Berdepan dengan masalah anak yang mengalami cirit birit memang memenatkan. Ditambah dengan rasa kasihan yang teramat sangat melihat anak lemah tidak bermaya. Ibu jangan cemas kalau berhadapan dengan situasi ini. Biar saja anak membuang semua kuman dalam badan dan elakkan bagi ubat untuk hentikannya?

Menurut Dr Khairul Azman Mohd Khalid daripada Hospital Pakar Annur Bandar Baru Bangi, masalah cirit birit dikalangan kanak-kanak sememangnya harus diberikan perhatian lebih. Namun ibu bapa perlu elakkan memberi ubat untuk hentikan masalah ini sebaliknya memantau perkembangan anak.


Cirit birit atau diarrhea adalah keadaan dimana bayi atau kanak kanak kerap membuang air besar, mengeluarkan najis yang sangat berair atau cair.

 

Kanak kanak lebih kerap di serang penyakit cirit birit berbanding dengan orang dewasa. Cirit birit atau diarrhea adalah salah satu cara badan kita membuang atau menghilangkan kuman atau toksin, oleh sebab itulah di kalangan kanak kanak, ubat ubat yang menghentikan cirit birit tidak boleh di gunakan sama sekali.

Selagi kuman tidak dikeluarkan dengan cepat, selagi itulah cirit birit tidak akan reda. Jadi mama jangan cemas, sebaiknya biarkan sahaja kesemuanya dikeluarkan. Biasanya cirit birit berlaku bersama demam, muntah muntah, sakit perut dan kurang air (dehydration).


Penyebab Cirit Birit
Penyebab utama adalah jangkitan kuman dan virus contohnya Rotavirus, bakteria seperti salmonella , e. coli, dan parasit seperti giardia. Kadang kala cirit birit boleh berlaku disebabkan oleh keracunan makanan, malabsorption seperti ‘lactose intolerance’ dan kesan samping ubat ubatan seperti antibiotik.

Apa Mama Perlu Buat
Di sebabkan penyakit cirit birit ini kebanyakannya akan pulih dengan sendiri (self limiting), bagaimanapun perkara paling penting dalam merawat masalah ini adalah mencegah dari dehydration atau kekurangan air.

* Sentiasa berikan susu badan atau ORS (oral rehydration salt) kepada bayi dan kanak kanak kecil. Penyakit ini biasanya sembuh dalam masa 7 hingga 14 hari. Memberi air sahaja tidak mencukupi kerana yang hilang bukan sahaja air sahaja, tetapi garam seperti kalium (potassium) yang penting untuk peristalsis (pergerakan usus).

* Bagi kanak kanak pra sekolah ke atas, penyakit cirit birit biasanya dialami tidak terlalu teruk, hanya galakkan mereka minum minuman seperti Gatorade atau ORS. Makan bubur yang di letakkan garam seperti sup dan sebagainya.

* Kajian mendapati minuman susu kultur atau probiotik boleh menolong dalam rawatan cirit birit.

* Cirit birit dan muntah yang disebabkan oleh keracunan makanan biasanya sembuh dalam masa 24 hingga 48 jam sahaja. Rawatan yang disyorkan adalah sama, iaitu dengan menggunakan ORS.

Bagaimana mengesan dehydration (kurang air) pada bayi dan kanak kanak kecil?
Dehydration boleh di bahagikan kepada mild ( sedikit dehydration) , moderate dan severe ( sangat teruk).

Mild dehydration – Biasanya bayi akan mengalami masalah kekeringan pada bibir dan mulut, kanak kanak masih cergas tetapi kehausan dan masih boleh minum air.

Moderate dehydration – Terdapat tanda tanda seperti ubun ubun yang tenggelam, mata yang cengkung, kulit kurang tegang, tetapi kanak kanak tersebut masih sedar malah boleh bercakap dan menangis serta minum tetapi kelihatan sangat letih.

Severe dehydration – Kanak-kanak biasanya akan mengalami tanda tanda seperti di moderate dehydration tetapi kanak kanak biasanya tidak sedar, tidak boleh bercakap dan tak boleh minum air langsung. Nadi susah dirasa dan jika berada dalam keadaan yang kritikal, kanak-kanak akan pengsan.

Bagi kes moderate dan severe dehydration, biasanya perlu di masukkan ke hospital untuk rawatan. Jika cirit birit berlaku beserta dengan ruam atau berak berdarah, jangan tunggu sebaliknya ibu bapa perlu segera mendapat rundingan doktor.

Adakah cara untuk mencegah cirit birit di kalangan kanak kanak?
Susu ibu adalah sangat baik dan kajian mendapati bayi yang di berikan susu ibu kurang mendapat penyakit cirit birit. Walau bagaimanapun terdapat vaksin untuk mencegah cirit birit.

Vaksin Rotavirus boleh didapati di negara kita. Bagaimanapun vaksin ini mesti di berikan sebelum bayi berumur 3 bulan. Manakala untuk vaksin Rotateq pula perlu diberikan sebelum usia bayi mencapai 5 bulan untuk vaksin Rotarix. Selepas umur tersebut vaksin tersebut tidak lagi boleh di berikan.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah meneruskan pemberian makanan dan susu seperti biasa kepada anak-anak. Hanya perlu memantau daya dehidrasi anak-anak. Pastikan mereka tidak mengalami dehidrasi melampau.

Jika anak-anak anda mengalami ketiga-tiga ciri yang disebutkan di atas, segeralah untuk berjumpa dengan doktor, bagi rawatan dan tindakan selanjutnya.