Masalah kerap kencing malam bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh. Ia merupakan sesuatu yang mengganggu, apatah lagi jika setiap malam seseorang itu harus ke tandas lebih dari dua kali. Jika seseorang wanita itu hamil, ia normal.

Melalui perkongsiannya di Facebook, Dr Zubaidi Hj Ahmad memberitahu bahawa individu yang sihat dan normal menghasilkan air kencing sebanyak satu hingga dua liter sehari.

KERAP KENCING MALAM

Kerap kencing malam adalah gejala yang mengganggu apabila seseorang itu dikatakan mengalami kencing yang kerap apabila perlu membuang air kencing lebih daripada 6 kali sehari dan perlu bangun daripada tidur melebihi 2 kali semalam untuk ke tandas. Ia berlaku apabila tubuh menghasilkan kuantiti air kencing lebih daripada biasa.

Individu yang sihat dan normal akan menghasilkan air kencing sebanyak satu hingga dua liter sehari. Namun, seseorang yang mengalami keadaan kencing yang kerap pula, buah pinggang menghasilkan air kencing melebihi 3 liter sehari.

Artikel Menarik: [Jangan Terlalu Teruja Pamerkan Gambar Scan Bayi Untuk Tatapan Umum, Ini Hukumnya Menurut Islam]

PUNCA-PUNCA KERAP KENCING

1. Minum terlalu banyak

Minum air terlalu banyak daripada keperluan tubuh badan boleh menyebabkan penghasilan air kencing yang lebih banyak daripada biasa.

2. Kencing manis (diabetes)

Kencing yang kerap di dalam kuantiti yang besar pada kebiasaannya merupakan gejala awal bagi kedua-dua penyakit diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2 kerana tubuh sedang berusaha untuk membuang glukosa yang berlebihan melalui air kencing.

Artikel Menarik: [Sticker Pada Buku Pink Bukan Sekadar Hiasan, Setiap Warna Ada Maksudnya]

3. Kehamilan

Saiz perut yang semakin membesar sejak proses kehamilan bermula akan memberikan tekanan kepada pundi kencing. Tekanan yang meningkat ini akan menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air kencing lebih kerap daripada biasa.

4. Penggunaan ubat diuretik

Ubat diuretik merupakan salah satu ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Ia akan menggalakkan pengeluaran cecair daripada tubuh badan dan menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil.

5. Strok atau penyakit saraf

Kerosakan kepada saraf yang membekalkan pundi kencing boleh menyebabkan masalah kepada pundi kencing termasuklah peningkatan kekerapan untuk membuang air kencing. Keadaan ini digelar ‘neurogenik bladder’.


6. Masalah prostat

Prostat yang bengkak akan memberikan tekanan kepada uretra (tiub yang membawa air kencing keluar daripada pundi kencing) dan ia akan menghalang aliran keluar air kencing lantas menyebabkan dinding pundi kencing menjadi rengsa dan tidak selesa.

Ketidakselesaan ini akan menyebabkan pundi kencing mula mengecut walaupun ia mengandungi sedikit sahaja air kencing dan akan menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air kencing dengan lebih kerap.

7. Interstitial Cystitis

Seseorang yang mengalami keadaan ini akan berasa sakit dan rengsa pada pundi kencing. Keadaan ini tidak diketahui puncanya. Antara gejala-gejala yang ditunjukkan termasuklah keperluan yang mendesak untuk membuang air kecil.

8. Pemanis tiruan, alkohol, kafein & makanan lain

Alkohol dan kafein boleh memberikan kesan seperti diuretik yang boleh menyebabkan seseorang itu kencing dengan lebih kerap. Minuman berkarbonat, pemanis buatan (seperti Splenda atau Equal) dan buah sitrus telah dikenal pasti dapat memberikan rasa rengsa kepada pundi kencing, menyebabkan seseorang itu kencing dengan lebih kerap.

RAWATAN UNTUK KEKERAPAN KENCING

1. Pengubahsuaian diet

Mengelakkan sebarang makanan yang mengganggu pundi kencing atau boleh memberikan kesan diuretik seperti kafein, alkohol, minuman berkarbonat, coklat, dan pemanis tiruan. Pengambilan makanan berserat tinggi juga penting kerana masalah seperti sembelit boleh turut menyebabkan pundi kencing menjadi lebih aktif.

2. Memantau pengambilan cecair

Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk memastikan fungsi tubuh badan dapat dijalankan dengan baik. Namun, pengambilan juga haruslah dikawal dengan baik. Sebagai contoh, mengelakkan daripada meminum air satu jam sebelum tidur, untuk mengelakkan kencing pada waktu malam.


3. Latihan Kegel

Latihan ini akan membantu di dalam menguatkan otot-otot di sekeliling pundi kencing dan uretra untuk meningkatkan kawalan pundi kencing, mengurangkan urgensi dan kekerapan kencing. Melatih otot pelvis selama lima minit tiga kali sehari boleh membantu di dalam mengawal pundi kencing.

#HealthDrZubaidi