
Anak suka sangat pada satu buku dan selalu minta ibu ayah membacakannya. Wahai anak, tidakkah kamu bosan kerana ceritanya sama sahaja? Rupa-rupanya ia memberikan faedah kepada anak.
Umpama ayat-ayat yang telah dihafal, ibu dan ayah seolah-olah sudah ‘hafal’ setiap muka surat buku kegemaran anak. Tapi jangan bosan kerana ia adalah perkembangan yang baik untuknya terutama sekali penguasaan tatabahasa dan perbendaharaan kata.
PENGULANGAN
Pengulangan yang berterusan ini adalah cara terbaik untuk kanak-kanak belajar perkataan baru dan menguasai perbendaharaan kata yang seterusnya menggalakkannya minat untuk membaca dalam jangka masa panjang.
Menurut Dr Jessica Horst dari University of Sussex’s WORD Lab yang menjalankan penyelidikan mendapati mendapati kanak-kanak berusia tiga tahun berupaya mengenal pasti dan mengingat kembali sekurang-kurangnya enam perkataan apabila dibacakan sebuah buku berulang kali.
Menurut Dr Horst, hasil kajian susulan yang dilakukannya menunjukkan pembacaan atau pendedahan yang berulang kali kepada anak walau pun tanpa kemahuannya untuk mempelajarinya juga turut menyebabkan perkataan diingati.
Beliau juga menekankan supaya ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa dengan anak dan membacakan mereka buku setiap hari. Tambahnya lagi, 1 dari 3 ibu bapa tidak membacakannya buku kepada anak.
Sesi pembacaaan sekurang-kurangnya 30 minit sehari boleh memperbaiki kemahiran membaca pada kanak-kanak dalam masa lima bulan.
KENAPA ANAK SUKA SATU BUKU DIBACAKAN BERULANG KALI
-Kanak-kanak belajar lebih cepat dengan hanya beberapa buah buku ialah kerana;
-Berulang kali membaca buku yang sama untuk kanak-kanak membantu mereka mempelajari kata-kata baru.
-Penceritaan berulang adalah cara terbaik untuk meluaskan perbendaharaan kata kepada kanak-kanak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Anda Dah Genap Umur 3 Tahun? Ini Antara Cara Tepat Didik Mereka Supaya Jadi Lebih Hebat

Masa anak umur 2 tahun, mereka terkenal kuat mengamuk. Bila dah genap umur 3 tahun apa pula ragamnya? Ibu ayah kena guna cara tepat untuk didik mereka supaya boleh menjadi insan yang hebat nanti.
Bila dah masuk umur 3 tahun, anak semakin bijak kerana kemampuannya sudah semakin meningkat.
Ibu ayah kena didik mereka dengan kaedah yang tepat agar memberi pengaruh positif terhadap perkembangan anak pada tahap seterusnya. Oleh itu ibu bapa mesti faham apa yang harus dilakukan untuk mendidik anak ketika dia sudah berusia 3 tahun.
Ini antara beberapa tips dan cara tepat mendidik anak umur 3 tahun yang boleh dicontohi oleh ibu ayah.
1. Kerap ajak anak buat aktiviti di luar rumah
Anak umur 3 tahun semakin kenal dan faham dunia di luar rumahnya, terutama dalam persekitaran yang dia biasa. Dia mula faham siapa sahaja orang-orang di sekelilingnya dan siapa kawan-kawan sebayanya.
Semakin kerap anak berinteraksi dengan orang di sekelilingnya maka semakin bagus kemahiran sosialnya.
Ini akan memberi kesan positif terhadap perkembangan anak bila dewasa nanti. Si kecil akan membesar sebagai individu yang mudah mesra, menyenangkan dan berkeyakinan. Ini berbeza dengan anak yang jarang keluar rumah semasa kecil, biasanya akan membesar sebagai individu yang pemalu, anti sosial dan kurang pandai bergaul.
2. Ajar anak biasa berkongsi
Sikap tak kedekut dan biasa berkongsi barang atau makanan dengan orang lain mesti diajar sejak anak kecil lagi supaya dia ada sifat bertimbang rasa yang tinggi. Anak umur 3 tahun yang sudah mula berminat untuk berinteraksi dengan orang lain selain ahli keluarganya mesti dibiasakan untuk berkongsi apa yang dimiliki.
