Biasanya bila di rumah ajar anak membaca, menulis mak ayah rasa sedikit tercabar. Ramai yang selalu suarakan ‘Saya tak boleh nak ajar anak, rasa nak marah je, lagi-lagi sekejap fokus, sekejap nak main”’. Kenapa kita rasa macam ni?
Sebab utama kita tak faham gaya belajar anak lagi-lagi dia usia 3 hingga 6 tahun ini. Kita hanya nak anak fokus dan dengar apa yang kita nak ajar sedangkan tak faham apa ciri yang ada pada mereka.
Perkongsian dari Puan Aminah Hussain nyata sangat membantu ibu bapa untuk mengetahui ciri yang ada pada anak masing-masing.
Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Pakar Keibubapaan dan Kekeluargaan, Ibu Rose ada cara paling mudah untuk kita mengenal gaya belajar anak. Melalui pergerakan mata dia. Biasanya gaya belajar ini kita akan dapat nampak semenjak anak umur 3 tahun ke atas.
Anak visual biasa matanya ke atas. Sebab dia nak tengok gambar atau membayangkan gambar. Anak ini senang belajar menggunakan gambar, televisyen, filem dan buku.
Ads
Anak audio matanya biasa ke tengah, tapi muka anak biasanya akan ke tepi sebab anak nak tadahkan telinga untuk mendengar apa yang kita perkatakan. Kena banyak lagu atau cara belajar yang berirama .
Anak kinestetik anak matanya akan pandang ke bawah. Kinestetik dia gabungan rasa/ emosi dan pergerakan. Anak ini kena banyak bermain sambil belajar.
Kenapa nak kena tahu gaya anak kita jenis mana? Sebab paling utama ialah tidak mahu kita naik marah ketika mengajar anak.
Ads
Biasa sangat kita baca kisah seorang mak yang tertekan sebab ajar anak, anak tidak dengar atau tidak masuk. Lepas tu kita boleh cakap
“ini yang aku malas nak ajar anak aku ni, ajar bukan nak faham. takpalah nanti suruh cikgu je ajar di sekolah”
Ads
Jangan kawan- kawan. Kita perlu sedaya upaya ajar anak sendiri dirumah. Di sekolah hanya sokongan sahaja. Pendidikan bermula dirumah, kita adalah guru pertama anak- anak kita.
Zaman sekarang zaman semua hendak CEPAT. Kita ada perkhidmatan fast food. Drive Thru Service. Jimat masa makan dalam kereta sahaja.
Ada perkhidmatan grab car, grab food. Dari segi pengangkutan semua kalau boleh hendak naik LRT jika kerja di kota raya KL. Sebab hendak cepat mengelak jem.
Dan ada juga ibu bapa berlumba-lumba supaya perkembangan anak mereka cepat.
Cepat BACA
Cepat TULIS
Pendek kata kalau lambat seolah olah kita ini tewas. Tapi benar ke kita tewas?
Yang peliknya ibu bapa masih lagi tidak mahu anak main kotor.
Bagi pakai sarung kaki tangan sejak bayi.
Tidak bagi anak jatuh.
Tidak bagi anak buat kerja rumah.
Tapi hendak CEPAT.
Baiklah sebenarnya tidak salah jika kita hendak cepat tapi perlulah bertempat.
Memahami fitrah perkembangan si cilik terutama pada umur kritikal 0 hingga 5 tahun amatlah penting.
Mahukan anak kenal abc dan membaca pada umur 4 tahun sedangkan otak yang memproses maklumat membaca hanya bersedia pada umur 7 tahun. Ada anak sudah boleh tapi bukan semua anak ya.
Beri peluang untuk anak tingkatkan kemampuan mereka dan yang paling penting Asas Perkembangan itu perlu KUAT.
Jadi rumah yang dibina tidak roboh.
Antara tips dari sumber bacaan Mummy Nurul bagaimana ingin terus menjadi guru pertama buat si cilik ialah
– Ibu ayah perlu menjadi rakan kongsi yang bagus. Saling bekerjasama. Bila ibu penat si ayah perlu bantu.
