Pesanan untuk yang bergelar ibu bapa, berhenti ‘dera’ anak dalam senyap. Rupanya itu antara punca anak kurang rasa hormat pada kita bila besar nanti.
Abah, rama-rama ni nak warna apa?”.
“Warna je la apa-apa pun Izni,” sambil tangan sibuk scroll Facebook.
Sedar tak kita sedang ‘dera’ anak dalam senyap?
Ya, memang kita tidak dera melalui fizikal. Tidak rotan, tidak sebat dengan tali pinggang mahupun hanger, tidak menggunakan getah paip atau batang pokok betik untuk mendera, tapi dalam tak sedar ada ‘penderaan’ yang maha dasyat kita telah lakukan terhadap anak kita. Apakah penderaan itu?
Dari segi emosi, penderaan emosi adalah satu trauma psikologi yang mencerobohi lapisan minda seseorang itu dan terganggu untuk jangka masa pendek mahu pun panjang. Antara contoh yang paling mudah:
1. Mengabaikan anak.
“Eh, mana ada saya abaikan anak saya. Makan minum dan pakaian semua cukup. Siap lebih lagi,”. Itu kata anda. Apa pula kata anak anda?
Cuba tengok situasi ini.
Anda balik kerja waktu petang. Seharian anda di pejabat, anak anda pula di tadika/sekolah. Waktu bersama anak dan isteri hanya sebelah malam.
Dan waktu malam inilah anak-anak nak bercerita dengan anda. Nak beritahu apa yang berlaku di tadika/sekolah. Betul? Tapi anda perasan tak, sewaktu anak anda bercerita, apa yang anda lakukan? Tengok muka anak anda? Atau anda lebih fokus pada televisyen? Atau Facebook? Whatsapp? Handphone di tangan?Anda sedar tak anda telah mengabaikan perasaan anak anda.
Bila anak ajak anda main, anda beri alasan penat, tak larat, walhal anda malas nak layan. Nak main handphone, game dan sebagainya. Betul?
2. Tidak memuji anak, tak beri sokongan.
Ads
Anak dapat no. 7, no. 9, no. 19, adakah anda memuji anak? Beri kata-kata semangat? Atau anda langsung tak ambil tahu?
Bila anak tolong kemas mainan, tolong basuh pinggan, tolong kita ambil air untuk minum, adakah kita memuji atau mengucapkan terima kasih? Sepatutnya dari kecil ini kita sudah melatih anak untuk berterima kasih kepada orang.
3. Jangan jadi batu/ dinding.
Anak hampiri kita, tanya kita tentang warna apa yang sesuai untuk warna lukisan rama-rama. Kita pula sibuk melayan video di Facebook. Tak menjawab persoalan anak kita, sehinggakan anak kita berlalu pergi. Punyalah batu kita ni. Tak bolehkah kita ‘Pause’ sebentar video tersebut dan bagi perhatian pada anak? Video tu akan hilangkah? Atau anda lebih rela perasaan anak anda hilang? Ya, ni kesilapan yang kita sedang buat.
4. Terlalu cerewet, teliti.
Jangan kita terlalu cerewet jika anak dalam situasi seperti ini:
Anak nak pakai selipar tak boleh, kena pakai kasut.
Anak nak pakai baju warna kuning tak boleh, kena pakai baju merah.
Anak dapat no.5, marah.
Ads
Kita nampak benda ini remeh, tapi hakikatnya penderaan ini boleh mengganggu emosi dan peribadi anak-anak.
5. Biar anak buat keputusan sendiri.
Ya, sesekali biarkan anak buat keputusan sendiri. Biar tahap ‘confident’ anak lebih tinggi. Jadi dia akan lebih berdikari dan tidak dibuli.
Anak tanya, “Abah, nak pakai baju ultraman ke baju upin ipin?”. Abah pun jawab, “Ikut suka Izni la nak pakai baju apa pun,”.
Betul ke jawapan kita? Salah !
Cuba begini, ” Malam ni Izni nak jadi ultraman ke upin ipin?” Jadi mereka boleh berfikir dan buat keputusan dari soalan kita itu. Semuanya kena bermain dengan kata-kata. Kita perlu lebih kreatif melayan kerenah anak-anak.
6. Merendah-rendahkan anak
Pernah kita rendah-rendahkan anak depan orang? Tidakkan? Tapi sedar tak, kadang-kadang kita tak perasan yang kita sebenarnya dah rendahkan anak-anak.
Ads
Contohnya, bila orang puji anak kita ” Rajinnya Amni tolong angkat pinggan mangkuk dan siap basuh,”.
