Naluri setiap ibu selepas bersalin adalah untuk menyusukan bayinya. Kerap kali saya berjumpa dengan ibu-ibu yang sangat bermotivasi sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayinya sebaik sahaja selepas kelahiran. Akan tetapi ada yang mengatakan ‘Bayi saya tidak suka pada susu saya’ ataupun ‘Bayi saya tidak mahu menyusu’.
Ini akan menyebabkan ibu merasa tertekan kerana memikirkan bahawa bayi tidak mahukannya dan tidak suka pada susunya. Ada ibu yang akan mengatakan bayi berada dalam proses bercerai susu, walhal ini jarang berlaku di kalangan bayi yang berumur kurang dari satu tahun.
Secara lazimnya, ada sebab mengapa bayi enggan menyusu walaupun di peringkat awal kelahiran dan adalah penting untuk kita cuba mengetahui apa puncanya. Apabila sesuatu punca itu diketahui, barulah masalah itu lebih mudah untuk diatasi.
Apakah punca-punca yang menyebabkan bayi enggan menyusu selepas kelahiran?
1. Ubatan yang diterima oleh ibu semasa proses bersalin seperti ubat bius dan epidural. Ubat ini akan membuat bayi mengantuk dan enggan menyusu.
2. Bayi diasingkan dari ibu sejurus selepas lahir dan tidak mendapat sentuhan kulit ke kulit.
3. Masalah di bahagian mulut bayi seperti cleft palate dan tongue tie.
4. Masalah pelekapan disebabkan oleh puting ibu yang tenggelam, rata atau terlalu besar.
5. Posisi yang tidak betul menyebabkan bayi yang tidak selesa apabila menyusu
6. Bayi yang lemah seperti bayi pramatang, hypothyroid atau kurang gula di dalam darah
Ada juga segelintir bayi yang pada peringkat awalnya dapat menyusu dengan baik, tetapi lama kelamaan selepas beberapa bulan akan menolak apabila hendak disusukan oleh ibunya. Kadang kala, bayi akan menyusu sekejap, kemudian akan berhenti dan menangis seperti tidak mahu disusukan lagi. Ini dinamakan Mogok Menyusu ataupun ‘Nursing Strike’. Ini sebenarnya adalah cara bayi untuk memberitahu ibunya yang dia mempunyai masalah tertentu. Jadi ibu perlu cuba menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini.
Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.
Ads
1. Punca dari susu ibu seperti susu kurang atau terlalu laju, rasa susu yang berubah kerana ibu mengalami Mastitis, datang haid, mengandung dan pengambilan sesetengah jenis ubat.
2. Masalah di bahagian mulut bayi seperti pertumbuhan gigi, jangkitan kulat (candida) atau ulser
3. Masalah perubatan bayi seperti infeksi di bahagian telinga, selsema atau reflux yang menyebabkan bayi tidak selesa untuk menyusu.
4. Keliru puting kerana diberi puting tiruan
5. Bayi sensitif dengan pemakaian minyak wangi atau lotion di bahagian dada ibu yang boleh mengakibatkan bayi kurang berminat untuk menyusu.
6. Bayi merasa takut dengan reaksi ibu sekiranya ibu pernah menunjukkan perasaan takut dan terkejut apabila putingnya pernah digigit oleh bayi sebelum ini
7. Proses perkembangan bayi-Bayi yang berumur enam ke sembilan bulan lebih mudah beralih perhatian dengan persekitaran atau mahukan perhatian ibu sepenuhnya
8. Rutin bayi telah terganggu kerana ibu berpindah rumah atau kembali bekerja.
9. Bayi berpisah dari ibu untuk jangkamasa panjang yang luar biasa.
Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan bayinya. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, dengan mempraktikkan beberapa teknik, kita boleh melatih bayi kita untuk kembali menyusu. Ia memerlukan sedikit masa, kesabaran dan kasih sayang. Ada bayi yang akan mengambil masa beberapa hari dan ada juga hingga satu ke dua bulan untuk mendapatkan lekapan yang terbaik.
