Berani tak melancong bersama anak tanpa suami disisi? Jika ada yang berani, anda geng dengan ibu ini, Azlina Johari yang juga dikenali sebagai teacher Ina yang juga merupakan pengusaha taska di Shah Alam Selangor. Jom ikuti perkongsiannya membawa anak pertamanya melancong ke luar negara.
Sejak umur Aulia 1 tahun, pada bulan September 2016 (Aulia lahir pada September 2015) dengan kawan saya pada mulanya ke Krabi, Thailand. Dia belum pernah mengembara ke luar negara.
Oleh itu, dengan sedikit pengalaman saya sebelum ini ke luar negara sama ada secara bersendirian ataupun ditemani suami, saya menjadi penunjuk arah dan rakan kembara kepada dia pada masa yang sama.
Selepas Aulia menunjuk perkembangan yang positif daripada pengembaraan itu, saya memberanikan diri terbang berdua dengannya ke pelbagai negara di sekitar Asia Tenggara.
Ho Chi Minh, Vietnam
Lokasi yang telah jejaki berdua bersama anaknya ialah
September 2016 – Krabi, Thailand.
Disember 2016 – Ho Chi Minh & Mekong, Vietnam.
Januari 2017 – Bukit Tinggi, Padang, Indonesia.
Tasik Maninjau, Bukit Tinggi, Padang, Indonesia.
Kenapa pilih nak pergi dengan anak?
Sebelum saya mempunyai anak, saya memang selalu mengembara dengan kawan-kawan. Selepas melahirkan Aulia, saya rasa kehadirannya bukan penghalang untuk saya meneruskan minat.
Ads
Lagipun, saya bawa dia mengembara bersama-sama kerana ingin memberikan pendedahan kepadanya tentang dunia luar supaya dia boleh menjelajahi dan mengalami sendiri pengalaman di negara orang apabila dewasa kelak.
Disebabkan saya dalam bidang pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, saya tahu betapa pentingnya stimulasi untuk anak-anak bawah umur dua tahun. Anak saya dilahirkan tidak cukup bulan, oleh itu, dia perlu lebih stimulasi daripada kanak-kanak normal yang lain.
Hal ini memang sangat digalakkan oleh pakar pediatrik. Jadi saya cantumkan dua perkara ini sekaligus – baik untuk pendidikan awal dan kesihatan anak saya serta meneruskan hobi saya nan satu ini.
Apakah pengalaman paling manis sepanjang mengembara ini dengan anak sahaja?
Sepanjang saya mengembara, soalan yang selalu saya terima daripada orang ramai adalah di mana kelibat ayah kepada anak kecil saya ini. Saya memberitahu mereka bahawa ayah kepada anak saya ini terikat dengan tuntutan kerja dan tidak dapat meluangkan masa dengan kami.
Kemudian, mereka semua membuat muka terkejut dan kagum dengan kecekalan hati saya bersendirian melayan kerenah anak.Namun pengalaman paling manis sepanjang mengembara dengan Aulia adalah apabila dia dapat bergaul mesra dengan orang ramai daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Disebabkan aktiviti mengembara berdua dengannya, hubungan dan ikatan ibu dan anak antara kami semakin erat.
Ads
Pernah lalui sebarang pengalaman pahit sepanjang travel? Jika tak keberatan, boleh kongsikan?
Pengalaman semasa mengembara di Ho Chi Minh tidak dapat dilupakan apabila dipaksa menaiki teksi oleh pemandunya. Sebelum mengembara, saya akan membuat kajian mendalam terlebih dahulu demi keselamatan diri dan anak.
Saya ada membaca dalam Facebook kumpulan backpackers yang memberi amaran jangan menaiki sebarang teksi di Ho Chi Minh selain daripada Vinasun. Pada mulanya, pemandu teksi tersebut menunjukkan tiket teksi Vinasun namun sebenarnya ia bukannya teksi Vinasun pun. Walaupun warnanya sama, ia bukan teksi Vinasun apabila diperhatikan dengan teliti.