Contohnya, ketika anak sedang makan biskut, biasakan dia berkongsi dengan kawan-kawannya. Terangkan kepada anak yang kawannya juga teringin nak rasa biskut tersebut. Penting untuk ajar anak umur 3 tahun supaya tidak kedekut dan boleh berkongsi barang miliknya kerana ia akan membentuk peribadi dirinya bila dewasa dan sudah bercampur gaul dalam masyarakat nanti.
3. Beri pemahaman jelas
Anak umur 3 tahun memang biasa meniru apa yang kerap didengar atau dilihat walaupun dia belum faham tujuan dan maksud perbuatan yang ditirunya. Maka sebaga ibu ayah, anda bertanggungjawab menerangkan kepada anak tentang hal tersebut.
Memberi pemahaman yang betul kepada anak akan memberi kesan besar kepada dirinya. Contohnya, sejak kecil anak sudah biasa melihat ibu ayah bersolat, walaupun awalnya dia hanya meniru perbuatan tersebut tetapi dengan memberi pemahanan apa tujuan bersolat akan menjadikan anak faham tujuan dan pentingnya untuk melakukan ibadah tersebut selari dengan pertambahan usianya nanti.
4. Bawa anak meneroka dunia
Memang seronok bawa anak umur 3 tahun berjalan dan melancong meneroka dunia luar kerana mereka sudah semakin faham dan tertarik dengan banyak perkara baru. Bawalah anak berjalan di tempat-tempat yang mempunyai nilai pendidikan seperti zoo, muzium, pantai, pasar dan lain-lain tempat yang boleh merangsang pemikiran anak.
Biasanya si kecil akan bertanya banyak soalan berdasarkan apa yang diperhatikan. Jangan jemu atau malas hendak melayan pertanyaan anak kerana ia penting untuk membantu membentuk kecerdasan otak anak. Ibu ayah hendaklah menjelaskan dengan cara yang tepat dan mudah difahami oleh si kecil.
Anda juga mesti rajin berkongsi maklumat tentang hal-hal lain yang ditemui sepanjang perjalanan. Ketahuilah ketika inilah usia efektif si kecil mendapat pengajaran dan pendidikan dari setiap pengalaman yang dialaminya dan akan diingati sampai dewasa.
Ini antara sebahagian tips mendidik si manja umur 3 tahun yang anda boleh contohi. Sebenarnya ada banyak lagi cara lain yang dipraktiskan oleh ibu bapa semua kan?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Ayah Yang Selalu Teman Anak Main Jadikan Anak Lebih Bijak, Dapat Rangsang Pertuturan & Bahasa

Bermain adalah perbuatan sukarela dan menyeronokkan bagi kanak-kanak. Bermain adalah sebahagian daripada aktiviti yang penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dan pertuturan.
Kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan fikiran mereka sewaktu bermain. Kemahiran bermain merupakan sebahagian daripada kemahiran pra-pertuturan kanak-kanak.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah bermain:
-Kanak-kanak yang mengalami kecacatan mental
-Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal
-Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan
-Kanak-kanak yang mempunyai masalah persepsi
-Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi dan tingkah laku
-Kanak-kanak yang kurang mendapat peluang untuk bermain
-Kanak-kanak yang mempunyai kelambatan pertuturan dan bahasa
Terdapat 3 jenis permainan:
-Permainan berfungsi
-Permainan membina
-Permainan olok-olok
Permainan Berfungsi
Kanak-kanak bermain permainan berfungsi dengan eksplorasi sesuatu objek. Antara contoh permainan berfungsi adalah seperti menarik, menggoyang atau mengetuk objek, memanjat dan berlari.
Permainan Membina
Kanak-kanak membina sesuatu dengan merancang menggunakan minda. Contoh permainan membina seperti membina istana pasir atau menyusun blok secara bertingkat. Kanak-kanak akan menggunakan minda mereka untuk bermain permainan ini.
Permainan Olok-olok
Bermain menggunakan imaginasi seperti memberikan anak patung makan dan minum atau bermain secara olok-olok seperti menjadi seorang doktor. Keupayaan untuk meniru, penggunaan motor sensori dan kemahiran kognitif adalah penting dalam permainan olok-olok.