Ingat, bayi tidak boleh dipaksa untuk menyusu kerana ia akan menyebabkan stress kepada bayi dan bayi akan lebih enggan untuk menyusu.
Percayalah! Selepas proses penyusuan menjadi lebih baik, penghasilan susu akan menjadi lebih lancar dan bayi akan mempunyai kepercayaan untuk meneruskan penyusuan dan bayi akan menjadi lebih sabar apabila melekap ataupun ‘latching’.
Apakah tips yang boleh dipraktikkan untuk membuat bayi lebih mahu untuk menyusu badan?
Ads
1. Memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit atau ‘Skin to Skin Contact’
• Sentuhan kulit ke kulit bermakna bayi diletakkan telanjang di atas dada ibu yang terdedah. Satu selimut digunakan untuk menutup kulit keduanya.
• Sentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat membantu proses penyusuan, malah ia juga dapat membantu dengan kenaikan berat badan bayi itu. Luangkan masa bersama bayi semasa penyusuan walaupun penyusuan itu tidak berjaya, dan juga selepas penyusuan.
• Ini akan membuatkan bayi lebih gembira sebelum dia melelapkan mata dan apabila bangun dari tidur. Dengan berada bersama bayi sepanjang masa, ibu akan dapat menyusu bayi sejurus selepas bayi menunjukkan ‘feeding cues’ ataupun tanda-tanda pra penyusuan seperti pembukaan mulut, tangan bayi di dalam mulutnya dan kepala menoleh ke kiri dan kanan.
2. Penyusuan yang kerap
• Tawarkan bayi payudara setiap kali ada peluang untuk memberi ‘comfort’ ataupun kepuasan kepada bayi seperti sebelum bayi tidur atau sejurus selepas bayi bangun dari tidur. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk.
• Sekiranya payudara terlalu bengkak, perah susu terlebih dahulu untuk membantu bayi melekap dengan lebih baik pada payudara.
3. Dengan memakai baju menyusu ataupun ‘Nursing Friendly’
• Pemakaian yang sesuai untuk penyusuan ataupun ‘Nursing Friendly’ akan memberi akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu dan menjimatkan masa apabila memulakan penyusuan. Bayi boleh hilang kesabaran apabila ibu mengambil masa untuk memperbetulkan baju dan pakaian dalam sebelum menyusu dan ini boleh menggangu proses penyusuan yang sempurna.
4. Dapatkan posisi dan persekitaran yang sesuai
• Dapatkan tempat kegemaran dan juga posisi penyusuan kegemaran bayi anda. Ada bayi yang gemar menyusu dalam posisi baring dan ada yang gemar dalam posisi pegangan buaian atau silang tangan. Anda boleh mencari bilik atau sudut yang bercahaya malap dan pasangkan muzik atau alunan Zikrullah yang menenangkan. Elakkan dari gangguan bunyi bising dari televisyen, radio, alat permainan atau anak yang lain. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali.
• Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri.
5. Bersabar dan hindarkan dari memberi tekanan kepada bayi untuk menyusu
• Apabila bayi seolah-olah enggan untuk menyusu dan merajuk, elakkan dari menolak kepala bayi ke payudara untuk memaksakan penyusuan. Sekiranya bayi seakan-akan sudah hilang sabar, jangan memaksa bayi untuk melekap ke payudara tetapi banyakkan sentuhan kulit ke kulit supaya bayi dan ibu akan lebih tenang. Cuba jangan tunjukkan perasaan bengang dan marah anda. Apabila bayi mula menunjuk tanda-tanda pra-penyusuan, ibu boleh mencuba lagi.
Ads
6. Tidur berhampiran dengan bayi
• Ini akan menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan bayi akan mendapat akses yang lebih mudah untuk menyusu. Tetapi ingat, berkongsi katil dengan bayi ada risiko untuk ‘SIDS’ ataupun Sindrom Kematian Bayi Mengejut. Adalah lebih baik untuk bayi tidur dalam kot atau katil bayi dalam bilik yang sama dengan ibu.
