Ibu ayah yang mempunyai impian melihat anak menjadi penghafaz Al-Quran rupanya boleh mulakan usaha sejak anak masih bayi lagi. Perkongsian ibu ini tentang tip yang digunakannya kepada anaknya boleh anda praktikkan.
Sejuk perut bila melihat anak kecil sudah mula membaca Al-Quran. Apatahnya menjadi penghafaznya. Tidak perlu tunggu lama, boleh mulakan usaha daripada bayi lagi!
Menurut Lina Karim dari Islamic Parenting Network, yang juga mempunyai dua orang anak yang menghafaz Al-Quran, ada tiga langkah yang boleh dilakukan sejak bayi di alam rahim lagi.
#1 MULAKAN DARI DALAM KANDUNGAN
Ia boleh dimulakan ketika bayi masih dalam kandungan. Ketika bayi masih janin telinganya sudah pun terbentuk dan mampu berfungsi pada umur lima bulan. Dia sudah boleh menangkap bunyi-bunyian dari luar rahim. Oleh sebab itu, hidangkanlah alunan bunyi-bunyian yang indah seperti bacaan Al-Quran daripada audio atau mp3.
Walaupun yang terbaik adalah memperdengarkan suara ibu atau bapa itu sendiri atau sekurang-kurangnya alunan Al-Quran daripada audio. Ini adalah usaha yang paling sedikit tetapi mempunyai impak yang besar di kemudian hari.
IKLAN
#2 IBU BAPA MENGAJAR
Mana ada guru khas yang boleh mengajar anak Al-Quran ketika mereka berusia enam bulan dan tentunya guru pertamanya adalah ibu bapa sendiri. Guru mengajar Al-Quran selalunya akan menerima kanak-kanak mengaji pada umur lima hingga enam.
Jika kita menunggu guru, kita akan mensia-siakan masa “emas” anak. Maka, ibu dan bapa sahajalah yang mengajar mereka ketika bayi.
IKLAN
#3 MAINKAN BERULANG KALI
Bayi belajar dengan mendengar sesuatu secara berulang. Jika 30 juzuk dimainkan, kita susah bertemu dengan titik ulangan kerana sangat panjang. Beliau menyarankan untuk memainkan beberapa surah.
Contohnya surah-surah penting seperti Al-Fatihah, Surah Luqman, Surah Yassin, Surah Sajadah, Surah Mulk, dan Al Kahfi ( 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir).
IKLAN
AL-QURAN KEPADA ANAK
Setiap surah ada manfaatnya. Contohnya surah Al Kahfi (10 ayat awal dan 10 ayat terakhir) adalah supaya kelak bila anak itu lahir mudah untuk dia menghafal dan mengamalkannya. Ia adalah perlindungan yang dijanjikan Allah dari Dajjal.
Kebanyakan ibu bapa mengeluh yang mereka menjaga anak mereka sebaik mungkin semasa kecil tetapi bila sudah masuk alam persekolahan dan mula bergaul, seolah-olah kuasa kita mengawal dan melindung mereka sudah berkurangan.
Hanya dengan pertolongan Allah sahaja anak kita akan terlindung dari segala anasir yang tidak baik ketika di luar. Kita perlu akui hakikat kehidupan, walau bagaimana sayang pun pada anak, kita tidak boleh melindungI mereka 24 jam. Berbaliklah pada Allah dengan janjinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sukanya bayi kepada remote control, kunci & telefon, ini mungkin sebabnya. Ketiga-tiga objek ini selau menarik perhatian bayi. Nak tau kenapa?
Kadang-kadang mama dan papa berasa pelik, kenapa objek-objek ini menjadi kesukaan bayi. Rupanya-rupanya ia berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang berkaitan dengan perkembangan visual dan sensori si bayi.
KUNCI
KENAPA BAYI SUKAKANNYA?
Kunci, tak kira kunci rumah atau kunci kereta memang kesukaan si kecil. Kunci khususnya yang diperbuat daripada logam mempunyai rupa bentuk berkilat menarik perhatian mereka. Apabila ia dikumpul dua atau lebih, maka ia akan menghasilkan bunyi yang menyeronokkan bayi.
IA BOLEH JADI BERBAHAYA KERANA…
Kunci yang diperbuat daripada keluli yang disalut selalunya mempunyai plumbum yang boleh membahayakan bayi dan boleh menyebabkan keracunan logam. Selain itu, kunci juga boleh memerangkap kekotoran dan minyak. Bentuknya yang runcing dan bergerigis boleh mencederakan bayi. Maka ia amat tidak sesuai untuk dijadikan mainan bayi.
ALAT KAWALAN JAUH
KENAPA BAYI SUKAKANNYA?
Ia mempunyai butang yang berwarna-warni. Butangnya lembut dan adakalanya bercahaya/ berkelip-kelip apabila butang ditekan. Ini lah sebabnya ia ‘interaktif’ sungguh kepada si manja.
Lebih-lebih lagi bila si kecil boleh melihat kesan menekan butang-butang pada alat kawalan jauh itu. Kalau tindakannya itu menyebabkan saluran TV tertukar atau TV dimatikan/dihidupkan, maka makin seronoklah dia!