Tips bermain bagi meransang pertuturan anak
Sewaktu bermain dengan anak anda, bercakaplah dengan mereka. Komunikasi sewaktu bermain dapat merangsang pertuturan dan bahasa anak anda. Gunakan bahasa yang mudah, intonasi suara yang menarik serta pilih permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Gunakan ruang yang sesuai untuk anda dan anak anda bermain. Anda juga boleh menarik minat mereka dengan mengajak mereka berbual semasa bermain.
Aktiviti bermain mestilah sesuai dengan perkembangan anak anda. Pilih permainan yang bersesuai dengan perkembangan anak. Permainan perlu diubahsuai jika perlu bagi kanak-kanak yang mengalami kelainan upaya.
Mainan atau barang-barang yang digunakan mestilah bersesuaian dengan umur mereka.
Kenal pasti minat anak anda dan gunakan minat tersebut untuk menarik perhatian mereka bermain.
Arahan secara lisan mestilah sesuai dengan tahap pemahaman anak anda. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
Proses mengajar dimulakan dengan perkara asas dan kemahiran yang baru perlu diperkenalkan secara berperingkat.
Model perbuatan yang hendak anda ajar. Jika anak anda mempunyai masalah untuk meniru perbuatan tersebut, beri bantuan secara fizikal. Sebagai contoh; pegang tangan mereka dan melambai ‘bye-bye’
Anak anda mungkin berasa kecewa jika waktu bermain terlalu singkat atau tempoh bermain yang terlalu lama juga boleh menyebabkan mereka berasa bosan. Rancang tempoh bermain yang sesuai dengan anak anda.
Kanak-kanak yang tidak mahu bermain akan ikut bermain jika mereka lihat anda seronok dengan aktiviti yang sedang anda lakukan.
Beri ganjaran seperti pujian jika anak anda bermain sehingga habis sesuatu permainan.
Tunjukkan yang anda juga suka apabila anak anda bermain.
Sewaktu bermain, galakkan anak anda bercakap tentang apa yang sedang anda berdua lakukan
Apabila kanak-kanak bosan dengan mainan mereka, anda boleh bermain mainan tersebut dengan cara yang lain seperti menyembunyikan mainan tersebut di dalam kotak untuk mendapatkan semula perhatian mereka.
Ingat, anak anda juga perlukan masa untuk bermain sendiri
Keselamatan sewaktu bermain adalah sangat penting. Pastikan kanak-kanak mendapat pengawasan semasa bermain, ruang bermain yang mencukupi dan peralatan yang selamat
Permainan yang sesuai mengikut umur
Sewaktu bermain dengan anak anda, pastikan mainan tersebut sesuai dengan umur mereka Berikut adalah cadangan permainan yang sesuai mengikut peringkat umur mereka.
UMUR JENIS-JENIS MAINAN
0-3 bulan – Mainan yang lembut, buku yang lembut, rattles lembut
3-6 bulan – Rattles yang ringan, buku kulit keras, mainan untuk menggigit, play mat
6-9 bulan – Buku, anak patung yang lembut, bola, blok berkayu atau blok lembut, mainan perkakas rumah
2-4 tahun – Permainan yang boleh ditarik atau ditolak, permaian yang boleh ditunggang, permainan aksi seperti buaian, terowong and gelongsor (taman permainan mini)
5-8 tahun – Permainan yang boleh dimanipulasi seperti permainan potong (cut game), mainan seni dan kraf tangan
Sumber: Portal KKM
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Tahu Anak Kita Tantrum Atau Autism, Penjelasan Doktor Ini Sebagai Panduan

Ramai yang salah faham bila anak mengamuk, mulalah orang beri tanggapan negatif. Bagaimanapun, penjelasan Dr Muhammad Uwais Al Qorni ini dapat membuka minda semua orang.
Doktor akui sebenarnya subjek autism ini bukanlah suatu topik yang menjadi subjek “favourite” doktor sebagai pengamal perubatan.
Hal ini kerana setakat ini belum ada satu ubat pun yang dapat menyembuhkan sindrom ini dan kalau ada orang jual ubat untuk rawat autism sila tendang dia jauh-jauh, membongak je kerjanya.