• Apabila bayi tidur di dalam katilnya sendiri tetapi di dalam bilik yang sama dengan ibu, ibu akan dapat menyusu bayi dengan segera iaitu sejurus sahaja selepas bayi menunjukkan tanda para penyusuan atau ‘feeding cues’ dan lebih mudah untuk menyusu pada waktu malam.
• Jangan beri bayi anda puting tiruan.
7. Teknik ‘ Ganjaran serta merta’ ataupun ‘Instant Reward’
• Teknik ini adalah untuk melatih bayi untuk mempelajari bahawa lekapan ke payudara adalah cara untuk mendapatkan susu. Ibu boleh menggunakan mana-mana cara yang sesuai.
i. Perah susu secara manual dengan tangan atau dengan pam sehingga merasa ‘let down’ sebelum bayi melekap pada payudara
ii. Jika ibu menggunakan Pelindung Puting ataupun ‘Nipple Shield’, isikan di bahagian puting dengan susu sebelum bayi melekap
iii. Titiskan susu ibu pada puting ibu di sudut mulut bayi semasa bayi sedang melekap dengan menggunakan dropper atau picagari
iv. Dengan menggunakan ‘Supplemental Nursing System (SNS)’
Sekiranya bayi masih enggan menyusu, cuba beri bayi susu ibu yang diperah (EBM ) dengan menggunakan cawan yang kecil atau sudu. Kemudian, bawalah bayi berjumpa dengan doktor untuk memastikan bayi anda sihat.
Adalah penting untuk membawa bayi yang tidak sihat berjumpa dengan doktor bagi dapatkan juga rawatan yang sesuai untuk bayi dan posisi penyusuan yang terbaik untuk bayi yang sedang berada dalam kesakitan.
Ibu juga perlu sentiasa memerah susu bagi memastikan bekalan susu tidak terputus selagi bayi masih enggan untuk menyusu.
Saya sering mengingatkan ibu-ibu bahawa sifat bayi untuk enggan menyusu ini adalah sementara sahaja. Dengan mengenal pasti punca mengapa bayi enggan menyusu dan sekiranya ibu juga berkomited untuk meneruskan penyusuan dan juga mendapat sokongan dari ahli keluarga, InsyaAllah ibu akan berjaya.
Perkembangan fizikal dan mental setiap kanak-kanak memang berbeza. Justeru bukan senang untuk membezakan si kecil yang mungkin seorang anak autisme. Seperti perkongsian yang dibuat oleh Doktor Redza Zainol di Facebook miliknya.
Cerita tentang seorang ibu yang berkongsi perihal anaknya yang pada mulanya disangkakan tiada masalah, namun akhirnya terjawab bahawa anaknya itu adalah anak autisme.
Anak yang dianggap kebal dan tak pernah menangis itu juga tidak pernah menuturkan kata-kata. Menyebabkan ibunya kepingin sekali mendengar suara dari anak tersayang. cukup meruntun hati. Akhirnya ibu ini nekad mencari jawapan dan akhirnya anaknya didiagnos sebagai anak autisme.
Dr. Redza juga turut berkongsi tanda-tanda awal autisme untuk ibu bapa lain lebih peka dengan perkembangan tumbesaran anak-anak. Bila dapat dikesan dengan awal, anak-anak istimewa ini juga dapat dibantu lebih awal dan ibu bapa juga boleh menerima keadaan itu dengan lebih tenang.
Memang tak dinafikan sukar untuk menguruskan anak-anak istimewa ini, namun dengan pengesanan awal, sedikit sebanyak ibu bapa dapat belajar bagaimana cara dalam mendidik anak-anak istimewa ini.
Anak kuat, kebal tak pernah menangis, suka main sendiri
“Anak saya ni kuat doktor. Kebal betul. Sejak kecil dia ni tak pernah menangis kalau kepala terhantuk sana sini.
“Ada sekali tu kami letak dia dalam buaian. Dia meronta-ronta tak nak. Saya paksa juga sebab budak lain semua seronok main buaian. Mestilah dia suka juga kan.