IA BOLEH JADI BERBAHAYA KERANA…
Seronok memang seronok, tapi mama dan papa perlu tahu yang alat kawalan jauh diperbuat daripada butang-butang kecil yang boleh terbuka atau tertanggal. Alat ini juga menggunakan bateri yang boleh mengakibatkan risiko tertelan kepada bayi.
TELEFON
KENAPA BAYI SUKAKANNYA?
Tidak kira sama ada telefon bimbit, telefon pintar atau telefon rumah, semua ketiga-tiga ini menjadi kesukaan si manja. Telefon bimbit dan telefon rumah, mempunyai butang kecil dan skrin yang menampilkan pelbagai objek apabila butangnya ditekan.
Manakala skrin telefon pintar pula mengeluarkan cahaya apabila butangnya ditekan. Tarikannya bukanlah sekadar video atau Youtube semata-mata, telefon bimbit itu sendiri yang amat menarik perhatian si anak. Bentuk luarannya yang berwarna hitam dan putih juga menangkap visual anak kecil.
IA BOLEH JADI BERBAHAYA KERANA…
Telefon ialah peralatan untuk berkomunikasi dan bukannya permainan. Ia terdedah kepada kekotoran dan kuman berbahaya yang mungkin boleh menyebabkan si manja sakit apabila memasukkannya ke dalam mulut.
Dalam satu kajian di Britain, penyelidik mendapati terdapat bakteria pada 92% telefon bimbit yang diuji. Lebih buruk lagi, satu daripada enam telefon telah tercemar dengan bakteria E. coli yang boleh menyebabkan masalah perut yang serius (berpotensi mengancam nyawa bayi). Virus yang menyebabkan selesema juga misalnya boleh hidup di beberapa permukaan untuk sehari atau lebih.
Sekiranya telefon tersebut mempunyai tali cord, maka risiko terbelit juga amat tinggi!
PENYELESAIAN IALAH CARI PENGGANTI YANG SESUAI!
Mama dan papa, jika bayi suka bermain dengan kunci, telefon dan alat kawalan jauh, gantikannya dengan mainan yang direka khas untuk bayi yang menyerupai fungsi dan bentuknya. Pastikan permainan yang dibeli yang diperbuat daripada plastik bebas Bisphenol A, (bebas BPA). Jangan lupa periksa sebelum beli, pastikan ada pelekat logo yang berwarna hitam putih ini atau MC (Malaysian Conformity).
Meniti kebahagiaan dengan kehadiran orang baru, rumah tangga pasangan Amar Bahrin dan Amyra Rosli nampaknya semakin lengkap selepas kehadiran bayi perempuan pada 1 Februari lalu.
Bersyukur dengan kehadiran cahaya mata kedua, Amar Bahrin menerusi instagram telah memuat naik beberapa gambar bayi perempuannya dari jarak jauh selain video selepas kelahiran.
Sementara itu, melihat reaksi Aqeef Anaqi seolah-olah faham yang dia dah bergelar abang, nampak sungguh prihatin pada mummynya. Walaupun masih kecil, jelas kelihatan sikap tanggungjawabnya prihatin terhadap mummy dan adik perempuannya.
Setakat ini pasagan ini belum lagi mengumumkan nama bayi kedua mereka. Ramai yang dah tak sabar nak tahu selanjutnya sama ada ia bermula dengan huruf ‘A’ juga atau sebaliknya.
Sebelum ini Amyra selamat bersalin pada pagi 1 Februari lalu dan 10 hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor.
“Alah, bayi baru lahir bukan tahu apa nanti dia akan berkembang sendiri”. Tahukah mak ayah yang sebenarnya kita dah boleh merangsang perkembangan bayi sejak dari lepas lahir lagi.
Tujuan merangsang perkembangan bayi bukan untuk jadikan bayi kita lebih genius dari bayi orang lain tapi untuk memastikan perkembangannya normal. Berikut adalah perkongsian Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi
Sepanjang pengalaman menjadi terapis, jangan terkejut kalau saya kata yang 70% mak ayah yang mempunyai anak kelewatan perkembangan tak tahu akan fakta ini dan terasa sayang sangat masa genting anak membesar sudah berlalu.
Walaupun bayi selepas lahir memang hanya terbaring, nampak macam tak faham apa-apa tetapi sangat rugi kalau mak ayah tak manfaatkan waktu ini untuk merangsang perkembangannya seawal mungkin.
NAK RANGSANG APA??
Jawapan saya, semua komponen perkembangan. Mak ayah perlu ingat yang 100% perkembangan otak anak bawah 2 tahun bergantung kepada rangsangan deria. Perkembangan deria inilah yang akan mempengaruhi perkembangan skil anak di masa akan datang. Sewaktu ini anak tak pandai cari, semuanya bergantung kepada persekitaran dan rangsangan dari mak ayah sahaja.
RANGSANG BAYI 0 – 3 BULAN
Ini tips saya:
1. DERIA VISUAL
– Memandang dan bercakap dengan jarak 8-10 inci kerana penglihatan bayi masih kabur-kabur lagi.