Penghidap autism juga memerlukan gabungan rawatan pakar kanak-kanak, ahli physiotherapy, ahli jurupulih cara kerja, dan pakar psikiatri kanak-kanak. Ini sekaligus menjadikan penyakit autism ini sebagai salah satu penyakit yang paling sukar ditangani dan “multi-discplinary.”
Sebab itu doktor amat menghormati para ibu bapa yang diuji dengan mihnah mendidik dan membesarkan insan istimewa ini. Jiwa mereka tabah dalam menghadapi ragam anak-anak, dan ini sudah semestinya meningkatkan iman para pemilik wildan syurga ini.
APAKAH PULA TANTRUM?
Tantrum adalah normal pada kanak-kanak berumur 2-4 tahun. Ia adalah suatu limpahan emosi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak pada peringkat usia sebegini bagi mengekspresikan diri mereka. Ini tidak bermakna sama sekali anak anda menghidap autism.
BAGAIMANA MENGAWAL TANTRUM?
Tantrum paling berkesan ditangani dengan keadaan tenang. Tidak terburu-buru dan marah.
Pendekatan yang efektif adalah dengan membiarkan kanak-kanak yang sedang menghidap tantrum untuk juga turut sama bertenang dan saling memahami.
Setiap punca tantrum harus ditangani dengan sebaiknya mengikut keadaan.
Sebagai contoh, jika kanak-kanak tantrum berkemungkinan beliau sedang lapar atau mengantuk. Pastikan anda sebagai ibu bapa aktif dalam mengawal jadual tidur dan makan anak-anak.
Jika si kecil anda tantrum kerana tidak mendapat sesuatu yang diingini pula, cuba halakan kehendak anak tersebut ke arah lain atau setidaknya membiarkan sahaja kanak-kanak tersebut hilang minat dan keletihan sendiri.
KEDUA-DUA AUTISM DAN TANTRUM TIDAK DAPAT DISEMBUHKAN!
Namun begitu, terdapat pelbagai teknik dan method untuk merawat dan mengawal autism.
RAWATAN AUTISM?
Antaranya ialah teknik yang dinamakan sebagai Applied Behavioral Analysis (ABA). Program ini melibatkan teknik pembelajaran bersemuka antara ahli psikologi atau pendidik dan penghidap autism. Ia melibatkan pengajaran pelbagai teknik asas dalam kehidupan.
Tujuannya adalah untuk membolehkan penghidap autism berfungsi dengan baik dalam masyarakat. Berdasarkan umur pesakit tersebut, satu persatu kemahiran diajar sehingga penghidap mampu mencapai kualiti hidup seperti orang normal.
Terdapat juga pelbagai ubatan di luar sana untuk mengawal gejala autism, tapi hanya satu sahaja yang diluluskan iaitu risperidone. Kegunaan utama ubat ini adalah untuk mengawal gejala agresif dan keresahan pada penghidap autism.
Diet untuk kanak-kanak autism dikatakan juga mempengaruhi gejala mereka. Ada para dietitien yang mensyorkan agar kanak-kanak autism dihadkan pengambilan gluten dan casein dalam menu harian mereka.
Gluten banyak terdapat dalam makanan seperti gandum dan barli. Casein pula dalam susu, keju dan produk tenusu. Walaubagaimanapun, ini sama sekali tidak menyembuhkan autism ya. Hanya mengurangkan gejala sahaja.
KESIMPULAN?
Kesimpulannya, Autism dan Tantrum keduanya adalah gejala yang boleh menyebabkan keresahan pada penghidap dan juga kedua penjaga kanak-kanak.
Jika tidak berjaya dikawal dengan baik, ia mampu menyebabkan kemurungan atau masalah depresi yang serius.
Oleh itu, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk dikawal, dan tidak cukup sekadar berdehem dan menjeling sahaja.
Pemahaman dan sikap toleransi adalah amat penting untuk kita sebagai anggota masyarakat dalam sama-sama membantu penghidap ataupun ahli keluarga yang menghidap autism dan tantrum dalam menjalani kehidupan mereka seharian.
Sumber: Dr Muhammad Uwais Al Qorni
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI