pada pangkuan anda dan urutkan si manja dengan perlahan.
  14. Letakkan bayi di dalam buaian dan lakukan gerakan yang menenangkan.
  15. Letak bayi di dalam kerusi keselamatan bayi jika bawa mereka berjalan-jalan dalam kereta.
  16. Mainkan muzik. Anda juga boleh membuat bunyi ‘sshhh’ dengan perlahan bersama henjutan badan.

Akan berakhir…

Untuk kepastian, lakukan pemeriksaan doktor. Ini dapat membantu anda menentukan keadaan sebenar si manja.

Anda perlu sentiasa ingat bahawa keadaan ini akan berakhir, jadi bersabarlah mommies sekalian.

Kredit: Hello Doktor

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI