Tak ramai ibu bapa yang sunatkan anak lelaki masa bayi sebab beranggapan ia akan menyakitkan si kecil dan susah hendak dijaga.
Budaya masyarakat Melayu lebih cenderung untuk sunatkan anak lelaki semasa mereka berusia tujuh tahun ke atas.
Kalau dalam budaya masyarakat Arab, mereka memang memilih sunatkan anak lelaki ketika bayi lagi kerana mengikut sunnah yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Seorang ayah yang berusaha mengikut sunnah Nabi berkongsi kelebihan dan perbezaan apabila memilih untuk sunatkan anak lelaki ketika bayi lagi. Baca perkongsian Ibn Shihab Al-Dimashqy ini.
Perbezaan Khitan antara Arab & Melayu
Terdetik untuk kongsi perkara ini, kebetulan baru lepas sunatkan anak lelaki saya minggu lepas. Setelah saya amati perbezaan yang wujud tentangnya di antara Arab dengan Malaysia, ternyata banyak kebaikan & kelebihan untuk khitankan anak lelaki di waktu kecil seperti yang dilakukan oleh bangsa Arab.
1) Khitan ke atas bayi hanya mengambil masa lebih kurang 24jam sahaja untuk sembuh, berbanding ke atas kanak-kanak yang sudah besar yang mengambil masa berminggu-minggu.
2) Sembuh tanpa apa-apa risiko & infection, berbanding ke atas kanak-kanak yang sudah besar yang mungkin terdedah kepada pendarahan, bentan, nanah & seumpamanya.
Ads
3) Tidak perlu kepada ubatan. Bayi yang hanya minum susu, amat cepat sembuh kerana masih dalam proses pembesaran. Untuk kanak-kanak pula terpaksa disediakan makanan ‘pantang’ khas serta ubatan tertentu untuk memastikan cepat sembuh.
4) Di negara Arab, tidak pernah timbul isu saf khas buat kanak-kanak yang belum sunat ketika solat di masjid, yang mana kadang-kadang sering jadi perbalahan kita di Malaysia. Kebiasaanya terjadi apabila ada yang bertindak menghalau kanak-kanak yang belum khitan ke saf belakang atas hujah menanggung najis & lain-lain. ***isu saf ni perlu perbahasan panjang lagi tentang hukum hakamnya. Ini sekadar pernyataan umum ke atas realiti yang berlaku di Malaysia, takut nanti ada yang silap faham.
5) Malah anak-anak kecil yang sudah sunat, sah solat mereka dan sah juga jika bermakmumkan mereka. Dengan syarat sudah mumayyiz (mudah faham ‘mumayyiz’: makan sendiri/pakai sendiri/istinjak sendiri). Alangkah cantiknya apabila budak-budak yang umur 6, 7 tahun diajarkan untuk jadi imam dirumah bersama keluarga dalam solat yang sah.
6) Penjagaan kebersihan anak, bukan bermula ketika sudah besar, sebaliknya harus dititikberatkan sejak bayi lagi. Kerana itu Arab guna istilah ‘thoharoh’ (kebersihan) ke atas kalimah khitan.
7) Ada sebilangan orang perempuan berkata sunat waktu baby adalah menyeksakan baby, tetapi sebenarnya sunat waktu besar lagilah amat menyeksakan!. Kami tahu lah sebab kami orang laki..huhu
Ads
8) Cuma kekurangannya, bayi yang disunatkan waktu kecil, maka tidaklah mereka punyai pengalaman sunat macam kita. Kerana manalah mereka ingat apa-apa sebab kecil sangat lagi. Jadi tak adalah cerita-cerita kelakar lari dari tok mudim, atau tendang tok mudim, atau seronok mandi sungai ramai2 sebelum sunat, atau seronok dapat duit banyak orang sedekah kat kita pastu beli macam-macam mainan selepas tu, dan macam-macam lagi kisah “Masuk Jawi” yang boleh buat bahan gelak sehingga ke tua.