Tapi kita pula jawab, “Biasalah tu, kat rumah orang dia rajin la sikit. Kalau kat rumah tu, pinggan lepas makan tinggal sahaja dalam sinki”. Pernah tak alami situasi ni? Dalam tak sedar kita dah lukakan emosi anak kita. Daripada nak jadi baik, terus tak baik-baik.
Alangkah lebih elok kita memuji anak kita, supaya pujian itu boleh dibawa ke rumah seandainya betul sekalipun anak kita malas.
7. Tidak memperjuangkan atau ‘back up’ anak.
Anak cakap, Abu curi pemadam dia. Kita hanya balas, “Tak apa lah, kita beli baru nanti,”.
Kita boleh sahaja balas, ” Mana boleh macam itu, itu hak Izni. Izni kena laporkan kepada guru. Tuntut semula hak Izni,”. Anak kita akan lebih rasa dihargai dan lebih berkeyakinan. Jangan biarkan anak kita jadi mangsa buli fizikal dan mental.
8. Sikap penolakan terhadap permintaan.
Tak semua benda kita boleh terima dan tak semua benda juga kita boleh tolak. Begitu juga dengan anak-anak.
Sesekali kita tunaikan permintaan anak. Jika kita tidak mampu, kita cuba berikan dalam bentuk/perkara yang lebih menyenangkan kita.
Tapi ingat, bukan selalu kita boleh penuhi. Jika tidak, nanti akan naik lemak pula. Kena tahu cara untuk atasi permintaan.
Kesimpulannya jangan merungut tiada masa untuk anak. Cuba bahagikan masa untuk mereka kerana mereka lahir dari darah daging kita. Kita yang mencorakkan mereka. Jika kita corakkan hitam, hitamlah jadinya.
Ramai ibu bapa di luar sana yang Obses dengan anak sendiri. Persoalannya, apakah tanda ibu bapa itu obses dengan anak sendiri?
Berikut merupakan jawapannya:
Anda beberapa kali dalam sehari mengemas kini media sosial anda dengan menceritakan setiap perkara yang anak anda lakukan.
Anda sangat kerap memuat naik foto dan video berkenaan anak anda di media sosial.
Setiap perbualan anda adalah berkenaan anak anda.
Setiap aktiviti harian anda adalah berkisarkan anak anda sahaja seperti mencuci pakaian, menukar pakaian atau menyuapkan makanan mereka.
Anda sangat gemar mengenakan pakaian yang sama dengan anak anda.
Anda mula mengabaikan ahli keluarga dan sahabat handai anda.
Anda mula hilang minat dengan kehidupan sosial anda.
Anda tidak percaya untuk meninggalkan anak anda dengan orang lain.
Anda secara tidak sedar mula putus hubungan anda dengan orang lain yang dahulu pernah rapat dengan anda.
Anda sangat mudah teruja dengan setiap perkembangan anak anda walaupun ia adalah sesuatu yang kecil seperti perkataan pertama anak anda.
Adakah tanda-tanda ini terdapat pada anda? Jika ada, cuba muhasabah diri dan berbincang bersama pasangan anda untuk mengelakkan diri anda dari terjerumus menjadi ibu bapa yang sangat obses dengan anak lalu terjerumus ke arah budaya tidak sihat yang dikenali sebagai budaya ‘sharenting’.
Budaya ‘sharenting’
Menurut dua kajian berkaitan yang dijalankan oleh Mariea Grubbs Hoy, profesor dari College of Communication and Information dan Alexa K. Fox, pembantu profesor dari University of Akron, budaya ‘sharenting’ berlaku akibat ibu bapa baru terutamanya yang masih baharu senang terpengaruh dengan ibu bapa lain dan perasaan sendiri lalu dengan mudah berkongsi segala butir peribadi anak seperti nama, tarikh lahir dan paling bahaya, foto dan video mereka.
Menurut mereka, perkongsian informasi seperti ini mungkin sudah dianggap sebagai norma masa kini namun sebenarnya akan menjejaskan privasi dan reputasi anak malahan turut mengundang bahaya kepada keselamatan mereka!
Konklusinya, tidak salah jika anda terlalu obses dengan anak sendiri kerana ia adalah satu perasaan alami yang akan berlaku kepada setiap ibu bapa tetapi jangan terlalu keterlaluan. Ini kerana budaya ‘sharenting’ boleh mengundang bahaya kepada keselamatan anak anda.
Semua pasangan yang mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak mengimpikan keluarga mereka bahagia dunia akhirat. Macam mana nak bahagia rumah tangga? Macam mana nak anak-anak dengar kata, baik soleh dan solehah?