– Pemilihan mainan dengan warna dan corak yang kontra. Kontra yang kuat seperti merah, hitam dan putih.
– Tarik perhatian bayi dengan menggerakkan mainan dari kanan ke kiri, atas ke bawah dan sebaliknya secara perlahan-lahan.
– Kerapkan senyum dan buat ekspresi muka semasa bercakap ataupun berinteraksi bersama bayi. Lagi “over” lagi bagus.
INI PENTING UNTUK:
Skil pertuturan, Skil Fokus, Persepsi Visual, Koordinasi Mata dan Tangan
2. DERIA AUDITORI
– Bercakap dengan bayi menggunakan intonasi dan nada yang menarik serta berbeza-beza.
– Respon seperti berbual apabila bayi mula keluarkan bunyi selain menangis.
– Pemilihan mainan yang berbunyi seperti “rattles” dan mainan yang ada muzik.
– Goncang mainan yang berbunyi untuk tarik perhatian bayi dan gerakkan ke kanan dan kiri, atas dan bawah.
– Menyanyi atau berselawat bersama bayi.
– Dapatkan pemeriksaan pendengaran jika mak ayah dapati bayi tak respon terhadap suara mak ayah atau bunyi yang kuat. Lagi cepat lagi bagus.
PENTING UNTUK:
Skil Bahasa dan Pertuturan
3. DERIA SENTUHAN
– Tak perlu pakai sarung tangan dan kaki sekiranya persekitaran tak sejuk serta mak ayah bersama bayi jika risau bayi tercakar muka.
– Urut bayi sejak hari pertama kelahiran.
– Pemilihan mainan yang pelbagai tekstur.
– Kerapkan kontak kulit ke kulit.
PENTING UNTUK:
Perkembangan Fizikal, Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar, Kognitif, “Special Bonding’ Mak Ayah dan Anak, Skil Sosial dan Perkembangan Emosi
4. DERIA SENDI
– Lakukan “Tummy Time” seawal baru lepas lahir. (Saranan saya selepas tali pusat bayi dah tercabut). Lakukan sekejap sahaja tetapi kerap. *Akan kongsikan di masa akan datang
– Urutan gusi.
– Kerap memeluk bayi.
– Membedung bayi melalui teknik yang betul.
PENTING UNTUK:
Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar, Skil Menulis, Skil Pertuturan
5. DERIA RASA
– Urutan gusi.
– Jangan terlampau halang bayi belajar menghisap tangan, jari atau mainan! Ia adalah normal semasa meniti perkembangan bayi.
– Mohon jangan beri bayi “rasa-rasa” makanan orang dewasa, boleh merosakkan perkembangan deria rasa anak.
PENTING UNTUK:
Skil Urus Diri (Makan), Skil Pertuturan
6. DERIA BAU
– Kerap memeluk bayi untuk beri bayi bau unik mak ayah.
– Beri masa untuk bayi mencari puting sekiranya menyusu badan.
– Tinggalkan baju yang telah dipakai berdekatan bayi semasa kali pertama tinggalkan bayi bersama orang lain.
PENTING UNTUK:
Skil Urus Diri (Makan), “Special Bonding” Mak Ayah dan Anak
7. DERIA VESTIBULAR
– Menggunakan buaian dengan cara yang betul.
– Mendukung bayi dengan pelbagai posisi.
– Meniarapkan bayi di atas “gymball”.
PENTING UNTUK:
Skil Motor Kasar, Koordinasi badan, Kesedaran Ruang, Posisi Tubuh
Sudah terlampau banyak kes yang saya jumpa dimana mak ayah menyesal tak bantu perkembangan anak sejak lahir dan baru sedar bila anak dah pun terlewat perkembangan.
Saya harap dengan perkongsian ini dapat memberi idea pada mak ayah cara merangsang perkembangan bayi seawal sejak lahir.
Kenapa kena rangsang?
1. Usaha.
Kita usaha dahulu, jika memang ditakdirkan bayi kita mempunyai masalah perkembangan ataupun sindrom/disorder di masa akan datang sekurang-kurangnya kita tahu yang kita sudah buat yang terbaik untuk rangsang anak sejak lahir.
2. Intervensi awal.
Rangsangan ini juga penting untuk memastikan tahap perkembangan bayi dan keperluan intervensi awal sekiranya memerlukan. Lagi awal bayi dapatkan bantuan terapi, lagi cepat “progress” perkembangan bayi.
Tips ini juga boleh digunakan untuk bayi pra-matang dan bayi yang ada masalah kesihatan sejak lahir (perlu tanya pendapat doktor/terapis yang mengendalikan kes anak).
Sekian, semoga bermanfaat untuk mak ayah yang baru sahaja mendapat anak, ibu mengandung atau mak ayah yang merancang mendapatkan anak. Boleh simpan siap-siap tips ini.
Selamat merangsang perkembangan anak!
Kredit: Maryam Jamadi Pediatric Occupational Therapist BEYOND Home Therapy Selangor & Johor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!