Paksa punya paksa, sampai terjatuh anak kami. Berdarah dahi sampai basah baju dengan darah. Yang pelik, muka dia selamba je. Tak ada menangis, macam tak sakit langsung.” Saya tekun mendengar.
Dia ni jenis suka main sendirian. Sambil tu suka senyum seorang diri. Setiap hari dia habiskan masa dengan kereta mainan. Semuanya dia susun panjang-panjang.
Sayang betul dengan kereta dia. Kalau ada orang usik kereta tu, memang dia mengamuk habis.
Teringin nak dengar anak panggil ibu
Cuma yang menjadi pening, sampai umur 3 tahun, dia masih belum boleh bercakap. Pada awalnya, dia dan suami anggap itu ujian hidup mereka.
“Saya teringin nak dengar dia panggil saya ibu.”
Hati saya mula sebak. Aduhai, teringat pula pada anak sendiri.
Hari demi hari berlalu. Sampailah dia mula suka melompat tanpa henti dan kemudian mula menghantuk kepala ke dinding tanpa sebab.
Mulai hari itu, ibu ni tekad untuk mencari jawapan yang akhirnya terjawab. Anaknya sah sebagai kanak-kanak Autism.
Perjalanan mak ayah mencari jawapan selalunya pelbagai. Mereka datang dari bermacam cabang jalan yang akhirnya menemukan mereka dengan jawapan yang dicari.
Tanda Awal Autisme:
– Tak ada eye-contact. – Tiada respon bila dipanggil nama. Sampaikan kita terfikir yang anak kita ni pekak. – Tak suka dipeluk dan suka bermain sendirian. – Suka ulang perkataan yang disebut oleh orang lain (echolalia). – Kerap melakukan pergerakan badan yang berulang-ulang (mengayunkan badan, berputar atau mengepak-ngepakkan tangan). – Obses yang mendalam terhadap sesuatu objek. – Lambat bercakap atau tak boleh bercakap.
Ada mak ayah cakap yang gerak hati mereka dah kata ada yang tak kena dengan anak.
Tapi gerak hati tu diabaikan sebab saudara dan kawan-kawan banyak tolong sedapkan hati mereka.
Ada masa kita kena percaya pada gerak hati sendiri. Gerak hati kita, anak kita, keputusan kita.
Bantu saya #sebarkan ilmu ni supaya lagi ramai mak ayah jadi lebih peka dengan kesihatan anak. Moga anak-anak ni dapat dibantu dari awal lagi.
Haid yang datang lambat selepas melahirkan anak adalah perkara biasa. Keadaan ini berlaku bagi membolehkan hormon kembali stabil. Pun begitu haid yang terlalu lambat sebenarnya membimbangkan.
Jangan berdiam diri. Jika ini yang terjadi ada baiknya ibu segera mendapatkan pencerahan daripada doktor. Setiap orang berbeza-beza keadaannya. Masalah hormon adalah penyebabnya.
Begitu kata Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan secara terperinci buat semua ibu-ibu.
Selepas melahirkan anak, selalunya wanita akan mengalami gangguan kitaran haid. Selalunya seorang wanita akan mengalami haid semula antara enam hingga dua belas bulan.
Namun jika hal ini berlanjutan lebih dari setahun, terdapat gangguan hormon (ketidakseimbangan hormone) yang serius berlaku dalam tubuh wanita tersebut.
Selain itu selalunya selepas melahirkan anak, seorang wanita dinasihatkan mendapatkan suntikan pencegah kehamilan. Suntikan ini dikenali sebagai Provera (Medroxyprogesterone Acetate) adalah hormon progesterone sintetik yang menggangu kitaran haid.
Masalah berat badan berlebihan dan obesiti juga mengganggu kitaran haid. Obesiti juga mungkin disebabkan oleh masalah kekurangan hormone thyroid (hypothyroidism) di mana mungkin sesetengah orang mengalami masalah kesukaran untuk menurunkan berat badan.