Saya beritahu bahawa tidak mahu naik dan hampir ditolak masuk ke dalam teksi secara paksaan oleh pemandu. Alhamdulillah saya dapat melarikan diri daripada ‘teksi hantu’ tersebut sambil mendukung anak dalam keadaan hujan.
Nasib baik saya dapat melepaskan diri dan berpandukan aplikasi Waze di tangan, saya menuju ke hotel dengan perasaan penuh debaran dan kejutan yang tidak disangka. Pahit namun memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Ads
Tips travel dengan anak kecil?
Buat kajian tentang tempat yang ingin dilawati. Ketahui perkara yang boleh dibuat dan dilarang di situ. Bawa makannan dan peta awal-awal.
Pastikan telefon bimbit anda boleh digunakan di sana untuk sebarang kes kecemasan (rujuk kisah cemas di Ho Chi Minh).
Bawa ubat demam dan termometer untuk anak anda.
Pastikan beg yang dibawa memudahkan pergerakan anda kerana belum tentu ada orang yang akan membantu kita.
Semasa kapal terbang berlepas dan mendarat, pastikan anak menyusu.
Jangan sesekali memakai emas dan perhiasan yang menunjukkan kemewahan anda walaupun sekadar emas tipu kerana anda memudahkan tugas penjenayah.
Ada ambil mana-mana insurans kembara?
Saya sentiasa mengambil insurans kembara ke mana sahaja saya pergi kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko jika berlaku sebarang kecelakaan semasa saya mengembara.
Perancangan travel akan datang?
Saya sedang merancang untuk mengembara ke Sabah dan Jepun. Buat masa sekarang, pengembaraan ke Jepun belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada ayah Aulia tetapi hampir 90% kajian tentang Jepun telah saya lakukan. Kita tengok macam mana nanti.
Kalau anak tiba-tiba diam, jangan terjah mengejut. Kita pun kena diam-diam intai apa yang anak tengah buat.
Takut-takut kalau terjah mengejut, anak tiba-tiba lost idea apa yang dia tengah buat. Kadang-kadang mungkin anak sedang berkreatif dan memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan perkara yang dia lakukan.
Selagi benda tu tak membahayakan anak, biarkan anak teroka dulu dan perhatikan. Dari situ kita boleh lihat anak ada skil yang ibu bapa sendiri pun boleh rasa bangga.
Adakala, cuba letak diri kita dalam dunia mereka ketika anak bermain.
“Oooo..mesti anak tengah fikir macam mana nak buat itu ini. Mesti anak duk bayangkan itu ini”.
Ehh, kita pulak yang penat jadi tukang fikir dan teka. Percayalah, dunia kanak-kanak indah. Cuba masuk dan selami dunia mereka, kita akan nampak yang baik-baik dan indah belaka.
Hebat Allah jadikan manusia ni. Nak tengok ahli syurga di dunia, tengok kanak-kanak.
Fitrah mereka suka kan kebaikan dan kasih sayang. Allah dah jamin, kanak-kanak yang meninggal, tempatnya syurga.
Dalam dunia yang semakin dipenuhi maklumat, kemampuan untuk menapis, memahami, dan menyampaikan informasi dengan tepat menjadi kemahiran yang sangat berharga. Mendorong anak-anak untuk menceburi bidang kewartawanan bukan sahaja membina kemahiran komunikasi mereka, tetapi juga membentuk mereka menjadi individu yang peka, kritis, dan berani menyuarakan kebenaran.
Kemahiran Komunikasi: Asas Menjadi Wartawan
Kewartawanan melatih anak-anak untuk berfikir secara kritis, menyoal dengan bijak, dan menyampaikan maklumat dengan jelas. Melalui aktiviti seperti menulis laporan atau melakukan wawancara, mereka belajar cara berkomunikasi secara efektif dan empati terhadap orang lain.
