Dikurniakan anak sudah tentu menjadi idaman setiap wanita berkahwin. Jika tiada sebarang komplikasi, kelahiran secara normal amat digalakkan. Melahirkan melalui pembedahan biasanya dibuat jika ibu mempunyai masalah dengan kehamilannya.
Terdapat perbezaan dalam prosedur kedua-dua jenis kelahiran ini. Ada pendapat yang mengatakan kelahiran normal lebih baik berbanding pembedahan, tetapi setiap ibu yang bertarung nyawa untuk bersalin harus diberikan penghargaan.
Kenali dua jenis kelahiran ini dengan lebih dekat agar anda dapat memahami konsepnya. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang kelahiran normal dan pembedahan ini daripada Dr. Khamsiah Muda, Pengasas dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di Andorra Women and Children Hospital.
KELAHIRAN NORMAL
Kelahiran anak secara normal adalah proses pada akhir kehamilan, iaitu janin keluar dari rahim ibu melalui vagina tanpa menggunakan bantuan peralatan seperti vakum atau forcep. Proses kelahiran normal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.
Fasa Pertama
Kelahiran bermula dengan mulanya fasa pertama proses kelahiran. Pada waktu ini, Rahim akan mengecut setiap 10-30 minit pada awalnya dan ia berlaku untuk jangka masa 40 saat. Kemudian, kadar pengecutan rahim akan meningkat perlahan-lahan setiap dua minit. Setiap kali Rahim mengecut, pangkal rahim akan membuka sehingga mencapai kelebaran 10sm.
Situasi inilah yang kita panggil kontraksi. Pada waktu inilah para ibu akan merasa sakit sementara menunggu pintu rahim terbuka sehingga 10sm agar bayi dapat melalui pintu vagina untuk menjayakan kelahiran normal. Biasanya pangkal rahim diselaputi lapisan mukus yang menolong mencegah jangkitan. Lapisan ini akan dikeluarkan sebelum proses kelahiran bermula. Selepas itu, proses seterusnya adalah kepecahan air ketuban.
Fasa Kedua
Dalam fasa kedua kelahiran, bayi dikeluarkan dari rahim melalui vagina. Ia akan berlaku apabila otot rahim dan abdomen mengecut dengan kuat. Dalam kes kelahiran normal yang biasa, kepala bayi akan dikeluarkan terlebih dahulu.
Ads
Sekiranya bayi berkedudukan songsang, bahagian punggung akan dileuarkan terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kaki bayi terlipat ke atas. Jika ini kes ibu yang pertama kali melahirkan, bayi berkemungkinan harus dikeluarkan melalui pembedahan caesarean. Selepas dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri akan dikapit dan di potong.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga kelahiran berlaku lebih kurang ¼ – ½ jam selepas bayi dilahirkan. Kemudian uri akan dikeluarkan. Uri bersambung kepada bayi melalui tali pusat yang terdiri daripada saluran darah dan tisu kolektif.
PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan caesarean adalah pembedahan di mana pakar obstetrik membuat potongan pada perut dan rahim (uterus) agar bayi anda boleh dilahirkan. Pembedahan untuk melahirkan anak merupakan pembedahan besar yang paling biasa dalam kalangan wanita.
Kelahiran melalui pembedahan akan dsyorkan oleh doktor jika kelahiran secara normal didapati berisiko tinggi. Namun demikian, prosedur ini juga boleh dijalankan dia atas permintaan si ibu.
Bila Proses Bersalin Caesarean Bermula?
Setelah usia kehamilan mencapai 38 minggu Bayi akan dikeluarkan melalui belahan di perut ibu dan bukan dari faraj. Sebelum pembedahan dimulakan, doktor akan menjalankan pembiusan epidural sehingga kawasan perut ke kaki (half body bius) supaya si ibu berasa kebas.
Semasa proses pembedahan, para ibu berada dalam keadaan sedar. Hanya dalam kes tertentu, pembiusan penuh akan dilakukan. Bagi mengelakkan iu berasa panik, doktor kebiasaannya akan mmberi ubat penenang supaya mereka lebih santai ketika proses pembedahan dijalankan.