Menurut Ustaz Ebit Lew tiada siapa boleh beri kita bahagia melainkan Allah SWT sahaja. Dialah yang memberikan hati kita tenang dan bahagia. Dialah yang menjadikan suami/isteri saling sayang-menyayang dan anak-anak baik mendengar kata.
Oleh itu kita mestilah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah bagi. Allah SWT bagi macam-macam nikmat kepada kita.
Nak bahagia kena berjuang dan berkorban
Macam mana nak buat supaya anak-anak dengar cakap, macam mana nak buat supaya isteri/suami bertambah sayang pada kita? Apa amalan-amalan yang patut kita buat?
Tambah Ustaz lagi, kalau kita nak kan kebahagiaan tersebut mula-mula sekali kena buat baik pada keluarga, sentiasa doa kepada Allah supaya gerakkan hati pasangan kita untuk sayangkan kita, gerakkan hati anak-anak mudah mendengar cakap.
Oleh itu ketua keluarga iaitu suami kena bawa isteri dan anak-anak dekat dengan Allah SWT. Bawa ahli keluarga belajar iman, kenal Allah dan Rasulullah s.a.w. Contoh keluarga bahagia dan rumah tangga paling bahagia adalah rumah tangga Nabi s.a.w. Jadikan kisah kehidupan Nabi sebagai contoh kita hidup berkeluarga.
Kalau kita nak Allah SWT sayang jadi kita kena sanggup buat apa sahaja untuk pastikan Allah sayang kita. Dalam hidup ini tak perlu cari siapa salah dan siapa silap. Suami tak perlu cakap isteri silap dan isteri juga tak perlu salahkan suami. Masing-masing kena berkorban dan berusaha mendekatkan diri pada Allah SWT.
Untuk bahagia kena berjuang, berkorban dan berusaha. Ia bukannya boleh datang sekelip mata atau telan apa-apa pil bahagia. Tapi kena berusaha membawa ahli keluarga dekat dengan Allah. Bila dekat dengan Allah dan dalam hati ada iman, Insya-Allah semuanya dipermudahkan.
Suami dan isteri saling sayang-menyayang, anak-anak tak degil sebab masing-masing tahu jika buat baik Allah akan lebih sayang kerana sayang yang kita mahu itu semuanya kurniaan daripada Allah jua.
Makanya, bawalah ahli keluarga datang ke majlis ilmu, mendengar cerita kehidupan akhirat, cerita kehidupan Rasulullah s.a.w. Kita tak akan dapat bahagia bila tak bawa ahli keluarga kepada sunnah Nabi.
Amal 3 doa ini untuk bahagia
1. Surah al-Furqan ayat 74
Amalkan doa ini selalu. Jangan tinggalkan ia. Ini adalah rahsia bahagia dalam kehidupan. Ia adalah doa paling mujarab untuk kebahagiaan dalam keluarga. Ia umpama kemuncak bahagia. Allah yang ajarkan manusia doa ini dalam al-Quran.
Maksud ayat ini: “Ya Allah anugerahkan kami pasangan yang menyejukkan mata dan beri keturuan zuriat yang dapat memimpin pada kebaikan.”
Allah yang beri rasa sayang dan cinta pada pasangan. Bila tengok rasa tenang dan bahagia walaupun tak banyak duit dan tak cantik atau handsome.
Keluarga bahagia adalah impian untuk pimpin tangan pasangan dan anak-anak masuk ke syurga Allah. Bawa mereka dekat pada Allah SWT. Syarat bahagia sebuah keluarga yang ALlah dah tetapkan iaitu mengurniakan kita wajah pasangan yang menyejukkan mata dan pimpin ke syurga.
Bila kita pimpin pasangan dan anak-anak dekat dengan Allah mereka juga akan bahagia. Kalau kita nak bahagiakan anak-anak bukan bila mereka sedih kita bagi mainan, kita bagi gajet, kita bawa jalan-jalan. Kita sepatutnya bimbing anak-anak dekta dengan Allah SWT dan Nabi s.a.w.
2. Surah Ibrahim ayat 40
Macam mana nak suruh anak-anak mudah solat? Amalkan doa ini Insya-Allah anak-anak akan mudah solat, solat awal bahkan bersolat sunat juga.
Maksud ayat ini: “Ya Allah jadikan aku orang yang mendirikan solat dan zuriat keturunan aku orang yang menjaga solat.”