Fakta Menarik: Aktiviti jurnalistik membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran komunikasi dan sosial, serta meningkatkan keyakinan diri mereka.
Meningkatkan Kreativiti dan Imaginasi
Menjadi wartawan memerlukan kreativiti dalam menyampaikan cerita dan mencari sudut pandang yang unik. Anak-anak belajar untuk melihat dunia dari pelbagai perspektif dan mengekspresikan diri mereka melalui penulisan dan media lain.
Fakta Menarik: Bermain peranan sebagai wartawan dapat meningkatkan kreativiti dan imaginasi anak-anak, serta memperkaya kemampuan komunikasi dan bahasa mereka.
Mengasah Kemahiran Sosial dan Empati
Dalam proses mencari dan melaporkan berita, anak-anak berinteraksi dengan pelbagai individu dari latar belakang yang berbeza. Ini membantu mereka memahami pelbagai perspektif dan mengembangkan empati serta kemahiran sosial yang penting dalam kehidupan seharian.
Fakta Menarik: Melalui aktiviti kewartawanan, kanak-kanak belajar untuk berinteraksi dengan pelbagai orang, meningkatkan kepekaan sosial, dan membina hubungan yang sihat.
Membina Keyakinan Diri dan Ketahanan Mental
Menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia kewartawanan, seperti menepati tarikh akhir dan berhadapan dengan penolakan, membantu anak-anak membina ketahanan mental dan keyakinan diri. Mereka belajar untuk mengatasi kegagalan dan terus berusaha mencapai matlamat mereka.
Fakta Menarik: Aktiviti kewartawanan dapat membantu kanak-kanak mengembangkan disiplin diri, kesabaran, dan kecekapan dalam menghadapi cabaran.
Memupuk Kesedaran Sosial dan Tanggungjawab
Sebagai wartawan cilik, anak-anak didorong untuk peka terhadap isu-isu semasa dan memahami peranan mereka dalam masyarakat. Ini memupuk rasa tanggungjawab dan keinginan untuk menyumbang kepada perubahan positif dalam komuniti mereka.
Fakta Menarik: Melalui pelatihan jurnalistik, kanak-kanak dapat memahami isu-isu yang berkaitan dengan hak anak dan belajar untuk menyuarakan pendapat mereka secara bertanggungjawab.
Menyokong Anak Menjadi Wartawan Cilik
Mendorong anak-anak untuk menceburi bidang kewartawanan adalah pelaburan dalam membina generasi yang berpengetahuan, berani, dan bertanggungjawab. Dengan sokongan dan bimbingan yang betul, mereka dapat berkembang menjadi individu yang mampu menyuarakan kebenaran dan membawa perubahan positif dalam masyarakat. Mari kita galakkan mereka untuk meneroka dunia kewartawanan dan menjadi suara yang membawa inspirasi dan perubahan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Kita kena beri anak gajet dari bayi supaya dia tak ketinggalan zaman”. Ini antara pendapat ibu bapa sekarang sebab takut anak ketinggalan peredaran zaman jika tak diberi gajet sejak bayi. Ada juga yang takut anak tak “up to date” dengan gajet terkini susulan kerja sekolah di sekolah rendah pun dah ada menggunakan komputer.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, ibu ayah tak perlu terlalu risau. Zaman kita dulu pun tak ada gajet, komputer sendiri pun tak ada, alhamdulillah bila cukup masanya ok sahaja tak ada masalah untuk guna bila skil dah ada. Betul tak?
Otak anak, bila dikembangkan dengan baik dan dirangsang dengan baik. Nak belajar apa pun mudah, percayalah.
Jangan terlalu risau anak ketinggalan zaman bila tak beri atau tak ada gajet di awal usia tapi risaulah anak ketinggalan perkembangan. Saya nasihat macam ini sebab saya dah jumpa banyak sangat kes kelewatan perkembangan disebabkan pendedahan gajet terlalu awal. Dan pendapat diatas adalah antara yang paling popular penyebab mak ayah beri gadget sendiri kepada anak. Antara kes popular:
Ada yang sejak bayi 2 bulan sudah diberi tab sendiri, purata 8 jam sehari dengan gajet.