Tiada salahnya untuk kita ubah adat kita kepada satu adat yg lebih baik, malah lebih mendekati sunnah yg anjurkan oleh Nabi SAW.
Dari Saidatina Aaisyah RA, “Sesungguhnya Nabi SAW mengkhatankan Hassan & Hussain pada hari ke 7 dari hari kelahiran keduanya.” — Riwayat al Baihaqi.
Wallahualam..
Gambar hanyalah lakonan anakanda saya Muhammad Al Azhari semata-mata, sekadar ambil berkat amalan orang-orang Melayu sebagai kenang-kenangan
*Gambar hanyalah lakonan anakanda saya Muhammad Al Azhari semata-mata, sekadar ambil berkat amalan orang-orang Melayu sebagai kenang-kenangan.
Ads
*Untuk pengetahuan juga, sebahagian besar negara Arab tak sunatkan anak perempuan mereka. Perlu dimaklumi juga ianya adalah masalah khilaf dikalangan para fuqaha’ di dalam mazhab-mazhab yang mukhtabar. Untuk di Malaysia, teruskanlah amalan yang sedia ada dalam mazhab al Imam as Syafie.
*Mesej buat para doktor di Malaysia juga supaya mula belajar untuk sunatkan bayi kecil.
*Ramai bertanya saya tentang lokasi sunat untuk baby, maaf saya tak tahu kerana saya di Cairo, Egypt sekarang. Boleh rujuk diruang komen kerana ramai juga yang berkongsi lokasi-lokasi tertentu di Malaysia, & pengalaman khitan anak-anak mereka walau umur sudah 1, 2, 3 tahun. Semua perkongsian positif & menarik. Alhamdulillah. Mohon rakan-rakan yang tahu mana-mana tempat sunat untuk baby boleh kongsi-kongsikan bersama. Shukran.
Murajaah 7 perkara Sunnah Nabi ketika mendapat kelahiran
Hari pertama : (1) Azan & iqomah di telinga bayi. (2) Tahnik
Hari Ke 7 : (3) Beri nama. (4) Aqiqah. (5) Berkhatan. (6) Cukur rambut.
Hari tidak ditetapkan : (7) Sedekahkan wang berdasarkan berat rambut anak yang telah dicukur itu dengan nilai semasa emas atau perak. ***tambahan 1 lagi : Tanam uri.
Terdapat beberapa jenis makanan dan minuman yang boleh mengganggu usaha menyusukan bayi dengan lancar. Tahukah anda apakah ia?
Anda perlu tahu, ada beberapa jenis makanan dan minuman yang boleh menimbulkan gangguan. Makanan dan minuman yang dinyatakan ini mungkin perlu anda elakkan. Dibimbangi ia boleh menjadi punca gangguan sepanjang proses penyusuan berlangsung.
Namun, tidak semua akan mengalami kesan yang sama. Apa-appun anda boleh mencuba terlebih dahulu. Apabila ada gangguan hentikan segera pengambilannya.
Kopi atau teh
Apabila minum kopi atau teh, sebahagian kafein akan menyerap masuk ke dalam susu Ini. Disebabkan bayi tidak dapat mengeluarkan kafein daripada tubuh secara semula jadi, maka ia boleh menyebabkan dia berasa tidak selesa, meragam dan susah tidur.
Apa yang boleh anda lakukan ialah mengurangkan pengambilan minuman berkafein atau cara yang lebih baik ialah elakkan terus daripada mengambilnya.
Coklat
Sama seperti teh dan kopi, coklat juga mengandungi kafein. Namun begitu, kandungan kafein dalam coklat adalah sedikit berbanding kopi.
Sekiranya anda mengesyaki coklat menjadi penyebab bayi selepas menyusu, hentikan buat sementara waktu daripada memakannya. Jika langkah menghentikan pengambilan coklat memberi kesan positif kepada bayi, maka adalah lebih baik anda elakkan diri daripada memakannya. Jika masih mahu makan coklat juga, anda mungkin perlu kurangkan kuantitinya.