Tujuan hidup kita adalah untuk mendapat reda Allah. Oleh itu kita kena dekatkan diri pada Allah. Doa pada Allah supaya kita dan zuriat keturunan jadi orang yang menjaga solat. Orang yang menjaga solat adalah orang yang dekat pada Allah. Ahli solat tidak akan mudah marah-marah, tak suka maki hamun, tidak mengeluh dalam hidup, tenang dalam hidup, tak cepat melatah, lidah jadi baik, tak menyakitkan hati orang lain.
Ahli solat akan sentiasa cakap baik, tak menyakitkan hati orang. Kalau anak kita suka anak cakap kasar dan tak reti nak cakap lembut sebenarnya ia bermula dengan diri kita sendiri.
Bila kita adalah orang ahli solat maka secara tak langsung kita juga orang yang sangat menjaga lidah dan tak cakap kasar pada pasangan dan anak-anak. Ibu ayah jangan terlalu kasar dan keras pada anak-anak 24 jam. Bertegas pada mereka itu perlu tapi jangan sampai anak-anak jadi tak suka dan takut pada kita.
Semakin anak-anak membesar mereka dahagakan kasih sayang dan pelukan ciuman dari ibu ayah. Oleh itu janganlah asyik tengok handphone 24 jam bila di rumah sampai lupa nak tengok dan pelu cium suami/isteri dan anak-anak.
Dalam hidup ini kita kena menghargai apa yang kita ada. Kadang-kala kita kurang mempunyai hati yang bersyukur dan menghargai apa yang ada pada kita.
Nabi s.a.w bersabda orang yang paling baik adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Bila kita syukur, Allah sayang kita. Bangunkan keluarga dengan kasih sayang dan peluk cium anak-anak setiap masa.
3. Surah al-Ahqaf ayat 15
Satu orang tanya pada Talhah r.a apa nak buat bila anak dia degil. Talhah r.a cakap baca surah al-Ahqaf ayat 15.
Maksud ayat ini: “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”
Saidina Ali r.a berkata ini doa yang diamalkan oleh Saidini Abu Bakar As-Siddiq ketika umur 40 tahun dan Allah bagi semua alli keluarganya memeluk Islam
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kita selalu rasa masalah kita ni besar sampai kita tak boleh nak fikir dah apa yang kita kena buat sekarang ni. Kita rasa masalah ni terlalu besar sampai kita stress dan buntu tak tahu nak buat apa-apa.
Sebenarnya masalah yang paling besar sekali yang sedang kita lalui yang sedang kita alami, yang sedang kita hadapi adalah
1. Kita selama ini hidup tanpa Tuhan. Kita hidup tak ada Allah. Kita hidup tanpa bantuan dan juga pertolongan daripada yang Maha kuasa. Kita ni hamba. Kita ini lemah kita tak boleh buat apa-apa tanpa bantuan daripada Allah. Belajarlah untuk menerima hakikat ini dahulu
2. Bila apa saja masalah yang kita cerita, yang kita luah, yang kita bertahun-tahun simpan, dia jadi masalah yang amat besar sebab kita tak pernah dapat Allah. Kita tak pernah merujuk kepada Allah. Kita tak pernah minta dengan Allah. Kita tak pernah bangun malam bangun malam menangis memohon kepada Allah. Minta Allah tolong kasihan kan diri ni.
3. Nak selesaikan masalah ni, kita kena faham yang kita berdepan dengan manusia-manusia, yang mereka itu datang daripada Allah. Suami kita. Isteri kita. Anak-anak kita. Mak mertua kita. Ayah mertua. Saudara-mara. Ipar-duai. Semua tu daripada Allah. Kalau kita tak boleh dapatkan Allah dalam hidup ini, boleh kah kita selesaikan masalah daripada Allah?
Ujian ini adalah untuk kita belajar sabar. Belajar tu maksudnya, belajar bercakap dengan Allah.
Dan, akhirnya nanti Allah sendiri akan bantu kita. Pimpin kita. Tolong kita. Tunjukkan mana yang patut kita buat dalam hidup ni.
Allah sendiri akan tunjukkan dan pandu bagaimana kita harus bertindak.
Ujian untuk kita. Bukan untuk orang lain. Allah buat begitu ada sebabnya. Ada hikmahnya. Ada baiknya.
Akhirnya, dalam kehidupan yang sedang kita lalui ini, diuji, disakiti atau macamana sulit dan rumit sekalipun, kita kekal dengan Allah. Kita tenang dengan Allah. Kita faham apa yang Allah nak berikan hikmahnya.
Itulah makna sebenar ujian. Ia mendidik kita. Bukan sekadar kesakitan kosong yang tidak bermakna. Tanyalah pada diri, kita nak apa sebenarnya dalam menjadi suami dan isteri?
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.