Mengapa Perlu Dibedah?
Terdapat beberapa kes kehamilan yang memerlukan ibu menjalani kelahiran melalui pembedahan:
Ads
Plasenta Previa
Semasa mengandung, rahim mengembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar menjauhi serviks. Plasenta previa adalah keadaan di mana uri tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutup pintu laluan kelahiran.
Plasenta Luruh (Abruption)
Keadaan ini apabila plasenta terpisah dari dinding rahim seblum tarikh kelahiran. Apabila ia berlaku dikhuatiri bayi akan terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Dalam sesetengah kes, jika ini terjadi bayi akan dilahirkan pra matang.
Kehamilan songsang
Tali pusat jatuh (Cord Prolapse)
Jarang berlaku. Tetapi jika terjadi, pembedahan segera perlu dibuat kerana tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.
Bayi lemas (Fetal Distress)
Bayi lemas apabila kekurangan bekalan oksigen ketika dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan berbanding kadar normal.
Bukaan lambat
Jika bukaan rahim terlalu lambat, tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5sm setiap jam dalam tempoh empat jam, pasti ada masalah.
Pembedahan ulangan
Ibu mengalami masalah darah tinggi atau kencing manis semasa hamil
Masalah tumbesaran bayi
Jika tumbesaran bayi terbantut, bayi mudah lemas semasa proses kelahiran.
Bayi kembar
Bayi kembar boleh dilahirkan melalui kelahiran normal, tetapi sesetengah kes ibu terpaksa dibedah bergantung kepada posisi bayi, berat badan mereka serta usia dalam kandungan.
Biar apa pun jenis kelahiran seorang ibu, ia merupakan pengorbanan terbesar seorang wanita. Kedua-dua jenis kelahiran sama hebat dan sama sakitnya. Selepas melahirkan bayi, jagalah kesihatan dan ikutlah saranan doktor agar segera sembuh. Jika ada ibu yang mahu bersalin secara pembedahan walaupun tiada sebarang komplikasi ketika hamil, itu bergantung kepada pilihan masing-masing. Setiap kelahiran mempunyai risiko tersendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anda melahirkan anak melalui pembedahan caesaraen selepas dua tahun dan menerima suntikan bius pada tulang belakang dan anda sering mengalami sakit belakang terutamanya di bahagian bawah berhampiran punggung membuatkan anda tertanya-tanya adakah disebabkan oleh suntikan bius.
Anda juga tidak boleh berdiri lama dan mengangkat berat. Sakit akan berlarutan dua hingga tiga hari sehingga perlu berbaring dan berehat untuk melegakannya. Mungkin anda tertanya-tanya adakah sakit belakang yang anda alami ini berpunca daripada suntikan bius tersebut? Penerangan ini mungkin boleh membantu anda.
Masalah sakit belakang yang anda alami berlaku dua tahun selepas pembedahan caesarean kemungkinan besar tidak disebabkan oleh prosedur bius semasa bersalin.
Terdapat dua jenis bius yang melibatkan suntikan di tulang belakang bagi pesakit yang bersalin melalui prosedur ini iaitu spinal anaesthesia dan epidural anaesthesia.
Spinal anaesthesia lebih kerap digunakan dalam kes-kes pembedahan caesarean. Teknik memberi bius melalui spinal anaesthesia menggunakan jarum yang amat halus iaitu pencilpoint spinal needles meninggalkan kesan yang amat minimum kepada pesakit.
Bagi teknik epidural anaesthesia pula, garis pusat jarum lebih besar tetapi sakit belakang itu akan berlaku sejurus selepas pembedahan, bukannya dua tahun kemudian.
Tempat jarum spinal dan jarum epidural disuntik adalah lebih jauh iaitu atas daripada paras punggung! Jika anda mengalami masalah sakit di bahagian bawah berhampiran punggung tetapi kawasan ini tidak pernah digunakan untuk prosedur bius bagi mana-mana pesakit yang melahirkan menerusi pembedahan caesarean.