Buah-buahan sitrus atau berasid
Buah-buahan seperti oren dan lemon, mengandungi asid yang mungkin boleh memedihkan usus bayi. Hal ini boleh menyebabkan dia meragam. Ada juga Kes di mana bayi mengalami ruam lampin kesan daripadanya.
Untuk mendapatkan bekalan vitamin C, anda boleh gantikannya dengan pengambilan sumber makanan lain seperti betik dan mangga.
Makanan pedas dan berempah
Kegemaran anda ini mungkin boleh mendatangkan kesan buruk kepada bayi.
Sekiranya bayi kerap meragam dan mengalami ketidakselesaan di bahagian perutnya, ada baiknya anda elakkan dahulu daripada mengambil makanan pedas dan berempah demi kebaikan anda dan bayi juga.
Kekacang
Pengambilan kekacang boleh menyebabkan sesetengah bayi mengalami kembung perut.
Malah, kekacang juga merupakan salah satu makanan yang boleh menjadi punca alahan. Jika anda makan terlalu banyak kacang, berkemungkinan bayi boleh terkena alahan.
Jika suka makan kekacang, anda boleh gantikannya dengan makanan lain yang lebih bermanfaat untuk penghasilan susu ibu seperti kismis, kurma, aprikot dan lain-lain.
Makanan laut dan kekerang
Jika dalam keluarga anda, ada yang mengalami alahan terhadap makanan laut atau kekerang, ada baiknya anda elakkan diri daripada mengambil makanan tersebut sepanjang tempoh tempoh penyusuan berlangsung. Dikhuatiri bayi boleh terkena alahan yang sama.
Peppermint
Jika anda sukakan makanan atau minuman yang berperisa peppermint, berhati-hati. Ia diyakini boleh mengganggu proses penghasilan susu ibu.
Dikatakan, teh peppermint sering digunakan sebagai salah satu cara membantu para ibu menghentikan pengeluaran susu ibu jika anak mahu bercerai susu.
Gula-gula atau ubat yang mempunyai kandungan peppermint pun perlu dikawal pengambilannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyusuan semasa di bulan Ramadan mencabar. Walau pun hanya beberapa hari berpuasa, ada ibu menghadapi masalah penghasilan susu makin sedikit. Inilah situasi yang paling menakutkan para ibu.
Walau pun tidak semua ibu menghadapi masalah kekurangan susu di bulan Ramadan, ada cara yang boleh anda lakukan untuk mengekalkan pengeluaran susu dari awal.
Kaunselor laktasi Ziela Juzaila berkongsi 7 tips yang telah diamalkan olehnya sendiri sepanjang menempuhi Ramadan ketika menyusukan.
BERPUASA DAN MENYUSUKAN
Syukur Alhamdulillah. Berpuasa dan menyusukan. Syukur. Dipanjangkan usia kita untuk menikmati lagi bulan Ramadan kali ini. Ibu menyusu ada beberapa tips nak saya kongsikan. Tips yang dah banyak diketahui pun dan dah banyak kali sudah saya kongsikan sebelum ini.
Kita yang menyusukan ini, keletihan kelesuan ketika berpuasa bukanlah kerana kurang makan tapi kebanyakkan kerana kita kurang air dalam badan. Sememangnya kita yang menyusukan perlu minum air yang cukup.
#1. Minum air
Minum air di waktu malam, caranya letakkan air 1.5L di sebelah tempat tidur. Minumlah semasa susukan anak. Waktu sahur minumlah air yang cukup. Selepas berbuka sehingga hendak tidur, minumlah antara 1.5L hingga 2L. Kurangkan air bergula, air kelapa bagus untuk badan kita.