Masalah tekanan emosi sepanjang tempuh pantang seperti tidak cukup tidur kerana memberikan perhatian pada anak dan terpaksa bangun setiap 2 jam bagi menyusukan anak juga mempengaruhi hormone seterusnya mengganggu kitaran haid.
Saya mencadangkan agar puan-puan melakukan pemeriksaan doctor, bimbang ia disebabkan oleh masalah yang lebih besar seperti ketumbuhan atau masalah pramatang menopause yang sering berlaku pada wanita muda di zaman ini.
Selalunya doctor akan membuat pemeriksaan hormon dengan mengambil sampel darah bagi melihat tahap hormone-hormon seperti testosterone, estrogen, thyroid dan beberapa jenis hormone lagi.
Selain itu doctor akan melakukan pemeriksaan ultrasound bagi melihat bayangan organ dalaman seperti ovari, rahim atau mungkin ketumbuhan lain yang ada dalam rongga pelvis.
Pemeriksaan MRI hanya akan dilakukan jika doctor melihat ada sesuatu yang tidak normal dalam pemeriksaan darah atau ultrasound. Jadi proses diagnose yang dilakukan agak rumit dan mengambil masa. Harus bersabar dan menurut saja arahan doctor untuk setiap pemeriksaan.
Ibu sangat risau kalau anak kecil kena selesema kerana kalau tak dirawat boleh menyebabkan hidung tersumbat dan susah hendak bernafas. Nampak macam masalah biasa dan kecil tapi kalau dibiarkan hidung si kecil tersumbat akibat selesema ia boleh mengakibatkan masalah sukar bernafas, kebiruan dan tercekik.
Ia pernah dilalui oleh seorang ibu, Yatie Eimra yang berpengalaman melaluinya ketika anaknya baru berusia beberapa bulan sehinggakan doktor berkongsi tip mudah dan penting untuk mengesan masalah anak tersumbat hidung.
Nasal Aspirator & Tip Selesema
Nasal aspirator, mucus extractor, bulb syringe, oral suction aspirator .. Tak kisahlah apa namanya, mak² confirm dah tau fungsinya untuk sedut hingus dari hidung.
Masa awal² dulu, memang tak beli pun nasal aspirator ni. Tapi lepas alami sendiri pengalaman anak kecik sesak nafas (sebab hidung tersumbat, hingus lak banyak/pekat sangat & dah block saluran pernafasan) barulah standby nasal aspirator ni kat rumah.
Saya tak ingat tarikh yang tepat, tapi masa tu umur Fydh dalam 3-4 bulan.. Dah 2 hari Fydh batuk & selesema teruk sangat. Bila malam je mesti batuk & selesema menjadi². Agaknya dah penat menangis sepanjang malam, pagi hari ke-3 tu Fydh tertidur gak. Saya pun dah 2 malam berturut² bersengkang mata sepanjang malam, tertidurlah gak sebelah baby. Tak sampai 30 minit tidur, rasa muka ditepuk².. Dalam keadaan mamai tu bukak mata, punyalah terkejut tengok muka si kecik ni dah pucat kebiruan, tangan & kaki terkapai² tapi suara tak keluar langsung (sampai tak boleh menangis sebab dah choke). Punyalah terkejut & takut.. Allah je tahu perasaannya masa tu.
Suami kerja, tapi syukur gak sebab masa tu masih duduk rumah mak saya. Cepat² saya dukung Fydh & jerit panggil mak. Bila nampak saya yang tengah panik, mak dengan pantas ambil si kecik ni. Dia bukakkan & tahan mulut Fydh, dukung dengan cara terbalikkan badan (macam posisi tiarap – belakang badan menghala ke atas) & rendahkan bahagian kepala. Lepas tu tepuk² & urut belakang. Kali ke-3 mak tepuk Fydh terus termuntah dengan lendiran hijau kekuningan yang pekat sangat. Alhamdulillah, lepas muntah tu baru dia start menangis.. Masa tu lega & syukur sangat..