Masalah sakit belakang atau low back pain yang dialami perlu pemeriksaan dan rawatan pakar ortopedik. Kebanyakannya disebabkan oleh masalah otot. Sesetengahnya akibat prolapsed intervertebral disc di mana kesakitan dari belakang akan menjalar ke kaki (sciatica). Jika masalah ini berlarutan tiga hingga empat minggu, segera dapatkan rawatan.
Ia sering berlaku apabila:
Mengangkat barang yang berat.
Selepas bekerja atau bersenam kuat.
Duduk lama di kerusi yang tidak sesuai.
Menyandang beg tangan yang berat.
Duduk dengan postur badan yang salah.
Sekiranya mendapatkan rawatan, imbasan sinar X akan dilakukan. Rawatan fisioterapi adalah langkah pertama sebelum ubat-ubatan diberi. Langkah-langkah lain seperti yoga juga pernah digunakan untuk menguatkan otot dan kawasan tulang belakang. Pembedahan hanya dilakukan adalah untuk kes-kes tertentu. Berbincanglah dengan doktor sebelum memberi kebenaran untuk pembedahan.
3 cara atasi sakit belakang
Mengurangkan berat badan jika obes.
Membetulkan postur ketika duduk.
Mengurangkan beban ketika bekerja.
Menuam kawasan yang sakit menggunakan hot pack atau botol air panas
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selesema dan batuk merupakan antara penyakit yang sering dihadapi oleh bayi. Ia disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cuaca dan sistem kekebalan tubuhnya yang belum sempurna.
Walaupun selesema dan batuk dikategorikan sebagai penyakit ringan, namun ibu bapa, jangan sesekali memandang enteng masalah ini, Jika diabaikan, dikhuatiri ia boleh mengganggu keselesaan bayi. Lebih teruk lagi, jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius seperti bronkitis dan radang paru-paru atau pneumonia. Jika bayi anda selesema dan batuk, ikuti langkah-langkah berikut.
Langkah 1
Pastikan tangan dibersihkan terlebih dahulu sebelum mahu mengurut bayi. Kuku jari anda juga perlu pendek agar urutan yang menggunakan teknik Vitaflex lebih berkesan. Teknik ini hanya menggunakan jari di mana jari-jari anda akan mengaktifkan titik refleks menggunakan minyak pati. Cas elektrik akan dikeluarkan dan menghantar tenaga melalui laluan neuroelektrik.
Langkah 2 & 2A
Mulakan urutan di bahagian kaki menggunakan teknik Vitaflex bagi sebelah kaki selama satu minit. Golekkan jari anda di titik pernafasan (1sm daripada jari kaki bayi). Ulang langkah yang sama pada sebelah lagi tapak kaki.
Langkah 3
Urut lembut bahagian dada dalam tempoh setengah minit. Lakukan butterfly massage sehingga ke bahagian bawah perut. Jika bayi selesa, langkah ini boleh diteruskan sehingga 1 minit. Ambil kesempatan ini, untuk bermesra dengan bayi.
Langkah 4
Lakukan urutan lembut bahagian belakang bayi. Jika bayi batuk teruk, lakukan teknik tepukan percussion. Pastikan tangan melengkung dan ibu jari berada pada kedudukan selari dengan jari-jari yang lain. Setelah itu, barulah anda boleh menepuk belakang bayi bagi melonggarkan kahak atau lendir yang ada. Lakukannya dalam masa dua hingga tiga minit. Namun, ia bergantung pada tahap keterukan batuk yang dialami oleh bayi.
Langkah 5
Bagi bayi yang berumur enam bulan ke atas, anda boleh lakukan teknik mengurut di zon T mukanya dengan menggunakan minyak. Manakala bayi yang lebih kecil, anda tidak digalakkan untuk melakukan langkah ini walaupun ia selamat untuknya. Cukuplah sekadar urutan di bahagian tapak kaki, dada dan belakang untuk bayi di bawah usia enam bulan.
Jika hidung bayi tersumbat, ulangi langkah-langkah ini setiap 15 hingga 30 minit untuk dua jam. Selepas selesema atau batuk berkurangan, jarakkan kekerapan urutan.