Ada juga yang tak ada pendedahan gajet langsung tetapi TV pula yang terlalu kerap, anak pula jenis “pandai” tengok TV sejak umur 3 bulan. Bila buka TV terus duduk tercongok di depan TV, tak ada interaksi, tak ada pergerakan dan tak ada memanjat sana sini. Bila umur 1 tahun, anak mula tak menyahut bila panggil baru mak ayah risau dan kurangkan TV.
Ada juga yang hanya sekejap-sekejap, 15 minit, 15 minit sekali tengok, tetapi bila di tambah-tambah menjadikan purata 4 jam sehari dengan gadget menyebabkan anak dah tersalah konsep percakapan, abc,123, nursery ryhme hafal tetapi cakap “nak susu” tak reti walaupun sehari 8 kali minum susu.
Nampakkan? Yang peliknya, anak-anak terlewat perkembangan ini pandai “slide” handphone, pandai klik youtube dan buka channel kegemarannya malah ada yang pandai menyanyi dengan gajet atau TV. Mereka seperi dunia mereka sendiri tetapi bila masuk ke dunia sebenar mereka buntu.
1. Tak sedar siapa yang panggil. 2. Tak sedar hujan diluar. 3. Tak sedar mak ayah balik rumah. 4. Tak sedar ada kawan sebaya di sebelah meja makan. 5. Tak sedar sepupu-sepupu tengah main kejar-kejar. 6. Tak sedar ada bau durian di dapur. 7. Tak sedar rasa makanan manis masam masin. 8. Tak sedar suhu persekitaran sejuk atau panas. 9. Tak sedar ada lori, kereta, burung berterbangan di luar.
Tanda-tanda di atas inilah antara tanda-tanda yang saya namakan sebagai “buta persekitaran” iaitu tak sedar apa jadi di persekitaran mereka.
(Kecuali kes-kes lain tertentu seperti Autisme, ADHD dll)
Kalau anak-anak anda ada tanda-tanda ini di usia 1 tahun keatas dan ada pendedahan gajet atau TV terlalu lama, mohon mak ayah ambil tindakan awal sebelum isu lain timbul.
Tak ada gunanya kalau pandai “slide” handphone, pandai klik klik youtube, main game dalam handphone, tahu A-Z tentang teknologi terkini tapi bila tiba menulis cepat penat, bila tiba waktu makan minta mak suap sebab masih bersepah, bila tiba pakai baju berbutang kena minta orang lain butangkan, bila minta tolong ambilkan barang banyak alasan dan sebagainya.
Sebab apa? Asyik merangsang pergerakan jari telunjuk sahaja sehingga skil sebenar yang anak perlu belajar terabai.
Sebenarnya banyak sangat skil yang perlu anak belajar semasa bawah 3 tahun sebelum “skil main gadget”.
1.Skil motor halus.
2. Skil motor kasar.
3. Skil bahasa.
4. Skil sosial.
5. Skil urus diri.
Untuk merangsang skil-skil di atas, yang paling penting adalah anak WAJIB “Celik Persekitaran” kerana anak bawah 2 tahun belajar melalui sistem deria. Sistem deria pula dirangsang dengan persekitaran.
Latih, latih dan latih skil penting anak. Pastikan anak cukup umur baru beri “main gajet” atau TV. Itupun ada hadnya mengikut umur mengikut AAP (American Academy of Pediatrics):
Anak bawah 18 bulan: Zero
Anak 18 bulan – 2 tahun: 30 minit SEHARI bukan sekali tengok ya, dan hanya rancangan berilmiah BERSAMA ibu bapa.
Anak 2 tahun – 5 tahun: 1 jam SEHARI dan hanya rancangan berilmiah.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai didera secara kejam oleh ibu kandung dan bapa tiri. Insiden tragis ini mencengkam...