#2. Melewatkan sahur
Lewatkan bersahur. Pilihlah makanan berkuah, yang kurang garam, yang kurang pedas. Makanan bergaram tinggi boleh percepatkan proses kehilangan air dalam badan.
#3. Kurangkan kafein
Kurangkan kafein. Elak lagi bagus. Sama saja macam garam. Boleh percepatkan proses kehilangan air dalam badan. Caffeine juga menganggu penyerapan khasiat ke dalam badan.
#4. Makan kurma
Ambillah kurma yang cukup. Kalau biasa 3 biji, puasa ni ambillah 7 biji. Saya memang ambil 15 biji buat jus minum semasa berbuka dan bersahur. Kita semua tahu, kurma banyak khasiatnya.
#5. Elak berada di luar
Elak berada diluar terlalu lama. Cuaca adakala hujan tapi bila panas akan percepatkan lagi badan kehilangan air.
#6. Jadual perah & direct feeding dikekalkan
Kekalkan jadual memerah bagi yang bekerja begitu juga bagi yang direct feeding, susukanlah anak seperti biasa. Jika ada tanda-tanda yang membolehkan memberi kesan kepada ibu atau bayi, terimalah hadiah dari Allah. Rukhsah.
#7. Kurangkan gula & makanan diproses
Makanlah makanan yang sihat. Homemade food itu lebih baik. Makan bukan sekadar untuk mengenyangkan malah untuk up imun badan kita. Kurangkan pengambilan gula putih dan elaklah makanan yang diproses. Pengawet pewarna perasa melemahkan imun badan.
Semoga dipermudahkan kita semua menjalani ibadah puasa. Semoga amalan kita semua diterima olehNya. Semoga diampunkan segala dosa-dosa kita. Aamin…
Menyusukan anak bukanlah tugas mudah. Ibu akan mengalami letih badan serta gangguan emosi. Perlu sentiasa diberikan sokongan dan perhatian dari suami. Jika isteri mengalami kemurungan kerana tidak cukup rehat, ia memungkinkan kepada terjadinya masalah yang lebih serius.
Sebagai suami yang prihatin dan bertanggung jawab, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk meringankan beban isteri. Sudah tentu suami tidak dapat bertukar tempat dengan isteri untuk menyusukan anak, tetapi ada perkara lain yang boleh dibuat sebagai inisiatif bagi membantu si isteri yang keletihan.
Di dalam sesi live bersama Pa&Ma tempoh hari, Kaunselor Laktasi Bertauliah, Pn Nurdiana Mohd Rasid ada berkongsi antara perkara yang boleh suami bantu bagi menjayakan perjalanan penyusuan bayi secara ekslusif.
BELAJAR DAN CARI MAKLUMAT
Tidak perlu tunggu isteri melahirkan, suami boleh mengikut isteri ke kelas penyusuan. Jika tidak sempat meluangkan masa untuk ke kelas, suami boleh mengikuti grup penyusuan di laman sosial. Banyakkan pembacaan dan usah segan untuk bertanya kepada rakan-rakan yang mempunyai pengalaman.
Dengan mengumpul maklumat dan pengetahuan tentang penyusuan, suami akan lebih berpengetahuan dan tidak kekok untuk membantu isteri apabila tiba waktu mereka menyusukan bayi.
BUATKAN MILK BOOSTER
Buat sendiri untuk milk booster untuk isteri dari bahan-bahan semulajadi. Antaranya adalah susu kurma bercampur badam atau minuman herba longan kering dan kurma merah. Tidak susah pun untuk menyediakannya, anda boleh dapatkan resipinya dari internet sahaja.
BELIKAN ALATAN PENYUSUAN
Selain membuat persediaan mental, anda harus mempunyai pengetahuan tentang proses penyusuan. Bukan sahaja ketika bayi menyusu dari badan bahkan proses mengepam susu. Untuk memudahkan isteri membuat bekalan susu untuk si kecil, anda perlu tahu jenis alatan yang diperlukan.