Bila dah mandi & bersih, barulah si kecik ni nak menyusu. Sepanjang malam masa anak meragam tu 2 oz susu pun tak habis. Masa ni jugak la pertama kali saya buat minyak bawang putih untuk anak. Patutnya nak bawa ke klinik, tapi lepas sapukan minyak pada batang hidung, dada, belakang & tapak kaki.. nampak anak dah lega & tidur lena.. Petang tu jugak saya beli nasal aspirator.
Doktor Kongsi Tip Anak Hidung Tersumbat
Kebetulan pagi esoknya (hari ke-4) si kecik ni memang ada follow up kat hospital. Dapat surat reference bahagian ENT..Sebabkan masih baby, dapatlah tarikh appointment hari yang sama, slot petang.. Sementara nak tunggu petang tu, sempat jugakla guna nasal aspirator. Sapu & urut dengan minyak bawang putih pun 3-4 round paling kurang..
Bila dah sampai giliran, doktor check Fydh dah kurang selesema/hidung tersumbat. Tapi sempat juga doktor berikan tip untuk saya. Mak² boleh guna cara ni ye kalau anak² kecik yang selesema & hidung tersumbat. Bahaya kalau 2-2 belah lubang hidung tersumbat ni..
Untuk kenalpasti hidung mana yang tersumbat/lebih teruk, boleh gunakan batang sudu besi (jenis plain) & letakkan bawah hidung anak. Condongkan sikit kedudukan sudu tu, supaya mudah nampak. Perhatikan dengan teliti wap yang terbentuk pada batang sudu ketika anak hembus nafas. Contohnya malam tadi saya buat kat Fydh, lubang hidung sebelah kanan tu sikit je wap terhasil berbanding sebelah kiri. So lubang hidung sebelah kanan tu yang tersumbat.
Pengalaman saya ni jadikanlah sebagai pengajaran. Syukur masa tu mak saya ada untuk membantu. Walaupun dia hanya guna cara ‘mak dulu²’ jer, tapi tindakan pantas dia dah selamatkan nyawa Fydh ni.. Saya ni walaupun pernah belajar CPR & rawatan kecemasan, buat amali.. tapi bila jadik kecemasan macam tu, panik, takut, terkejut, semua ada.. Tak ingat dah teknik² & apa yang belajar sebelum ni..
Sebab tu lah saya kata pentingnya & kenapa mak² wajib ada nasal aspirator ni.. Sebelum keadaan anak jadik lebih teruk, boleh sedut hingus anak untuk pastikan saluran pernafasan tak kena block dengan hingus.
Tip tambahan:
*nasal aspirator yang jenis sedut gunakan tiub khas (oral suction aspirator) lebih berkesan. Kalau guna jenis pam dengan tangan ni, tangan kena kuat & kena pam dengan cepat (sebab anak meronta²). Cara guna pn kena betul. Kalau tak, hingus yang disedut tak banyak *mak² boleh beli nasal drops/spray kat farmasi untuk kurangkan hidung tersumbat. Nasal drops ni banyak jenis. Cari yang normal saline drops untuk baby & kanak². *selalunya saya gunakan teknik sudu besi tu untuk kenalpasti hidung mana yang tersumbat. Lepas tu gunakan saline drops (saya lebihkan 1-2 titik untuk hidung yang tersumbat). Biasanya lepas guna anak akan terbersin. Lepas tu baru gunakan nasal aspirator. *mak² rajin²kanlah diri cari info, belajar cara² CPR & rawatan kecemasan lain. Bila dah belajar pun, kadangkala perlu revise balik supaya tak lupa *bila dalam keadaan kecemasan, paling penting kena BERTENANG TAPI KENA BERTINDAK PANTAS. Masa dah duduk sendiri, pernah juga sekali dak Fydh ni choke masa belajar makan sendiri. Alhamdulillah masa tu walaupun dengan anak je kat rumah, saya berjaya gak tenangkan diri & buat apa yang patut walaupun tangan tetap lah shaking tak berhenti
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gigi berlubang sering dipandang ringan oleh ramai orang. Walaupun kelihatan seperti masalah kecil, hakikatnya, ia boleh membawa risiko kesihatan yang serius jika tidak dirawat...