– Jangan tunjuk emosi marah depan anak. A big NO. Anak senang copy paste ibu ayah.
– Penyumbang terbesar kpd emosi anak selalunya si ibu. Ayah kena pandai jaga hati ibu jika mahu anak membesar dengan baik.
Persaingan dalam memahami perkembangan anak-anak ialah satu persaingan yang sihat dan baik. Maka tidak salah mahu cepat asalkan dengan asas yang betul.
Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Sememangnya melakukan aktiviti belajar dan bermain secara postif merupakan salah satu cara untuk merangsang perkembangan minda anak-anak. Namun pengambilan makanan secara sihat terutama buah-buahan penting untuk meningkatkan perkembangan dan kecerdasan otak anak-anak. Jika perkembangan otak terganggu, ia akan mengurangkan daya memori yang boleh mengganggu pembelajaran anak-anak.
Jom cuba antara ‘brain foof’ ini untuk rangsang otak anak-anak anda. Berikut beberapa buah yang dikenal pasti boleh membantu meningkatkan kecerdasan otak anak.
1. BLUEBERRY
Buah ini sangat baik untuk perkembangan otak anak, dan juga meningkatkan daya ingat. Ia mengandungi zat yang membantu melindungi otak dari stress oksidatif (oxidative stress). Malah membina daya tahan daripada serangan penyakit, elok untuk pencernaan, memelihara struktur dan kekuatan tulang. Buah ini kaya dengan vitamin C, Zat Besi, Kalsium, Magnesium, dan Vitamin K .
2.APRIKOT
Buah aprikot merupakan salah satu buah yang diperkaya vitamin A dan E. Buah ini memiliki sifat antioksidan dan sangat penting untuk meningkatkan fungsi penglihatan serta meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
3. DELIMA
Delima (pomegranate) mengandung zat gizi yang melindungi sel-sel otak terhadap kerosakan radikal bebas, daya tahan penyakit serta dapat mengurangkan batuk dan asma. Ia juga sebagai ejen anti-radangan yang hebat serta bertindak sebagai ajen imunisasi dalam tubuh. Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
4. EPAL
Buah ini merupakan salah satu buah yang baik untuk kecerdasan otak anak. Hal ini karena kandungan zat quercetin yang mampu melindungi sel pada otak dari serangan radikal bebas. Malah memiliki kandungan kaya akan vitamin, terutama vitamin A, B1, B2, dan C serta kandungan mineral seperti kalium, kalsium, zat besi, fosfor, serta yodium yang sangat penting guna perkembangan anak iaitu pertumbuhan tulang, organ, kulit dan darah.
5. KURMA
Buah Kurma ini amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar, menguatkan daya tahan tubuh, meningkatkan stamina, menggalakkan pertumbuhan tulang dan membentuk minda anak-anak yang cerdas.
6. ANGGUR
Anak-anak tentu suka makan anggur kerana rasanya manis. Lebih menarik anggur hitam, anggur ungu, dan anggur merah semuanya mengandung quercetin dan anthocyanin yang diketahui membantu menyihatkan otak dan meningkatkan memori. Malah ia mengandungi zat amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak yang berkesan untuk membantu merangsang minda.
7. STRAWBERI
Bestnya makan stawberi yang dicelup dengan coklat cair. Kandungan vitamin C yang banyak terdapat dalam buah strawberi membantu menjaga kesihatan gigi dan gusi anak-anak tetap sihat, membantu penyembuhan luka dan meningkatkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan. Ia juga menjadi antioksidan yang membantu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keputusan untuk memiliki anak bukanlah sesuatu yang mudah bagi kebanyakan pasangan hari ini. Selain perlu bersedia dari segi emosi dan fizikal, ibu bapa turut memikirkan kos sara hidup, penjagaan anak, kestabilan pekerjaan serta kemampuan untuk membesarkan keluarga dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.