Bantu juga isteri anda untuk mengendalikan mesin pam. Bersihkan jika perlu dan sediakan beg sekiranya isteri perlu keluar bekerja.
Selain mesin pam, dapatkan juga maklumat tentang alatan lain seperti beg penyejuk, pek atau blok ais, botol susu, pek susu, dan banyak lagi.
Aksesori dan alatan untuk membuat stok susu tidak murah, jadi sebaiknya suami harus membuat tinjauan terlebih dahulu tentang jenis dan jenama mesin pam yang mahu anda belikan untuk si isteri. Ketahui fungsinya serta cara penggunaan agar anda tidak terkial-kial apabila isteri meminta pertolongan anda.
JAGA EMOSI DAN PERASAAN ISTERI
Ini yang paling utama. Bagi menunjukkan sokongan anda terhadap mereka, pastikan kehadiran anda ketika isteri sedang menyusukan anak. Jika isteri bangun tengah malam untuk mengepam, sebaiknya anda berjagalah bersama dia. Sementara menunggu, anda boleh bersembang dengannya. Lebih baik lagi jika anda dapat menghulurkan bantuan untuk mengurut bahu dan belakang badan isteri ketika mereka sedang menyusukan atau mengepam susu.
Buat para suami yang menemani isteri untuk anak sulung, anda harus sama-sama menyelami perasaannya. Inilah pengalama pertama payudara isteri membengkak, putingnya melecet ataupun masalah susu tidak mahu keluar. Jika anda tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencari pakar yang dapat menyelesaikan masalah ini. Sebagai contoh, isteri mengalami bengkak susu. Anda boleh dapatkan pandangan dari doktor atau cari tukang urut berpengalaman untuk membantu isteri.
BERIKAN BAYI SUSU PERAHAN
Tugas utama suami adalah untuk memperkenalkan susu perahan kepada bayi. Kebanyakan bayi akan menolak jika ibunya sendiri yang menyuakan susu perahan dalam botol. Jika ayah yang memberi susu dalam botol, bayi akan lebih terbuka untuk meminumnya. Selain iu, suami juga boleh belajar cara-cara penyimpanan susu perahan atau mencuci peralatan mengepam.
URUSKAN ANAK
Dalam tempoh berpantang, ibu memerlukan rehat yang secukupnya. Emosi mereka juga mudah terganggu kerana masih tidak sembuh sepenuhnya. Sebagai seorang suami yang peka dengan keadaan isteri, anda boleh membantu untuk menguruskan anak seperti memandikan dan memberi mereka makan. Sekiranya anda mempunyai anak-anak lain selain bayi yang baharu lahir, adalah lebih baik anda uruskan mereka tanpa mengganggu si isteri.
Untuk memudahkan kerja anda, bawalah ibu atau mertua untuk membantu. Anda boleh uruskan anak-anak yang lain dan mereka boleh menolong anda untuk menjaga isteri dan bayi. Jika berkemampuan, anda digalakkan untuk mengupah pengamal perbidanan Melayu yang bertauliah untuk menguruskan isteri anda. Ini lebih baik kerana mereka juga boleh mengurut dan menjalankan rawatan pantang yang lain ke atas isteri anda.
RAJINKAN DIRI BUAT KERJA RUMAH
Ibu menyusu biasanya mudah letih dan tidak sempat menguruskan hal lain. Sebagai suami, jangalan pula anda marahkan mereka. Ringankan bebanan mereka dengan sama-sama membantu buat kerja rumah. Apa yang boleh anda bantu, buatlah. Tidak perlu sempurna, tetapi sekurang-kurangnya dengan membantu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerja si isteri. Apabila isteri berada dalam keadaan yang baik, dia pasti lebih produktif dan positif untuk menguruskan hal rumah tangga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masa yang dinanti telah tiba! Harga emas sedang meningkat, menandakan peluang terbaik untuk menambah koleksi barang kemas atau melabur untuk masa depan. Bagi yang...