Bahan-bahan penyembuh semula jadi
Bahan-bahan semula jadi berupa pati tumbuh-tumbuhan eksotik sememangnya diketahui umum dapat menjadi penyembuh sesuatu penyakit. Minyak zaitun biasanya digunakan sebagai carrier oil agar ia mudah menyerap pada kulit dan selamat digunakan untuk semua peringkat usia.
Lavender pula sangat baik untuk melegakan saluran sistem pernafasan yang bengkak akibat selesema dan batuk berpanjangan, selain daripada bertindak sebagai penenang tubuh dan minda. Pudina pula dikenal pasti sebagai anti viral yang dapat membantu melegakan masalah pernafasan dengan aroma yang menyegarkan. Maka tidak hairanlah minyak pudina popular dalam kebanyakan produk bagi merawat selesema.
Sementara itu pati lemon bersifat anti virus, sesuai dengan sifatnya sebagai buah sitrus yang boleh melawan jangkitan. Begitu juga dengan keunikan gam arab iaitu tumbuhan khas yang mampu meningkatkan daya tahan tubuh. Di samping bertindak membantu melonggarkan kahak agar bayi mudah memuntahkannya.
Kredit: MajalahPa&Ma
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila anak kecil mengalami demam, sudah pasti doktor akan membekalkan ubat untuk membantu mengurangkan jangkitan dan menurunkan suhu badannya. Masalah timbul apabila ada segelintir si kecil yang berasa takut setiap kali syringe atau sudu ubat disuakan ke mulutnya.
Adakah anda salah seorang yang mengalami masalah yang sama? Pasti timbul tekanan melayan karenah anak yang sedemikian rupa, bukan? Di sini dikongsikan beberapa panduan yang boleh anda guna pakai dalam usaha memberi anak makan ubat agar dia lekas sembuh dan kembali aktif seperti sedia kala.
1.Tembak ubat ke arah pipi menggunakan picagari
Tip ini sering dipraktikkan oleh jururawat di wad pediatrik. Dengan menggunakan cara sebegini, anak anda tetap mempunyai kemungkinan untuk memuntahkan kembali ubat yang masuk ke dalam mulutnya. Namun, amaun yang masuk ke dalam tekak adalah lebih banyak daripada yang dikeluarkan.
2. Beri ubat berperisa
Jika boleh, berikan ubat yang didatangkan dalam perisa yang digemari oleh anak. Jika anak suka rasa strawberi, dapatkan ubat yang berperisa buah itu dan beri dia makan. Cara ini sedikit sebanyak boleh membantu.
3. Puji selepas makan ubat
Apabila anak sukar makan ubat, jangan sesekali ucapkan kata-kata marah kepadanya. Tambahan lagi jika ketika itu dia baru sahaja memuntahkan ubat yang diberi.
Walaupun amaun ubat yang masuk ke dalam tekaknya mungkin sedikit, berikan pujian. Ia perlu kerana dia berjaya makan ubat walaupun tidak sepenuhnya. Selain itu, peluk dan ciumlah dia.
4. Jangan campur ubat ke dalam susu
Ini adalah satu kesilapan besar. Bimbang rasa pahit ubat yang dirasainya semasa minum susu menyebabkan dia menolak susu di kemudian hari walaupun di dalamnya tidak lagi mengandungi ubat.
5. Main doktor olok-olok
Jangan jadikan profesion kedoktoran yang bergelumang dengan jarum suntikan, hospital dan darah untuk menakutkan anak terhadap sesuatu perkara. Sebaliknya, jadikan doktor sebagai watak baik yang boleh membantu anak makan ubat dengan lancar.
Cara paling mudah ialah lakukan permainan doktor olok-olok bersama anak. Gunakan picagari kosong dan alat permainan doktor milik anak yang lainnya. Selitkan nasihat kepada anak bahawa dengan makan ubat, ia dapat membantu dia kembali sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki musim banjir, penoreh getah ambil upah jadi tukang cuci. Seorang penoreh getah di Besut, Terengganu menjadikan perkhidmatan mencuci rumah mangsa banjir sebagai sumber pendapatan sampingan.